Khamis, 4 April 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Dua ditahan miliki dadah 57kg

Posted: 04 Apr 2013 12:56 PM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (dua dari kiri) melihat tempat dadah disorok dalam kereta mewah selepas sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. - utusan/Baazlan Ibrahim

JOHOR BAHRU 4 April - Polis merampas dadah seberat 57 kilogram (kg), menyita sebuah banglo dan tiga kereta mewah bernilai RM4.73 juta selepas memberkas dua anggota sindiket pengedaran dadah termasuk seorang wanita dalam dua serbuan berasingan di Permas Jaya di sini baru-baru ini.

Suspek pertama iaitu seorang lelaki warga Indonesia berusia 60 tahun ditangkap di sebuah rumah pada pukul 6.20 petang, 26 Mac lalu, manakala seorang wanita tempatan berusia 28 tahun ditahan keesokan harinya di sebuah kondominium.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan pertama itu, polis merampas sebuah mesin mencetak pil dan pelbagai peralatan digunakan untuk memproses dadah.

Beliau berkata, turut dirampas ialah pelbagai serbuk dipercayai dadah jenis ekstasi, syabu, ketamin dan kafein seberat 54.8 kg.

"Dalam serbuan itu, polis juga menyita sebuah kereta mewah jenis Porche.

"Siasatan terhadap lelaki warga emas itu mendapati, suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan positif dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, hasil maklumat lanjut daripada lelaki yang ditahan, polis kemudian menyerbu seunit kondominium di kawasan sama pada pukul 1.50 pagi keesokannya dan memberkas seorang suspek kedua.

Beliau berkata, pemeriksaan di kediaman terbabit menemukan pil ekstasi seberat 2.48 kg dan enam biji pil eramin 5.

Katanya, polis turut menyita dua kereta jenis Honda City dan Peugeot 508 daripada wanita berkenaan.

"Keseluruhan dadah yang dirampas mampu memberi bekalan kepada 287,400 penagih.

"Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut terutama bagi mengetahui dari mana mereka mendapatkan sumber bekalan dadah yang banyak itu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 32 ADB (Perlucuthakan Harta) 1988.

Remaja maut, adik parah nahas motosikal, lori

Posted: 04 Apr 2013 12:56 PM PDT

ALOR SETAR 4 April - Seorang remaja perempuan terbunuh manakala adik lelakinya parah selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah lori tanah gara-gara cuba mengelak sebatang pokok getah yang tumbang di Jalan Syed Ahmad, Bukit Perak, Pendang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa, Nor Hasnita Abu Hasan, 18, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd. Afiz Izani Abu Hasan, 13, patah kaki kanan selepas tercampak kira-kira dua meter.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Mohd. Izzuddin Inusmeah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal dinaiki dua beradik itu cuba mengelak daripada melanggar sebatang pokok getah yang tumbang di laluan mereka.

Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tanah.

"Mayat Nor Hasnita ditemukan di hadapan lori manakala motosikalnya terperosok di bawah lori berkenaan," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Difahamkan, pemandu lori yang merempuh motosikal mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosni Zainul, 52, ketika ditemui berkata, dia rebah sebaik sahaja mendengar berita mengenai kemalangan yang menimpa dua anaknya itu.

"Nor Hasnita hanya mendiamkan diri pagi ini sebelum keluar rumah tetapi adiknya yang membonceng di belakang melambai tangan sehingga jauh meninggalkan kami.

"Selalu sebelum mereka keluar dari rumah saya akan pesan supaya bawa motosikal dengan berhati-hati. Tak sangka mereka terlibat dalam kemalangan hari ini," katanya.

Rosni berkata, Nor Hasnita sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan setelah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Katanya, jenazah Nor Hasnita dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad di sini hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved