KUALA TERENGGANU 23 Mei - Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menggesa kerajaan negeri meneruskan aktiviti persembahan kebudayaan sempena program Payang Walk yang akan dihidupkan semula Khamis ini.
Pengerusinya, Wan Supian Wan Ishak berkata, persembahan kebudayaan itu merupakan daya tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke Payang Walk selain dapat memperkenal kebudayaan tempatan.
Beliau berkata, wayang kulit, rodat, tarian saba dan silat adalah antara persembahan kebudayaan yang masih wujud untuk diketengahkan kepada pelancong dan generasi baharu.
Katanya, persembahan kebudayaan di Payang Walk mula diperkenal setiap Sabtu dan Ahad setiap dua kali seminggu sejak dibuka Oktober hingga November tahun lalu tetapi dihentikan Disember lalu kerana masalah cuaca.
"Namun, PPNT berharap acara persembahan kebudayaan itu dapat diadakan sempena program itu berlangsung bagi mempamerkan kehebatan kebudayaan negeri.
"Kita banyak diberi pendedahan mengenai kebudayaan negeri, tetapi tidak ada pertunjukan khusus atau secara berjadual untuk ditonton oleh orang ramai dan pelancong," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu ke-24 di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di sini hari ini yang disempurnakan oleh Pengarah di Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Mohd. Sabri Zakaria.
Sehubungan itu, katanya, PPNT akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafie dalam waktu terdekat.
Katanya, sebagai sebuah persatuan, PPNT tidak mempunyai peruntukan untuk membiayai persembahan kebudayaan yang memerlukan kira-kira RM30,000 sebulan bagi menjayakan persembahan untuk dua kali seminggu.
Katanya, peruntukan kerajaan negeri amat diperlukan untuk membiayai persembahan kebudayaan sekali gus merancakkan aktiviti Tahun Melawat Terengganu.
Dalam perkembangan lain, PPNT mahu kerajaan negeri mengkaji hasrat merobohkan jeti Shahbandar di sini, yang dijadikan lokasi penting untuk ke pulau-pulau di negeri ini berikutan kerja-kerja menambak pasir di kawasan itu.
"Jeti lama di Shahbandar akan diroboh manakala jeti baharu dicadang dibina di Pulau Duyong yang terletak lebih jauh sehingga menyukarkan orang ramai berkunjung ke Pasar Payang," katanya.