Khamis, 30 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Vokasional, teknikal kian diminati

Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Adnan Yaakob (depan, dua dari kiri) bersama wakil institusi selepas majlis menandatangani MoU antara institusi latihan kemahiran milik Yayasan Negeri di Kuantan, semalam.

KUANTAN 30 Jan. - Pendidikan vokasional dan teknikal kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar kerana diyakini berupaya memperoleh pekerjaan dan gaji lumayan di serata dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, masyarakat kini perlu mengubah persepsi negatif dengan menyatakan pelajar vokasional dan teknikal adalah golongan kelas kedua.

"Satu masa dahulu ramai beranggapan bahawa pendidikan vokasional atau kemahiran dikhususkan kepada pelajar kurang maju atau gagal dalam akademik.

"Bagaimanapun, persepsi itu salah kerana kalau bandingkan dengan negara-negara Eropah seperti Jerman, pelajar yang mengikuti kelas vokasional sebenarnya mendapat sambutan dan sentiasa diberi peluang oleh industri untuk bekerja.

"Sekolah vokasional turut dinaik taraf menjadi kolej vokasional kerana negara menyedari akan keperluan dan kepentingannya pada masa kini dan akan datang," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara institusi latihan kemahiran milik Yayasan Negeri di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

MoU itu melibatkan Kolej Ikip, Kolej Yayasan Sabah, Yayasan Pendidikan Johor, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka dan Yayasan Negeri Sembilan.

Sementara itu, menurut Adnan, MoU tersebut bertujuan membangun serta meningkatkan mutu dan kualiti program latihan kemahiran dengan perkongsian ilmu, tenaga kepakaran, teknologi dan kemudahan lain.

"Saya harap ia akan memberi banyak manfaat kepada semua pihak dan dalam masa yang sama dapat mempromosikan institusi latihan kemahiran ini dalam semua aspek," jelasnya.

Perlu RM2j bina pusat pesakit mental

Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST

BERA 30 Jan. - Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang (RKWESR) dekat sini memerlukan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi membina sebuah Pusat Penjagaan Pesakit Mental.

Timbalan Pengerusinya, Jamil Karim berkata, sejak rumah kebajikan secara percuma itu dibuka lebih 10 tahun lalu, ramai dalam kalangan warga emas sama ada dibuang keluarga atau merempat dihantar ke situ.

"RKWESR bukan saja menjaga warga emas tetapi kita juga menyediakan rawatan hemodialisis kepada pesakit buah pinggang yang sekarang menjadi tumpuan orang awam dan turut menjadi pilihan kedua selepas hospital.

"Kini, kita sudah memiliki pesakit mental untuk diletakkan di kawasan ini namun kapasiti yang ada tidak mencukupi," katanya di sini.

122 saman dikeluar Ops Khas Motosikal

Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST

Anggota JPJ dan polis trafik memeriksa motosikal yang melalui Jalan Teluk Sisek dalam Ops Khas Motosikal di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 30 Jan. - Sebanyak 122 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Motosikal bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan beberapa agensi berkaitan di Jalan Teluk Sisek di sini semalam.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ negeri, Nazili Kadir berkata, operasi selama empat jam bermula pukul 8 malam itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 785 motosikal diperiksa dan pemeriksaan turut dilakukan ke atas kenderaan lain seperti kereta dan lori.

"Sebanyak enam motosikal dan sebuah kereta disita atas kesalahan tidak mempunyai cukai jalan yang sah. Selain itu, saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, amaran bertulis cermin gelap dan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Yang turut hadir dalam operasi melibatkan 74 pegawai dan anggota itu ialah Pegawai Turus Trafik Pahang, Deputi Supritendan Mohamad Noor Yusof Ali dan Ketua Operasi Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN negeri, Mohd. Razley Dollah Sani.

Menurut Nazili, tujuh lelaki yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal turut ditahan apabila pemeriksaan air kencing dilakukan AADK mendapati mereka positif dadah.

"Operasi yang dijalankan ini bukan semata-mata bertujuan mengeluarkan saman tetapi lebih kepada mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan.

"Semua ini dilakukan dalam usaha kita untuk mengurangkan kadar kemalangan yang menyebabkan jumlah kematian tertinggi pada setiap tahun terutama membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal," jelasnya.

Tambah beliau, KDN turut mengedarkan 100 risalah sepanjang operasi berkaitan penapisan filem bagi membanteras penyebaran filem lucah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved