Isnin, 22 April 2013

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


VCM tawar pilihan R-Design, Polestar

Posted: 21 Apr 2013 11:40 AM PDT

oleh FAIRUS KASSIM
ekonomi@utusan.com.my

Volvo S60 baharu masih mengekalkan imej lamanya.

Kereta buatan Sweden iaitu Volvo terkenal dengan pelbagai teknologi keselamatan terkini dan eksklusif yang diterapkan dalam model-model keluarannya sehinggakan digelar kereta paling selamat di dunia.

Bagi pasaran Malaysia, Volvo bukanlah jenama pilihan utama dari Eropah namun kualitinya cukup kuat untuk merantai hati peminatnya untuk tidak beralih ke jenama lain.

Sehubungan itu, Volvo Car Malaysia (VCM) telah memperkenalkan tiga model kereta yang dipertingkatkan iaitu sedan S60, utiliti sukan (SUV) XC60 dan wagon V60 dengan promosi lima tahun jaminan serta servis percuma (setiap 20,000 km).

Baru-baru ini penulis berpeluang memandu uji model S60 T5 edisi 2013 dengan beberapa penambahbaikan pada sistem keselamatan dan aksesori baharu diperkenalkan.

Penulis pernah memandu S60 T5 versi 2012 sebelum ini dan secara kasarnya tiada perubahan besar pada reka bentuk luaran dan dalaman model ini.

Reka bentuk S60 memang antara terbaik yang dihasilkan Volvo dan atas faktor itulah model ini menjadi model paling laris di pasaran Malaysia iaitu hampir 50 peratus daripada jualan keseluruhan VCM.

VCM telah menawarkan dua pilihan untuk menaiktaraf S60 ini iaitu R-Design dan Polestar.

R-Design melibatkan aksesori luaran dan dalaman kereta yang lebih sporty manakala Polestar melibatkan penyelarasan enjin dengan meningkatkan keupayaannya daripada 304hp kepada 329hp manakala kuasa kilas ditingkatkan daripada 440Nm kepada 480Nm.

S60 T5 baharu menggunakan kunci dengan sistem bebas kekunci (keyless) iaitu salah satu aksesori standard yang perlu ada pada setiap kereta mewah, berbanding kunci biasa pada model tahun lalu.

Apabila masuk sahaja ke dalam kereta ini, mata pasti tertumpu pada tombol gear baharu yang agak unik iaitu berbentuk lutsinar dan memancarkan cahaya apabila sistem lampu kereta dihidupkan.

Tiada perubahan ketara dilakukan Volvo untuk kemasan dalaman dengan kerusi elektrik, kemasan kulit dengan dua warna kontra, papan pemuka yang ringkas dan sistem radio kali ini menggunakan teknologi dalaman berbanding Arkamys sebelum ini.

Kereta ini dilengkapi dengan lampu automatik tetapi masih kekurangan satu lagi aksesori standard kereta mewah iaitu pengelap cermin automatik.

Melihat kepada aspek keselamatan baharu yang menjadi taruhan S60 adalah sistem amaran apabila kereta bertukar ke lorong.

Sistem ini membantu ketika pemandu mungkin tertidur atau pemandu yang kurang yakin ketika memandu. Bunyi amarannya sangat jelas dan sistem ini boleh dimatikan.

Volvo masih mengekalkan sistem keselamatan lain seperti amaran jarak kenderaan hadapan, brek automatik jika berisiko pelanggaran, pengesan titik buta di kiri dan kanan pemandu dan kawalan cruise (ACC) yang membolehkan S60 mengikut kelajuan kereta hadapan secara automatik tanpa kawalan pedal minyak.

Daripada segi pemanduan pula, S60 standard tidak mempunyai sebarang perubahan berbanding model sebelum ini, masih mengekalkan ciri-ciri pemanduan yang santai dan selesa.

S60 merupakan kereta yang sangat selesa dipandu untuk perjalanan jauh berikutan sistem penyerap hentak yang tidak terlalu keras dan kuasa enjin yang lancar tanpa sebarang sengguk apabila pedal minyak dilepaskan selepas memecut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved