Khamis, 30 Mei 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kak Leha srikandi negara

Posted: 29 May 2013 11:53 PM PDT

Gambar kenangan... Zaleha Ismail bersama suami, Allahyarham Abdul Rahman Ali, anak-anak, menantu dan cucu-cucunya.

"SELAGI terdaya dan ada kudrat saya akan terus bekerja untuk mereka yang memerlukan. Inilah sumbangan saya kepada masyarakat dan negara," demikian kata-kata hikmat yang terbit daripada bibir Tan Sri Zaleha Ismail, bekas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Keluarga.

Di kalangan media era dahulu, beliau lebih mesra di sapa Kak Leha, malah sehingga kini wartawan veteran yang bertemunya masih memanggilnya Kak Leha. Beliau bukan setakat sumber tetapi juga sahabat dan kakak.

Banyak yang dipelajari daripada beliau yang tidak kedekut berkongsi ilmu dan pengalaman terutama dalam memperkasa wanita Malaysia.

Sifat keibuannya jelas dan beliau antara orang politik yang dekat di hati orang media tanpa mempedulikan protokol.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Zaleha memulakan kerjanya sebagai DJ radio di RTM ketika masih di bangku sekolah secara sambilan.

Suaranya ketika itu boleh didengar melalui rancangan Dunia Wanita, Apa Nak Masak Hari ini di samping mengendalikan rancangan Perkhidmatan Inggeris.

Politik dan kerja amal

Sebati dengan jiwanya yang suka menolong orang, kerja-kerja amal telah berputik dalam dirinya sejak di alam persekolahan lagi.

"Saya buat ini semua kerana ingin membantu orang yang memerlukan. Persatuan Pandu Puteri, Brownie, Palang Merah, dan macam-macam persatuan lagi menjadi tempat saya menyemai minat yang satu ini.

"Melalui program yang dianjurkan saya dapat membantu orang ramai yang perlukan bantuan. Secara tidak langsung saya dapat bergaul dan berkongsi pengalaman hidup dengan mereka," katanya mengimbau masa lalu dalam pertemuan di Ibu pejabat Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak hanya kerja amal, pada zaman remajanya Zaleha juga aktif dalam bidang seni. Menari, menyanyi, bersajak dan berpantun menjadi sebahagian daripada minat yang tidak boleh dipisahkan lagi.

"Menginjak dewasa saya berjinak-jinak dalam politik. Nyata nasib menyebelahi saya. Seronok pula berpolitik kerana ia mengajar kita banyak perkara, tentang tanggungjawab, ketelusan dan kejujuran dalam memikul amanah yang diberikan," ujarnya tenang dalam nada optimis seorang wanita yang telah banyak makan garam.

Biarpun sudah bersara daripada kerajaan, jiwanya masih sarat dengan semangat. Lebih membanggakan beliau kini memegang beberapa jawatan penting dalam pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Antaranya, Pengerusi Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia dan Pengerusi Yayasan Suara Wanita.

Dilahirkan pada 18 Mei 1936 di Kampung Batu Laut, Kuala Langat, Selangor, Tan Sri Zaleha merupakan anak sulung daripada sembilan adik beradik .

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sungai Pelek dan memiliki Ijazah Sarjana muda Sastera dengan kepujian dari Universiti Malaya pada 1961.

Kerjaya politiknya bermula sejak 1974 apabila beliau menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Kebajikan Masyarakat.

Khidmat baktinya menyerlah sehingga beliau diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat Permatang, Selangor dan exco wanita pertama Selangor pada 1978.

Pada Mei 1995 beliau dilantik sebagai Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat sehingga 1999.

Pun begitu tanpa jawatan dalam kerajaan wanita perkasa ini masih terus menabur bakti untuk anak bangsa.

"Saya tidak boleh duduk diam tanpa berbuat sesuatu sebab sudah biasa sibuk. Rasa lain jika tidak bekerja. Anak-anak juga tidak pernah menghalang sebab mereka tahu saya harus 'sibuk' untuk menceriakan hidup saya.

"Lagipun saya gembira melakukan kerja ini kerana ia memberi manfaat. Biarpun sikit ia tetap ada dan memberi makna kepada masyarakat," ujarnya yang tidak mengharapkan jawatan atau ganjaran apabila memilih untuk menceburi bidang politik.

Memperkasa wanita

Desakan jiwa yang ingin melihat wanita diangkat ke persada negara menyebabkan Zaleha sanggup pergi ke seluruh dunia menghadiri pelbagai program dan seminar membabitkan wanita dengan harapan ia boleh dilaksanakan untuk wanita Malaysia.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk melihat wanita di negara ini maju dan diterima di peringkat global.

"Alhamdulillah usaha itu berbaloi apabila kerajaan bersetuju menubuhkan Unit Wanita diikuti dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA) dan seterusnya lahirlah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat," ceritanya bangga.

Katanya lagi, wanita Malaysia sepatutnya berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf kepentingan wanita dalam pembangunan negara.

"Kita diberi peranan dan hak bersuara melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan buktinya kini jelas di mana wanita menjadi tulang belakang pembangunan negara hari ini," katanya.

Ibu bapa jadi idola

Menyentuh tentang masa silam, tidak dinafikan di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Begitulah yang dialami Zaleha. Sikap, semangat dan keperibadiannya banyak dipengaruhi oleh ibu dan ayahnya.

"Ayah saya seorang yang tegas dan mempunyai wawasan yang jauh. Dia tidak pernah menyekat saya untuk maju walaupun saya seorang perempuan.

"Saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak sulung sebab saya diberi kebebasan untuk mendapatkan pendidikan sempurna. Apabila saya beritahu bapa yang saya ingin belajar di sekolah Inggeris dia terus setuju," ungkap Zaleha.

Menurut beliau lagi, zaman persekolahannya amat perit. Namun ia memberi pengajaran yang amat berguna dalam usaha membina jati diri dan semangat untuk beliau berjaya.

"Saya bukan datang dari keluarga senang. Setiap hari saya berjalan kaki sejauh 10 kilometer pergi dan balik sekolah tanpa kasut. Tapi itu semua tidak sekali kali melemahkan semangat saya untuk belajar sungguh-sungguh,'' katanya yang menjadikan bapanya sebagai sumber inspirasi dan idola.

Kerja-kerja amal yang tertanam dalam dirinya juga hasil melihat bagaimana bapanya menjalankan tugas sebagai seorang penghulu.

"Rumah saya sentiasa dipenuhi dengan penduduk kampung yang mahu mendapatkan nasihat dan meminta bantuan. Saya melihat bagaimana bapa melayan mereka dan berbakti kepada orang kampung. Saya juga membantu bapa buat kerjanya setiap hari.

"Dari situ saya belajar menyusun kerja dan mendalami bidang pentadbiran. Apabila saya terlibat dalam politik saya lakukan perkara yang sama terutama setelah saya menjadi wakil rakyat. Secara ikhlas saya lakukan ini semua demi rakyat bukan untuk diri saya," katanya jujur.

Seperti orang lain Zaleha juga tidak pernah lupa akan jasa dan pengorbanan ibunya. Kasih sayang ibu akan tersemat dalam hati sampai bila-bila.

"Arwah ibu juga banyak mengajar saya tentang kehidupan. Dari arwah juga saya belajar menjadi wanita, isteri, ibu dan nenek yang baik. Saya juga diajar menjahit dan memasak.

"Biarpun mak saya tidak bersekolah tetapi dia cekap dalam membuat kerja rumah. Mak saya cukup mahir dalam kerja menyulam dan menekat. Dulu masa sekolah saya jahit baju sendiri tapi bila masuk politik saya terpaksa meninggalkan minat saya itu kerana tidak ada masa,'' tambahnya tersenyum. - Normala Hamzah

Minat jadi perniagaan

Posted: 29 May 2013 11:53 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar Koleksi Sew Sweet DesignS

Nadhrah Maidin menunjukkan sebahagian daripada cenderamata hasil kerja tangannya.

PAKAR motivasi berkali-kali mengatakan bahawa minat adalah asas kejayaan sesuatu pekerjaan.

Bersandarkan kata-kata itu juga, Nadhrah Maidin memulakan perniagaan jahitan.

Semuanya atas dasar minat terhadap fabrik kapas Amerika, yang coraknya sangat menarik perhatian wanita tersebut.

Memastikan minatnya itu tidak sia-sia, Nadhrah yang meraih latihan asas jahitan hanya melalui trial and error ketika berusaha menghasilkan pelbagai barangan contoh sebelum mula menjual.

"Sew Sweet Designs telah beroperasi sejak satu setengah tahun lalu. Sebelum itu saya mengambil masa dua hingga tiga bulan membuat barangan contoh.

"Sew Sweet Designs menawarkan produk produk berdasarkan cendera mata buatan tangan dan menitikberatkan produk yang bersifat peribadi. Sebagai contoh, pelanggan boleh memilih kain sendiri dan menyulam nama.

"Saya sentiasa berfikir apakan produk yang praktikal , sesuai digunakan dan tidak terdapat di kebanyakan kedai.

"Dari situ saya mula membuat rekaan dan contoh produk. Saya olah produk itu sehingga sesuai untuk dijual," jelas Nadhrah yang ditemui di Souq @Villa 16, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menariknya, walaupun baru, koleksi idea Nadhrah telah meraih perhatian ramai pelanggan daripada pelbagai kaum, jantina dan peringkat umur. Kebanyakan pelanggan beliau terdiri daripada orang yang menitik beratkan hadiah yang bersifat peribadi dan unik.

"Buat masa sekarang saya hanya menjual di Facebook dan bazar hujung minggu. Saya berkerja seorang dan tidak mempunyai pekerja. Saya masih belum berkemampuan untuk menjual besar-besaran.

"Kebanyakan pelanggan memang tak boleh saya lupakan. Setiap mereka akan pasti menghubungi saya menyatakan perasaan gembira setelah mendapat hasil kerja tangan saya. Perasaan gembira mereka menceriakan hidup saya.

"Sudah tentu saya berasa puas bila saya menjahit sama ada untuk pelanggan atau sebagai produk contoh. Hasil terakhir adalah satu nikmat di mana saya curahkan sepenuh tenaga dan masa saya untuk menyiapkannya.

"Saya pernah bekerja makan gaji dengan syarikat swasta sebelum ini. Kepuasan bekerja menjahit dan menghasilkan sesuatu yang pelanggan suka adalah satu perasan yang sangat menggembirakan. Sangat berbeza dengan kerja makan gaji," jelasnya lagi.

Apabila berniaga sudah tentu ada harapan untuk mengembangkannya pada tahap tertentu.

Nadhrah juga berharap agar dapat mengembangkan perniagaannya dengan membuka kedai hadiah dan cenderahati yang unik dimana orang ramai boleh mendapat hadiah yang personal dan tidak didapati di merata tempat.

"Saya boleh dihubungi di talian telefon bimbit 012 6081898 atau di facebook https://www.facebook.com/sSweetDesigns."

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved