Selasa, 2 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Rakyat, pencapaian menjadi tunjang

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh Noraini Razak

HARI ini empat tahun lalu, bertempat di Balairong Seri Istana Negara di Jalan Istana, Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

Tradisi yang bermula dengan transisi kuasa dari Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib berlangsung penuh tertib menandakan amanah rakyat tergalas di bawah pucuk kepimpinan baru.

Dengan restu ibu, Toh Puan Rahah Mohd. Noah, sokongan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan kaum keluarga serta dokongan rakyat jelata, Najib mencorakkan gaya kepimpinan 1Malaysia dan agenda transformasi sebagai landasan untuk membangunkan negara, paling penting memastikan keharmonian penduduk berbilang kaum terus terpelihara.

Meneliti corak kepimpinan Najib, ternyata beliau menjadikan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai idola. Tentunya sebagai anak, Najib lebih mengenali bapanya yang bertanggungjawab membawa beliau melangkah ke dunia politik.

Sebab itu sebaik dilantik Perdana Menteri, tumpuan pertama Najib adalah menyatukan rakyat negara ini di bawah Gagasan 1Malaysia sebagaimana Tun Razak menjadikan perpaduan kaum sebagai teras utama pentadbirannya.

Biar pun suasana politik Malaysia tidak segawat ketika Tun Razak mengambil alih pucuk kepimpinan negara, namun persamaan masalah yang dihadapi oleh Najib dan Razak mengheret mereka kepada pendekatan yang seakan serupa.

Tragedi 13 Mei 1969 menuntut kerja keras di pihak Razak melaksanakan pelbagai langkah untuk mengembalikan kepercayaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum yang telah tercalar akibat rusuhan kaum.

Bagi Najib pula, Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga serta laungan pergerakan hak asasi manusia menjadikan cabaran awal dalam memulakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga dengan keluhan-keluhan rakyat supaya kerajaan memberi keutamaan kepada usaha menangani permasalahan mereka sehingga melahirkan Gagasan 1Malaysia serta agenda Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Untuk merealisasikan agenda tersebut Najib percaya kepada perubahan ke arah kebaikan. Bagi Najib hanya dengan adanya anjakan atau perubahan, maka agenda rakyat didahulukan boleh dilaksanakan. Hanya dengan perubahan, setiap dasar atau program yang dirancang oleh kerajaan boleh dinilai pencapaiannya.

Untuk itu Perdana Menteri menggunakan pendekatan transformasi yang mencakupi setiap dasar, program atau apa sahaja yang diperkenalkan dalam proses membangunkan negara. Agenda transformasi ekonomi, sosial malah di peringkat pembangunan insan juga menuntut perubahan lantaran cabaran yang perlu dilalui bukan sedikit.

Dengan label 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan Najib bergerak memintas segala rintangan dan cubaan untuk memendekkan perjalanannya. Beliau percaya hanya dengan mendekati rakyat dan memenuhi keperluan mereka, barulah negara dapat dibangunkan.

Sokongan rakyat adalah tunjang, justeru setiap perancangan mesti mengambil kira pandangan rakyat. Lebih penting lagi setiap dasar atau program yang mahu dilaksanakan adalah untuk dinikmati oleh rakyat.

Pendekatan Najib mudah diterima. Biar pun ada penggunaan istilah yang agak jarang kedengaran dalam kalangan rakyat seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), namun hasil yang dinikmati sepanjang empat tahun beliau menjadi peneraju kepimpinan negara adalah lebih penting. Rakyat dapat melihat pesatnya negara membangun, rakyat dapat menikmati limpahan pembangunan, malah rakyat yang menjadi menjadi jantung dasar-dasar kerajaan sehingga kini bersyukur kerana nadi Malaysia masih berdenyut.

Transformasi NKRA dipastikan tidak sekadar indah di atas kertas dan bukannya terhad kepada bidang tertentu sahaja. NKRA adalah untuk teras pembangunan fizikal dan rohani, sebab itu fokus Najib menyeluruh - dari pendidikan menjangkau kepada keselamatan. Pendek kata Perdana Menteri meletakkan semua bidang sama rata kepentingannya, apatah lagi setiap bidang saling kait mengait antara satu lain.

Untuk memastikan setiap dasar mencapai matlamat, Najib turut memperkenalkan kad laporan untuk mengukur sejauh mana dan di peringkat mana kementerian-kementerian yang bertanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Jika pencapaian murid luar bandar menjadi agenda dalam NKRA pendidikan, apakah langkah-langkah yang digerakkan dan berjayakan mutu pendidikan penduduk pedalaman ditambah baik? Jika kadar jenayah mahu dikurangkan maka apakah usaha Kementerian Dalam Negeri dan berapa peratus kejayaan susulan usaha tersebut?

Yang Najib mahu bukan sekadar rumusan jawapan dalam buku kad laporan tetapi keberkesanan langkah-langkah yang dilaksanakan dapat dirasai oleh rakyat. Tidak ada gunanya jika setiap kementerian mempersembahkan angka dan graf menaik tetapi rakyat masih merungut takut untuk keluar rumah, keputusan peperiksaan luar bandar tetap mendukacitakan atau harga barangan terus melambung sehingga mengganggu perjalanan hidup rakyat seharian.

Oleh kerana tunjang kepimpinan Najib adalah rakyat dan pencapaian maka tiada ruang untuk mana-mana pihak berlenggang kangkung atau syok sendiri dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan di bahu mereka. Transformasi undang-undang turut dilangsungkan oleh Najib sebagai membuktikan kerajaan tidak mencengkam rakyat sewenang-wenangnya. Undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)) dimansuhkan.

Biar pun ada yang mengkategorikan Najib berdarah bangsawan, mendapat pendidikan di luar negara selain tidak didedahkan dengan keperitan di peringkat awal kehidupannya, namun memikul tugas sebagai pentadbir dan mengharungi cabaran politik pada usia muda menjadikan Najib pemimpin berbeza.

Pendekatannya meluas dan pelbagai. Peka dengan desakan hidup golongan berpendapatan rendah, Najib memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Beliau mungkin tidak pernah susah, tetapi bergelumang dengan rakyat sepanjang lebih 30 tahun merentasi jatuh bangun dunia politik, tentunya mendorong Najib untuk memperkenalkan bantuan tersebut.

Di sebalik cemuhan pihak tertentu kononnya BR1M bertujuan memancing undi, Perdana Menteri tidak menoleh ke belakang. BR1M diteruskan luahan rasa rakyat yang menyenangi pemberian tersebut bagi meringankan beban hidup mereka. Begitu dengan bantuan persekolahan, bantuan baucer buku, bantuan untuk belia dan pelbagai lagi yang kesemuanya bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat di pelbagai peringkat usia.

Paling penting setiap kali turun padang penting setiap kali turun padang, rakyat menerima Najib. Golongan tua menyenangi beliau, begitu juga orang muda, wanita tidak terkecuali - segalanya disebabkan oleh dasar beliau yang mengangkat setiap golongan ke paras yang sepatutnya.

Beliau tidak teragak-agak makan semeja dengan rakyat, singgah bersarapan tanpa dijangka, malah menguji kemahiran bermain congkak tanpa ada rasa kekok biar pun terpaksa bersila. Begitu juga dengan penggunaan media baharu. Rakan facebook Najib mencecah sejuta orang, manakala pengikut Twitternya mencapai angka luar jangka. Tidak sekadar bertemu di alam maya, siri perjumpaan dengan rakan Facebook disusun dan pertemuan dilangsungkan dalam suasana santai menjadikan beliau pemimpin popular.

Di arena antarabangsa, Najib umpama moderator. Selain siri lawatan rasmi ke pelbagai negara serta penyertaan persidangan, forum atau dialog, peranan Perdana Menteri dalam misi damai negara jiran sememangnya menyerlah. Pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan Malaysia menjadi orang tengahnya satu contoh kejayaan serta pengiktirafan kepimpinan Najib oleh negara luar. Bukan sekadar menjadi pihak ketiga untuk merealisasikan perjanjian, peranan Malaysia dituntut lebih daripada itu. Pemerintah Filipina mahu Malaysia mengambil bahagian dalam pembangunan insan di selatan negara itu.

Begitu juga pergolakan di Selatan Thailand yang menyaksikan kejayaan Malaysia di bawah teraju Najib menjadi penganjur dialog keamanan antara kerajaan negara Gajah Putih itu dengan kumpulan pemisah. Usaha yang tidak melibatkan campur tangan secara langsung itu dilaksanakan bagi menamatkan konflik di Selatan Thai yang dilihat tidak berpenghujung tanpa ada kerjasama negara jiran Malaysia. Sebagai pemimpin yang cintakan kedamaian, keprihatinan Najib tidak terhenti di sekitar negara jiran. Lawatannya ke Gaza, Palestin mencatat sejarah tersendiri apabila beliau menjadi satu-satunya pemimpin bukan dari negara Arab yang menjejakkan kaki di tanah bumi Anbiya di sebalik kekejaman rejim Zionis yang meranapkan negara Palestin dan membunuh penduduknya.

Empat tahun sebagai Perdana Menteri tentunya tempoh yang singkat bagi Najib. Masih banyak agenda belum dapat disempurnakan biar pun paras penilaian sepanjang penggal pertama kepimpinannya adalah positif. Najib mahu graf pencapaian dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri ke-6 melekat di hati dan naluri rakyat.

Kehendaknya supaya agenda rakyat menjadi keutamaan, manakala pencapaian negara dibuktikan dan tentunya pada akhirnya masyarakat antarabangsa akan memberikan pengiktirafan. Segala-galanya mesti berjalan seiring. Berpaksikan Gagasan 1Malaysia, Najib membuka ruang untuk mendekati semua kaum. Segala kekangan yang dilihat seakan menjarakkan hubungan sesama kaum seboleh mungkin diselesaikan.

Genap empat tahun Najib dilantik Perdana Menteri, bermakna jangka hayat kedudukan beliau juga menunggu untuk diuji dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Bahang menjadi calon semakin terasa

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Zulkiflee Bakar

SEJAK Selasa lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN negeri dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

Pertemuan itu bertujuan bagi membincangkan senarai calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketika pertemuan di Putrajaya yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berlangsung suasana penuh ketenangan di peringkat bahagian-bahagian pula senario berbeza.

Difahamkan di sesetengah negeri sudah ada ketua bahagian dan pemimpin tertentu yang berada bagai cacing kepanasan, mereka terlalu mengharapkan menjadi calon biar pun hakikatnya sudah ditolak oleh rakyat.

Seorang ahli UMNO yang disebut-sebut bakal bertanding kerusi Parlimen di sebuah kawasan di utara telah dipanggil oleh ketua bahagian UMNO di kawasan berkenaan.

Di hadapan penyokong-penyokong ahli UMNO itu, beliau telah dikecam oleh ketua bahagian tersebut dengan pelbagai tuduhan termasuklah dianggap tidak layak bertanding kerana tidak setaraf dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Mashitah Ibrahim.

Saya rasa terhina kerana sepatutnya dia cermin diri dia dulu apakah dia layak untuk bertanding sedangkan dia hanya muncul apabila pilihan raya hendak diadakan, kata ahli UMNO itu ketika menghubungi penulis meluahkan perasaannya.

Walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam bahagian namun ahli UMNO ini yang juga seorang ahli perniagaan begitu aktif membantu penduduk kawasan tersebut sejak 15 tahun lalu.

Sebagai anak tempatan, ahli UMNO ini tidak mahu melihat kawasan kelahirannya ketinggalan berbanding kawasan lain, sebab itulah beliau sedia menabur bakti.

Mungkin merasakan kedudukannya semakin tergugat berikutan populariti ahli UMNO ini maka ketua bahagian tersebut melancarkan serangan seumpama itu.

Penulis diberitahu oleh sumber beberapa agensi, kalau ketua bahagian berkenaan bertanding di kawasan itu, beliau pasti akan kalah kerana rakyat telah menolaknya.

Tambahan pula beliau jarang sekali berada di kawasan hanya baru-baru ini sahaja muncul semula kerana pilihan raya sudah dekat.

Kalau beliau dipilih sudah pastilah ini tidak adil kepada individu-individu lain termasuk ahli UMNO berkenaan yang telah bekerja mendampingi rakyat bagi memulihkan keyakinan kepada Barisan Nasional sejak berbelas-belas tahun lagi, kata satu sumber agensi kepada penulis.

Apa yang dipaparkan hanya contoh kecil bagaimana masih ada ketua bahagian yang merasakan hanya mereka sahaja yang layak atau calon boleh menang. Sedangkan semua orang tahu sesetengah ketua bahagian kalau diumumkan nama pun sudah kalah.

Bagaimanapun menurut sumber, kali ini pucuk pimpinan parti benar-benar bertegas dalam soal pemilihan calon, mana-mana pemimpin di peringkat bahagian yang difikirkan hanya mengundang kekalahan kepada parti kalau bertanding tidak akan dicalonkan.

Pucuk pimpinan terpaksa mengambil risiko termasuk mungkin berlakunya sabotaj atau cah keting tetapi pucuk pimpinan tidak ada pilihan kerana PRU-13 adalah penentu kepada survival bangsa, agama dan negara.

Apa yang penting, calon itu diterima oleh rakyat kerana yang akan mengundi bukan orang UMNO atau BN sahaja tetapi pengundi atas pagar, kata satu sumber kepada penulis.

Justeru sumber itu berkata, adalah wajar jika pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian yang tidak terpilih bersikap terbuka dalam soal ini. Begitu juga mereka yang pernah tewas atau menang tipis dalam pilihan raya umum lalu.

Kalau nama tidak disenaraikan janganlah kecewa sangat, kalau betul berjuang untuk parti dan bukan kepentingan peribadi maka akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan.

Tidak perlu mengamuk atau melakukan tindak balas yang bukan-bukan, buat apa kalau bertanding jika parti kalah, soal kita calon boleh menang atau tidak bukan kita yang tentukan tetapi rakyat, kata sumber itu lagi.

Apa pun sumber itu percaya pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan yang sebaik-baiknya terutama dalam memastikan lebih ramai muka baru ditonjolkan sebagai calon dalam pilihan raya kali ini.

Senario politik sudah berubah, kita tidak boleh bergantung kepada muka-muka lama yang ada sesetengahnya rakyat di kawasannya sudah muak melihatnya.

Mereka mahu melihat calon muka baru terutama di negeri-negeri yang dianggap kritikal seperti di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

Tidak boleh lagi muka yang sama sahaja sedangkan rakyat sudah memberikan isyarat mereka dalam pilihan raya umum lalu dengan menolak pemimpin-pemimpin ini, kata sumber itu lagi.

Sememangnya, untuk menentukan siapa yang bakal bertanding bukanlah satu tugas yang mudah, apatah lagi kalau ada pemimpin yang menganggap diri mereka warlord.

Namun begitu, ia tidak bermakna pucuk pimpinan perlu melayan nafsu politik kelompok seumpama itu yang tidak pernah berasa puas dengan apa yang mereka nikmati selama ini.

PRU-13 adalah amat penting untuk UMNO dan BN, berdasarkan tinjauan penulis di beberapa negeri sebelum ini adalah jelas sokongan rakyat kepada parti itu termasuk di negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang semakin meningkat.

Kaji selidik yang dilakukan oleh beberapa agensi jelas menunjukkan BN mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali negeri-negeri tersebut.

Namun seperti diduga senarai calon akan menjadi penentu utama sama ada sokongan rakyat itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi atau tidak.

Rakyat sedang menentukan siapa calon yang akan diletakkan oleh UMNO dan BN, kalau calon itu bersesuaian dengan kehendak mereka sudah pasti sokongan akan diberikan.

Jadi yang akan jadi penentu sama ada calon itu boleh menang atau tidak adalah rakyat. Sebab itulah dalam soal ini kepimpinan di peringkat negeri perlu memberikan laporan yang telus berhubung sesuatu calon.

Kalau seseorang pemimpin itu sememangnya sudah tidak sesuai lagi bertanding, maka gugurkan sahaja daripada senarai. Jangan kerana hendak menjaga hati, yang terkorban adalah parti, kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis.

Justeru kepada sesetengah ketua bahagian termasuk yang bersedia melakukan tohmahan dan melakukan tekanan kepada pesaingnya untuk menjadi calon, cukup-cukuplah berpolitik.

Terimalah hakikat, belajar mencerminkan diri dan bersedia menerima kenyataan kalau sudah tidak lagi dikehendaki oleh rakyat.

Akurlah kepada apa juga keputusan pucuk pimpinan parti kerana sudah pasti keputusan yang dibuat bukan demi kepentingan individu berkenaan tetapi demi kelangsungan perjuangan bangsa, agama dan negara.

Ia memandangkan PRU-13 adalah pertembungan antara BN dengan kelompok yang semakin rakus berkuasa. Janganlah keghairahan hendak menjadi calon menyebabkan kita juga akan dikategorikan seperti mereka!

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved