Sabtu, 17 September 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Akta Polis: KPN temui Peguam Negara

Posted:

Akta Polis: KPN temui Peguam Negara

Akta Polis: KPN temui Peguam Negara

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk memberi pandangan berhubung kajian semula ke atas Seksyen 27, Akta Polis 1967 iaitu kebebasan berhimpun.

Menurut Ismail, pandangan yang akan disampaikan oleh pihaknya merangkumi aspek keseimbangan kesejahteraan, hak bersuara dan hak berkumpul dalam kalangan rakyat.

"Pertemuan ini untuk kepentingan rakyat supaya keamanan dapat terus dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan serentak Hari Kebangsaan Ke-54 dan Hari Malaysia Ke-48 di Dataran Merdeka hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menggubal dua undang-undang baru yang sesuai bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, undang-undang baru itu akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Najib turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ismail berkata, keputusan kerajaan memansuhkan beberapa akta dan mengkaji semula undang-undang pencegahan dilihat sebagai menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat selain mengambil kira kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, langkah itu seiring dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

"Proses semakan undang-undang lapuk dan tidak relevan pada masa kini terutamanya mengenai hak rakyat berkumpul dan bersuara telah pun dimulakan dengan perbincangan atas inisiatif Menteri Dalam Negeri," katanya.

Rancang pelbagai cara bersama rakyat

Posted:

Rancang pelbagai cara bersama rakyat

Rancang pelbagai cara bersama rakyat

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak merancang pelbagai lagi cara untuk membolehkan beliau meluangkan lebih banyak masa bersama dengan rakyat Malaysia pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, peluang menemui rakyat melalui acara-acara dan sambutan yang diadakan sebelum ini amat bermakna kepadanya.

"Oleh sebab itu, saya merancang lebih banyak cara yang membolehkan saya menemui rakyat lebih kerap pada masa depan," katanya dalam blog www.1malaysia.com.my hari ini.

Najib berkata, beliau bersyukur kerana bukan sahaja dapat bertemu dengan pelbagai kumpulan di Malaysia untuk berbuka puasa tetapi juga dapat melaksanakan sembahyang terawih bersama-sama setiap malam sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Beliau juga amat menghargai masa yang dapat diluangkan bersama rakyat Malaysia ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Di dalam blognya, Najib turut memaparkan beberapa keping gambar kenangan beliau ketika program berbuka puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan rakyat Malaysia pada tahun ini.

Antara majlis berbuka puasa yang disertai Najib pada tahun ini termasuklah majlis berbuka puasa bersama pengamal media di Wisma Bernama pada 15 Ogos lalu dan bersama rakyat Selangor di Pelabuhan Klang pada 17 Ogos.

Program lain yang dihadiri beliau adalah sambutan hari raya bersama rakyat Malaysia di Brunei yang diadakan pada 12 September lalu sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.

Nasi Lemak 2.0: Kemuka bantahan pada KDN

Posted:

Nasi Lemak 2.0: Kemuka bantahan pada KDN

Nasi Lemak 2.0: Kemuka bantahan pada KDN

KLANG 16 Sept. - Pihak yang tidak berpuas hati dengan penayangan filem Nasi Lemak 2.0 boleh mengemukakan bantahan serta alasan mereka kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan penilaian dilakukan ke atas perkara tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana kementeriannya juga bertanggungjawab dari segi penapisan filem melalui Bahagian Kawalan Filem.

''Sekiranya ada perkara yang tidak kena, boleh kemukakan kepada kita untuk penilaian dan kajian kerana ia memang di bawah KDN," kata beliau kepada pemberita di sini, petang ini.

Beliau mengulas bantahan Pertubuhan Gagasan Rakyat Didahulukan Negeri Perak terhadap penayangan filem Nasi Lemak 2.0 yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada golongan muda di negeri itu.

Hishammuddin ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Kapar yang dihoskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil dan para pemimpin BN di Dewan Datuk Ahmad Razali, Jalan Kapar di sini.

Beliau bagaimanapun memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai perkara itu.

Semalam, Pertubuhan Gagasan Rakyat Didahulukan Negeri Perak mengadakan demonstrasi bantahan secara aman di sesebuah pasar raya di Ipoh, Perak bagi membantah penayangan filem Nasi Lemak 2.0 yang diterbitkan Namawee yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada golongan muda di negeri itu.

Presidennya, Faizal Affendi Hashim berkata, pihaknya terkilan kerana filem berkenaan ditayangkan sedangkan penerbitnya pernah mencetuskan isu yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia iaitu menerbitkan video klip Negarakuku yang menghina lagu kebangsaan dan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved