Isnin, 30 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sampah tidak dikutip ikut jadual

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Ishak Jamros menunjukkan timbuan sampah sarap yang terkumpul lama di hadapan rumah sampah kerana tidak dikutip oleh kontraktor pembersihan di Pangsapuri Jubli Perak di Bangi, Selangor. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB

BANGI 30 Dis. - Pangsapuri Jubli Perak nampaknya tidak segah namanya. Terletak di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini, penghuninya agak malang kerana terpaksa berdepan dengan masalah sampah yang tidak diurus mengikut jadual.

Menurut penduduk, sudahlah sampah gagal dikutip mengikut jadual, yang dilonggok di depan rumah sampah ditinggalkan begitu sahaja oleh kontraktor pembersihan.

Boleh dikatakan separuh daripada 13 blok pangsapuri setinggi lima tingkat yang mengandungi kira-kira 300 unit rumah itu mengalami masalah yang sama.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, longgokan sampah itu bukan sahaja menyakitkan mata memandang tetapi turut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Penduduk mendakwa, bungkusan sisa domestik terpaksa mereka letakkan di hadapan rumah sampah kerana kemudahan itu sering penuh dengan sampah akibat kegagalan kontraktor mengutip mengikut jadual.

Mereka mendakwa, ironinya bahan yang boleh dikitar semula yang diletakkan di hadapan rumah sampah itu dikutip pula oleh kontraktor kerana boleh dijual untuk mendapatkan wang sampingan.

Seorang penduduk, Ishak Jamros, 54, berkata, kontraktor hanya mengutip sampah yang berada di dalam rumah sampah tetapi langsung tidak menyentuh sampah yang dilonggok diluar sekiranya tiada barang yang boleh dikitar semula.

"Walhal, kelewatan mereka mengutip sampah yang menyebabkan penduduk terpaksa melonggokkan sisa buangan di situ, malah sudah beberapa kali penduduk mengambil inisiatif membersihkan longgokan itu.

"Masalah ini berulang sejak beberapa tahun dahulu," ujarnya ketika ditemui.

Sementara itu, Shahrol Azman Ishak, 27, berkata, penduduk berasa tidak selesa melihat longgokan sampah tersebut.

"Baru beberapa hari lalu saya nampak lori sampah datang memungut sampah di dalam rumah sampah selepas dua minggu tidak melakukannya, tetapi yang di luar tetap tidak dikutip.

"Kadang-kala rasa malu kalau ada rakan atau sepupu datang menziarah kami kerana baunya amat busuk terutama sekali ketika waktu hujan," ujarnya.

Sehubungan itu, penduduk berharap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyiasat perkara itu, dan jika boleh jadual kutipan sampah di perumahan mereka dapat dikerapkan untuk mengelak longgokan di luar rumah sampah semakin bertambah.

800 pelajar India miskin terima bantuan alat persekolahan

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

MOHANA Muniandy (dua dari kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, A. Prakash Rao (kanan) menyampaikan baucar bantuan alat persekolahan kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dalam majlis di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Senyuman jelas terpancar pada wajah 800 pelajar kurang bernasib baik kaum India baru-baru ini apabila diberikan baucar peralatan sekolah bernilai RM50 seorang bagi sesi persekolahan 2014 minggu ini.

Program anjuran Wanita MIC yang digerakkan serentak di seluruh negara itu menyasarkan kumpulan pelajar berkenaan yang terdiri daripada anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan melalui program 'Kembali ke Sekolah'.

Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy berkata, program itu bertujuan mengurangkan beban keluarga selain memberi semangat kepada pelajar berkenaan sebelum memulakan sesi persekolahan 2014.

Jelasnya, program itu merupakan sebahagian aktiviti amal bagi membantu dan meringankan beban keluarga miskin yang mempunyai ramai anak serta kurang mampu untuk membuat persediaan persekolahan anak mereka.

"Anak adalah aset paling berharga, apatah lagi kami sendiri dalam Wanita MIC terdiri daripada kaum ibu. Melalui program ini, kami berharap ibu bapa yang tidak berkemampuan akan mendapat manfaat.

"Memandangkan peralatan sekolah semakin mahal, lebih-lebih lagi sekiranya keluarga itu mempunyai ramai anak, Wanita MIC prihatin membantu golongan yang memerlukan ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian 'Program Kembali Ke Sekolah' di Ibu Pejabat MIC di sini baru-baru ini.

Menurut Mohana, pihaknya membelanjakan hampir RM10,000 dalam program tersebut dan akan menambah jumlah peruntukan mulai tahun hadapan.

"Ini adalah program pertama, saya harap mendapat lebih banyak tajaan pada tahun depan agar bantuan ini dapat diperluas dan menggandakan jumlah pelajar yang menerima bantuan," ujarnya.

Lebih sejuta DVD tidak ditapis, 3,000 DVD lucah dirampas

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Noor Aziah Abdullah bersama Timbalan Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Selangor, Fazi Amar Ahmad Suhimi menunjukan sebahagian DVD yang dirampas dan akan dimusnahkan selepas sidang akhbar di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM 30 Dis. - Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Selangor merampas lebih satu juta keping cakera video digital (DVD) tidak ditapis dan lebih 3,000 keping DVD lucah dalam operasi sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Noor Aziah Abdullah berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 946 operasi serbuan melibatkan premis perniagaan, kilang, pasar malam, lapangan terbang dan pelabuhan telah dijalankan sepanjang tahun ini.

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya merampas 1.19 juta DVD yang tidak ditapis atau tiada Perakuan B dan 3,468 lagi DVD lucah yang kesemuanya bernilai RM33.6 juta.

"Selain DVD, pihak kami turut merampas peralatan yang digunakan untuk menyalin atau memuat naik filem-filem secara haram seperti penyalin DVD, komputer riba, televisyen dan komputer.

"Operasi yang dijalankan di bawah Akta Penapisan Filem 2002 untuk membanteras penjualan filem tidak ditapis dan lucah itu meliputi semua premis berdaftar serta tidak berdaftar. Pada masa sama sebanyak 86 orang ditahan untuk tindakan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Noor Aziah seterusnya berkata, sebanyak 119 pertuduhan telah dibuat di mahkamah bagi mendakwa mereka yang terlibat dengan keseluruhan denda bernilai RM305,900.

Menurutnya, selain premis perniagaan, pihaknya turut menyerbu pawagam yang menyiarkan filem-filem yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa atau tidak memiliki Perakuan A.

"Kami akan meneruskan operasi serbuan bagi mematahkan kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini kerana bagi kami apa yang penting adalah keselamatan negara berbanding hiburan.

"Pihak kami juga akan sentiasa peka dengan perubahan modus operandi mereka yang sering berubah-ubah untuk memperdaya pihak berkuasa," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved