Jumaat, 17 Mei 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pesawat MAS mendarat cemas, terbang dengan satu enjin

Posted: 17 May 2013 02:58 AM PDT

Oleh FARHANA JONI

KUCHING 17 Mei - Sebuah pesawat Malaysia Airlines System (MAS) mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini tengah hari ini selepas salah satu enjinnya mengalami masalah teknikal.

Pesawat MH 2564 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10.05 pagi itu melakukan pendaratan sedemikian pada pukul 12.05 tengah hari.

Sumber Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) Kuching memberitahu, juruterbang pesawat tersebut terpaksa melakukan pendaratan menggunakan satu enjin sahaja.

"Namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu. Kira-kira 200 penumpang serta anak kapal yang berada dalam pesawat itu selamat," katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun terpaksa memberi laluan kepada pesawat itu mendarat cemas namun jadual penerbangan lain tidak terjejas teruk.

Katanya, punca kejadian tersebut masih dalam siasatan pihak MAS. - UTUSAN ONLINE

Jangka hayat wanita Malaysia kini 79 tahun - Kajian

Posted: 17 May 2013 01:41 AM PDT

KOTA BHARU 17 Mei - Kajian akademik terbaharu mendapati purata jangka hayat wanita Malaysia kini meningkat kepada 79 tahun berbanding 77 tahun yang dilaporkan dua tahun lalu manakala jangka hayat lelaki pula kekal di paras 77 tahun.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Khalid Yusof berkata, jangka hayat lelaki yang lebih pendek berpunca daripada kegagalan mereka mengamalkan cara hidup lebih sihat dan mudah terdedah kepada risiko pelbagai jenis penyakit.

"Perbezaan ini berlaku kerana golongan lelaki adalah individu yang lebih terdedah kepada risiko mendapat pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, strok, buah pinggang, diabetes, kanser dan banyak lagi.

"Kurangnya amalan menjaga kesihatan kerana lebih mementingkan urusan kerja seharian menyebabkan golongan lelaki lebih berisiko berbanding wanita," katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Hipertensi Sedunia di Balai Rukun Tetangga Ketereh di sini hari ini.

Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012 dikeluarkan pada tahun 2011 mendapati, jangka hayat lelaki Malaysia ketika itu adalah secara purata 71.9 tahun manakala golongan wanita ialah 77 tahun.

Dr. Khalid berkata, golongan wanita di negara ini lebih peka kepada penjagaan kesihatan malah kesedaran untuk berjumpa dan mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan amat tinggi berbanding lelaki yang lebih gemar bergantung kepada ubat-ubatan tanpa rawatan susulan.

"Inilah yang berlaku iaitu wanita sanggup menerima rawatan tetapi lelaki lebih gemar ambil ubat tanpa berjumpa pakar dan disebabkan terlalu bergantung pada ubat inilah pelbagai jenis penyakit lebih banyak menyerang orang lelaki," katanya. - UTUSAN ONLINE

Raja Perlis mahu rakyat mantapkan kembali perpaduan

Posted: 17 May 2013 12:22 AM PDT

KANGAR 17 Mei - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu rakyat memantapkan kembali ikatan perpaduan yang menjadi asas utama ke arah mengekalkan negara berdaulat.

Baginda bertitah masa untuk bertelagah kerana perbezaan fahaman politik tidak perlu dipanjangkan kerana pilihan raya umum ke-13 telah berlalu.

"Kita haruslah bersatu, berkongsi kesusahan dan meraikan kesenangan yang membanggakan negara secara bersama.

"Pepatah Melalu yang menyebut "kuah sama dihirup, sambal sama dicolek" adalah releven bagi menyatakan tentang perpaduan rakyat di negara ini," titah baginda pada istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-70 di Istana Arau hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddn turut berharap segala projek pembangunan yang dirancang di Perlis mencapai sasaran termasuk projek pelaburan seperti Taman Teknologi Pauh Putra, Perlis Halal Park, depot pelepasan darat serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana yang mempunyai impak ekonomi yang tinggi.

Selain itu usaha kerajaan negeri menjadikan Perlis sebagai hab pendidikan perlu dipergiatkan termasuk menambah institusi pengajian tinggi seperti mewujudkan Kolej Universiti Islam Perlis dan Kolej Risda, titah baginda.

Baginda turut menekankan tentang pentingnya kerajaan memberi fokus terhadap pembangunan projek tenologi hijau yang mesra alam termasuk penghasilan diesel menggunakan plastik terbuang dan pelaksanaan projek taman solar di bekas pusat pelupusan sampah Kuala Perlis. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved