Ahad, 4 Ogos 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tujuh penyamun hotel tumpas

Posted: 03 Aug 2013 10:22 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 3 Ogos - Polis menahan tujuh lelaki yang merupakan kumpulan samun hotel yang berleluasa di sekitar bandar raya ini.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee, polis menangkap dua lelaki dan merampas sebuah peti besi yang dipecahkan di garaj rumah berkenaan kira-kira pukul 2 petang, 24 Julai lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif (gambar) berkata, polis mendapati peti besi tersebut sama dengan peti besi yang disamun di sebuah hotel di Setia Indah pada 18 Julai lalu.

"Ekoran tangkapan itu, pihak polis mengesan dan menangkap lima lagi lelaki dipercayai daripada kumpulan yang sama ketika mereka menginap di sebuah hotel di Stulang Laut.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, walkie-talkie, peralatan menyamun, pedang samurai dan sebuah kereta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Tambah beliau, kesemua tujuh lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu memiliki rekod jenayah di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api.

Katanya, ketujuh-tujuh suspek itu juga didapati positif dadah dan ditahan reman sehingga 5 Ogos ini dan bakal didakwa di bawah seksyen yang sama.

Mohd. Mokhtar berkata, susulan tangkapan ini pihaknya yakin berjaya menyelesaikan kira-kira 16 kes samun di sekitar Iskandar Malaysia.

800 anggota bomba Johor 'korban' cuti raya

Posted: 03 Aug 2013 10:22 AM PDT

AB. Ghani Daud (barisan ketiga, tengah) bersama pegawai-pegawai bomba yang menerima penyerahan kuih raya dalam Majlis Penyerahan Kuih Raya dan Pelancaran Ops Raya di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Johor, Kangkar, Tebrau, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 3 Ogos - Sebanyak 800 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri terpaksa 'mengorbankan' cuti raya masing-masing demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan penduduk menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Daud berkata, anggotanya yang bekerja ketika sambutan hari raya akan datang telah diberi tugas untuk mengawal dan memantau persekitaran dalam usaha mencegah, menghadapi dan menangani sebarang tragedi yang berlaku kelak.

"Bukan Aidilfitri sahaja, bahkan setiap kali tiba musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Natal, kami akan melaksanakan sebuah program tahunan iaitu Program Persediaan Musim Perayaan.

"Ini bertujuan supaya anggota yang bertugas siap siaga berkhidmat jika berlaku kejadian yang tidak diingini sepanjang perayaan tersebut," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kuih Raya dan Pelancaran Ops Raya di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor, Kangkar Tebrau di sini semalam.

Tambah Ab. Ghani, menerusi program tersebut, pelbagai langkah telah diambil untuk memberi khidmat operasi menyelamat dengan pantas dan berkesan.

Dalam pada itu, menurut beliau, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba & Penyelamat (Perisma) turut menyediakan bekalan kuih raya untuk diagihkan kepada anggota yang bertugas pada hari raya nanti.

"Ini adalah program tahunan Perisma seperti mana persatuan-persatuan isteri anggota beruniform lain. Walaupun diadakan saban tahun, keikhlasan ahli Perisma terserlah dengan kesungguhan mereka berkumpul beramai-ramai menyiapkan kuih-muih tersebut secara gotong-royong," katanya.

Ujar beliau, ini adalah satu program yang perlu diteruskan sampai bila-bila agar anggota yang bertugas sedikit-sebanyak dapat mengecapi nikmat berhari raya walaupun tanpa keluarga di sisi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved