Isnin, 1 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Layak terima bantuan

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

SHAHARUDDIN Md. Salleh (kiri) menyerahkan sumbangan kepada nelayan sambil diperhatikan oleh Abdul Hamid Mohd. Yassin (tengah) di Jeti Pekan Panchor. Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 31 Mac - Seramai 1,035 nelayan sungai di Johor diminta mendaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan membuat permohonan lesen menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan negeri bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan.

Pengarah Perikanan negeri, Abdul Hamid Mohd. Yasin berkata, terdapat pelbagai kemudahan kerajaan untuk nelayan meliputi bantuan elaun sara hidup RM200 sebulan, subsidi minyak diesel dan bantuan membaiki rumah.

"Bantuan tersebut sebelum ini hanya dinikmati oleh nelayan laut dan kita mahu nelayan sungai turut sama memperoleh faedah daripada kemudahan yang disediakan.

"Mereka (nelayan sungai) perlu turun ke sungai sekurang-kurangnya 25 hari dalam sebulan sebagai syarat kelayakan untuk mendapatkan lesen tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas program pelepasan benih ikan ke perairan umum di Jeti Pekan Panchor di sini.

Sebanyak 40,000 benih ikan lampam sungai dan 20,000 benih ikan baung dilepaskan ke dalam Sungai Muar di Panchor yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Saharuddin Md. Salleh.

Beliau berkata, menerusi bantuan tersebut nelayan dapat meningkatkan taraf hidup apabila memperolehi hasil tangkap lebih banyak melalui kegiatan tangkapan yang lebih serius.

Abdul Hamid memberitahu, di Muar termasuk Pagoh terdapat 135 nelayan sungai tetapi pihaknya mengenal pasti hanya 51 daripadanya yang sudah mendaftar dan memiliki lesen menangkap ikan.

"Purata pendapatan nelayan sungai ialah sekitar RM1,500 sebulan dan kebanyakan daripada mereka mempunyai pekerjaan lain bagi menampung hidup jika tidak turun ke sungai pada musim tengkujuh," katanya.

Katanya, lebih 90 peratus nelayan sungai terdiri daripada orang Melayu berbanding dengan nelayan laut yang didominasi oleh kaum Cina.

Komputer riba 1Malaysia untuk penduduk, NGO Tenggara

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

KOTA TINGGI 31 Mac - Sebanyak 389 penduduk termasuk 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Tenggara menerima bantuan komputer riba 1Malaysia bagi menggalakkan mereka memanfaatkan dunia teknologi maklumat dalam satu majlis di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang menyifatkan pemberian tersebut sebagai kesinambungan daripada bantuan sebelum ini yang melibatkan kira-kira 1,600 orang yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

"Saya berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan bukannya disalahgunakan. Pemberian bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

"Para penerima juga diingatkan supaya tidak melayari laman-laman web negatif seperti lucah dan menabur fitnah di alam maya. Pemberian komputer ini dilaksanakan secara berperingkat kepada mereka yang layak tanpa sebarang unsur pilih kasih," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Yang turut hadir Penghulu Mukim Ulu Sungai Johor, Zainuddin Zainal Abidin dan Pegawai Penyelaras Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Tenggara, Latifah Saidin.

Sementara itu, penerima orang kurang upaya (OKU), Liong Chi Ung, 35, berkata, dia tidak sabar untuk mencuba komputer tersebut memandangkan ini adalah yang pertama dimilikinya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved