ARTIKEL ini dipetik daripada ucapan TAN SRI DR. RAIS YATIM, Penasihat Sosio-Budaya bertaraf Menteri kepada KerajaanMalaysia di Persidangan Diaspora Indonesia Kedua, Jakarta semalam.
DISAMPAIKAN setinggi-tinggi tahniah kepada para panatia serta penganjur Diaspora Indonesia Ke-2 yang sekali gus mengimbas dan membincangkan hal-hal berkaitan kehidupan anak-anak perantauan dan bangsa rumpun Melayu.
Ada dalam kalangan kita di sini yang mungkin sudah bertahun-tahun tidak pulang ke kampung halaman keluarga asal. Mungkin dalam kalangan kita kerap mundar-mandir ke Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan lain-lain negara Melayu lantaran perniagaan, kepakaran tersendiri atau sebab-musabab yang lain.
Duduk Sedewan Kongres
Hari ini orang berasal Jawa, orang berasal Sunda, Minangkabau, Aceh, Mandahiling, Batak, Bengkulu, Kalimantan, Bugis dan puluhan etnik Indonesia yang lain-lain duduk sedewan, menjurus kepada potensi kekitaan kita yang semuanya sebagai penghuni pulau-pulau dan rantau Indonesia.
Ibu bapa saya sendiri kampung asal mereka ialah di Palupuah, Bukit Tinggi justeru fakta tersebut menjadikan saya sebagai berasal dari Indonesia juga. Perdana Menteri kami Datuk Seri Najib Tun Razak berasal dari Sulawesi, Bugis orangnya.
Timbalan Perdana Menteri kami juga ada punca asalnya dari Jawa; begitu juga Menteri Pertahanan kami serta lain-lain yang jumlahnya dari Malaysia mungkin tidak termuat di dalam dewan besar ini.
Kami yang datang dari Malaysia yang kebanyakannya juga mengalir di dalam tubuh masing-masing darah Jawa, darah Sunda, Minangkabau, Mendahiling, Batak, Bengkulu, Irianjaya, Kalimantan, Bugis dan sebagainya amat terasa seolah-olah himpunan ini mempunyai erti kehidupan yang sama seperti rakan-rakan yang tinggal berselerak di seluruh Indonesia.
Kita ke mari lantaran terasa satu panggilan yang semestinya boleh saya termakan sebagai panggilan Nusantara - Nusantara yang bererti Nusa Bangsa yang berantarakan laut, angin, selat, gunung-ganang, bukit-bukau dan sawah padi. Ya kita bertebaran seperti bunya bolai tetapi sebenarnya kita satu. Satu bahasa, satu asal usul dan kebanyakannya beragama sama, mengharung sejarah sama.
Nusantara
Kita ke mari, juga mahu melihat dari dekat apakah generasi kita kini masih ingat akan asal-usul kita, masih ingatkah akan sejarah, agama, budaya dan ikatan silaturrahim sesama kita. Lantas kita menoleh kepada era zaman 3,000 ke 4,000 tahun dahulu manakala dikatakan oleh para pakar antropologi dan pengkaji kemanusiaan bahawa kononnya nenek moyang kita di kepulauan dunia Melayu ini didatangi kumpulan demi kumpulan dari Lembah Mekong; kumpulan demi kumpulan dari tanah besar India dan akhirnya dari tanah Arab, Belanda dan Inggeris.
Dalam arus zaman beredar dan pusaka bergilir kita berselerak dan diselerakkan oleh kehidupan di kawasan-kawasan yang dipanggil Nusantara - dulu disebut oleh Pak Hamka dan Sutan Takdir Ali Shahbana sebagai Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago lantaran kesemua nenek moyang kita dikaji dan dikelompokkan sebagai orang-orang Nusantara.
Kita merindui kegagahan Majapahit; kehebatan Sailendra, Sri Vijaya sehingga mereka walaupun beragama Hindu dan Budhisme berempayar dari Jawa, Sumatera sampai ke Kemboja, Semenanjung Tanah Melayu, Vietnam dan lain-lain. Dari Hinduisme, Buddhisme dan Islam kita mempelajari pelbagai aspek dan bentuk spiritualisme.
Perjuangan Sukarno-Hatta dikagumi Perantau Tionghua bernama I-Tsing memperakukan dalam tulisannya semasa singgah di Bengkulu dalam abad ke-6 Masihi bahawa dunia yang kita ketahui sebagai Nusantara ini sebenarnya amat luas dan penduduknya beliau namakan sebagai Mo-lo-yo (yakni Melayu).
Bagi saya yang menyeberangi Selat Melaka untuk ke mari, amat terasa bahawa Kongres ini merupakan satu imbauan untuk meluahkan sesuatu yang selama ini amat jarang berpeluang untuk dizahirkan - mungkin lantaran kesibukan kita berpolitik dan berkerajaan masing-masing sehingga semacam melupai siapa kita.
Saya ke mari untuk bersama-sama menyatakan bahawa kita satu. Kita bersatu dalam arena sejarah, budaya dan cara hidup yang seharusnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain
Lantaran sistem politik kita berbeza, yang satu lepasan sepak terajang Belanda, yang satu selepas gosokan kertas pasir Inggeris maka kita pun akhirnya terlalu taksub menggunakan politik untuk menyatukan rakyat kita.
Seharusnya kita patut, selepas proses kemerdekaan negara masing-masing terus berusaha menggunakan budaya lebih untuk menyatakan keutuhan hubungan rakyat dengan rakyat kita dalam kalangan negara di Nusantara.
Acuan Hidup
Melalui keragaman politik yang tersisip dengan pelbagai prinsip dan idealisme, kita melupai prinsip asal-usul, kejituan budaya kita yang di dalamnya bahasa seni dan agama telah sekian lama mengisi acuan hidup secara langsung.
Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan selatan Thai yang berbahasa Melayu-Indonesia kesemuanya dalam kencah berkomunikasi, perlu menyedari bahawa kita sudah mempunyai satu bahan atau alat terpenting untuk menyatukan masyarakat masing-masing dalam identiti kenusantaraan.
Dalam menilai pelbagai unsur yang menyatukan kita sebagai kumpulan bangsa Nusantara, teratas dan terpenting ialah bahasa. Yakni bahasa Indonesia-bahasa Melayu. Bahasa kita inilah yang seharusnya menyatukan kita dalam mencapai pelbagai kemuliaan dan kejayaan. Kita berkomunikasi dengan bahasa Melayu-Indonesia, kita melahirkan sastera dengannya.
Daripada Khairil Anwar sampai ke Munsyi Abdullah; dari Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji hingga ke Hamka, dari Pramoedia Ananta Toer, Sutan Takdir Alishahbana sampai ke A Samad Said, A. Samad Ismail, Abdul Moeis dan Mahsuri SN, Usman Awang - mereka berbahasa Melayu, berbahasa Indonesia. Kita semua menyanyi dalam fonetika Indonesia - baik Siti Nurhaliza mahupun Agnes Monica.
Kita muafakat di meja perundingan Presiden dan Perdana Menteri dengan perantaraan bahasa kita iaitu bahasa Indonesia-bahasa Malaysia. Kedua-duanya bahasa dunia Melayu.
Impak bahasa Melayu-Indonesia dengan 240 juta manusia di Indonesia, 30 juta di Malaysia tokok tambah beberapa juta orang lagi - genap 300 juta manusia faham dan bercakap bahasa Indonesia dan bahasa Melayu.
Sewaktu jalan-jalan di Singapura terdengar orang Tionghua bertutur bahasa Indonesia totok. "Saya lapar...minta nasi sepinggan tonggokan saja ikan bilis." Dialog itu dimengerti oleh Melayu di selatan Thai, Melayu di Sri Lanka apatah lagi di Brunei Darrussalam.
Malah di Madinah dan Makkah peniaga runcit begitu ramai yang berbahasa Melayu Indonesia. Tandas mereka ditandakan "Lelaki sahaja" dan "Perempuan sahaja".
Bangga atau tidak saudara saudari mengingati ini semua? Tentu bangga. Kalau tidak bangga bermakna anda sudah hilang rasa nurani kehidupan bernegara.
Tetapi bangga sahaja tidak mencukup sebagai bangsa-bangsa di nusantara yang gagah sejarahnya disegani dunia budi bahasanya.
Lebih dari itu kita perlu wujudkan satu jawatankuasa bahasa Melayu-Indonesia yang kekal memperjuangkan selok-belok pembudayaan bahasa kita. Komiti ini harus cekal dan diwakili budayawan gigih supaya akhirnya bahasa Indonesia-Malaysia atau bahasa Melayu tampil sebagai salah satu bahasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York dan Geneva.
Kita tak hairan kenapa bahasa Inggeris jadi salah satu bahasa rasmi PBB lantaran pengucapnya seantero dunia.
Yang kita hairan Perancis, Rusia dan Jepun juga tumpang semangkuk lantas bahasa-bahasa mereka diangkat jadi bahasa yang diterima pakai di badan terbesar dunia itu sekalipun populasi mereka secara berasingan tidak seberapa.
Harus dimandatkan Jawatankuasa atau Komiti itu untuk memperjuangkan supaya bahasa Indonesia-bahasa Melayu yang kini kita namakan bahasa kita akhirnya jadi salah satu bahasa perantaraan di PBB.
Ceduk Istilah Dan Produk Budaya
Selepas itu langkah kedua ialah menjadikan bahasa kita bahasa indah, bahasa ilmu, bahasa diplomatik dan bahasa komersil.
Sedap bunyi ujaran ini. Hebat natijahnya. Untuk itu kita mesti bersatu. Satu tekad satu matlamat: cintai bahasa kita. Teruskan melalui pendidikan masing-masing membersihkan bahasa kita daripada struktur dan sintaksis yang saya dapati agak menggilakan.
Ertinya bahasa kita sudah terlalu terabai penggunaannya dengan perkataan serta terma-terma bahasa Inggeris sehingga Jakarta dan Kuala Lumpur bukan lagi kedengaran percakapan bahasa kita.
Kita sudah disadur dengan struktur dan sintaksis Inggeris sehingga seolah-olah kita semua sudah makan burger McDonalds dan Kentucky Fried Chicken sahaja. Tiada lagi tempe, tiada lagi petai, samba lado dan nasi padangnyo. Mari kita kempenkan semula bahasa Indonesia-bahasa Melayu yang baik.
Ceduk istilah orang lain tidak mengapa tetapi seperti Sanskrit meresapi bahasa kita berkurun-kurun lamanya, ia mesti melalui proses konvensyen yang tradisional: iaitu bila sesuatu perkataan benar-benar sudah tiada di dalam perbendaharaan kata kita, barulah perkataan atau istilah orang luar dikemukakan. Itupun mesti makan masa evolusi dan penerimaannya.
Seterusnya produk-produk budaya seperti penerbitan buku, majalah, filem, video, muzika, pementasan dan lain-lain harus kita promo atau galakkan melalui proses rakyat ke rakyat. Secara ini juga penggunaan bahasa kita akan lumrah dan lazim sehingga nanti perhubungan budaya kita terletak di paras penjiwaan masyarakat kita.
Mimpi Siang Hari?
Apa yang saya katakan ini mungkin akan dihimpit dengan kata-kata sinis…Rais Yatim mimpi siang hari. Mana mungkin ini semua? Tak mengapa, katakanlah begitu tapi jangan lupa semua perjuangan yang hebat di dunia ini bermula dengan sedikit mimpi, khususnya mimpi siang hari. Terserah. Terserah kepada semua pemimpin, para intelek, pencinta budaya dan kumpulan-kumpulan yang sedar.
Dalam konteks inilah badan seperti YIRMI (Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia) dan ISWAMI (Ikatan Setia Wartawan Malaysia-Indonesia) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan lainnya harus diberi sokongan dan galakan agar kerja dan aktiviti mereka ke arah merapat dan memesrakan hubungan rakyat dengan rakyat bertambah erat dan mesra.
Malaysia dan Indonesia khasnya dan sesama kita di dunia Melayu Nusantara harus lebih mengutamakan aspek-aspek persamaan kehidupan berbanding aspek-aspek perbezaan dalam mencari kedamaian dan keharmonian hidup di dunia yang kini memasuki fasa yang lebih bergelombang.
Pada saya aspek budayalah yang paling penting diberi perhatian agar generasi mendatang meletakkan premium yang lebih tinggi kepada cara hidup berbudaya daripada apa yang kita temui pada hari ini.
Sebagaimana Prof. Andaya menyatakan di dalam buku barunya Leaves From the Same Tree, kita yang mewakili pelbagai masyarakat etnik di Indonesia dan Malaysia adalah sama dalam lipatan budaya.
Inilah modal atau kapital kita yang paling berharga dalam menjaga bangsa dan budaya serumpun. Kalau orang lain berupaya menyatakan sedemikian, kenapa tidak kita di Nusantara?