Selasa, 6 Ogos 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


'Suami kuat merajuk'

Posted: 06 Aug 2013 04:11 AM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
pengaranghiburan@utusan.com.my
Gambar ROSNI MASRI

DERAIAN ketawa yang bergema di sebuah banglo di pinggir bandar Kota Bharu semasa pertemuan dengan Datuk Malek Noor, 58, dan isteri, Datin Dr. Wan Asma Wan Ismail, 53, menjelaskan segala-galanya tentang kebahagiaan pasangan 'comel' ini.

Setiap gerak geri dan kerlingan manja yang terzahir antara kedua-duanya membuktikan perkahwinan pada umur 'sangat matang' bukanlah kekurangan, bahkan berupaya membina ikatan dan perhubungan yang lebih utuh berbanding pasangan muda.

Meskipun ada kajian menyatakan tempoh lima tahun pertama adalah saat kritikal yang menentukan masa hadapan mana-mana pasangan suami isteri dalam kategori berkenaan, Malek dan Asma boleh dianggap sudah 'melepasi' tempoh ujian itu kerana perkahwinan mereka tidak berasaskan material atau kehendak duniawi.

Hakikatnya, usia pernikahan yang baru mencecah setahun empat bulan setelah diikat dengan sekali lafaz pada 12 Mac tahun lalu itu hanyalah sekadar satu kiraan masa untuk hitungan masyarakat umum.

"Saya rasa kami macam sudah 10 tahun kenal. Sedangkan saya tidak pernah minat atau tahu secara mendalam individu bernama 'Malek Noor' sebelum itu. Ini mungkin jawapan Allah kepada doa saya yang sering tertanya siapakah jodoh saya yang sebenarnya.

"Suami saya ini sangat humble dan gentleman. Saya rasa amat serasi dengannya dan sikapnya yang suka ketawa melengkapkan diri saya. Hanya dia satu-satunya lelaki yang memanggil saya 'ayang' (sayang)," kata Asma, pakar kanak-kanak di Hospital Pakar Perdana KPJ di Kota Bharu, Kelantan.

Wanita berkulit putih yang berasal dari Machang ini mempunyai tujuh orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas suami pertamanya. Beliau berkahwin dengan Malek setelah tujuh tahun menjanda.

Perkahwinan mereka telah dilangsungkan di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) kira-kira empat bulan selepas pertemuan kali pertama juga di tempat yang sama.

Asma berkata, beliau sangat bersyukur kerana ketujuh-tujuh anaknya iaitu Dr. Siti Noor Munirah Ibrahim, 31; Dr. Siti Noorlali Aiza, 29; Siti Nooraini Aisyah, 26; Siti Noormaisarah Hanun, 25; Muhammad Yusuf Hafiz, 22; Muhammad Yusuf Haris, 17 dan Siti Noormasyitah Balqis, 12, menerima Malek dengan baik.

Mega bertuah kerana dapat bertemu beliau dan Malek yang menunaikan rutin mingguan pulang ke rumah isterinya itu di Cherang, Kota Bharu baru-baru ini.

Bekas jaguh bina badan Asia tersebut berulang alik dari kediamannya di Ampang Hilir, Kuala Lumpur ke Kota Bharu selama beberapa hari setiap minggu memandangkan isterinya tidak berapa menggemari suasana hiruk pikuk di ibu kota dengan udara yang tercemar.

MALEK diterima dengan penuh kasih sayang dalam keluarga besar Dr. Wan Asma.

Malek yang masih menjadi pengarah dan pengerusi kepada beberapa buah syarikat di Kuala Lumpur memberitahu, beliau juga lebih suka kepada suasana tenang di negeri seperti Kelantan dan sudah merancang untuk terus menetap di sana akhir tahun ini.

"Sekarang apabila balik ke Kota Bharu, saya banyak menghabiskan masa di rumah sahaja dan di kedai kopi milik bekas pembantu yang juga sahabat baik saya, Nik Mahmod Nik Yusuf di Kampung Sungai Keladi.

"Isteri saya mempunyai tanggungjawab besar sebagai doktor pakar kanak-kanak. Jadi, masa kami bersama agak terhad. Lebih-lebih lagi apabila masih tinggal berjauhan.

"Saya sangat memahami dan sedar betapa khidmatnya diperlukan di sini. Kalau terpaksa makan seorang diri kerana isteri sibuk di hospital atau on call pada tengah malam, itu bukan masalah besar kerana saya sudah lama hidup bujang," akuinya.

Bagaimanapun Malek yang menyukai masakan dari 'air tangan' isterinya terutama ikan asam pedas dan gulai ayam mengakui menelefon Dr. Wan Asma dari Kuala Lumpur lapan sehingga 10 kali setiap hari untuk bertanya khabar.

"Bukan kerana saya cemburu, tetapi hati saya sentiasa rasa perlu untuk menghubunginya. Allah beri perasaan cinta untuk saya menjaga isteri saya. Malah sebenarnya perasaan sayang saya kepada isteri makin menebal lebih daripada hari-hari pertama kami berkahwin," katanya.

Mendengar jawapan Malek tersebut, Dr. Wan Asma secara bergurau mendedahkan suaminya yang dibahasakan 'abang' itu suka merajuk terutama jika panggilan telefon tidak dijawab.

"Pernah satu ketika saya tidak perasan panggilannya sudah masuk beberapa kali. Apabila tersedar serta cuba menelefonnya semula, dia tidak mengangkat telefon sehinggalah keesokan hari.

"Apabila saya tanya abang merajuk lagi ke? Dia menjawab 'ya'. Tetapi dengan bunyi hilaian ketawa kecil. Saya sudah tahu perlu memberi dia masa untuk 'sejuk' kerana itulah pesanannya dari awal perkahwinan lagi jika saya mendapati dia merajuk atau diam tiba-tiba," katanya.

Ketika ditanya tidakkah beliau sendiri cemburu apabila Malek selaku figura yang dikenali ramai dan mempunyai banyak peminat terutama wanita sering berada jauh dari mata, Asma berkata, beliau yakin suaminya seorang lelaki yang takutkan Allah.

KEHADIRAN Nik Nur Amalin Aishah, 4 tahun sebagai anak angkat menjadi penyeri kehidupan Malek dan isteri.

Lelaki yang 'ingat tuhan' tidak akan berbuat perkara yang melampaui batas.

"Perasaan cemburu itu memang ada. Tetapi saya percaya jika abang mahukan wanita yang lebih cantik, lebih muda, dia sudah dapat mencarinya dari dulu lagi sebelum mengenali saya," katanya.

Malek turut mengiyakan jawapan isterinya dan mengakui memang ada perempuan yang berani mengajaknya keluar makan atau dating. Namun katanya, beliau menolak dengan baik dan menjelaskan sudah beristeri.

Malah, katanya, beliau juga menolak jika ada peminat yang mahu mengambil gambar berdua bagi mengelak timbulnya sebarang tohmahan dan spekulasi.

"Saya ada ramai kenalan wanita di Facebook dan juga rakan perniagaan tetapi persahabatan kami bagi saya setakat itu sahaja.

"Saya beritahu sesiapa sahaja termasuk yang bertaraf 'datin' yang mengajak keluar 'minta maaf, saya sudah ada isteri dan saya hargai perkahwinan saya,'" katanya.

Malek yang 'berhijrah' dari kehidupan lamanya sejak 12 tahun lalu berkata, beliau bersyukur dengan kurniaan Allah yang tidak putus kepadanya terutama selepas dia mengambil anak perempuan rakannya Nik Mahmod iaitu Nik Nur Amalin Aishah, 4, sebagai anak angkat sejak usianya dua minggu.

Katanya, tuah datang berturut-turut apabila beliau mendapat gelaran 'Datuk' daripada Sultan Pahang pada 2010, berpeluang mengerjakan ibadat umrah pada 2011 dan mendapat isteri pada 2012.

Jelasnya, pada tahun ini pula beliau dan Dr. Wan Asma dijangka akan berangkat ke Mekah menunaikan haji bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu.

"Saya sangat bersyukur kerana Allah pandang saya dan beri hidayah kepada orang macam saya.

"Sebab itu setiap malam saya bangun menunaikan solat sunat taubat, solat hajat dan solat sunat syukur mengenangkan nikmat yang Allah berikan.

"Saya amat takutkan Allah dan berharap orang lain juga mendapat hidayah seperti saya.

"Jangan bertangguh apabila ada niat untuk berubah kerana kita tidak akan sekali-sekali boleh menangguhkan saat kematian," katanya.

Dalam pada itu, ditanya persiapan sambutan Hari Raya pada tahun ini, Malek berkata, beliau dan isteri merancang untuk melawat semua keluarga adik-beradik isterinya yang berjumlah 17 orang di Tanah Merah, Machang dan lain-lain tempat.

Jelasnya, mereka juga akan mengadakan rumah terbuka di rumahnya di Cherang, Kota Bharu pada 17 Ogos ini dan menjemput semua yang mengenali datang memeriahkan majlis.

Pulanglah ibu, anakmu merinduimu

Posted: 06 Aug 2013 04:11 AM PDT

Oleh ROSMAH DAIN
Gambar WAHIDAH ZAINAL

SUDAH hampir setahun berlalu, mungkin doa anak-anak kecil ini untuk bertemu dan mengharapkan ibu mereka kembali ke pangkuan mereka belum lagi dimakbulkan Allah.

Seperti kanak-kanak lain yang mempunyai ibu dan bapa, sudah tentu mereka juga mahukan kasih sayang ibu lebih daripada segalanya.

Malangnya, hanya kerana menghadapi masalah dan berlakunya perselisihan faham dengan bapa anak-anak ini, si ibu keluar rumah sehelai sepinggang dan sanggup meninggalkan anak-anak yang masih kecil tanpa khabar berita.

Apa yang menjadi masalah, kini nenek mereka, Jariha Mohd. Ali, 75, terpaksa pula menjaga mereka kerana bapa mereka sibuk bekerja.

Dipanggil dengan nama timangan Aqil, 10, Suhada, 9, dan Nurul, 6, yang menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur, ketiga-tiga beradik itu dijaga oleh Jariha yang juga turut mengalami masalah kesihatan akibat kencing manis dan darah tinggi.

"Saya dah tua, banyak penyakit. Rasa penat juga hendak menjaga cucu-cucu ini tapi apakan daya, kalau nenek tak jaga, siapa lagi yang bertanggungjawab untuk menjaga mereka.

"Tidak sampai hati saya nak halau mereka balik ke rumah bila sejak pagi lagi mereka telah diletakkan di luar pintu rumah oleh bapa mereka. Mahu tidak mahu saya uruskan jugalah budak-budak ini," katanya yang nampak agak keletihan.

Begitupun bagi Jariha, menjaga tiga orang cucunya itu bukanlah satu masalah buat dirinya memandangkan semua mereka sudah besar dan boleh berdikari.

Cuma apa yang Jariha mahukan, menantunya itu pulang semula dan menjenguk anak-anaknya menjelang Aidilfitri ini.

"Perselisihan antara dia dan anak saya itu harap diketepikan dahulu demi anak-anak. Yang penting Aidilfitri ini nanti jenguklah anak-anak kerana mereka semua amat merindui ibu mereka," katanya.

Jariha bercerita, semenjak ketiadaan ibu, anak-anak itu sering bertanya mengenai ibu mereka.

"Anak-anak ini rapat dengan ibu mereka. Masa mula-mula ibu mereka pergi meninggalkan mereka, setiap hari bertanya di manakah ibu mereka berada.

"Apa yang saya boleh bagi tahu hanyalah ibu pergi sekejap sahaja, namun malangnya sehinggakan kini usahkan bertanya khabar, telefon pun tidak pernah.

"Kini sudah hampir setahun saya memberikan mereka harapan sehinggakan tidak tahu lagi apa yang bakal hendak dijawab apabila anak-anak ini bertanyakan mengenai ibu mereka," katanya.

Jariha memberitahu, sebelum ini dia sudah membuat susulan dan mencari di manakah ibu mereka berada, malah bertanya dengan kaum keluarganya namun tidak mempunyai jawapan yang tepat.

Jariha berkata, selalunya bila Aildilfitri ada juga cucu-cucunya itu berbaju baharu biarpun hanya sepasang, tetapi mereka amat gembira.

Kini, katanya tidak seorang pun daripada mereka menyebut untuk membeli baju baru. Malah pada 1 Ramadan dahulu mereka cukup seronok berpuasa dengan harapan ibu mereka akan kembali menjelang raya. Namun setelah beberapa hari mereka nampaknya semakin hampa," kata Jariha.

Apa pun nenek tua ini tetap cuba menghiburkan hari cucu-cucunya dengan membuat beberapa jenis kuih kegemaran mereka.

"Tidak seperti selalu mereka akan bertanya apakah kuih yang akan dibuat bersama ibu mereka, kali ini mereka semua tidak begitu. Malah rasanya mereka tiada rasa hendak meraikan hari raya seperti selalu," tutur Jariha.

Jariha berharap pada hari baik, bulan baik ini, ibu kepada cucu-cucunya itu akan segera kembali menemui anak mereka untuk melampiaskan rindu mereka selama ini terutamanya pada Aidilfitri nanti.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved