Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
BARU-BARU ini 'orang tengah' dalam urus janji kapal selam Scorpene, Jasbir Singh Chahl telah tampil ke depan untuk menafikan sekeras-kerasnya kewujudan elemen rasuah dalam pemerolehan aset pertahanan canggih itu.
Setelah hampir lima tahun mendiamkan diri, beliau akhirnya tampil menjelaskan pembayaran RM452 juta (115 juta euro) kepada Perimekar Sdn. Bhd. adalah munasabah bagi membiayai kos khidmat pengurusan syarikat berkenaan.
Dalam wawancara eksklusif dengan sebuah akhbar, Jasbir menjelaskan syarikat itu menyediakan perkhidmatan pengurusan dan integrasi projek, menyelaraskan penglibatan syarikat Malaysia semasa fasa pembinaan serta memantau prestasi firma terlibat.
Ia juga meliputi khidmat membantu kontraktor utama mematuhi semua undang-undang dan prosedur tempatan berkaitan pelaksanaan kontrak, menguruskan soal logistik dan latihan pegawai serta anggota Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sebahagian besar daripada bayaran itu melibatkan aspek makanan dan penginapan serta semua perkhidmatan yang perlu bagi latihan 145 kakitangan TLDM dan keluarga mereka di Brest, Perancis dan Sepanyol selama tempoh enam tahun termasuk premium insurans kesihatan serta elaun saraan harian minimum 50 euro seorang.
Ketika membuat pendedahan itu, Jasbir turut menafikan beberapa tohmahan lain pihak pembangkang dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) termasuk dakwaan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berada dalam kumpulan perunding yang memuktamadkan urus janji tersebut.
Bagi kita yang sejak dahulu lagi yakin bahawa kerajaan tidak bersalah dalam isu ini sudah pasti menyambut baik pendedahan berkenaan.
Cuma yang menghairankan, kenapa masa terlalu lama diambil untuk membuat pendedahan sedangkan isu ini telah bertahun-tahun dicanang pihak pembangkang sehingga wujud persepsi tokoh tertinggi kerajaan terlibat dengan rasuah dan pembunuhan?
Kenapa wakil kerajaan tidak menemui Jasbir sendiri ketika isu mula dicetuskan pada 2008 untuk mendapatkan penjelasan bagi membolehkan fakta terbabit digunakan untuk menangkis dakyah-dakyah pembangkang?
Kelembapan kerajaan untuk bertindak dalam isu ini menghimbau kita kembali kepada satu lagi kes membabitkan dakwaan pembangkang pada 2011 bahawa laporan Ketua Audit Negara 2010 telah mengesahkan wujud penyelewengan dalam National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).
Walaupun dakwaan tersebut jelas sekali tidak berasas kerana Jabatan Audit Negara (JAN) tidak mempunyai kuasa mengaudit syarikat swasta, tiada sebarang penjelasan segera diberikan sehingga rakyat percaya dengan tohmahan tersebut.
Hanya pada Januari 2012, JAN membuat penjelasan dengan menyatakan kelemahan dikesan hanya merujuk kepada projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) di Gemas, Negeri Sembilan dan bukan NFCorp.
Menurut JAN, jika dibaca keseluruhan laporan, tidak ada pun disebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, in a mess atau pun penyelewengan.
"Perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain (pembangkang) dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan kerana sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek ini terpulanglah kepada siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata jabatan itu.
Kegagalan 'mencantas' dengan segera isu-isu politik membabitkan kapal selam Scorpene dan NFCorp ini membuatkan kita tertanya-tanya adakah kerajaan tidak mempunyai pasukan pengurusan krisis bagi menanganinya?
Jika ada, kenapa lambat bertindak untuk menyediakan fakta-fakta betul dengan kadar segera kepada menteri yang berkenaan bagi membolehkan segala tohmahan dijawab dengan pantas dan memuaskan hati rakyat?
Bagi penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin, Malaysia sudah mempunyai pasukan pengurusan krisis dalam setiap bidang, cuma masalahnya tidak semuanya cekap dalam menjalankan kerja-kerja mereka khususnya mereka yang terlibat menangkis dakyah politik pembangkang.
"Saya kira memang sudah wujud pasukan seperti ini dalam sistem yang sedia ada. Tinggal lagi kecekapan, kesiapsiagaan mereka yang dipertanggungjawabkan dalam bidang pengkhususan politik, itu boleh kita persoalkan.
"Lihat sahaja keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), pasukan yang ditubuhkan gagal mengesan petanda-petanda yang menyebabkan kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN).
"Sehubungan itu, ahli pasukan pengurusan krisis yang berkarat dan tidak menunjukkan prestasi cemerlang harus dipecat dan digantikan dengan ahli baharu," katanya yang juga bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Beliau berkata, jika pasukan baharu sudah diwujudkan, prestasi mereka harus dinilai dari semasa ke semasa dan bukannya hanya membuat bedah siasat selepas keputusan PRU-14 diumumkan.
Katanya, kelemahan pasukan pengurusan krisis bukan sahaja berlaku dalam bidang politik malah juga melibatkan isu-isu hubungan antara kaum, Islam dan media baharu.
"Bagi saya pasukan ini perlu kepada pembugaran semula dan ia perlu dilakukan dengan segera," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meminta pihak kerajaan mencontohi pasukan pengurusan krisis dalam bidang ekonomi, kewangan dan perbankan yang dilihatnya sangat tangkas dan berkesan melaksanakan tanggungjawab mereka.
"Pasukan ini seharusnya dijadikan penanda aras oleh semua pihak dan kejayaan mereka bukan sahaja kerana cepat bertindak memberi respons, tetapi dalam masa sama dapat bertindak secara betul dan segala fakta yang dikemukakan mempunyai asas kukuh," katanya.
Ditanya kemungkinan diwujudkan jawatan jurucakap kerajaan seperti 'White House Press Secretary' di Amerika Syarikat (AS) atau mencontohi kerajaan Jepun yang menyediakan wakil bagi menyampaikan status terkini kebocoran loji nuklear Fukushima, Mohd. Roslan berkata, mengikut sistem di Malaysia, para menteri yang bertanggungjawab menjadi jurucakap kerajaan.
Beliau berkata, masalah yang wujud di kalangan menteri ialah mereka tidak agresif untuk membuat kenyataan berasaskan fakta bagi menangkis dakyah pembangkang dan jika ada pun penjelasan itu, ia hanya disiarkan media arus perdana.
"Kenyataan seperti ini jarang disiarkan oleh portal berita Internet dan media sosial. Jika ada pun ia telah diputarbelitkan.
"Satu lagi yang penting ialah setiap menteri perlu mempunyai akaun Facebook, Twitter dan Instagram bagi membolehkan mereka memuat naik penjelasan dengan kadar segera," katanya.