Khamis, 15 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Gigih siapkan perahu naga

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Pekerja melakukan kerja membaik pulih badan perahu yang rosak. - utusan/ NURSURAYA ZULKIFLI

MELAKA 14 Mei - Pertandingan perahu naga merupakan antara acara yang sering menjadi tumpuan ramai tidak kira masyarakat tempatan atau pelancong dalam dan luar negara apabila mencatat peningkatan penyertaan setiap tahun.

Sebuah perahu panjang digunakan untuk satu-satu pertandingan iaitu setiap pasukan dianggotai seramai 20 peserta termasuk seorang pemukul gendang dan ketua pasukan iaitu jurumudi serta pendayung.

Sukan ini memerlukan kerjasama pasukan yang padu iaitu kesemua pendayung dalam setiap perahu akan mengayuh serentak mengikut paluan gendang masing-masing dengan dipantau oleh jurumudi bagi menentukan haluan perahu supaya sampai ke destinasi.

Bagi tujuan itu, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) melalui unit teknikal, diberi tanggungjawab menyediakan kemudahan dan fasiliti pertandingan perahu naga.

Menjelang Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2014 hujung bulan ini, pertandingan perahu naga antara yang bakal mencuri tumpuan pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara apa lagi ketika itu adalah musim cuti persekolahan.

Bertempat di Jalan Tun Ali berhampiran Taman Rempah, sebuah bengkel yang menjalankan pembuatan dan baik pulih perahu naga bagi persediaan menghadapi pertandingan berkenaan giat menyiapkan perahu bagi pertandingan itu.

Siapa sangka daripada sebuah perahu yang buruk dan tidak digunakan lagi dibaiki dan dihias semula hingga menjadi perahu yang cantik dan kukuh.

Sejak awal April lalu, lima daripada sembilan perahu telah siap dibaikpulih dengan kesemua perahu daripada Persatuan Perahu Naga negeri.

Selain baik pulih perahu yang telah rosak, proses pembuatan aksesori seperti kepala perahu naga dan gendang turut dilakukan sendiri oleh kakitangan unit itu.

Antara bahan asas digunakan adalah gentian kaca bagi kerangka kepala naga yang terlebih dahulu direka bentuk mengikut kesesuaian selain bahan-bahan seperti simen dan polisterin.

Sebuah perahu berukuran tujuh meter panjang dan satu meter lebar mampu memuatkan 20 peserta.

Perahu sedia ada yang dibaik pulih lebih menjimatkan kos iaitu memerlukan hanya RM2,500 berbanding membeli yang baharu bernilai antara RM9,000 dan RM30,000.

Kerja membaiki perahu lebih mudah, namun cabaran yang dihadapi unit teknikal ini adalah membaiki perahu yang mengalami kerosakan teruk seperti bocor dan pecah.

Situasi itu memerlukan ketelitian dan kepakaran unit PPSPM untuk membaiki sebarang kerosakan semata-mata mahu perahu mampu disediakan menjelang pertandingan tersebut.

Setakat ini, empat buah telah lengkap dibaik pulih manakala lima lagi masih dalam penyelenggaraan dan dijangkakan pada 20 Mei ini semua kerja membaik pulih perahu akan siap sepenuhnya.

Penyediaan perahu naga yang digunakan untuk pertandingan juga sentiasa dipastikan berada pada tahap terbaik, sesuai dan selesa untuk digunakan oleh kesemua peserta.

Sementara itu Penolong Pengurus Unit Teknikal PPSPM, Zol Bedu berkata, pihak mempunyai kakitangan yang mampu menghasilkan perahu dikehendaki selain membaiki kerosakan.

Jika pertandingan ini amat menggalakkan mengapa tidak kita membina perahu untuk itu. Kita mampu dengan kepakaran dan tenaga yang sedia ada," katanya.

Festival Antarabangsa Sungai Melaka yang kini bakal memasuki edisi kelapan sentiasa menggamit kunjungan hingga mencatatkan hampir sejuta pelancong ke negeri ini sepanjang tempoh berlangsungnya acara itu saban tahun.

Selain perahu naga, antara acara menarik lain yang bakal diadakan pada festival itu adalah perarakan bot berhias, Melaka Parade, Seminar Sungai Melaka, bot kawalan jauh dan persembahan kebudayaan pelbagai etnik.

Festival Sungai Melaka 2014 akan berlangsung pada 24 Mei hingga 24 Jun ini.

Projek naik taraf lampu isyarat

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 14 Mei - Lima projek naik taraf sistem lampu isyarat oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sekitar bandar raya ini dijangka dapat mengurangkan tempoh menunggu yang lama bagi pengguna dan mengurangkan kesesakan jalan raya yang kerap berlaku.

Ahli Majlis MBMB, Saadon Abd. Hamid berkata, kesemua projek yang akan beroperasi secara rasmi pada 16 Mei ini berpotensi melancarkan lagi lalu lintas di sekitar kawasan tersebut terutamanya pada hujung minggu.

Menurutnya, lima projek bernilai RM523,452 itu melibatkan persimpangan Jalan Ong Kim Wee/Taman Kota Laksamana, Jalan Taming Sari, Jalan Hang Tuah, Jalan Pulau Gadong/Jalan Tun Teja dan Jalan Bukit Serindit.

Penaiktarafan sistem lampu isyarat ini merupakan sebahagian daripada usaha MBMB untuk mengubah imej lalu lintas bandar raya menjadi lebih baik dan secara tidak langsung dapat mengurangkan rungutan dalam kalangan pengguna.

Selain itu, penggunaan sistem baharu ini turut berupaya mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya terutamanya yang berlaku di persimpangan lampu isyarat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau projek naik taraf lampu isyarat di persimpangan Jalan Ong Kim Wee/Kota Laksamana dekat Banda Hilir, di sini hari ini.

Yang hadir sama Penolong Pengarah Kejuruteraan MBMB, Mazlan Mohd. Said dan Pengurus Operasi PPK Technologies Sdn. Bhd, M. Amir Kayani.

Jelas Saadon, kesemua lima projek tersebut yang kini dalam tempoh percubaan tersebut kemudian akan diwartakan selepas sebulan tempoh perlaksanaannya.

Selain itu, beberapa projek turut dalam peringkat kajian dan akan dilaksanakan pada masa akan datang bergantung kepada kesesuaian serta kedudukan kewangan majlis," ujarnya.

Sementara itu Mazlan memberitahu, beberapa jenis sistem digunakan MBMB dalam projek tersebut termasuklah Wireless Green Wave Link Module, Solar Amber Light dan Full VA.

Ujarnya, penggunaan sistem ini akan mampu meningkatkan aliran kenderaan di mana pengguna tidak perlu berhenti di setiap lampu isyarat secara berturutan kerana telah diselaraskan.

Dengan itu, aliran kenderaan merentasi kesemua persimpangan secara puratanya meningkat daripada 4,393 kepada 5,432 buah dalam masa sejam," tambahnya.

50 pasukan sertai pertandingan perahu naga

Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT

Baharom Majid (dua dari kanan) dan Zol Bedu (kanan) melihat kakitangan Unit Teknikal PPSPM membaiki perahu di Bengkel Melaka River Cruise, Bandaraya Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 14 Mei - Sebanyak 50 pasukan dijangka menyertai Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa Melaka bagi merebut Piala Yang Dipertua Negeri sempena Festival Sungai Melaka 2014 yang berlangsung pada 31 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Baharom Majid berkata, terdapat 25 negara yang menghantar penyertaan antaranya Hong Kong, China, Brunei, Afrika Selatan, Sepanyol dan England.

Menurutnya, pertandingan itu juga merupakan sirkit sebelum peserta menghadapi saingan merebut Piala Agong pada Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa Putrajaya.

Pertandingan ini akan diadakan di muara Sungai Melaka yang menyaksikan pendayung-pendayung bersaing menyusuri laluan sejauh 200 meter.

Hadiah bagi Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa itu akan disampaikan pada malam perasmian festival 31 Mei ini oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pembuatan Perahu Naga di Bengkel Melaka River Cruise, Jalan Tun Ali di sini baru-baru ini

Baharom berkata, sebanyak tujuh kategori dipertandingkan bagi acara perahu naga itu yang turut melibatkan pertandingan bagi peringkat kebangsaan pada 1 Jun.

Pertandingan itu turut diserikan dengan kehadiran peserta-peserta bekas pesakit kanser yang akan memakai pakaian berwarna merah jambu sebagai simbolik warna kempen kesedaran penyakit kanser," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved