Khamis, 1 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sejarah mengikut fahaman Mat Sabu

Posted:

Sejarah mengikut fahaman Mat Sabu

Sejarah mengikut fahaman Mat Sabu

Zainudin Maidin

TIMBALAN Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu bukan tidak memahami sejarah tetapi beliau ialah salah seorang daripada rakyat Malaysia yang mahu sejarah ditulis semula untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan golongan kiri; nasionalis, sosialis dan komunis dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Saya tidak terkejut apabila membaca kenyataan Mat Sabu yang didedahkan oleh Utusan Malaysia mengatakan beliau menganggap Muhammad Indera, lelaki Melayu yang menyerang bukit Kepong bersama pengganas komunis Cina adalah sebenarnya hero.

Beliau juga mengatakan bahawa Dato' Onn Jaafar pengasas UMNO dan Tunku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan Malaya sebagai alat British.

Saya pernah mendengar kenyataan seumpamanya daripada beliau sebelum ini tetapi saya tidak mempunyai catatan tarikh di mana dan bila. Sebagai seorang wartawan, saya kesal kerana tidak dapat mengemukakannya tetapi saya penuh yakin pernah mendengarnya.

Saya percaya Mat Sabu adalah jujur, menghayati dan percaya kepada apa yang dikatakannya itu.

Saya tidak setuju jika orang mengatakan beliau tidak memahami sejarah tetapi beliau memahami sejarah mengikut fahamannya berasaskan kepada perjuangan asal nasionalis-nasionalis kiri Melayu seperti Dr. Burhanuddin Al Hilmi, Ibrahim Yaacob, A. Samad Ismail dan lain-lain.

Perjuangan ini juga turut didokong oleh Utusan Melayu yang diketuai oleh Pengarangnya, Said Zahari sehinggalah dipatahkan oleh UMNO dengan pengambilan alih Utusan Melayu pada 1961.

Suatu perdebatan kecil antara bekas Penasihat New Straits Times, A. Samad Ismail dengan Said pernah berlaku apabila Said membangkitkan perihal A. Samad menganggap Dato' Onn sebagai alat British.

Bagaimanapun A. Samad akhirnya menerima jalan kemerdekaan yang diambil oleh UMNO sebagai lebih realistik ( Lihat Memoir Samad Ismail di Singapura terbitan UKM). Beliau mengakui terbentuk fahaman dan perjuangan oleh perjuangan revolusi Indonesia yang menyingkirkan feudalisme.

Said, Ketua Pemogok Utusan Melayu 1961 juga mengakui kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman mendapatkan kemerdekaan Malaya lebih awal dengan menggunakan faktor ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) yang dikuasai orang Cina sebagai alat tekanan ke atas British semasa beliau merundingkan kemerdekaan Malaya.

Kerana bimbang, Tunku mungkin meletakkan jawatan Ketua Menteri sekiranya tidak dibenarkan menemui Ching Peng, British akhirnya bersetuju dengan memberikan syarat kepada Tunku tidak boleh merundingkan soal lain daripada penyerahan diri Chin Peng dan PKM.

Dalam keadaan yang terikat inilah, Tunku telah memanfaatkan sepenuhnya agenda politik beliau sendiri.( Kemerdekaan Malaya). (Lihat Said Zahari Meniti Lautan Gelora halaman 300 terbitan UKM).

Sesiapapun yang membaca Memoir A. Samad Ismail di Singapura akan dapat memahami bahawa beliau pada akhirnya mengakui kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Tunku, Tun Razak dan lain-lain pemimpin UMNO tetapi malangnya beliau telah ditahan sekali lagi di Malaysia di bawah ISA kerana hasutan dari Perdana Menteri, Singapura Lee Kuan(amat jelas dalam buku Memoir Lee Kuan Yew).

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman juga memahami bahawa PKM memperjuangkan kemerdekaan tetapi hakikatnya Tunku dapat melihat masa depan sekiranya PKM berjaya, maka pastinya Malaya jatuh ke tangan orang Cina atau kepada Parti Komunis Cina tanpa kedaulatan orang Melayu dan kehormatan kepada agama Islam.

Mengikut sejarah British juga tidak mahu orang Cina menguasai negara ini, maka itu mereka tidak menunaikan janji untuk memberikan Malaya kepada PKM selepas mengalahkan Jepun dengan bantuan gerila MPAJ atau PKM.

Akhir-akhir ini memang terdapat usaha untuk mempengaruhi rakyat supaya memberikan pengiktirafan kepada perjuangan PKM. Buku-buku yang ditulis oleh bekas- bekas pemimpin tertinggi PKM Regimen Ke-10 (sayap Melayu) seperti Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Abu Samah dan lain-lain dijual bebas di negara ini.

Generasi muda yang membaca buku-buku ini mungkin akan terpengaruh tetapi sesiapa yang dapat membaca yang tersirat di sebalik yang tersurat dalam buku My Side Of Story oleh Chin Peng dan juga Memoir Shamsiah Fakeh akan dapat mengetahui bahwa Shamsiah diseksa di Beijing dalam masa revolusi Pengawal Merah tanpa dipedulikan oleh Chin Peng, Setiausaha Agung PKM yang diketahui oleh Shamsiah berada di Beijing.

Memanglah ramai nasionalis-nasionalis Melayu kiri yang masuk ke dalam hutan menyertai perjuangan berdarah PKM dan ada yang berjuang di barisan depan sebagai orang sosialis seperti Ahmad Boestaman, Ishak Haji Mohammad, Dr. Burhanuddin, Syed Hussein Ali, Kassim Ahmad dan lain-lain.

Tetapi hakikatnya jika perjuangan yang didalangi oleh komunis antarabangsa itu menang maka Malaya atau Malaysia tidak akan berada dalam situasi bebas, makmur, moden dan maju sebaliknya akan berada dalam kekuasaan tangan yang kejam yang cuba membahagikan kek kecil tetapi mengambil sebahagian besar kepada diri mereka sendiri.

Saya telah melihat dengan mata kepala saya sendiri keadaan ini ketika melawat negara komunis dan sosialis seperti Romania, China, Russia ( sekarang telah berubah) dan Myanmar.

Yang terakhir beberapa tahun lalu saya berkesempatan melawat Cuba dan melihat keadaan menyedihkan, ramai penganggur, mereka duduk di tepi jalan atau di depan rumah atau merayau-rayau tanpa kerja.

Oleh kerana Singapura dan Malaya keluar dari aliran kekirian dari sejak awal dan percaya untuk merdeka dalam demokrasi Barat dan dibantu pertahanannya oleh Barat di samping pertahanan kita sendiri maka itulah kita terselamat dan mendahului kemajuan dari lain-lain negara di Asia.

Oleh kerana China dan India baru memeluk kapitalisme maka tidaklah hairan mereka begitu ghairah menjalankan dasar ini dengan bergantung kepada pasaran bebas yang dikutuk oleh mereka dahulu.

Amerika Syarikat dan Eropah juga membantu mereka untuk menjamin keselamatan masa depan ekonomi mereka dan penjajahan baru menerusi dasar globalisasi (1 Amerika 1 Dunia).

Maka itu kenyataan Mat Sabu tidak seharusnya dilihat sebagai suatu usaha untuk menghidupkan semula Parti Komunis Malaya.

Fahaman Komunis telah bangkrap, orang- orang komunis dan sosialis telah murtad tetapi apa yang dilakukan oleh Mat Sabu adalah sebahagian daripada perjuangan yang sedang dilakukan oleh segolongan kecil intelektual Melayu dan Cina.

Mereka tidak melalui dan memahami sejarah dengan didepani oleh DAP supaya pengiktirafan diberikan kepada perjuangan PKM yang diketuai oleh seorang Cina bernama Chin Peng yang diperalatkan oleh British untuk menentang Jepun sehingga dikurniakan pingat tertinggi kerajaan British "Sir". Tetapi British tidak menunaikan janjinya.

Jika British boleh menggunakan Chin Peng maka tidak mustahil Mat Sabu dan juga konco-konconya tanpa sedar menjadi alat kepada cita-cita globalisasi itu. Gerakan untuk memulihkan imej komunis juga sedang berlaku di Indonesia sekarang.

Kita dapat melihat betapa DAP memperjuangkan tuntutan keluarga Cina menuntut ganti rugi dari kerajaan British kerana keluarga mereka dibunuh oleh tentera British dalam masa darurat di Batang Kali pada 11 dan 12 Disember 1948. Mereka langsung menutup hakikat bahawa mereka ini telah disyaki memberikan berbagai bantuan kepada pengganas-pengganas komunis.

Tugu Peringatan beberapa pengganas komunis yang terkorban di Malaya telah dibangunkan dengan berselindung dalam bentuk memorial di Nilai dengan belanja berjuta ringgit dan percubaan juga dilakukan untuk membina tugu yang sama di Sarawak. Sebuah akhbar Inggeris telah memperjuangkan supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia.

Saya percaya bahawa Mat Sabu tidak membuat pertimbangan yang waras atau rasional dalam kepercayaannya dan juga dalam kempennya untuk mengiktiraf perjuangan PKM bagi kemerdekaan negara.

Saya percaya orang-orang Pas yang ibu bapa mereka pernah menjadi tentera atau polis atau pun yang terkorban kerana menentang pengganas komunis turut marah kepada Mat Sabu.

Tetapi supaya taraf kemarahan tidak keterlaluan, kita harus bertanya apakah yang dapat kita harapkan daripada pemimpin sebuah parti yang telah meningkat naik dengan cara yang tidak bertamadun sebaliknya populariti dengan memaki hamun dan menjual kemurnian agama.

RTM pernah mendedahkan Mat Sabu mengatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad gila dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan Dr. Mahathir barua dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkafirkan orang Islam yang tidak menganggotai Pas.

Setelah pendedahan ini dibuat maka barulah mereka dapat melihat diri sendiri, rupa- rupanya memaki-hamun orang dengan berkopiah puteh dan berserban tidak manis di pandang malah terlihat seperti ulama-ulama ajaran sesat. Maka sejak itu mereka tidak melakukannya sekarang. RTM telah membetulkan akhlak mereka.

Maka itu, orang ramai tidak seharusnya terkejut jika Mat Sabu mengulangi kesilapan lalu kerana itu adalah jati diri mereka. Inilah taraf pemikiran dan kualiti kepimpinan Pas dan mereka inilah yang akan memimpin masa depan Malaysia bersama dengan parti ekstremis dan cauvanis Cina DAP.

ZAINUDDIN MAIDIN ialah Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir,

Universiti Utara Malaysia.

PKR Selangor dan titah sultan

Posted:

PKR Selangor dan titah sultan

PKR Selangor dan titah sultan

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

DALAM kitab Sulalat al-Salatin terdapat petikan kata-kata Bendahara Paduka Raja dengan Sultan 'Alauddin ketika baginda menziarahi bendahara itu yang sedang sakit tenat.

Ketika itu bendahara telah menyembahkan kata-kata berikut kepada sultan;

''Hendaklah jangan Tuanku dengar-dengaran akan sembah orang yang tiada sebenarnya, jikalau Tuanku dengarkan sembah orang yang sedemikian itu akibatnya Tuanku menyesal.

''Yang kehendak nafsu jangan Tuanku turutkan, karena banyak raja-raja yang dibinasakan Allah Taala kerajaannya sebab menurut hawa nafsunya."

Petikan itu memberikan ingatan kepada seluruh rakyat yang masih teguh mempercayai kepentingan memelihara institusi kesultanan Melayu.

Raja-raja Melayu perlu didampingi oleh para pembesar yang jujur ikhlas menasihati baginda dan tidak menyembunyikan segala kebenaran.

Malah di sebalik tembok pagar istana sebenarnya tiada pemisah antara raja dan rakyat kerana setiap perkembangan yang berlaku tetap menerobos ke dalam istana dan sampai ke pengetahuan sultan.

Di tengah-tengah pergolakan dan permasalahan yang sering begitu rumit diselesaikan akibat pertentangan politik kepartian, ternyata kuasa sultan menjadi payung buat rakyat mencari satu titik pertemuan.

Satu kuasa yang berkredibiliti dan dipercayai seluruh rakyat serta berada di atas daripada politik diperlukan bagi meredakan suhu panas politik yang sedang melanda.

Namun, apa yang berlaku di Selangor sejak kebelakangan ini begitu membimbangkan apabila pentadbiran parti pembangkang sering kali mencetus percanggahan dengan sultan.

Terbaru apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak dapat menyembunyikan kesilapan. Entah kesilapan beliau sendiri atau disebabkan kebebalan penasihat-penasihatnya yang sebelum ini hanya asyik berkokok, tetapi gagal melaksanakan kerja.

Abdul Khalid mengumumkan penubuhan sebuah Majlis Penasihat Syura bagi menyelesaikan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya awal bulan ini.

Beliau mendakwa majlis syura itu dicadangkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun, ternyata perkara itu bercanggah dengan fakta sebenarnya kerana penubuhan majlis itu tidak pernah diperkenankan oleh baginda.

Apa yang dikesalkan ialah apabila Menteri Besar dilihat mempergunakan kedudukan sultan untuk menyatakan sesuatu keputusan bagi pihaknya.

Namun, apabila menyedari kesilapan itu, tidak sampai dalam tempoh 24 jam, Menteri Besar bertindak mengubah istilah majlis syura kepada Jawatankuasa Pendengaran.

Perubahan sekali lagi berlaku apabila istilah itu ditukar lagi kepada gerak kerja pendengaran.

Untuk apa gerak kerja itu pun tidak diketahui malah tiada sebarang terma rujukan diumumkan dan apakah penyelesaian yang dimahukan.

Banyak pihak melihat gerak kerja itu hanya satu usaha menutup kesilapan Menteri Besar yang dilihat lebih menyebelahi pihak gereja dan tidak mempertahankan JAIS sebagai agensi kerajaan negeri.

Ada pihak menyatakan itu isu kecil kerana hanya membabitkan pertukaran istilah dan mendakwa kenyataan penafian istana berhubung penubuhan majlis syura adalah daripada mulut Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor sahaja dan bukannya baginda sendiri.

Demikianlah sikap pentadbiran pembangkang di negeri ini sejak Mac 2008. Sering berlaku percanggahan dalam dasar-dasar yang diperkenalkan dan mendapat teguran Sultan Selangor melalui titah-titah baginda.

Bagaimanapun, pentadbiran pembangkang hanya bersikap tuli atau buat-buat tidak dengar malah tidak pernah malu dengan teguran berkenaan sebaliknya meletakkan kesalahan kepada orang lain.

Sebenarnya sebelum ini, banyak berlaku percanggahan yang dilakukan pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terhadap titah-titah Sultan Selangor.

Masih segar dalam ingatan kita bagaimana pentadbiran Abdul Khalid mencetus polemik pentadbiran awam negeri apabila enggan mengiktiraf pelantikan Datuk Mohammad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Sedangkan pelantikan bekas Pengarah JAIS itu sudah diperkenankan Sultan Selangor.

Klimaks penentangan itu dibawa hingga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dipanggil bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri semata-mata mahu menolak pelantikan Mohammad Khusrin. Namun akhirnya pentadbiran kerajaan negeri akur dengan pelantikan SUK itu.

Isu pertikaian pelantikan SUK berlangsung dengan beberapa kenyataan saling mencanggahi titah Sultan Selangor. Contohnya, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menolak dakwaan Abdul Khalid yang mempertikaikan kenyataan akhbar dikeluarkannya oleh pihak istana mengenai titah Sultan Selangor berhubung pelantikan SUK.

Abdul Khalid mempertikaikan kenyataan istana mengenai isu itu dan menganggap ia adalah penafsiran peribadi Mohamad Munir.

Sehinggalah pada 6 Januari, Sultan Selangor dalam satu titah menegaskan pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK adalah mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan selain meminta ia tidak harus dipolitik atau diperbesarkan-besarkan.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan pada hari yang sama tetap dengan pendirian enggan menerima kenyataan itu selain tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad dan perlu penyelesaian.

Tidak reda setakat itu. Pengumuman Exco kerajaan negeri, Dr. Halimah Ali tentang pelantikan Canselor baru Universiti Selangor (Unisel) juga telah mendapat teguran baginda.

Mac lalu, Sultan Selangor menitahkan semua pihak agar mematuhi peruntukan Unisel yang menetapkan pemilihan dan pelantikan Canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.

Bagaimanapun, Abdul Khalid menganggap tindakan mendahului bidang kuasa Sultan Selangor adalah perkara yang biasa dan menunjukkan ketelusan kerajaan negeri.

Titah baginda yang melarang Unisel digunakan bagi kepentingan politik juga tidak diendahkan apabila tokoh-tokoh pembangkang dibenar memasuki kampus itu.

Abdul Khalid yang merupakan Lembaga Pengarah Unisel mendapat teguran sekali lagi apabila dalam majlis berbuka puasa di Unisel pada 8 Ogos lalu, Sultan Selangor melarang mana-mana pihak termasuk pentadbiran negeri menjemput ahli-ahli politik untuk mengadakan ceramah atau syarahan politik di universiti itu.

Begitu juga dengan titah Sultan Selangor pada 8 Julai lalu agar rakyat negeri ini tidak menyertai mana-mana perhimpunan termasuk yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) 2.0.

Namun, pentadbiran kerajaan negeri telah bertindak menyalurkan bantuan dan dana kepada Bersih, atas alasan bagi meningkatkan kesedaran tentang keperluan pilihan raya yang bersih dan adil.

Ironinya dalam isu Bersih, parti-parti pembangkang cuba meraih sokongan rakyat dengan menggunakan institusi raja-raja apabila menyatakan mahu menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam isu yang membabitkan kepentingan mereka, pembangkang beria-ia menggunakan sultan dan raja-raja Melayu.

Malangnya, sering kali ingatan dan teguran sultan, tidak diendahkan apabila ia tidak menyebelahi kepentingan parti mereka malah pelbagai kata-kata penghinaan dilemparkan terhadap institusi raja-raja.

Anda lihatlah ulasan-ulasan di dalam portal propembangkang - sultan dan raja-raja Melayu dihina saban hari.

Sewajarnya kata-kata mutiara Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah dalam titah baginda pada satu majlis wacana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini menjadi iktibar;

''Payung kedaulatan negara ini jangan sama sekali dirosakkan - jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah pun turun.

''Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga - lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan."

Semoga sultan dan raja kita selamat bertakhta agar dapat memandu sekalian hamba rakyat. Moga negara akan aman sejahtera.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved