Rabu, 5 Jun 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Dituduh ambil harta arwah suami

Posted: 04 Jun 2013 10:53 PM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Kemelut keluarga kerap menjejaskan ketenangan dalam menempuh usia tua. - Gambar hiasan

Semua orang menginginkan kehidupan yang tenang dan aman dikelilingi anak-anak dan cucu-cucu penyayang apabila meniti usia emas.

Itu juga yang menjadi dambaan Khamsiah, 69, (bukan nama sebenar). Namun, segalanya tidak menjadi kenyataan apabila dia diheret dalam kemelut rebutan harta pusaka arwah suaminya.

Paling terkilan apabila teratak indah yang didiami sekarang mahu dijual lantaran desakan anak-anak tiri.

"Payah saya mahu lepaskan rumah tersebut kerana sejak 40 tahun lalu ia menyimpan banyak kenangan suka dan duka bersama arwah suami tercinta.

"Namun, apa daya apabila anak-anak arwah suami hampir setiap hari mendesak menjual rumah tersebut. Kata mereka, rumah itu hak mereka adik-beradik dan terpulang kepada mereka untuk menjualnya," kata Khamsiah dalam nada cukup perlahan.

Bercerita lanjut mengenai kehidupannya, Khamsiah berkata, ketika berkahwin dengan suaminya, Rahmat, masing-masing sudah mempunyai anak dengan keluarga terdahulu.

Dengan suami pertama dahulu, Khamsiah mempunyai empat anak. Manakala Rahmat seorang duda dengan dua anak perempuan yang sudah berusia belasan tahun.

"Di rumah inilah kami memulakan kehidupan sebagai sebuah keluarga besar. Anak-anak dia jadi anak-anak saya. Begitu juga sebaliknya.

"Memang ketika di awal perkahwinan anak-anak suami tidak begitu menyukai kehadiran saya anak-beranak.

"Malah, secara terang-terangan mereka menentang perkahwinan kami. Namun, sepanjang menjalani hidup sebagai pasangan suami isteri, kami memang bahagia biarpun tidak dikurniakan cahaya mata.

"Suami saya seorang yang penyayang dan mengambil berat. Hubungan saya dengan anak-anak tiri juga baik biarpun sesekali mereka menunjukkan tanda tidak puas hati dan memberontak.

"Selepas mendirikan rumah tangga, mereka berpindah dan tinggal bersama suami masing-masing," kata Khamsiah.

Ujar nenek enam cucu itu, sejak kematian suami empat tahun lalu kerana menghidap barah, segalanya menjadi semakin rumit.

Hubungan dengan kedua-dua anak tirinya semakin renggang apabila mereka mempamerkan sikap seolah-olah tidak menyenangi tindakan Khamsiah untuk terus tinggal di rumah tersebut.

Anak-anak tiri mula mengungkit tentang harta peninggalan arwah ayah mereka dengan menuduh Khamsiah cuba membolot semua harta termasuk rumah.

Sehingga satu peringkat mereka mengeluarkan kata-kata kesat termasuk tidak menghalalkan Khamsiah tinggal di rumah tersebut.

"Apa yang mereka tidak tahu rumah tersebut sebenarnya saya bina bersama suami hasil duit simpanan kami berdua ketika muda dahulu.

"Semasa hayat suami juga, dia tidak meninggalkan harta melainkan rumah itulah yang menjadi tempat kami berteduh anak-beranak.

"Wang simpanan suami juga tidak banyak yang tinggal sebab sudah dihabiskan untuk membiayai pengajian anak-anak ketika di universiti dahulu," kata Khamsiah.

Namun, apa yang dikesali warga emas itu, anak-anak tirinya masih juga tidak sedar. Mereka terus mendesak dan mempersoalkan segala harta dan wang ringgit bapa mereka.

Kalau hendak dikira, sebagai isteri yang mendampingi suaminya ketika sihat dan sakit, susah dan senang selama 40 tahun, Khamsiah merasakan dia juga mempunyai hak terhadap rumah tersebut.

Disebabkan tidak mahu memanjangkan persengketaan dan selepas berbincang dengan anak-anak kandungnya serta ahli keluarga terdekat, dia mengambil keputusan menuruti kehendak anak-anak tirinya menjual rumah pusaka tersebut kepada saudara terdekat.

Hasil wang jualan tersebut dibahagi-bahagikan kepada anak tiri dan sebahagian kecil diberi kepada Khamsiah.

Dengan wang tersebut dan dicampur wang simpanannya, Khamsiah membina sebuah rumah kecil bersebelahan rumah anak sulongnya.

Rumah baru tersebut juga tidak begitu jauh dari rumah lama dengan harapan apabila berasa rindu terhadap arwah suami, dia berpeluang menjenguk rumah tersebut biarpun dari jauh.

"Saya harap selepas ini segala kemelut akan selesai dan dapatlah saya hidup tenang menghabiskan sisa-sisa usia.

"Walaupun tinggal seorang diri, saya masih bertuah kerana anak yang tinggal berdekatan seringkali melawat jika ada masa terluang.

"Segala keperluan dapur dan kesihatan saya juga sentiasa dijaga oleh anak perempuan saya itu," katanya.

Tiga lagi anaknya yang kini tinggal di Pulau Pinang dan Perak juga sering pulang ke kampung melawatnya terutama pada musim cuti sekolah.

Mengakhiri perbualan, Khamsiah berharap hubungan dengan anak-anak tirinya dapat dipulihkan seperti biasa.

"Walaupun cuma anak tiri, saya menyayangi mereka seperti anak sendiri. Saya tidak pernah berdendam dengan apa yang telah mereka lakukan pada saya, malah saya berdoa suatu hari nanti mereka akan datang menjenguk saya di rumah ini," katanya sambil mata merenung jauh ke luar pintu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved