Ahad, 21 April 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Biasiswa Mahathir bantu pelajar miskin

Posted: 21 Apr 2013 11:40 AM PDT

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my

Syed Ali Al-Habshee (tiga dari kanan) meninjau proses pembelajaran di makmal komputer Kolej Teknologi YPC IT-WEB di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kolej Teknologi YPC IT-WEB memperkenal Biasiswa Tun Mahathir-Yayasan Pendidikan Cheras (YPC)) dengan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mengikuti Kursus Foundation selama setahun di kolej itu.

Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, golongan pelajar yang berpendapatan rendah diberi keutamaan untuk menerima biasiswa tersebut dan mesti mempunyai lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

"Kita memilih nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada nama biasiswa YPC ini kerana menghargai sumbangan beliau dalam pembangunan pendidikan dan pencapaian cemerlangnya sepanjang memimpin negara suatu ketika dulu,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kolej itu di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain biasiswa ini, menepati moto sebagai peneraju pendidikan yang berkualiti dengan yuran pengajian yang mampu dibayar, Kolej Teknologi YPC IT-WEB turut menawarkan Biasiswa Utusan Malaysia-YPC.

Setakat ini, bilangan pelajar di kolej berkenaan mencapai jumlah sebanyaki 1,600 orang.

Kolej ini menawarkan empat kursus di peringkat diploma iaitu Diploma In Business and Information Technology (IT), Diploma In Accounting, Diploma In Business Management dan Diploma In Creative Multimedia.

Kemudahan canggih yang disediakan di kampus Kolej YPC antaranya termasuklah dewan kuliah berhawa dingin dilengkapi skrin projektor, perpustakaan yang boleh memuatkan 500 pelajar, makmal komputer, makmal animasi digital, dewan seminar dan kemudahan jalur lebar.

Syed Ali menjelaskan, YPC membiayai 100 peratus biasiswa penuh serta menyediakan dua Kursus Foundation di bawah biasiswa ini iaitu Foundation In Business dan Foundation In IT.

''Jika pelajar melanjutkan pengajian mereka di kolej swasta lain, kos yuran Kursus Foundation adalah antara RM8,000 hingga RM30,000 tetapi di Kolej Teknologi YPC IT-WEB, pemberian biasiswa ini menjadikan yuran adalah percuma.

"Jadi, biasiswa yang diberi amat menjimatkan ibu bapa dan perbelanjaan sekiranya anak mereka melanjutkan pengajian di kolej ini.

"Biasiswa ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial YPC kepada masyarakat,'' jelas beliau.

Selepas pelajar lulus Kursus Foundation, kata Syed Ali, mereka boleh menyambung pengajian di peringkat ijazah di kolej YPC melalui kursus berkembar Liverpool John Moores University (LJMU) United Kingdom.

"Empat pengajian ditawarkan iaitu e-business Technology, IT Multimedia, Pengurusan Perniagaan dan Akaun serta kewangan," ujarnya.

LJMU merupakan universiti yang berada pada ranking 'Top 100' bagi kategori universiti 50 tahun ke bawah mengikut The Times Higher Education World University Ranking.

Hal ini, tegasnya, bersesuaian dengan kedudukan Kolej YPC yang menawarkan yuran berpatutan, universiti yang diiktiraf di samping menawarkan kursus yang mempunyai nilai serta menepati keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Mural patriotik untuk Wira Lahad Datu

Posted: 21 Apr 2013 11:40 AM PDT

Tan Kok Eng meggecat pada lukisan dinding dalam Majlis Perasmian Mural Patriotik SK Bandar Tasik Selatan sambil disaksikan, Zulkaunan Mohamed di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BAGI melonjakkan rasa cinta dan semangat patriotik di kalangan murid, sekumpulan ibu bapa serta guru Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan (SKBTS) mengambil inisiatif menghasilkan mural patriotik tiga dimensi (3D) di pekarangan sekolah tersebut di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gambaran idea mural patriotik itu diambil daripada insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, yang telah mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan negara kita.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah itu, Zulkaunan Mohamed berkata, penghasilan mural patriotik selama dua minggu itu bertujuan mengajar murid betapa pentingnya sebagai seorang rakyat untuk mempertahan negara daripada diceroboh.

''Usaha menghasilkan mural patriotik ini diperkenalkan oleh ibu bapa murid.

"Mereka bekerjasama dan sukarela melukisnya secara percuma untuk pihak sekolah,'' katanya. ketika ditemui Utusan Malaysia dalam majlis perasmian mural Cintakan Negara di sekolah itu baru-baru ini.

Majlis perasmian mural Cintakan Negara itu disempurnakan calon Barisan Nasional (BN) Bandar Tun Razak, Tan Kok Eng yang secara simbolik mencalit cat merah bagi melengkapkan lakaran mural berkenaan pada dinding sekolah tersebut.

Menurut Zulkaunan, melalui usaha itu diharap dapat memberi kesedaran kepada murid untuk menghargai jasa anggota tentera dan polis sehingga ada yang terkorban nyawa dalam peristiwa Lahad Datu.

Sementara itu, murid tahun enam, Nor Raudah Rahmat memberitahu, dia amat kagum dengan lukisan mural patriotik yang dihasilkan dan berazam untuk terlibat dengan projek itu pada masa terdekat ini.

Bagi Anis Farhana Ismail, 11, dia berhasrat untuk menghasilkan idea mural patriotik yang lebih 'hidup' daripada mural sedia ada agar dapat menghasilkan impak berkesan kepada semua murid.

Rakannya, Alifah Iliana Aiman, 10, pula melahirkan rasa bangga dan bertuah menjadi warga SK Bandar Tasik Selatan kerana bangunan sekolah memaparkan mural patriotik yang pastinya menarik tumpuan pengunjung luar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved