Rabu, 31 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Anak tak kenang budi

Posted: 31 Jul 2013 12:41 AM PDT

Penat lelah Saleha membesarkan anak-anak tirinya langsung tidak dikenang.

BUKAN mahu membuka pekung di dada, namun hati tua nenek ini sebenarnya telah lama menanggung derita sehingga tidak mampu lagi menanggung seksanya.

Berusia 75 tahun dan tinggal di sebuah kejiranan di bandar besar, sepanjang hidupnya Saleha (bukan nama sebenar) tidak pernah merasa kasih sayang sebenar seorang anak.

Lima belas tahun berkahwin tanpa dikurniakan anak, Saleha yang ketika itu menetap di Perak, telah dimadukan apabila suaminya mengambil keputusan untuk bernikah dengan wanita lain di sempadan Thailand tanpa izin dan pengetahuannya.

Biarpun reda dengan pernikahan itu sementelah mengaku kekurangan diri tidak dapat memberi zuriat untuk suami, jauh di sudut hati seorang wanita, Saleha sebenarnya kalau boleh enggan berkongsi kasih.

Dengan sikap suami yang sememangnya panas baran, cepat melenting dan tidak pandai membahagikan kasih sayang, Saleha nekad untuk berpisah dengan lelaki itu.

Saleha memberitahu, dia nekad meminta cerai tetapi suaminya tidak mengendahkan permintaannya sehinggakan dia bertindak melarikan diri dan tinggal di sebuah rumah saudaranya di Kuala Lumpur.

Ditakdirkan, madunya sempat memberikan sepasang zuriat buat suaminya sebelum wanita itu juga bertindak melarikan diri kerana tidak tahan hidup dengan lelaki itu yang terlalu mengongkong.

"Madu saya dengan meninggalkan kedua-dua anaknya di bawah jagaan suami. Setahun selepas itu dia meninggal dunia kerana kanser payu dara.

"Akibat sukar untuk memelihara dua anak yang masih kecil, suami mencari saya dan meminta memelihara anaknya yang berusia tiga dan setahun itu.

"Pada mulanya saya keberatan tetapi melihatkan kedua-dua anak berkenaan tidak terurus, saya rasa simpati dan berjanji memelihara mereka. Lagi pun keluarga sebelah madu saya pun enggan memelihara anak berkenaan kerana marah dengan sikap anak dan menantunya yang berkahwin secara sembunyi," katanya ketika ditemui di rumah sewanya, baru-baru ini.

Sebaik anak-anak berkenaan diserahkan kepada Saleha, suaminya pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Ini menjadikan bebanan Saleha semakin berat kerana terpaksa menjaga anak-anak kecil itu sendirian sedangkan dia tidak bekerja.

Berkat kudrat empat kerat, Saleha berdikit-dikit menyara diri dan anak-anak berkenaan dengan menjual kuih dan nasi lemak di simpang jalan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Dengan duit itulah akhirnya saya dapat menyara anak-anak, membesar dan menyekolahkan mereka dan membayar sewa rumah dengan sedaya upaya yang termampu saya lakukan.

"Kedua-duanya saya besarkan bagai anak sendiri. Tidak timbul sekelumit dendam di hati biarpun anak-anak itu merupakan zuriat suami dan madu mak cik," kata Saleha sebak.

Sampai waktunya Saleha cuba memberitahu anak-anaknya bahawa mereka bukan dari darah dagingnya setelah mereka berusia belasan tahun.

Pada mulanya anak-anaknya dapat menerima, namun sampai satu peringkat mereka mula berubah.

Saleha pun tidak faham mengapa mereka bertindak memulaukan dan bersikap seolah-olah membenci dirinya.

Fikirnya mungkin anak-anak ini menerima hasutan daripada seseorang ataupun mereka merasakan kasih sayang mereka 'tidak setimpal' untuk dirinya yang bukan ibu kandung mereka.

Anak perempuannya bertindak keluar dari rumah sewa mereka selepas berkahwin dan jarang sekali menjenguk dirinya.

Anak sulungnya pula, seorang lelaki, biarpun duduk di dalam rumah yang sama namun hanya bersua muka sekali sekala sahaja.

"Banyak masanya dihabiskan di tempat kerja. Apa yang menyusahkan setelah dia bercerai dengan isterinya, anak-anaknya seramai empat orang berusia setahun sehingga 12 tahun itu saya yang jagakan.

"Bayangkan saya menjaga mereka secara 'percuma' sahaja kerana tidak diberi sebarang duit pun, malah saya pula yang mengeluarkan duit untuk membeli keperluan cucu-cucu," katanya.

Saleha menambah, apabila ditanya mengenai nafkah anak-anaknya, dia hanya diherdik oleh anak lelakinya itu.

"Bukanlah kedekut hendak mengeluarkan belanja, namun saya pun bukannya bekerja dan duit pun banyak digunakan untuk membeli ubat-ubat kerana saya sendiri tidak sihat," katanya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi itu.

Mendengar cerita daripada nenek tua ini minda terus berfikir, inikah balasan bagi kemuliaan hati seorang wanita yang ikhlas menjaga mereka sehingga dewasa biarpun mereka bukan daripada darah dagingnya.

Bukan hendak membantu, malah menambah lagi kesengsaraan hati nenek tua ini. Masih terngiang-ngiang kata-katanya: "Waktu saya sakit pun anak lelaki saya enggan membawa saya berjumpa doktor.

"Dia hanya bantu panggilkan teksi untuk hantar saya ke hospital, tetapi duit tambangnya, saya yang bayar sendiri."

Jenayah rogol kanak-kanak

Posted: 31 Jul 2013 12:41 AM PDT

hubungan seks yang dilakukan oleh orang dewasa kepada seorang kanak-kanak perempuan perlu dihukum seberat-beratnya. - Gambar hiasan

SALAH satu kategori penderaan terhadap kanak-kanak ditakrifkan oleh seksyen 17(1)(a) dan (b) Akta Kanak-kanak 2001 .

Takrifan penderaan berdasarkan seksyen tersebut yang pertama ialah kanak-kanak itu telah atau besar kemungkinan akan dicederakan dari segi fizikal atau emosi atau dianiayai dari segi seks oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau seseorang anggota keluarga.

Takrifan kedua ialah kanak-kanak itu telah atau besar kemungkinan akan dicederakan dari segi fizikal, emosi atau seks dan ibu, bapa atau penjaganya tahu tentang kecederaan atau penganiayaan atau kemungkinan sedemikian, tetapi tidak melindungi atau tidak mungkin akan melindungi kanak-kanak itu.

Namun penderaan seksual di bawah Akta Kanak-kanak hanya menjuruskan kepada eksploitasi seks seperti yang diperuntukan oleh S17(2)(c).

Akta ini tidak memasukkan peruntukan rogol kerana ia dimasukan dalam Kanun Keseksaan. Berdasarkan Seksyen 375 Kanun Keseksaan rogol berlaku apabila seorang lelaki mengadakan hubungan seks dengan seorang perempuan di bawah keadaan berikut:

a. Tanpa persetujuannya;

b. Tanpa kebenarannya;

c. Dengan persetujuan tetapi diberikan kerana wanita itu takut akan keselamatannya atau kerana salah tafsiran dan lelaki itu tahu persetujuan diberi secara demikian.

d. Dengan persetujuannya kerana wanita itu percaya bahawa lelaki itu suaminya dan lelaki itu tahu dia bukan suami yang sah;

e. Dengan atau tanpa persetujuan wanita bawah umur 16 tahun.

Bagi kepentingan perbincangan ini ialah pada perenggan 'e' dengan atau tanpa persetujuan wanita yang berumur di bawah 16 tahun.

Ini bermakna mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun adalah satu kesalahan rogol dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Isu persetujuan tidak timbul kerana undang-undang mengambil teori asas bahawa kanak-kanak terlalu muda untuk memahami makna persetujuan dan tidak sesuai mengadakan hubungan seks terutama pada usia yang terlalu muda. Apatah lagi dilakukan secara paksa dan haram pula iaitu sebelum bernikah.

Sebelum ini saya membincangkan sumbang mahram yang sememangnya diharamkan oleh Islam kerana hubungan akrab antara pelaku tanpa mengira persetujuan.

Jadi dalam kes rogol kanak-kanak ini (kerana kanak-kanak di bawah 18 tahun) maka persetujuan juga tidak relevan. Pelaku juga tidak dapat dimaafkan hanya kerana dia tidak tahu gadis itu bawah 16 tahun.

Tetapi peruntukan ini tidak terpakai jika lelaki dan wanita di bawah 16 tahun itu telah berkahwin secara sah.

Oleh yang demikian, peruntukkan ini secara langsung tidak terpakai kepada orang Islam yang mana di bawah peruntukan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, umur untuk berkahwin ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 bagi perempuan.

Jika pasangan ingin berkahwin di bawah umur yang telah ditetapkan oleh enakmen, maka mereka perlu memohon kepada Hakim Syarie. Biasanya permohonan dibuat oleh wali dan mahkamah akan mempertimbangkan kesesuaian perkahwinan yang dicadangkan.

Apabila mahkamah bersetuju maka akan mengeluarkan perintah kebenaran untuk bernikah.

Jadi, jika seorang lelaki misalnya berumur 25 tahun berkahwin dengan seorang wanita berumur 15 tahun dengan kebenaran Hakim Syarie, maka selepas akad nikah mereka mengadakan hubungan seks maka itu bukan rogol.

Kebanyakan kes permohonan untuk berkahwin di bawah umur adalah kerana pasangan telah terlanjur dan anak gadis telah mengandung. Pernikahan itu sebagai jalan penyelesaian menutup malu ibu bapa.

Kebanyakannya anak gadis berumur antara 14-16 tahun dan lelaki pula berumur di atas 18 tahun.

Jika ini berlaku, sebenarnya, laporan polis perlu dibuat. Manakala lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur ini perlu didakwa di bawah peruntukan Kanun Keseksaan seksyen 375(e).

Namun, dalam kebanyakan kes tiada sebarang tindakan diambil kerana tiada aduan dan kedua-dua belah pihak mengambil keputusan untuk menikahkan pasangan yang terlibat.

Sebenarnya Seksyen 375(e) tidak mengira sama ada pasangan berkahwin atau tidak. Jika seseorang lelaki itu mengadakan hubungan seks dengan seorang gadis di bawah umur 16 tahun dia tetak akan dikira merogol walaupun selepas itu mereka berkahwin.

Namun hari ini, kesukarannya ialah walaupun perbuatan itu dianggap rogol di bawah undang-undang sivil, tetapi jika tiada aduan, dan kedua-duanya serta keluarga pula bersetuju untuk menikahkan pasangan maka tindakan tidak boleh diambil.

Ada beberapa kes di mana ibu bapa gadis sangat marah dan malu dengan perbuatan anak perempuannya dan terus membuat laporan polis.

Biasanya gadis itu mengaku bahawa perhubungan tersebut dibuat dengan kerelaan.

Polis perlu mengambil tindakan dan pasangan lelakinya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah kerana mereka belum bernikah dan ibu bapa gadis tidak bersetuju untuk menikahkan anaknya dengan kekasihnya itu.

Bagi saya hubungan seks dengan gadis bawah umur jika dilakukan sebelum bernikah adalah zina dan hukumnya berdosa.

Ibu bapa perlu duduk sejenak berfikir kenapa ia berlaku dan cuba mencari jawapan untuk menghalang daripada berlaku.

Tiada gunanya mereka menyalahkan sebelah pihak dengan tuduhan rogol jika anak perempuan itu sendiri yang menyerahkan dirinya.

Saya sempat berbual dengan seorang kanak-kanak lelaki berumur bawah 18 tahun di Sekolah Henry Gurney atas kesalahan melakukan hubungan seks dengan rakan sekolahnya yang berumur di bawah 16 tahun.

Soalan yang ditanya kepada saya: "Kenapa saya sahaja yang perlu menjalani hukuman dan bukan kekasih saya? Kenapa dia (perempuan) boleh duduk di luar dan tidak dipenjara. Sedangkan apa yang kami lakukan adalah suka sama suka?"

Saya terkedu dan terus menjawab: "Di sisi Allah dia tetap berdosa kerana zina itu adalah antara dosa besar."

Anak muda berumur 17 tahun itu diam. Bila saya tanya tahukah dia bahawa mengadakan hubungan seks tanpa nikah itu dosa, dia mengangguk sambil mengakui ia adalah dosa.

Apabila ditanya mengapa masih melakukan dosa walaupun mengetahui? Akuinya, itu adalah runtunan nafsu dan bisikan syaitan.

Gejala sosial dalam kalangan remaja hari ini sangat membimbangkan dan mereka tidak mampu melawan hasutan syaitan dan kebanyakan pasangan remaja yang terlanjur, melakukan hubungan seks kerana rasa ingin tahu atau secara suka-suka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved