Sabtu, 24 Ogos 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kerajaan, universiti adakan perbincangan

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Md. Yunos Husin (dua dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Guru 2013 kepada Busah Abu Bakar di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, Melaka, kelmarin.

JASIN 23 Ogos - Kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa universiti tempatan bagi membolehkan pelajarnya di Mesir meneruskan pengajian mereka dalam negara, ekoran situasi tidak menentu daripada pergolakan yang berlaku di negara terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, langkah itu sebagai usaha dalam memastikan keselamatan para pelajar lebih terjamin sehingga keadaan di negara itu kembali stabil.

Menurutnya, jangka masa untuk mereka meneruskan pelajaran bergantung kepada keadaan di Mesir walaupun mengambil masa sehingga satu hingga dua tahun sebelum mereka dibenarkan menyambung kembali pengajian di Mesir.

"Kepada ibu bapa yang mempunyai anak masih belum pulang ke tanah air diharapkan tidak terlalu risau tentang keadaan mereka kerana kerajaan negeri melalui wakil turut berada di sana, selain Wisma Putra sentiasa memantau pelajar-pelajar kita.

"Setiap hari, kita mendapat maklumat daripada mereka di Mesir dan kerajaan telah mengarahkan badan-badan berwajib di Mesir untuk menjaga keselamatan para pelajar Malaysia di sana sementara menunggu dibawa pulang ke tanah air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru dan Aidilfitri Peringkat Daerah Jasin di Dewan Platinum Politeknik Merlimau di sini semalam.

Dalam pada itu, Yunos berkata, sebanyak 43 pelajar Melaka yang melanjutkan pelajaran di Mesir akan dibawa pulang secara berperingkat bermula hari ini menerusi penerbangan komersial dalam Op Piramid oleh kerajaan Malaysia.

Selasa lepas, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 penuntut Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Yunos berkata, sebanyak 20 pelajar daripada kumpulan itu dijangka tiba selewat-lewatnya petang ini dan kesemua mereka akan dibawa terus ke Masjid Al-Azim setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

"Baki penuntut dari Melaka yang masih berada di Mesir dijangka akan tiba dalam masa terdekat dan keselamatan mereka menjadi keutamaan kerajaan ketika ini yang mana urusan membawa mereka pulang tidak boleh dilengahkan kerana kemungkinan keadaan menjadi lebih serius," katanya.

3,000 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri MAIM

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

SEBAHAGIAN orang ramai yang memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MAIM dan JAIM di Melaka, malam semalam.

MELAKA 23 Ogos - Lebih 3,000 jemputan memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Bukit Palah di sini malam tadi.

Majlis yang diadakan selepas solat isyak itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim serta Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.

Yang hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Mufti Kerajaan negeri, Datuk Rashid Redza Md. Saleh; Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakub Md. Amin dan Pengarah JAIM, Datuk Md. Zin Mansor.

Orang ramai disajikan dengan pelbagai juadah enak termasuklah lemang, rendang, nasi himpit, sate, kambing golek, nasi briyani, cendol dan lain-lain.

Selain itu, majlis turut meraikan anak-anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah, Bukit Katil dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Jasin.

Terdahulu, Mohd. Khalil bersama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat maghrib serta majlis bacaan surah Yasin dan tahlil di Masjid Al-Azim di sini sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 tidak lama lagi.

Segera bertindak terhadap aduan pembeli

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

ISMAIL Othman (dua dari kanan) mendengar penjelasan daripada pihak pemaju dan pembeli ketika meninjau rumah di Taman Paya Rumput Perdana, Alor Gajah, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH 23 Ogos - Pemaju perumahan diingatkan supaya segera bertindak terhadap aduan yang diterima daripada para pembeli terutamanya yang melibatkan kerosakan struktur dan juga masalah dalaman rumah terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ar. Ismail Othman berkata, setiap rumah seharusnya telah sempurna dan boleh diduduki pembeli sejurus selepas kunci rumah diserahkan.

Menurutnya, kelewatan pemaju untuk bertindak memperbaiki kerosakan yang dilaporkan akan menyebabkan golongan pembeli terpaksa berdepan dengan pelbagai kesulitan termasuk membayar kos tertentu, selain bayaran kepada pihak bank.

"Adalah tidak adil apabila rumah yang sepatutnya boleh diduduki oleh pembeli terpaksa ditangguhkan kerana berlaku kerosakan tertentu dan pemaju pula tidak segera bertindak memperbaikinya.

"Pembeli telah mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli rumah berkenaan tetapi apabila tiba masanya, mereka tidak boleh masuk sebab ada kerosakan, ini semua akan membebankan pembeli," katanya ketika ditemui selepas meninjau masalah pembeli rumah di Taman Paya Rumput Perdana di sini semalam.

Pada pertemuan dengan kira-kira 10 pembeli rumah di taman perumahan itu, mereka mendakwa bahawa pihak pemaju gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan yang dibuat tentang kerosakan rumah terbabit.

Antara kerosakan yang dilaporkan adalah masalah kebocoran, kerosakan struktur serta bekalan utiliti api dan air.

Ismail berkata, selepas mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak iaitu wakil pembeli dan pemaju, beliau akan mengatur satu pertemuan dengan pihak yang terlibat bagi menyelesaikan masalah terbabit.

"Pembeli mengadu bahawa rumah mereka yang sepatutnya boleh diduduki April lepas terpaksa ditangguhkan akibat kerosakan tertentu yang telah dilaporkan kepada pihak pemaju.

"Untuk selesaikan masalah ini, saya akan aturkan pertemuan dengan semua pihak berkaitan termasuk pengurusan pemaju dan wakil penduduk dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved