Sabtu, 1 Jun 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mengambil iktibar daripada PRU-13

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

SITUASI selepas Pilihan Raya Umum (PRU-13) berbeza daripada dua belas pilihan raya sebelum ini atas satu sebab. Perhimpunan diadakan di beberapa tempat di Semenanjung untuk menentang keputusan PRU-13 kerana kononnya penipuan besar-besaran dilakukan" oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Barisan Nasional (BN).

Tuduhan

Setakat ini pemimpin-pemimpin pembangkang tertentu yang membuat tuduhan ini gagal mengemukakan sebarang bukti yang kukuh.

Setiap tuduhan liar yang direka - dari 40,000 rakyat Bangladesh yang diterbangkan ke Malaysia sebagai "pengundi hantu" ke peristiwa blackout di Bentong - hanya mengesahkan bahawa kita berdepan dengan pembohong-pembohong bertaraf dunia.

SPR serta beberapa pakar undang-undang telah berulang kali menekankan bahawa sekiranya pembangkang memiliki bukti tentang penipuan di mana-mana kawasan pilihan raya, di peringkat negeri mahupun di peringkat Parlimen, petisyen boleh dikemukakan di mahkamah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Ini adalah saluran undang-undang yang digunapakai sejak Pilihan Raya Umum Pertama pada 1959. Sekiranya ada cara tertib berdasarkan Perlembagaan untuk menyelesaikan isu-isu pilihan raya, kenapa sebahagian daripada pembangkang terus memprotes?

Jelas bahawa protes merupakan agenda ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mencapai cita-cita besar beliau iaitu, menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau berharap bahawa siri perhimpunan akan menjejas kredibiliti kerajaan BN dan ini mungkin dapat memujuk beberapa ahli parlimen BN melompat masuk pakatan pembangkang.

Kemerosotan kredibiliti BN juga mungkin mendorong lobi-lobi tertentu di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) memesatkan kempen mereka untuk menekan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib menyahut tuntutan-tuntutan Anwar tentang pilihan raya.

Tetapi, Anwar tidak akan mencapai matlamatnya. Majoriti rakyat Malaysia tahu bahawa keputusan PRU-13 adalah adil dan mencerminkan realiti sentimen dan kecenderungan politik kini. Pembangkang sebagai contoh telah memperolehi 89 kerusi Parlimen - yang terbanyak dalam sejarah politik negara, selain daripada mengekalkan kuasa dalam tiga buah negeri dengan majoriti besar!

Kerajaan-kerajaan Barat, termasuk kerajaan AS, menerima keputusan PRU-13 secara rasmi dan liputan dalam media Barat yang pro-Anwar pun sudah berkurangan.

Pendekatan kerajaan BN juga membantu BN menguasai keadaan. Polis tidak cuba menyuraikan perhimpunan-perhimpunan dengan gas pemedih mata dan sebagainya. Cuma beberapa aktivis didakwa kerana melanggar undang-undang tertentu.

Kerajaan BN yang dipilih secara demokratik harus terus memerintah secara normal. Kabinet peringkat pusat dan sepuluh buah negeri yang dikuasai BN harus melaksanakan dasar-dasar dan program-program mereka. Bertindak secara normal adalah respons yang paling sesuai terhadap mereka yang ghairah dengan perhimpunan dan demonstrasi.

Cabaran

Pada masa yang sama BN perlu memberi fokus kepada cabaran-cabaran yang masih belum diatasi. Kos hidup yang meningkat yang memberi dampak pada golongan yang kurang berada, terutamanya di kawasan bandar - sebahagian daripada mereka menolak BN dalam PRU-13 - harus ditangani dengan langkah-langkah yang lebih berkesan.

Pengawalan terhadap harga barangan; perumahan mampu milik oleh golongan kurang berada; penyediaan sistem pengangkutan awam yang cekap dan menyeluruh dan struktur gaji yang adil adalah antara perubahan-perubahan yang harus dilaksanakan melalui penyusunan semula ekonomi.

Pembanterasan rasuah, yang juga merupakan isu besar dalam PRU-13, memerlukan iltizam yang lebih kuat dari kepimpinan politik.

Dalam hubungan ini, cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah disyorkan oleh NGO-NGO sebelum ini, untuk melarang sanak-saudara ahli-ahli Kabinet, Exco negeri atau pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan awam daripada membidakan kontrak atau projek kerajaan semasa mereka memegang jawatan, harus dikuatkuasakan dengan serta-merta.

Begitu juga, suatu mekanisme perlu dibentuk untuk mempertingkatkan akses masyarakat kepada aset dan liabiliti semua ahli Parlimen dan Dewan Undangan dan keluarga terdekat mereka, seperti mana terdapat di beberapa negara yang lain.

Tahap insiden jenayah yang membimbangkan adalah satu lagi cabaran yang menghadapi kepimpinan BN dewasa ini. Dalam PRU-13, isu ini diperalatkan oleh pembangkang untuk menunjukkan pengundi bahawa BN gagal melindungi keselamatan khalayak ramai.

Pendekatan yang lebih berkesan adalah pra-syarat untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemerintah.

Dalam suasana politik pasca PRU-13, BN juga memberi perhatian kepada struktur BN. Dalam keadaan dimana prestasi parti-parti Cina merosot sama sekali, kita faham kenapa pemimpin-pemimpin BN tertentu bertanya sama ada sudah tiba masanya untuk membubarkan semua parti komponen dan digantikan dengan satu parti tunggal.

Ini adalah persoalan yang kompleks yang perlu dikaji secara mendalam. Yang lebih penting dan lebih mencabar, adalah sikap dan nilai-nilai kepimpinan dan keahlian parti-parti komponen BN.

Oleh kerana UMNO dan BN sudah berkuasa selama beberapa dasawarsa dan hidup dalam zon selesa, apakah semangat perjuangan, semangat pengorbanan pemimpin dan ahli mereka sudah luntur?

Apakah ini iktibar daripada PRU-12 dan 13? Apakah benar BN kini lebih mengutamakan wang, kuasa dan kedudukan jika dibandingkan dengan Perikatan pada peringkat awal perjuangannya? Apakah penyakit materialisme ini yang merupakan tragedi BN yang sukar diubati?

Sentimen

Bagaimana pula dengan parti-parti pembangkang yang menggelarkan diri sebagai "pakatan rakyat" yang masih belum mewujudkan suatu gabungan yang mantap yang mempunyai struktur kepimpinan, simbol dan misi perjuangan yang sama khususnya dalam soal agama dan kaum?

Sebenarnya, jurang ideologi yang membezakan Pas dan DAP amat ketara: Pas dengan idea negara Islamnya yang ditakrifkan melalui hudud dan DAP dengan fahaman 'Malaysian Malaysianya' yang meminggirkan sejarah dan latarbelakang politik negara ini.

Dapatkah pemimpin dua parti ini mengurangkan jurang ini dalam tempoh lima tahun akan datang ini?

Cabaran yang jauh lebih serius yang dihadapi ketiga-tiga parti pembangkang adalah keikhlasan mereka dalam membendung sentimen-sentimen politik tertentu yang akan memudaratkan negara kita sekiranya tindakan tidak diambil dari sekarang.

DAP, sejak ditubuhkan pada 1966, mengeksploitasi sentimen marah dan kecewa di kalangan sebahagian besar daripada kaum Cina dan sebahagian daripada kaum India yang berhubungkait dengan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Gambaran yang diberikan kepada bukan Melayu dan bukan bumiputra adalah bahawa kerajaan menganugerahkan segala-galanya kepada Melayu dan bumiputra manakala bukan Melayu dan bukan Bumiputra dianaktirikan dan dilayani sebagai 'warga kelas dua'.

Keadaan sebenar ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita jauh berbeza daripada persepsi yang dibentuk oleh DAP. Tidak dapat dinafikan bahawa kaum Cina yang paling kukuh kedudukannya di peringkat atasan dan pertengahan dalam hierarki ekonomi negara.

Pengamalan budaya dan bahasa Cina yang disokong oleh sistem pendidikan Cina, berleluasa di negara ini - suatu fenomena yang tidak wujud di mana-mana negara lain di luar Republik China dan Taiwan.

Begitu juga, penglibatan kaum Cina dalam politik negara, jika dilihat dari segi sejarah politik Malaysia yang berakar umbi dalam sistem politik Melayu, adalah luar biasa.

Jelas bahawa kaum Cina tidak dianaktirikan dan bukan warga kelas dua - walaupun dalam pelaksanaan kedudukan istimewa dan DEB, adakalanya bukan Melayu dan bukan bumiputra yang layak gagal mendapat tempat di universiti atau biasiswa atau pun kontrak dan lesen perniagaan.

Tetapi kes-kes khusus - ketidakadilan sedemikian rupa - tidak boleh dijadikan asas untuk membuat kesimpulan palsu bahawa kaum Cina pada keseluruhannya dianiaya!

Kesimpulan palsu inilah yang mengghairahkan hampir keseluruhan kaum Cina untuk mengakhiri apa yang disifatkan mereka sebagai dominasi Melayu/UMNO dan mencapai "kesamaan" dalam PRU 13.

Ini yang dimaksudkan dengan 'Ubah' - cogankata DAP dalam PRU-13. Oleh kerana DAP dan kaum Cina gagal ubah kerajaan, mereka harus merenungkan secara dalam tentang kedudukan mereka, sejarah dan konteks masyarakat berbilang kaum di negara kita, dan masa depan hubungan kaum di Malaysia.

Secara ikhlas, cuba memahami realiti ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita dan bertindak dengan seimbang berdasarkan realiti ini. Ini adalah tanggungjawab besar pemimpin-pemimpin DAP, malah cendekiawan Cina amnya.

Sekiranya renungan ini tidak berlaku dan majoriti kaum Cina terus dipengaruhi oleh persepsi yang bertentangan dengan realiti, sudah tentu masyarakat Melayu akan menjadi lebih renggang daripada kaum Cina.

Polarisasi kaum akan bertambah buruk. Polarisasi kaum yang diiringi oleh ketegangan kaum mengundang pada ketidakstabilan politik yang akan menjejaskan persekitaran ekonomi.

Sama seperti DAP, Pas juga harus membetulkan persepsi yang disebarluas dalam kalangan golongan muda Islam bahawa pendekatannya kepada Islam adalah Islam yang tulen serta mujarab kepada segala cabaran dihadapi di negara kita.

Pendekatan Pas yang mempunyai ciri-ciri persamaan dengan beberapa negara yang mengisytiharkan diri sebagai "Negara Islam" serta pergerakan Islam di tempat-tempat lain, dipersoalkan oleh pemikir-pemikir Islam kerana lebih mementingkan kulit daripada isi agama.

Itulah sebabnya negara-negara tersebut gagal memberi makna yang konkrit kepada keadilan sosial dan kemuliaan insan (termasuk kemuliaan wanita) yang menjadi cita-cita unggul al-Quran al-Karim.

Lagi pun, Pas perlu menyelami persoalan yang masih mencetuskan perbahasan tentang peranan sebuah parti Islam dalam masyarakat berbilang agama yang berfungsi dalam persekitaran politik abad 21.

Ini membawa kita kepada PKR. Parti ini juga dibawa oleh arus sentimen yang dangkal yang berkisar pada ketaksuban terhadap seorang individu. Sudah tentu ketaksuban sedemikian rupa bertentangan sama sekali dengan suasana abad 21.

Ahli-ahli PKR harus membebaskan diri mereka daripada belenggu jumud ini. Parti-parti pembangkang, seperti mana dengan BN, menghadapi banyak cabaran dalam landskap politik pasca PRU 13.

Mereka harus ambil iktibar daripada cabaran-cabaran ini. Mereka yang belajar dan buat perubahan yang berkesan secara ikhlas akan berjaya - Insya-Allah.

Penulis adalah Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Perlu pemimpin berjiwa besar

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

BIARPUN Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah berakhir hampir tiga minggu yang lalu, namun pakatan pembangkang masih tidak dapat menerima kenyataan. Malah lebih 10 perhimpunan haram diadakan bagi membangkitkan rasa marah dan kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perhimpunan haram atau lebih dikenali dengan 'Blackout 505' itu nyata mencetuskan rasa gelisah kepada rakyat. Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan ASMA HANIM MAHMOOD bersama jurugambar IRWAN MAJID, mendapatkan pandangan Mufti Kerajaan Kelantan, DATUK MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD mengenai perkembangan tersebut.

Dalam pertemuan di pejabatnya di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Mohamad Shukri tanpa berselindung melahirkan rasa kebimbangannya terhadap siri perhimpunan atau cara pakatan pembangkang itu yang disifatkannya telah terkeluar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengikut kerangka Syiah serta Khawarij.

Turut disentuhnya ialah mengenai 'dua pil' yang paling mujarab yang diajar oleh Islam iaitu bersyukur apabila berjaya dan bersabar apabila gagal. Jika kedua-dua pil itu tidak digunakan, beliau bimbang nikmat yang dikurniakan Allah sebelum PRU-13 iaitu keamanan, akan hancur sekiranya siri perhimpunan tersebut diteruskan oleh pakatan pembangkang.

Sepanjang wawancara tersebut beliau amat menekankan tentang perpaduan umat Islam dan yakin ia akan dapat dicapai kerana masih ada banyak jalan menuju ke arah itu. Ikuti kupasan lanjut tokoh agama ini.

MINGGUAN: Pihak pembangkang mengatakan bahawa pilihan raya ini tidak adil dan zalim. Bagaimana Datuk melihat perkara ini, apakah benar wujud kezaliman di sini?

MOHAMAD SHUKRI: Sekarang ini negara kita, negara yang ada sistemnya, dengan pilihan raya itu sendiri ada peraturan dan undang-undangnya. Jadi kalau kita kata tidak adil, kita sebenarnya dalam kaedah Islam, sesiapa sahaja yang menjadi pendakwa, maka dialah bertanggungjawab untuk membuktikannya, beban bukti itu dipertanggungjawab yang mendakwa. Jadi kalau kita rasa pilihan raya ini berlaku ketidakadilan, maka kita perlu tampilkan bahan-bahan bukti. Kerana dalam kaedah Islam 'Al-bayyinah alal mudda'ie' sesiapa yang mendakwa, dialah dibebankan untuk menampilkan bahan bukti.

Setakat ini saya belum nampak tindakan dari segi undang-undang untuk mengatakan bahawa ini tidak adil, pilihan raya berjalan tidak adil. Ini hanya setakat ini dakwaan tidak adil. Jadi dakwaan sahaja tidak semestinya membuktikan ia tidak adil. Perlu dibuktikan dan dalam sistem yang ada kita boleh kemukakan untuk mendapatkan hak keadilan itu seperti petisyen pilihan raya dan lain-lain ruang yang dibuka yang patut dipakai.

Untuk memberi (menentukan) keadilan ini bukan orang ramai. Kalau berlaku kemalangan jalan raya antara A dan B, tentulah B akan kata A yang salah sebab berhenti mengejut, tetapi A pula mengatakan B yang salah kerana melanggar belakang kereta. Jadi bila hendak selesai? Sebab itu perlu dikemukakan kepada pihak pengadilan baru tahu siapa yang salah. Kita tidak dibenarkan menghakimi ketidakadilan itu bukan pada gelanggangnya. Katakanlah kita mengadakan perhimpunan, apakah perhimpunan ini boleh menjadi gelanggang mahkamah untuk menentukan adil atau tidak adil? Sebab itu kita raikanlah peraturan dan undang-undang yang ada kalau kita tidak berpuas hati. Sama ada kita menang atau kalah, kita masih dapat menikmati keamanan, walaupun kalah kita aman apatah lagi yang menang.

Maksudnya perhimpunan itu tidak perlu diadakan secara besar-besaran?

MOHAMAD SHUKRI: Perhimpunan itu kalau hendak diadakan juga, perlu mengikut peraturanlah, kerana undang-undang mengatakan boleh berhimpun secara aman. Nak berhimpun secara aman itu boleh, jadi pihak berkuasa boleh menentukan hendak berhimpun di mana tetapi ia bukan satu mahkamah untuk mengadili ketidakadilan yang didakwa itu.

Dari segi pandangan peribadi, adakah Datuk sendiri melihat ada penyelewengan dalam pilihan raya baru-baru ini?

MOHAMAD SHUKRI: Pilihan raya ini Pilihan Raya ke-13 bagi negara, setiap kali menjelang pilihan raya akan wujudlah dakwaan-dakwaan sebegitu. Tentang ketidakadilan, kita sudah buka ruang untuk pemerhati-pemerhati yang setakat ini tidak mendengar laporan mereka mengatakan pilihan raya berjalan dengan tidak betul. Jadi saya sendiri tidak pernah buat kajian. Kita berbalik kepada yang saya sebut tadi, kalau kita kata pilihan raya ini tidak adil, tidak telus maka kita rujuklah kepada mahkamah. Mengapa kepada hal-hal lain kita boleh rujuk ke mahkamah tetapi dalam pilihan raya kita tidak boleh percaya kepada mahkamah?

Bagaimana pula Datuk melihat kesan PRU-13 kepada umat Islam?

MOHAMAD SHUKRI: Saya cukup terpanggil dengan PRU-13 ini. Kita cukup menaruh kebimbangan trend yang berlaku dalam negara kita, terutamanya apabila rasa tidak puas hati dicetuskan dan dimanifestasi dengan mengadakan perhimpunan-perhimpunan. Perhimpunan ini ada dua, perhimpunan aman dan perhimpunan yang boleh mencetuskan huru-hara. Dalam kaedah Islam, sesuatu yang tidak baik atau 'mafsadah' iaitu keburukan dan kerosakan tidak boleh diatasi dengan keburukan yang sama apatah lagi dengan keburukan yang lebih memudaratkan. Satu-satu keburukan tidak boleh diselesaikan dengan melakukan keburukan juga ataupun keburukan yang lebih parah.

Yang keduanya, amalan dalam Islam kita ada 'al-amru bilmaruf wan nahyu anil munkar' iaitu melakukan kebaikan mencegah kemungkaran, jadi bagaimanakah pendekatan untuk melaksanakannya? Sekarang ini saya nampak trend itu sudah terkeluar daripada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), trend untuk melaksanakan amar maaruf nahi munkar itu semacam tidak mengikut kerangka ASWJ. Ada ternampak bibit-bibit untuk melakukan amar maaruf itu dalam kerangka Syiah, dalam kerangka Khawarij. Ini yang membimbangkan saya. Padahal amalan di negara ini adalah ASWJ. Kecenderungan untuk pergi kepada amalan Syiah dan Khawarij perlu dibendung.

Bagaimana Datuk melihat fitnah yang ditimbulkan pembangkang kerana ia menimbulkan kekacauan dan menanam sikap benci kepada kerajaan?

MOHAMAD SHUKRI: Kita sebagai orang yang beragama, apa juga yang kita putuskan, pendekatan yang kita ambil mesti sesuai dengan tuntutan agama. Kita tidak boleh buat sesuatu mengikut nafsu, sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW, Orang yang lemah itu adalah orang yang mengikut hawa nafsunya". Jadi ini sebenarnya orang yang lemah, oleh kerana itu apabila kita hendak bertindak perlulah secara bijak, secara rasional dan tidak terkeluar daripada agama.

Jadi maksudnya, Arab Spring atau Malaysian Spring atau orang kata sekarang Anwar Spring tidak perlu berlaku di Malaysia?

MOHAMAD SHUKRI: Tidak perlu berlaku. Kita dalam pengajian agama ada kaedah dipanggil 'qias'. Ia ada kaedahnya apabila kita hendak kaitkan hukum haram kepada dadah, kita 'qias' dengan arak, apa sebab? Di mana persamaan, kerana arak ada elemen memabukkan, Rasulullah kata setiap perkara memabukkan adalah haram, jadi arak dan dadah itu persamaannya kerana boleh menghilangkan kewarasan, jadi kalau kita nak kata Arab Spring , di mana persamaan?

Berlakunya Arab Spring di Mesir, bagaimana suasana rakyat duduk di bawah pemerintahan kerajaan mereka sehingga tercetusnya kebangkitan atau Arab Spring. Tetapi di Malaysia mengapa perlu cetus seperti Arab Spring? Hanya kerana ketidakadilan yang kita katakan sebagai persepsi bukan realiti. Padahal realitinya kita boleh bebas, kalau memang tertekan, pembangkang tidak ada yang menang, kalau pilihan raya berjalan secara tipu, patutnya pembangkang tidak akan menang satu kerusi pun.

Ini pembangkang boleh menang, hampir-hampir menubuhkan kerajaan, diakui masa berkempen ada dirasakan tidak puas hati, tidak diberi ruang dalam akhbar, media elektronik pun terhad, ini ketidakpuasan kitalah, tetapi adakah kita boleh cetuskan seperti Arab Spring itu? Saya fikir banyak lagi ruang-ruang yang boleh. Apakah dengan perhimpunan sahaja untuk menegur ketidaktelusan ini? Mengapa kita tidak boleh gunakan pendekatan sabar? Maknanya masuklah lagi dalam pilihan raya pada masa akan datang dengan mula berkempen hari ini. Barangkali berhimpun itu sudah menjadi cara kempen mereka. Tapi dalam kaedah Islam, apa yang dijangka boleh menimbulkan keresahan, kita tidak boleh mengatakan kita sahaja tidak resah, saya sendiri resah apa kalau hadir perhimpunan, tetapi peniaga-peniaga resah, pemandu-pemandu teksi resah, jalan raya tersekat sana sini, ini menyusahkan, sedangkan dalam Islam, adab-adab jalan raya mesti dipatuhi, halangan tidak boleh.

Datuk melihat bagaimana cara terbaik untuk menyatupadukan umat Islam sebab selepas PRU-13 nampak semakin ada jurang?

MOHAMAD SHUKRI: Saya melihat begini, dari segi Islam ada dua istilah, satu 'ikhtilaf' dan satu lagi tafarruq. Al-Quran larang tafarruq, berpecah belah, tapi ikhtilaf berbeza dengan tafarruq. Ikhtilaf bermaksud perbezaan jalan untuk mencapai kepada kebenaran, maknanya berselisih dari segi metodologi atau jalan untuk sampai kepada kebenaran dan mencapai maqasid syariah, objektif daripada syariah.

Itu yang tidak salah dari segi Islam, ikhtilaf tidak dilarang, sebab ulama besar kita, Imam Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi, mereka tidak pernah menidakkan orang lain atau mengatakan si A ini adalah salah. Ulama-ulama kita dalam mazhab-mazhab ini hanya berselisih dalam hal cara atau metodologi sahaja untuk mencapai kebenaran, sebab itu imam Abu Hanafi, Maliki, Hanafi dan Syafie tidak pernah menidakkan satu sama lain. Itu dipanggil ikhtilaf. Metodologi boleh kita berbeza dan memang berbeza pandangan dan pendapat adalah tabiat asal manusia. Jadi kalau kita bagaimana untuk penyatuan umat, kita berbeza pendapat dari segi metodologi tetapi bukan iktirab perbalahan sehingga kita berkerat rotan dan berpatah arang.

Kedua, kaedah yang diterima pakai oleh ulama ialah mana-mana yang kita setuju, kita sepakati, tetapi mana-mana yang selisih, kita toleransi. Jadi bersepakatlah dalam hal yang kita persetujui. Sebenarnya banyak perkara yang lebih banyak kita bersetuju, bersepakatlah dalam hal yang dipersetujui dan bertolak ansur dalam hal yang berselisih. Ketiga, kita sebenarnya sangat memerlukan kepimpinan yang berjiwa besar, fikir bagaimana nak menyatupadukan umat Islam perlu kepada kepimpinan yang berjiwa besar contoh Nabi Muhammad SAW seorang yang berjiwa besar apabila timbul perbalahan di kalangan kafir Quraisy untuk meletakkan Hajar Aswad ke dinding Kaabah mereka hampir mencetuskan peperangan tetapi bila Nabi masuk, Nabi dapat damaikan kabilah Arab yang mahu berperang ini. Apabila Nabi meletakkan hamparan dan letak Hajar Aswad dan semua ketua kabilah pegang dan usung beramai letak di dinding kaabah perbalahan tidak berlaku, sebab Nabi berjiwa besar.

Kita selagi belum ada pemimpin berjiwa besar, payah untuk kita berdamai. Kita sedang mencari pemimpin yang berjiwa besar, kalau ada pemimpin berjiwa besar, pemimpin ini akan menghargai kebenaran, pemimpin ini bukan hanya pintar, cerdik tetapi pintar dan cerdik kalau tidak sampai kepada kebenaran ia sia-sia jadi kita hendak pemimpin yang berjiwa besar yang boleh akalnya mengawal nafsu. Sekarang ini akal dikuasai, yang dominannya nafsu, inilah terjadi perpecahan dan perbalahan. Kalau akal mendominasi nafsu tak apa, lebih-lebih lagi nafsu dan akal didominasi oleh wahyu amat bagus tetapi sekarang tidak berlaku begitu, nafsu duduk di atas, nafsu mahukan kekuasaan dan kepentingan diri dan puak, maka kalau selagi ini tidak boleh diketepikan, kepentingan puak dan diri tidak diketepikan ia tidak boleh wujud perpaduan.

Kalau kita nak kata macam mana perpaduan hendak dicapai, pemimpin itu yang mustahak. Kita lihat pada tahun 70-an ada pemimpin bernama Tun Abdul Razak, ada pemimpin bernama Datuk Asri Muda yang melihat kepentingan masyarakat Melayu Islam di Malaysia, lalu pergi berunding di Geneva, empat mata lalu balik maka berlakulah kerajaan campuran Kelantan, penyertaan Pas dalam BN kerana mereka berjiwa besar melihat ke depan tetapi tidak lama berpecah balik, ini sejarah. Saya merasakan bahawa kalau kita hendak betul-betul secara sedar keperluan kepada penyatuan umat jangan jadikan gelanggang media tempat untuk mencari perpaduan, kena secara kerahsiaan. Usaha untuk menyatu padukan ini mesti digerakkan secara low profile' tidak dihebahkan. Biasa dihebahkan, bila masuk surat khabar, orang yang ada kepentingan akan menentang. Sebenarnya usaha ke arah penyatuan umat ini lama diusahakan selepas berjaya dahulu tahun 70-an, tetapi selepas itu bergolak balik sampai hari ini, tetapi kalau ada usaha secara low profile ini saya yakin ia boleh menjadi kenyataan.

Maksudnya Pas dan UMNO mesti bersatu?

MOHAMAD SHUKRI: Siapa sahaja yang merasakan dan bertanggungjawab terhadap agama perlu bersatu, mungkin Pas dan UMNO dan mungkin lain-lain.

Di antara alasan yang sering diberikan oleh pemimpin Pas yang menolak perpaduan ialah UMNO hanya inginkan perpaduan kerana pada ketika ini mereka lemah dan ketika UMNO kuat, mereka tidak pernah memandang Pas. Bagaimana Datuk melihat alasan seperti ini?

MOHAMAD SHUKRI: Pandangan ini masih didominasi oleh perasaan tidak di dominasikan oleh akal yang rasional. Setiap yang rasional akalnya kepada perpaduan cuma perasaan. Sekarang, kalau nak bersatu, A kena masuk B, B kena masuk A. Sekarang kena merasai kepentingan umat Islam itu. Dalam kaedah syarak sendiri disebut, 'Semoga Allah memberi kemaafan kepada yang telah berlalu'. Orang Melayu selalu kata bila biduk berlalu kiambang bertaut, air yang ditetak tidak akan putus, itu harus ada dalam pemikiran pemimpin kita. Bukan (alasan) kata dia hendak lemas baru dia hendak pada kita, kalau tidak lemas tidak datang kepada kita, itu barang kali cakap-cakap bahasa politik, bila lemah mahu datang minta tolong tetapi benarkah ada pihak yang lemah. Adakah betul-betul UMNO sudah lemah? Apakah Pas lebih kuat daripada UMNO? Saya tidak nampak juga, yang saya nampak, Pas di nombor tiga, DAP nombor satu, PKR nombor dua, DAP yang paling kuat.

Dalam hal politik ini tawar menawar siapa lebih kuat perlu diketepikan, kalau kita berbeza dari segi metodologi tetapi matlamat adalah kebenaran untuk menyelamatkan bangsa, tanah air dan kepimpinan. Kalau kepimpinan terlucut kepada yang lain, masa itu kita hanya menangis tidak berair mata. Mungkin di peringkat saya tidak ada apa sekarang, anak saya tidak ada apa, tetapi mungkin berlaku pada cucu saya. Kita boleh lihat masyarakat kita di negara jiran, apa yang berlaku? Banyak pelajaran di sekeliling kita yang boleh dipelajari terutama di Timur Tengah, Palestin, Iraq, Syria, dan Mesir sendiri mengambil masa yang lama untuk kembali pulih, silap-silap nanti berlaku lagi apabila kita lemah.

Dalam soal ini, kita bukan lihat kepada UMNO dan Pas, kita lihat kepada umat Islam kerana dari segi logik kita tidak kuat kalau kita berpecah, kita akan kuat kalau kita bersatu, kalau kita berpecah dua, dua-dua, kalau ada tiga, tiga-tiga lemah, kita tidak boleh A lemah, B kuat kerana berpecah, kalau berpecah A,B,C tetap lemah sebab al-Quran sebut begitu kalau berpecah hilang kekuatan. Sebab itu isu siapa lemas, lemah dan kuat, kita tidak boleh timbul dalam perpaduan.

Apakah Datuk yakin akan wujud perpaduan UMNO dan Pas yang menjadi impian seluruh umat Islam di negara ini?

MOHAMAD SHUKRI: Memang ajaran agama tidak membenarkan kita pesimis, kita diajar supaya positif dan optimis. Kita masih merasakan jalan untuk penyatuan itu masih ada dan banyak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved