Khamis, 11 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Kota Bharu tidak dipinggirkan

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

Projek Kerajaan Negeri yang dalam proses pembinaan hanya mementingkan keuntungan sehingga menyebabkan golongan menengah dan bawah tidak mampu memilikinya.

KOTA BHARU 10 April - Himpunan lebih 10,000 rakyat Kelantan di pekarangan pejabat UMNO Kelantan di Jalan Tok Hakim di sini pada 15 Februari lalu bukan diadakan sekadar suka-suka.

Jeritan slogan "Tukar" yang bergema memberi mesej kepada Kerajaan Pas Kelantan bahawa rakyat kini sudah bosan duduk di bawah tampuk pemerintahan yang hanya berlandaskan janji-janji kosong semata-mata.

Lagu Membangun Bersama Islam yang dinyanyikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama anak-anak buahnya sejak 23 tahun lalu mungkin masih berkumandang di pentas ceramah Pas, namun liriknya yang sudah biasa didengar tidak lagi mencengkam malah penggemar lagu itu juga dikatakan semakin berkurangan.

Mungkin, slogan itu masih sesuai jika dilihat komposisi masyarakat di Kota Bharu yang lebih 80 peratus adalah kaum Melayu dan beragama Islam manakala selebihnya kaum Cina, Siam dan sedikit masyarakat India.

Dakwaan bahawa Kerajaan Pas Kelantan gagal membawa kemajuan yang nyata kepada negeri ini bukanlah omongan kosong kerana rintihan itu sering diutarakan rakyat dari tahun ke tahun.

Jika ditinjau sekitar Kota Bharu terutama di kawasan perniagaan Wakaf Che Yeh, banyak papan iklan dinaikkan menunjukkan terdapat beberapa projek mega bakal dibangunkan yang harganya boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

Bagaimanapun hakikatnya, di sebalik kemegahan pemimpin Pas mendongak ke langit dengan projek-projek mega itu, mereka lupa bagaimana rakyat bawahan pula masih terus menanti bilakah mereka berpeluang untuk mendapatkan rumah mampu milik.

Fakta telah terbukti bahawa hanya terdapat dua flat rumah mampu milik di daerah ini iaitu Flat Buloh Kubu yang dibina Barisan Nasional (BN) pada tahun 1982 dan Flat Lembah Sireh yang dibina lewat tahun 1980-an.

Seorang penduduk Flat Buloh Kubu, Mahmud Che Soh, 63, berkata, keprihatinan BN membina flat itu telah menyelamatkan keluarganya daripada terpaksa menjadi penyewa seumur hidup.

"Saya tinggal di sini sejak ia siap dibina pada 1982 dan sekarang berkongsi rumah dua bilik ini dengan keluarga anak saya yang sudah berkahwin.

"Saya bersyukur kerana mampu memiliki rumah ini yang dijual pada harga RM24,500 ketika mula-mula dulu tetapi saya tahu ramai lagi anak jati Kota Bharu masih menyewa rumah sehingga sekarang.

"Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah cuba menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi rakyat sebaliknya sekarang mereka menumpukan kepada pembinaan kondominium pula," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Fairose Che Seman, 35, yang merupakan generasi kedua di flat itu mengaku terpaksa berkongsi rumah dengan ibu bapanya kerana kebanyakan rumah yang dijual di daerah ini terlalu mahal.

"Saya berniaga dengan pendapatan yang tidak seberapa jadi memang tidak mampu beli rumah mahal terutama kondominium yang harganya lebih RM100,000.

"Semoga BN dapat memerintah negeri ini kerana pada masa itu nanti pasti lebih banyak rumah akan dibina untuk orang yang berpendapatan sederhana macam saya," katanya.

Selain perumahan, masalah paling asas yang menghantui rakyat adalah ketiadaan air bersih secukupnya yang dibekalkan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) ke seluruh daerah ini.

Jika dilihat jumlah ratusan kedai makan yang ada di negeri ini, mungkin tiada siapa yang percaya berlakunya masalah air dan terpaksa diatasi hasil usaha pemilik kedai yang menggunakan wang sendiri untuk mendapatkan air boring.

Kerajaan Pusat telah menyalurkan sebanyak RM600 juta kepada Kelantan untuk mengatasi masalah tersebut, namun ke mana perginya duit itu masih lagi dalam persoalan.

Banyak demonstrasi dan bantahan telah dilakukan oleh rakyat di bawah naungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pas Kelantan seperti biasa tetap tegar dengan sikap membisu mereka.

Masalah yang dihadapi ini bukanlah tidak ada jalan penyelesaian tetapi segalanya terletak kepada hati rakyat sendiri iaitu mahu atau tidak menukar kerajaan daripada Pas kepada BN.

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke daerah ini baru-baru ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana tujuh janji keramat yang beliau tawarkan adalah apa yang penduduk Kota Bharu mahukan.

Ramai pihak pasti berpandangan sinis dengan janji tersebut kerana dibuat ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin menjelma, tetapi bagi yang berpandangan kritikal, mereka boleh melihat kepada beberapa projek yang telah dijanjikan oleh BN sebelum ini dan telah pun dilaksanakan.

Projek seperti Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong adalah contoh serta komitmen yang dibuktikan BN di daerah ini yang diterajui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

RTC yang dibangunkan dengan kos RM149 juta kini menjadi lubuk rezeki bagi masyarakat di sini yang rata-ratanya berniaga dan setakat ini berjaya mencatatkan urus niaga sebanyak RM20 juta sebulan selepas beroperasi pada 21 Julai 2011.

Bukti ini sepatutnya menjadi pendorong kepada seramai 68,261 pengundi di Parlimen itu untuk memberi kemenangan kepada BN dalam kerusi Parlimen mahupun tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bunut Payong, Kota Lama dan Tanjong Mas dalam PRU-13 nanti.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, kerusi Parlimen Kota Bharu menjadi milik calon Pas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang berjaya memperoleh 32,199 undi berbanding calon BN, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh sebanyak 20,841 undi.

4,000 terima bantuan banjir

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh SAPEE MAT JUNUS
utusanterengganu@utusan.com.my

Sebahagian mangsa banjir menunjukkan isyarat bagus selepas menerima bantuan banjir daripada Ahmad Said di Cukai, Kemaman, baru-baru ini.

KEMAMAN 10 April - Ketika pembangkang mendakwa bantuan yang disalurkan kepada rakyat adalah sekadar untuk meraih sokongan, namun kegembiraan wajah kira-kira 4,000 penerima bantuan mangsa banjir di sini menggambarkan keadaan sebaliknya.

Bagi golongan ini, bantuan yang diterima tersebut merupakan pemberian yang amat bermakna buat mereka dan keluarga masing-masing.

Malah, rata-rata mereka yang ditemui mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang banyak menggerakkan usaha membela rakyat ketika keadaan memerlukan.

Seorang penerima bantuan, Noramalina Ahmad, 47, berkata, dia gembira dengan pendekatan kerajaan dan pemimpin yang sentiasa membantu kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat.

''Bantuan ini dapat ringankan beban keluarga. Lagi pun kerajaan sekarang berkemampuan dan memang patut diberikan kepada rakyat," katanya pada majlis tersebut di sini kelmarin.

Seorang lagi penerima, Kamal Abdullah pula terharu dengan sumbangan yang dihulurkan itu dan berharap kerajaan akan terus menunjukkan komitmen dalam membantu kebajikan rakyat.

"Kami akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa prihatin dan cakna dengan masalah dialami rakyat yang kehilangan banyak harta benda," katanya.

Majlis bantuan kepada penerima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Berucap dalam majlis tersebut, Ahmad berkata, kira-kira 15,000 keluarga di negeri ini yang menjadi mangsa banjir akhir tahun lalu menerima bantuan RM500 bagi setiap keluarga membabitkan peruntukan lebih RM7.5 juta.

''Bantuan ini untuk meringankan beban keluarga dan pada hari ini sahaja seramai lebih 4,000 mangsa banjir yang ditimpa bencana itu pada Disember lalu menerima bantuan berkenaan membabitkan peruntukan RM2 juta,'' katanya.

Sebelum ini, setiap keluarga terbabit telah menerima sumbangan RM500 dari kerajaan Pusat. Ini bermakna setiap keluarga tersebut menerima wang sagu hati berjumlah RM1,000.

''Daerah Kemaman mencatat bilangan mangsa paling ramai. Sehingga ini kita sudah beri wang sagu hati kepada hampir semua mangsa banjir.

''Hanya sebilangan kecil di daerah Kemaman sahaja yang belum terima bantuan dan akan disalurkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Polis Terengganu berkawal di 1,178 saluran mengundi

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

KUALA TERENGGANU 10 April - Bagi melancarkan proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memastikan ketenteraman terpelihara, kira-kira 4,000 anggota polis akan ditempatkan di seluruh negeri ini termasuk di 1,178 saluran mengundi.

Jurucakap Pilihan Raya Kontijen Terengganu, Supritendan Koh Ah Tiam berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi kerana pihak polis akan memantau keselamatan mereka sepanjang tempoh proses itu berlangsung.

Katanya, setiap saluran akan dipantau sekurang-kurangnya seorang pegawai berpangkat inspektor mengikut zon masing-masing.

"Kita nasihatkan orang ramai agar tidak takut keluar mengundi dan jika mereka diugut atau dikasari, perlu membuat laporan kepada polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pegawai dan anggota polis turut akan ditempatkan di 63 kawasan panas sepanjang tempoh pilihan raya umum berlangsung bagi mengawal keadaan berkemungkinan berlaku provokasi penyokong.

Beliau turut mengingatkan penganjur ceramah agar menghantar notis lebih awal iaitu 10 hari sebelum berceramah kepada Ketua Polis daerah untuk membolehkan syarat-syarat dipatuhi.

"Sebelum ini, kita telah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil parti untuk memaklumkan peraturan ketika pilihan raya dan saya harap mereka mengikuti arahan dikeluarkan seperti tidak memasang bendera di kawasan tidak dibenarkan selain tidak boleh menggunakan perkataan berbaur hasutan pada poster-poster.

"Kita juga telah kenal pasti beberapa kes penganjuran ceramah tanpa kebenaran di sesetengah kawasan dan kita harap selepas ini tiada lagi kes yang dilaporkan kerana mereka boleh dikenakan tindakan," tegasnya.

Sementara itu, beliau menambah, sejak Parlimen dibubarkan pada 3 April lalu, hanya tiga kes berkaitan individu mengoyak bendera dan membuat kacau dilaporkan berlaku di negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved