Rabu, 28 September 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lapan tinggal sehelai sepinggang

Posted:

Lapan tinggal sehelai sepinggang

Lapan tinggal sehelai sepinggang

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my


ANUAR Jamian dan Norhaizan Kassim melihat rumah mereka yang musnah terbakar di Parit Kachau, Seri Menanti, Muar, semalam.


MUAR 27 Sept. – Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Parit Kachau, Seri Menanti di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.50 malam itu, api yang dipercayai berpunca daripada litar pintas bermula di bahagian dapur sebelum merebak ke seluruh rumah.

Menurut mangsa, Anuar Jamian, 37, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur dan dia yang menyedari kebakaran apabila terhidu asap cuba memadamkan kebakaran namun gagal.

"Saya kemudian segera mengejutkan isteri, Norhaizan Kassim, 37, dan enam anak berusia dua hingga 15 tahun serta membawa mereka ke tempat selamat kerana kebakaran itu merebak dengan cepat.

"Seluruh rumah saya dan dua buah motosikal musnah dalam kebakaran ini dan saya cuma sempat selamatkan kereta dan dua buah motosikal sahaja," katanya sambil memberitahu hujan renyai berlaku semasa kebakaran itu.

Walaupun kehilangan harta benda yang banyak, namun dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dalam kebakaran itu.

Dia yang bekerja sebagai penjual kuih berkata, pihak bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian dengan dua jentera serta berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut kira-kira pukul 11 malam.

NKRA berjaya turunkan kadar jenayah

Posted:

NKRA berjaya turunkan kadar jenayah

NKRA berjaya turunkan kadar jenayah

PONTIAN 27 Sept. - Pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah berjaya memberikan manfaat kepada semua pihak termasuk masyarakat luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pelbagai pendekatan yang diambil oleh pihak polis berjaya menurunkan kadar indeks jenayah kes ragut, pecah rumah dan curi.

"Menerusi NKRA, persekitaran kita kini menjadi lebih selamat kerana anggota polis sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan di tempat-tempat yang dikategorikan sebagai kawasan panas," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Raya bersama Community Oriented Policing, Pergerakan Pemuda UMNO Zon Kayu Ara Pasong, Pemuda UMNO Bahagian Pontian serta Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Parlimen Pontian, di sini kelmarin.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis tersebut yang pertama kali dianjurkan bagi memberikan peluang kepada orang ramai beramah mesra dengan pegawai dan anggota polis di kawasan tersebut.

Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, pihaknya mengalu-alukan program tersebut yang dapat merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak demi faedah bersama.

"Saya difahamkan indeks jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Kayu Ara Pasong juga menunjukkan penurunan hasil kerjasama erat antara orang ramai dengan polis," katanya.

Menurutnya, beberapa program yang dijalankan oleh orang ramai seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) juga berjaya mengurangkan kadar jenayah dan diharap kerjasama seumpama itu dapat ditingkatkan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati golongan belia supaya tidak terpengaruh atau terjebak dengan aktiviti seperti penyalahgunaan dadah, lumba haram dan pergaduhan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved