Jumaat, 23 Ogos 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Selangor tidak boleh kalah

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Mohd. Amri Yahyah

KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, Irfan Bakti menegaskan, pasukannya tidak boleh kalah apabila menerima kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini, sambil memberi amaran kepada pemain Red Giants agar tidak terlalu bergantung Francis Forkey Doe dan Mohd. Amri Yahyah untuk mencari gol.

Irfan menjangkakan pertarungan menentang ATM pasti sukar kerana lawannya juga berada dalam keadaan terdesak untuk mengutip mata selepas kalah mengejut 3-4 kepada Sime Darby pada perlawanan pertama, Selasa lalu.

Dalam memastikan tiga mata penuh menjadi miliki Selangor, Irfan menggesa semua pemainnya, termasuk di bahagian pertahanan untuk memainkan peranan mencipta jaringan dan menjadikan perlawanan dengan Johor (seri 0-0), Selasa lalu sebagai satu pengajaran.

Beliau mahu anak-anak buahnya lebih fokus dan bersedia menghadapi ancaman ATM yang diibaratkan seperti harimau luka.

Kita tidak boleh kalah dalam perlawanan ini, tambahan ATM juga berada dalam keadaan terdesak untuk bangkit selepas kalah kepada Sime Darby tempoh hari. Kita juga memerlukan kemenangan.

Semua pemain mesti berusaha mendapatkan gol buat pasukan dan jangan terlalu berharap kepada Forkey Doe dan Amri semata-mata untuk menjaringkan gol.

Pemain lain seperti K. Gurusamy dan Shukor Jusoh juga kena bertindak sama serta lebih berani membantu pasukan dalam mendapatkan jaringan, jangan hanya mengharapkan kepada penyerang sahaja, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Selangor sekadar mengutip satu mata pada perlawanan sulung Kumpulan A apabila seri tanpa jaringan dengan skuad Liga Perdana, Johor di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Mereka bakal berdepan tugas berat apabila melayani kunjungan ATM hari ini, kerana lawan kembali mendapat sentuhan penyerang import berbisanya, Grenadines, Marlon Alex James.

Perkara itu disedari oleh Irfan namun beliau tidak gentar, sebaliknya yakin Selangor akan menambah sengsara ATM buat kali kedua berturut-turut dengan kejayaan meraih tiga mata pertama di tempat sendiri.

Saya tahu ATM pasti akan tampil dengan karakter berbeza apabila bertemu kami nanti tetapi saya tidak terlalu bimbang kerana kami juga mempunyai azam yang sama untuk bangkit apatah lagi kami beraksi di tempat sendiri.

Kami akan tampil dengan persembahan yang lebih agresif dan tidak lagi mengulangi kesilapan seperti mana kita berdepan Johor tempoh hari.

Dalam perlawanan itu, pemain-pemain kami terlalu mengikut rentak lawan terutama pada separuh masa pertama," ujarnya lagi.

Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan di Shah Alam musim ini, Selangor unggul dengan kemenangan pada pusingan pertama Piala FA melalui sepakan penalti 3-2 selepas terikat 2-2 sehingga masa tambahan.

Mereka juga menang 2-1 dalam saingan Liga Super, 21 Jun lalu.

Malaysia mulakan misi buru kejuaraan Asia

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

Azlan Misron percaya, Malaysia perlu memulakan kempen Hoki Piala Asia hari ini dengan melakar kemenangan besar ke atas Taiwan untuk membantu pasukan negara muncul juara di peringkat kumpulan.

IPOH - Walaupun sudah sebelah kaki layak ke Piala Dunia di Belanda tahun depan, namun Malaysia tetap memulakan kempen Hoki Piala Asia hari ini dengan penuh bersemangat kerana membawa misi besar untuk bergelar juara buat kali pertama.

Sejak Piala Asia diperkenalkan di Karachi pada 1982, pasukan negara bukan saja tidak pernah merangkul kejuaraan, malah tidak pernah menjejakkan kaki ke perlawanan akhir. Pencapaian terbaik kita adalah menduduki tangga ketiga di Chennai, India pada 2007.

Sedar bahawa sejarah bakal terpahat seandainya kita berjaya menamatkan penantian 31 tahun, jurulatih kelahiran Afrika Selatan, Paul Revington tidak memandang mudah cabaran di Ipoh, malah menegaskan, Malaysia akan turun dengan permainan menyerang apabila menentang Taiwan hari ini.

Bagi saya kami telah 100 peratus layak ke Piala Dunia dan hanya perlu menunggu keputusan rasmi daripada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) selepas tamat kejohanan semua benua hujung tahun ini.

Namun, kami memandangkan serius Piala Asia kerana turun bersama misi mahu muncul juara buat kali pertama, tambahan pula kita adalah tuan rumah," kata Revington pada sidang akhbar di sini, semalam.

Pada kempen kali ini, Malaysia diundi bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B menampilkan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman.

Pada penganjuran empat tahun lepas di Kuantan, skuad kebangsaan sekadar menamatkan cabaran di tangga keempat selepas tewas kepada China menerusi penentuan pukulan penalti stroke.

Penyertaan Malaysia kali ini menjanjikan aksi lebih baik berikutan prestasi pasukan yang berada pada tahap meyakinkan selepas mendapat sentuhan Revington.

Corak gerakan pantas mirip pasukan Eropah yang diterapkan skuad kebangsaan bakal menggerunkan lawan, terutama jaguh-jaguh Asia seperti Korea Selatan, Pakistan dan India.

Keinginan pasukan untuk menjuarai Piala Asia kali ini juga nampak luar biasa, terutama selepas kehilangan mendiang Chua Boon Huat yang maut dalam kemalangan jalan raya pada awal bulan ini.

Menentang Taiwan hari ini boleh dianggap bukan masalah besar buat Malaysia kerana lawan berada pada ranking ke-50 dunia berbanding pasukan negara yang menghuni kedudukan ke-13.

Sementara itu, bintang tengah negara, Azlan Misron percaya, Malaysia bukan saja perlu menang hari ini tetapi menang dengan jaringan besar kerana ia penting untuk membantu pasukan negara menamatkan peringkat kumpulan selaku juara.

Ini kali pertama saya bertemu Taiwan dan bagi saya mereka mungkin mempunyai kelebihan yang tidak dapat kita jangkakan.

Walaupun kita telah layak ke Piala Dunia secara tidak rasmi, namun saya percaya menjuarai Piala Asia pasti lebih manis buat pasukan yang belum pernah meraih gelaran tersebut," kata Azlan, yang membuat penampilan kelima Piala Asia sejak 2003.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved