Isnin, 26 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Tiput bawa rakan ke pangkal jalan

Posted:

Tiput bawa rakan ke pangkal jalan

Tiput bawa rakan ke pangkal jalan

Oleh Rosmah Dain
Gambar Amin Farij Hassan


Tiput (kiri) berusaha mendekati rakan-rakannya yang masih mendiami 'rumah tampal'.


SUDAH 40 tahun usianya, namun dalam setiap detik kehidupannya, tidak pernah wanita yang senang dengan gelaran Tiput ini, merasai detik kegembiraan dalam hidupnya kecuali sewaktu bersama suaminya dahulu.

Itu pun hanya sementara, apabila suami yang dikenali sejak di bangku sekolah itu rupa-rupanya seorang penagih dadah tegar yang turut bertanggungjawab memperkenalkan dirinya kepada najis itu.

"Saya bernikah dengan suami ketika berumur 16 tahun dan dia pula berumur 22 tahun. Selepas 10 tahun berumah tangga dia meninggal dunia meninggalkan saya tanpa harta cuma tiga orang anak. Yang sulung perempuan dan di bawahnya adik-adik lelaki," jelas wanita yang berasal dari Johor Bahru, Johor ini.

Anak sulung daripada enam adik-beradik ini memberitahu, sejak itu kehidupannya hancur. Dia terus menjadi hamba kepada najis dadah dan melupakan anak-anaknya sehinggakan anak-anaknya itu diambil oleh pihak mertuanya untuk dipelihara.

Selepas ibu dan ayah kandung Tiput tiada lagi di dunia ini, Tiput terus hilang dari pengetahuan adik-beradiknya dan enggan pulang semula ke Johor Bahru.

"Adik-beradik sebenarnya tidak pernah membuang saya, mereka menerima keadaan saya dengan baik, namun kehidupan seperti ini membataskan saya untuk bertemu dengan mereka," katanya.

Apabila ditanya mengenai anak-anak, Tiput berkata, ketika dia meninggalkan anak-anaknya, umur anak yang bongsu pada ketika itu baru berusia tiga tahun, kini anak yang sulung sudah berusia 22 tahun, menunjukkan betapa lamanya dia telah menghilangkan diri tanpa berita.

"Bagi anak-anak, saya tahu mereka hanya mengetahui ibu mereka masih hidup dan berada di Kuala Lumpur, namun tidak tahu di mana dan apa pekerjaan yang ibunya lakukan," katanya yang turut mengakui amat merindui anak-anaknya.

Mengenang masa silam, Tiput memberitahu, dirinya selalu keluar masuk penjara dan pusat pemulihan berkali-kali dalam tempoh beberapa tahun akibat dadah dan pada akhirnya selepas keluar dari penjara untuk kesekian kalinya dia ke Kuala Lumpur atas nasihat seorang rakan.

Biarpun masih ketagih dengan najis dadah, dia diperkenalkan kepada satu pekerjaan baru untuk mencari duit dengan mudah.

"Seterusnya saya terlibat dalam kancah pelacuran menyebabkan dijangkiti HIV/AID. Ketika itu saya bekerja di sebuah pusat hiburan, apabila pengurusnya mendapat tahu saya adalah penagih dadah, dia terus memecat saya.

"Selepas dipecat saya tidak rasa susah hati langsung kerana saya masih bergiat dalam bidang pelacuran yang merupakan mata pencarian utama saya.

"Rakan yang saya kenali kemudiannya membawa saya tinggal di sebuah rumah usang yang dinamakan 'rumah tampal'," katanya.

Tiput tinggal di rumah itu selama empat tahun dengan menjalankan kegiatan yang tidak bermoral seperti menghisap dadah dan melacur disertai rakan-rakan lain.

Namun satu hari, Tiput jatuh sakit dan bermula dari saat itu dia merasa dirinya perlu berubah.

Nasibnya baik dia sempat diselamatkan oleh Rumah Sinar Salam di bawah penyeliaan Arfidar Abd. Latif.

"Masa tu, Tuhan sahaja yang tahu peritnya menderita akibat HIV/AIDS. Rasa bagaikan hendak membunuh diri. Kini saya bersyukur diberikan tempat perlindungan, makan dan ubat-ubatan.

"Sudah tujuh bulan berlalu, saya kini bebas sepenuhnya daripada najis dadah.

"Pernah suatu masa saya merasakan tidak layak untuk hidup di muka bumi ini, namun kini saya mempunyai objektif dalam hidup, untuk membantu rakan-rakan lain," jelasnya.

Kini apa yang Tiput lakukan ialah cuba membawa rakan-rakan yang senasib dengannya ke pangkal jalan dan bertaubat dengan setiap perkara.

"Apa yang saya lakukan seiring dengan out reach yang diadakan Rumah Sinar Salam. Biarpun bagi orang luar melihat usaha ini hanya sekadar kegiatan kecil untuk menebus semula dosa-dosa lam namun ia amat bererti bagi insan seperti saya yang hidup bergelumang dosa dan di darahnya mengalir virus HIV/AIDS," katanya.

Jangan bergaduh kerana wang

Posted:

Jangan bergaduh kerana wang

Jangan bergaduh kerana wang

Susunan NOOR FAZRINA KAMAL

Dalam konteks kehidupan suami isteri sememangnya wang memainkan peranan yang penting. Cuba fikir sejenak agak-agaknya bila kali terakhir anda suami isteri bergaduh disebabkan wang?

Pertengkaran mengenai wang adalah sebahagian daripada asam garam dalam rumah tangga.

Apabila membincangkan tentang masalah kewangan ia seharusnya bukan dijadikan satu medan perdebatan untuk membuktikan siapa yang benar atau siapa yang salah.

Sebaliknya ia memerlukan perhatian suami isteri dalam menemukan jawapan yang sebenar berkaitan masalah kewangan tersebut.

Di ibu kota keadaan suami isteri bekerja adalah satu perkara yang lumrah. Memiliki lebih daripada satu sumber kewangan adalah salah satu cara untuk suami isteri menikmati kehidupan ini dengan lebih bermakna.

Walaupun usia perkahwinan anda menjangkau dua dekad, itu sebenarnya bukan jaminan anda telah mengenali pasangan anda 100 peratus dalam perkara berkaitan wang.

Mungkin adakalanya anda tersentak dengan kebiasaan atau pandangan pasangan mengenai wang yang amat berbeza antara anda dan pasangan.

Komunikasi yang baik antara suami isteri adalah faktor utama untuk berjaya menguruskan kewangan keluarga tanpa menimbulkan banyak masalah di kemudian hari.

Paling penting untuk menghindari sifat mahu menyembunyikan masalah kewangan yang anda hadapi daripada pasangan dan jangan pandang ringan atau menunda jalan penyelesaian terhadap masalah yang timbul membabitkan kewangan keluarga.

Dari mana mahu memulakannya? jawapannya sekarang! Anda berdua harus meluangkan masa berbicara dengan tenang masalah ini.

Sebaiknya masalah kewangan suami isteri dibincangkan secara intim kerana keterlibatan orang yang tidak bertauliah dalam perkara ini hanya akan mengusutkan keadaan sahaja.

Namun jika anda suami isteri telah berhadapan dengan jalan buntu, jangan risau kerana ada orang bertauliah seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau perancang kewangan yang layak memberikan anda jalan penyelesaian.

Tentang anda suami isteri, dari mana mahu memulakannya pertama sekali buat gambaran tentang kedudukan kewangan anda ketika ini.

Untuk tujuan tersebut buat catatan jumlah kewangan yang anda ada. Lihat risiko dan kemungkinan di masa hadapan.

Dengan cara ini anda berdua akan rasa bertanggungjawab untuk memelihara apa yang anda ada supaya ia tidak berkurangan di masa hadapan.

Tindakan kedua yang boleh diambil ialah membuat gambaran tentang sumber pendapatan dan pengeluaran anda berdua.

Catat atau kertas dan lihat adakah jumlah pendapatan mengatasi jumlah pengeluaran atau sebaliknya. Jika ada lebihan sebaiknya disimpan terlebih dahulu sebelum dibelanjakan.

Setelah semua punca kewangan dan harta anda telah dikenalpasti dan tahu perjalanannya setiap bulan barulah anda tentukan siapa yang akan bertanggung jawab untuk menguruskan hal-hal kewangan tersebut.

Boleh dilakukan bersama tapi lebih baik memberikan tugas masing-masing supaya senang.

Dengan ini apabila berlaku sesuatu kesalahan yang boleh menimbulkan masalah dalam kewangan keluarga adalah lebih mudah untuk mengenalpasti puncanya dan tidak menyalahkan satu sama lain hingga menjejaskan keharmonian rumah tangga anda berdua.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved