Khamis, 30 Jun 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Memperkasa festival layang-layang

Posted:

Memperkasa festival layang-layang

Memperkasa festival layang-layang

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
editjohor@utusangroup.com.my


Dua buah layang-layang berbentuk harimau dan buaya milik MPPG yang mewakili Malaysia sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Weifang, China, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 29 Jun - Sebut sahaja mengenai festival layang-layang, pasti ramai yang membayangkan keindahan pelbagai bentuk dan corak permainan tradisional itu menghiasi ruang angkasa.

Di negara ini, festival layang-layang amat sinonim dengan daerah Pasir Gudang dan kini Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) semakin mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan festival itu yang berpotensi besar menarik ramai pelancong ke daerah ini.

Antara langkah yang telah diambil adalah dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bandaraya Weifang, wilayah Shandong, China yang berpengalaman selama 28 tahun menganjurkan festival layang-layang di peringkat antarabangsa.

MoU tersebut bertujuan menjalin kerjasama antara Pasir Gudang dan Weifang sebagai 'Bandar Berkembar' penganjur utama festival layang-layang terbesar di dunia yang sentiasa menjadi tumpuan ribuan pelayang dari seluruh dunia.

Menerusi kerjasama itu juga, beberapa syarikat China menunjukkan minat untuk membina kilang layang-layang di Pasir Gudang.

Sempena Festival Layang-layang Antarabangsa Weifang Ke-28 baru-baru ini, MPPG turut menghantar sekumpulan pelayangnya menyertai pertandingan berkenaan.

Malah, penyertaan MPPG yang diketuai Yang Dipertuanya, A. Rahim Nin tidak sia-sia dan mendapat pengiktirafan apabila memenangi Anugerah Persembahan Terbaik daripada 30 negara yang bertanding.

"MPPG sekali lagi mengharumkan nama Malaysia dengan pencapaian ini. Ia merupakan satu lagi daripada kejayaan kita... setiap usaha kita pasti mendapat pengiktirafan komuniti dunia," katanya.

Lebih membanggakan, layang-layang bercorak harimau dan buaya serta Wau Bulan yang menghiasi ruang udara Fuyushan Mountain, lokasi festival itu berlangsung mendapat pujian ramai pihak.

Ramai juga yang 'menawarkan' diri membantu pasukan MPPG yang membawa nama Malaysia untuk menaikkan dua layang-layang gergasi itu dan mengerumuni pelayang negara untuk mendapatkan maklumat mengenai layang-layang tradisional Wau Bulan yang nyata unik dan berbeza daripada layang-layang dari negara lain.

Bagi pengunjung yang pertama kali menyaksikan festival layang-layang, sebenarnya acara itu yang semakin mengharumkan nama Pasir Gudang sejak dianjurkan 16 tahun lalu, dan ia melihat hubungan dan jalinan kerjasama yang kuat antara pelayang.

Walaupun kadang-kadang timbul masalah komunikasi, ia bukan penghalang bagi mereka berhubung dan saling membantu kerana menganggap semua pelayang sebagai satu 'komuniti' atau 'keluarga'.

Bagi menyemarakkan lagi permainan layang-layang dalam kalangan masyarakat, MPPG turut menimbang untuk menghadiahkan sebuah layang-layang kepada setiap pembayar cukai di kawasan pentadbirannya.

"Berbeza dengan rakyat China, rakyat kita kurang menghayati budaya bermain layang-layang ini. Di China, rakyatnya sanggup berbelanja beribu-ribu hanya semata-mata menghadiri perasmian festival layang-layang mereka.

"Untuk menggalakkan rakyat Johor mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti layang-layang, MPPG mungkin menimbangkan cadangan memberi sebuah layang-layang kepada setiap pembayar cukai. Kita mahu mereka bermain layang-layang sepanjang tahun dan bukannya hanya pada festival yang diadakan setiap Februari," kata A. Rahim.

MPPG juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pelancongan Johor untuk menambah nilai festival layang-layang sedia ada, termasuk memperkenalkan pakej pelancongan menarik kepada semua pelayang yang hadir.

Semoga Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang terus menjadi jenama yang unggul dan dikenali di seluruh negara serta menarik minat lebih ramai pelancong ke negara ini pada masa akan datang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Layang-layang jadi pengikat kasih

Posted:

Layang-layang jadi pengikat kasih

Layang-layang jadi pengikat kasih


Dari kiri Hussin Harun, Latifah Abd. Latif, Sahariah Abu dan Ismail Mat Taib mengambil bahagian pada Festival Layang-Layang Antarabangsa di Weifang, China baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 29 Jun - Kelibat pasangan ini sentiasa menjadi tumpuan ramai. Apa tidaknya kerana ke mana sahaja Hussin Haron, 57, pergi, isterinya Latifah Abd. Latif, 55, sentiasa menemaninya.

Jika pasangan muda yang hangat bercinta sering dianggap romantik, namun, Hussin dan Latifah tidak kurang hebatnya kerana sering berpimpinan tangan, malah, saling membantu dalam apa jua yang dilakukan.

Bagi peminat layang-layang khususnya di Pasir Gudang, pasangan ini amat dikenali, malah tidak keterlaluan jika permainan tradisional itu dianggap sebagai 'pengikat kasih' antara mereka.

Menurut Hussin yang juga Pemangku Presiden Majlis Pelayang Malaysia, pada mulanya beliau hanya menjalankan tugas kerana diberi tanggungjawab untuk menganjurkan festival layang-layang yang pertama di Pasir Gudang 16 tahun lalu.

"Namun, lama-kelamaan minat itu timbul dan hingga kini aktif bermain layang-layang. Malah, permainan ini yang membawa saya dan isteri menjelajah ke banyak negara sehingga ke Eropah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pelayang Negeri Johor (PPNJ) berbangga kerana kini hasil usahanya dan persatuan menjadikan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang dikenali di seluruh dunia.

"Apa yang penting, kami dapat mengangkat martabat Pasir Gudang sebagai tempat pertemuan pelayang dari seluruh dunia. Kami juga dapat berkawan dengan ramai kenalan baru," katanya.

Latifah pula mengakui gembira dapat menemani suaminya dan menyertai perhimpunan tahunan pelayang dari seluruh negara terutamanya di Denmark pada Julai setiap tahun.

"Ia adalah perhimpunan untuk pelayang dari seluruh dunia di kawasan pantai sepanjang kira-kira 13 kilometer. Lokasi itu dianggap oleh semua pelayang sebagai 'wajib' dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup... tidak ada penganjur dan semua pelayang cuma berkunjung ke sana," katanya.

Turut memainkan peranan besar mengangkat nama Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ialah Setiausaha PPNJ, Ismail Mat Taib, 51.

Seperti Hussin dan Latifah, minat Ismail turut dikongsi dengan pasangannya, Sahariah Abu Samah, 48.

Ismail berkata, beliau hanya mempunyai pengetahuan yang amat sedikit dalam permainan layang-layang sebelum diarah untuk membantu Hussin bagi menganjurkan festival tersebut.

"Saya teringat pada masa itu kami pergi ke Thailand untuk mempelajari selok-belok bidang ini. Kami akan terus mempromosikan Pasir Gudang kepada dunia," katanya.

Sahariah pula memberitahu, selain China dan Denmark, dia juga telah menjejakkan kaki ke negara lain seperti New Zealand, England, Itali, Indonesia dan Thailand untuk bermain layang-layang bersama suaminya.

Kini, kesemua enam anaknya turut menggemari permainan layang-layang dan ia mengeratkan hubungan keluarganya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved