Isnin, 24 Jun 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


32 ditahan merusuh di Parlimen

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian peserta perhimpunan haram melakukan provokasi terhadap anggota-anggota polis ketika cuba bertindak merempuh bangunan Parlimen, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 24 Jun - Majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini 'tercemar' dengan tindakan biadab kumpulan penyokong parti pembangkang yang merusuh dan mahu merempuh masuk ke bangunan itu.

Selain berhimpun seawal pukul 8.45 pagi, kumpulan perusuh itu mencetuskan kekecohan apabila berbaring di atas jalan kira-kira 500 meter dari pintu masuk Bangunan Parlimen iaitu di Jalan Parlimen-Jalan Mahameru.

Mereka turut memaki hamun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa tidak adil serta melemparkan kata-kata kesat meminta pemimpin suruhanjaya itu meletak jawatan.

Kekecohan bermula kira-kira pukul 10.50 pagi apabila sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dipimpin Adam Adli Abdul Halim cuba merempuh kawalan polis untuk memasuki pekarangan Parlimen.

Rempuhan ganas kumpulan itu mengakibatkan beberapa anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor cedera selepas diserang dan dipukul oleh perusuh tersebut.

Polis terpaksa menahan beberapa perusuh kumpulan itu dan pada masa yang sama peserta perhimpunan lain menghamburkan kata-kata kesat kepada anggota keselamatan yang berkawal menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Parlimen.

Insiden ganas yang berlangsung selama 40 minit kembali reda selepas pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali Cikgu Bard dan Adam Adli menyerah diri kepada polis.

Kumpulan perusuh itu mula bersurai dan menuju ke Padang Merbok pada pukul 12.05 tengah hari selepas diarahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh mengesahkan pihaknya menahan sebanyak 32 perusuh kerana membuat kecoh dan merempuh kawalan polis di sekitar Bangunan Parlimen hari ini.

Menurut beliau, mereka terdiri daripada 29 lelaki dan tiga wanita termasuk Cikgu Bard dan Adam Adli.

"Peserta perhimpunan telah membuat provokasi dengan membaling botol air, telur dan menyimbah cat terhadap anggota polis yang bertugas.

"Bagaimanapun polis berjaya mengawal keadaan tersebut dan meneruskan kawalan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan di Bangunan Parlimen terjamin," katanya dalam laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Perhimpunan anjuran pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan itu dianjurkan di Padang Merbok oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula kelmarin.

Himpunan yang gagal mendapat sambutan itu turut dicemari insiden ganas termasuk kejadian dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikasari.

Husam dibebas dengan ikat jamin RM3,000

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Husam Musa

KOTA BHARU 24 Jun - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 oleh seorang penjamin selepas ditahan polis selama dua hari bermula kelmarin.

Perintah jaminan itu dikeluarkan Majistret Nik Habri Muhamad kira-kira pukul 4.30 petang ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor ditahan di Desa Pandan, Ampang, Selangor, pada pukul 3.40 petang atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Beliau diwakili lima orang peguam iaitu Hisham Fauzi, Abdul Rashid Yah, Shaharuddin Mohamed, Nik Baharom Nik Abdullah dan Wan Razak Wan Dolah.

Hisham ketika ditemui di pekarangan IPD Kota Bharu selepas prosiding berkata, polis tidak membuat sebarang permohonan untuk menambah tempoh reman manakala permohonan pihak pembelaan supaya anak guam mereka dibebaskan dengan jaminan telah diterima.

"Tempoh jaminan ini adalah selama sebulan dan selepas itu pihak pendakwaan boleh membuat keputusan sama ada mahu menjalankan pertuduhan di mahkamah atau meneruskan lagi jaminan.

"Semua proses hari ini berjalan lancar dan anak guam kami juga sudah dibebaskan selepas wang jaminan itu dibayar oleh seorang penjamin," katanya.

Penahanan Husam dibuat berhubung satu laporan polis di Ketereh di sini pada 12 Jun lalu berkaitan ucapan berbaur hasutan yang dibuatnya ketika memberi ucapan pada perhimpunan pembangkang di Padang Majlis Daerah Ketereh.

Beliau keluar dari lokap kira-kira pukul 5 petang ini dengan diiringi isterinya, Datin Rohana Abdul Rahman dan dua anak lelakinya serta beberapa pemimpin Pas Kelantan.

Ketika ditemui selepas itu, beliau menyatakan itu adalah pengalaman pertamanya 'bermalam' di dalam lokap dan mengakui pihak polis telah memberi layanan profesional kepadanya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada polis kerana layanan yang sangat baik, tiada herdikan. Mereka telah memberi layanan yang sangat profesional kepada saya.

"Ini pengalaman pertama saya tidur atas lantai dalam lokap dengan berbantal lengan. Keadaan memang agak panas saya berpeluh sepanjang masa tapi tidak mengapa ia baik sebagai sauna dan saya juga dapat tidur lena malam tadi," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved