Rabu, 15 Mei 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bomba selamat aset RM111.1j

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Norazam Khamis (dua dari kanan) menderma darah sambil diperhatikan oleh pegawai bomba lain Sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2013 peringkat negeri di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 14 Mei - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berjaya menyelamatkan aset bernilai RM111.1 juta dalam 545 kes kebakaran, melibatkan bangunan serta harta benda sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, dalam tempoh sama, sebanyak RM10.31 juta kerugian direkodkan melibatkan kebakaran harta benda dan bangunan yang tidak sempat diselamatkan.

''Secara keseluruhan, panggilan kebakaran dalam tempoh Januari hingga April tahun ini turut menurun daripada 154 kes pada Januari berbanding 98 kes direkodkan pada April.

''Bagi kes melibatkan kemalangan pula, sebanyak 324 kes dengan 22 kematian, 119 cedera dan 58 selamat direkodkan dalam tempoh yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Derma Darah dan Program Bersama Pelanggan Sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2013 peringkat negeri di sini hari ini

Menurut Norazam, cabaran utama JBPM negeri ialah mengurangkan bilangan kes kebakaran dan kematian, justeru, jabatan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan respons pantas supaya kehilangan nyawa dan harta benda dapat dikurangkan.

Ujarnya, antara bantuan penyelamat yang paling banyak dilakukan oleh bomba ialah kemalangan jalan raya, panggilan mencari dan menyelamat serta bencana alam.

Pada program berkenaan, kira-kira 400 individu termasuk 150 anggota dan pegawai menderma darah untuk Tabung Darah Hospital Tuanku Ampuan Najiah, Kuala Pilah.

''Program itu merupakan sebahagian komitmen JBPM negeri dalam usaha memberikan sumbangan sosial kepada masyarakat.

''Selain menderma darah, JBPM negeri turut membuka kaunter kepada pelanggan bagi menyampaikan maklumat tentang kesedaran keselamatan kebakaran yang mana pengetahuan tentang perkara itu perlu didedahkan di peringkat awal," tambah Norazam.

Sokong UMNO pertahan hak bangsa Melayu

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

Idris Haron (kanan) dan Mohd. Ali Rustam (dua dari kanan) menaikkan bendera UMNO dan Jalur Gemilang pada Sambutan UMNO Ke-67 di Seri Bendahara, Air Keroh, Melaka, kelmarin.

MELAKA 14 Mei - Hak kaum Melayu akan terus dipertahan selagi UMNO berkuasa dan mendapat mandat daripada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, orang Melayu harus yakin terhadap UMNO kerana tidak pernah lari daripada asas perjuangan utama untuk agama, bangsa dan tanah air.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, jika tidak bersatu di bawah UMNO kuasa orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini akan terus tersisih dan tidak mustahil akan lenyap sedikit demi sedikit.

"Orang Melayu perlu bersatu kerana kita sudah nampak bahaya yang cukup jelas dan nyata berada di depan kita kerana kaum Cina tidak menghargai kita bekerja dengan keikhlasan dan memenuhi kehendak meritokrasi.

"Bukan itu yang mereka kehendaki sebaliknya mereka ingin mengambil alih negara kita secara demokrasi dan ini sebenarnya amaran yang cukup jelas memerlukan orang Melayu bersatu padu," katanya.

Beliau berucap sempena sambutan Hari UMNO ke-67 Peringkat Negeri dan Hari Lahir Ketua Menteri, Datuk Idris Haron yang ke-47 di Seri Bendahara, Ayer Keroh, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abu Seman Yusop, Setiausaha, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim, semua ketua UMNO Bahagian, pemimpin sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Mohd. Ali menyeru orang Melayu bersatu membela kaum Melayu dan menjadikan UMNO parti yang bersederhana dalam menjaga kepentingan semua kaum.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masyarakat Cina menolak dasar 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun bertujuan membina masa depan untuk semua kaum di negara ini.

"Apa yang telah berlaku satu pengajaran yang amat pahit untuk kita semua dan perlu diambil ingatan sepanjang masa," ujarnya.

Kesedaran keselamatan pejalan kaki perlu ditingkatkan

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

SEREMBAN 14 Mei - Sempena Minggu Keselamatan Pejalan Kaki Sedunia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan Program Penguatkuasaan Pengguna Lintasan Belang dan Jejantas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paroi di sini hari ini.

Pengarahnya, Sanusi Abdul Hamid berkata, program bertemakan keselamatan pejalan kaki itu bertujuan mendekati orang ramai bagi menyampaikan mesej peringatan dan keselamatan penggunaan lintasan belang atau jejantas, selain penguatkuasaan serta risiko pengguna lalu lintas.

Beliau berkata, program ini adalah kesinambungan daripada segala program kesedaran keselamatan jalan raya menerusi kempen advokasi keselamatan JKJR yang telah dijalankan sebelum ini dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

''Program hari ini adalah sebahagian daripada inisiatif JKJR bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengutamakan keselamatan di jalan raya.

''Ini adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan jejantas atau lintasan belang ketika melintas jalan raya, khususnya pelajar sekolah ataupun ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak mereka pulang dari sekolah," katanya semasa program berkenaan berlangsung di sini hari ini.

Menurut beliau, tahap kesedaran masyarakat terhadap penggunaan kemudahan ini sudah ada cuma sikap tidak mengambil berat segelintir masyarakat yang membahayakan nyawa mereka sendiri ataupun orang lain.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved