Ahad, 31 Mac 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Pas diminta tunai janji lama

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

MUSTAPA Mohamed (kanan) beramah mesra dengan orang ramai sempena Karnival Pengajian Tinggi Negara Tahun 2013 Kali Kesembilan di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 30 Mac - Kerajaan Pas Kelantan diingatkan supaya menunaikan janji mereka dengan melaksanakan setiap projek dilancarkan, bukan hanya ghairah melakukan majlis pecah tanah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau menjangkakan lebih banyak gimik majlis pecah tanah projek pembangunan akan dilakukan Pas Kelantan menjelang pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata, rakyat Kelantan harus sedar bahawa kerajaan Pas tidak mampu melaksanakan projek dijanjikan kerana sebelum ini telah banyak majlis pecah tanah dan peletakan batu asas projek dilaksanakan.

Sebagai contoh, projek pembinaan Jambatan Palekbang, masjid baharu, stadium tertutup untuk wanita, AFTA City dan pelabuhan darat yang sehingga kini terus menjadi tanda tanya rakyat.

"Yang penting janji ditepati, kita tak mahu macam di Selangor janji macam-macam, air percuma, bantuan ibu tunggal, tadika, tapi tak ditepati, janji ini mesti ditepati," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi 2013 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar.

Mustapa diminta mengulas keghairahan kerajaan Pas Kelantan sejak akhir-akhir ini melancarkan pelbagai jenis projek pembangunan, terbaharu pembinaan stadium di Pasir Puteh.

Mengulas lanjut, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, cadangan kerajaan Pas untuk membina stadium baharu adalah baik kerana bakal memberi manfaat buat rakyat Kelantan.

Bagaimanapun katanya, rekod lampau kerajaan Pas yang hanya ghairah melakukan majlis pecah tanah dan meletakkan batu asas menimbulkan persoalan keupayaan mereka melaksanakan projek dijanjikan.

"Kita harap ini dapat dilaksanakan, kita tak ada masalah (kalau) buat lagi bagus, tapi kita (Barisan Nasional) tetap, janji kita ditepati, kita nak buat stadium kita akan laksanakannya.

"Kita akan teruskan rancangan untuk melaksanakan tujuh projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Tujuh projek dijanjikan itu ialah pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, pembinaan stadium, 3,000 unit perumahan rakyat, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM), sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, membina masjid ikon dan menyelesaikan masalah bekalan air bersih.

Kerajaan terus bela golongan peniaga, penjaja kecil

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

KOTA BHARU 30 Mac - Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memastikan golongan peniaga dan penjaja kecil di negara ini tidak diabaikan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan dan pinjaman kepada peniaga-peniaga ini bagi menjalan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, antara pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan ialah Skim Pembiayaan Mikro Tanpa Faedah membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

"Peruntukan ini semua adalah untuk memberi kemudahan kepada peniaga kecil ini membuat pinjaman bagi menambah modal perniagaan dan mengembangkan perniagaaan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu peringkat negeri ini di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha dan kira-kira 2,000 warga peniaga dan penjaja kecil.

Pada majlis itu, Awang Adek turut menyampaikan Polisi Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (PIMPIN) kepada setiap wakil peniaga dan penjaja seluruh negeri ini.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, selain skim pembiayaan mikro, kerajaan juga telah menyediakan skim insurans berkelompok peniaga dan penjaja kecil melibatkan peruntukan sebanyak RM16 juta yang bakal memberi perlindungan kepada lebih 1.5 juta golongan berkenaan di seluruh negara.

10,000 rumah rakyat jika BN menang di Kelantan

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

KOTA BHARU 30 Mac - Barisan Nasional (BN) akan membina 10,000 unit rumah di sini, untuk menyelesaikan masalah perumahan sekiranya diberi peluang mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (RPU-13).

Walau bagaimanapun, Pengerusi MCA Kelantan, Tan Ken Teng berkata, hasrat itu hanya akan terlaksana sekiranya BN berkuasa kerana secara langsung akan menjadi pentadbir tanah di negeri ini.

Jelas beliau, sebanyak 1,000 unit rumah yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak cukup, namun hanya itu yang mampu dilaksanakan setakat ini kerana kawasan yang sangat terhad.

"1,000 unit tidak cukup, sebab rakyat di sini mahu 10,000 unit, tetapi macam mana kita boleh buat, tanah tidak ada untuk kita bina.

"Kalau BN memerintah, maka bolehlah kita buat 10,000 unit, kita carilah kawasan mana yang sesuai apabila BN sudah mentadbir Kelantan," katanya ketika berucap dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi Kubur Kuda di sini malam tadi.

Ken Teng berkata, pembinaan 10,000 rumah itu secara langsung mampu menstrukturkan semula bandar Kota Bharu menjadi lebih baik dengan pelbagai projek pembangunan boleh dilakukan.

Katanya, perkara itu berbeza dengan langkah kerajaan Pas Kelantan sekarang yang lebih banyak menjual tanah kepada syarikat swasta untuk membina kondominium dengan harga mencecah ratusan ribu ringgit.

"Kalau kita menang inilah yang mampu kita buat, selepas itu kita minta pula peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk bina kedai dan longkang, maka cantiklah bandar kita," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved