Jumaat, 26 Ogos 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Esei merdeka dapat sambutan

Posted:

Esei merdeka dapat sambutan

Esei merdeka dapat sambutan

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my


DUA guru, Hanita Jaafar (kiri) dan Rafiah Yussup mengadakan perbincangan dengan murid-murid tahun enam yang menyertai peraduan Esei Kemerdekaan 1Malaysia di SK Khir Johari, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 25 Ogos – Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia yang julung kali dianjurkan Utusan Malaysia dan Gerakan Belia 4B Malaysia Johor terus mendapat sambutan apabila 20 sekolah di daerah ini akan menghantar penyertaan mereka.

Penyelaras pertandingan tersebut, Mohd. Ridhwan Othman berkata, kesemua sekolah berhasrat untuk menyertai pertandingan itu dan menyifatkannya sesuatu yang baik dan mampu mencungkil bakat penulisan dalam kalangan pelajar.

"Ia bukan sahaja boleh membina jati diri malah membangunkan semangat patriotik dalam kalangan generasi baru.

"Semangat kemerdekaan sememangnya diperlukan dalam diri setiap orang. Segelintir generasi masa kini tidak dapat menghayati erti sebenar merdeka dan menyelami perit jerih orang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari di sini, hari ini.

Malah, pelakon terkenal tanah air, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz sempat membuat kunjungan ke sekolah berkenaan dan memberi suntikan semangat kepada murid tahun empat, lima dan enam dalam membina masa depan yang cemerlang.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Zamani Ahmad berkata, pihak sekolah melalui Panitia Bahasa Melayu akan membuat saringan karangan murid-murid berdasarkan tajuk yang diberikan dan nukilan yang terbaik akan disenarai pendek.

"Kami menyokong penuh pertandingan tersebut kerana ia satu wadah untuk mengingatkan dan memberi kefahaman kepada murid-murid tentang merdeka dan pejuang kebebasan. Malah, kami berusaha untuk menghantar 10 penyertaan terbaik dan memberi saingan kepada sekolah lain yang ingin bertanding," katanya.

Pertandingan yang mendapat kerjasama syarikat Fargoes Books Sdn. Bhd. itu diadakan sempena bulan kemerdekaan dan penulisan esei merupakan kaedah yang sesuai untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan belia, remaja dan kanak-kanak.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori Belia, Kategori Sekolah Menengah dan Kategori Sekolah Rendah dengan setiap kategori meletakkan dua tajuk esei untuk dihuraikan oleh peserta.

Johan Kategori Belia menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 berserta buku dan sijil, tempat kedua (RM1,000) dan tempat ketiga (RM700) manakala juara Kategori Sekolah Menengah mendapat RM1,000 berserta buku dan sijil, kedua (RM500) dan ketiga (RM300).

Juara Kategori Sekolah Rendah pula akan memperoleh wang tunai RM500 berserta buku dan sijil, kedua (RM300) dan tempat ketiga (RM200).

Borang penyertaan boleh diperoleh dalam akhbar Utusan Malaysia dan semua penyertaan perlu disertakan dengan lima keratan 'masthead' Utusan Malaysia antara tarikh 16 Ogos hingga 16 September dan dihantar ke alamat Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd., No. 24, Jalan Serampang, Taman Pelangi, 80050 Johor Bahru, Johor.

Selenggara Pesisiran Herba Sungai Sebulung

Posted:

Selenggara Pesisiran Herba Sungai Sebulung

Selenggara Pesisiran Herba Sungai Sebulung

JOHOR BAHRU 25 Ogos - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) digesa menyelenggara prasarana dan persekitaran Pesisiran Herba Sungai Sebulung di sini bagi mengekalkan keindahan ekologi persekitaran sungai berkenaan.

Ahli Majlis Zon Kampung Melayu Majidee, Azman Dawam berkata, projek fasa pertama yang menelan belanja RM1.2 juta telah siap pada 2006, manakala fasa kedua yang menelan kos RM1.3 juta siap pada 2009.

Namun, ujarnya, sejajar dengan peredaran masa, banyak prasarana di kawasan tersebut rosak dan tidak diselenggara seperti wakaf yang atapnya pecah dan jambatan kayu semakin usang serta reput.

"Tempat pejalan kaki yang telah pecah perlu dibina semula supaya ia kelihatan cantik dan selamat untuk digunakan. Malah, bumbung wakaf dan jambatan kayu itu, pihak MBJB perlu ganti dan baiki segera," katanya dalam ucapan penangguhan pada Mesyuarat Penuh Bulanan MBJB di sini, semalam.

Azman berkata, bagi projek fasa kedua pula, terdapat rungutan daripada penduduk kampung yang menyatakan kawasan sepanjang sungai tersebut gelap dan boleh menimbulkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

"Penduduk di kawasan tersebut berharap agar MBJB dapat menyediakan lampu di sepanjang projek fasa kedua supaya ia dapat menerangi seluruh kawasan sekali gus mengelak berlakunya kejadian tidak diingini," katanya.

Mengenai pasar Kampung Melayu Majidee, Azman berkata, ia memerlukan satu transformasi yang besar bagi kegunaan peniaga dan orang awam.

Dakwanya, pasar yang berusia 35 tahun itu seakan-akan 'diabaikan' oleh MBJB dari segi penyelenggaraan dan baik pulih bangunan dengan banyak kebocoran pada bumbung dan lantai yang pecah.

"Saya sangat setuju dengan rancangan MBJB untuk membangunkan semula pasar Kampung Melayu yang menelan belanja kira-kira RM30 juta. Tetapi persoalannya, adakah MBJB mampu untuk mengadakan dana sebegitu banyak membangunkan semula pasar tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved