Sabtu, 17 September 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Tinggal di kandang lembu

Posted:

Tinggal di kandang lembu

Tinggal di kandang lembu

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my


M. Rajamma (dua dari kiri) bersama dua anak perempuan dan beberapa cucunya terpaksa tinggal di kandang lembu di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


BUTTERWORTH 16 Sept. - Gara-gara dibelenggu kemiskinan, seorang ibu tunggal terpaksa menjadikan sebuah kandang lembu berhampiran kawasan semak dekat Ampang Jajar di sini, sebagai bangsal tempat tinggal bersama ibu dan empat anaknya.

Beralaskan tikar dan tilam buruk, M. Rajeshwari, 32, dan ibu, M. Rajamma, 57, bersama empat anaknya berusia lima hingga 10 tahun tidak mempunyai pilihan untuk tinggal di bangsal tersebut lantaran masalah kewangan yang kian menghimpit.

Rajeshwari yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, dia sebelum ini tinggal di kawasan setinggan di Kampung Kovil, dekat sini selama lebih enam tahun tetapi terpaksa berpindah selepas dihalau oleh tuan tanah.

Menurutnya, dia kemudiannya menumpang di rumah seorang saudara di Jalan Raja Uda, di sini tetapi diminta keluar baru-baru ini kerana tidak dapat membayar sewa rumah secara tetap.

"Ketika itu, anak-anak saya juga terpaksa bekerja mencuci pinggan untuk membantu mengumpul duit sewa rumah dan membeli barangan keperluan harian.

"Saya sendiri berasa malu untuk terus menumpang ihsan keluarga dan menyusahkan mereka untuk menanggung keperluan kami anak-beranak," katanya ketika ditemui pada program lawatan Ketua Pemuda MIC Bahagian Permatang Pauh, M. Suresh di sini, hari ini.

Rajeshwari bagaimanapun berkata, kehidupan mereka enam beranak menjadi semakin sukar kerana pendapatan sebagai tukang cuci tidak dapat menampung keperluan membayar sewa rumah sehingga memaksa mereka tinggal dan berlindung di bawah sebuah pangsapuri.

Katanya, mereka bernasib baik apabila ditemui oleh seorang penternak lembu yang memberi kebenaran untuk tinggal sementara di bangsalnya yang terletak tidak jauh dari pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, Suresh berkata, pihaknya mahu kerajaan negeri supaya tampil memberi bantuan kepada keluarga tersebut dengan membenarkan mereka tinggal di pangsapuri projek perumahan rakyat (PPR) Ampang Jajar, di sini.

Katanya, pihaknya bersedia membantu Rajeshwari mencari pekerjaan baru serta menguruskan permohonan keluarga tersebut untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Dengan kadar sewa RM100 di pangsapuri tersebut, kita yakin keluarga ini mampu membayar berdasarkan pekerjaan yang kita akan dapatkan untuk Rajeshwari dalam masa terdekat.

"Kita minta kerajaan negeri bertindak segera memandangkan keluarga ini amat memerlukan pembelaan. Dari segi keperluan asas lain, MIC sedia menghulurkan sumbangan agar mereka meneruskan kehidupan lebih selesa," katanya.

Pertahan kemerdekaan, hindari unsur penjajahan - Raja Perlis

Posted:

Pertahan kemerdekaan, hindari unsur penjajahan - Raja Perlis

Pertahan kemerdekaan, hindari unsur penjajahan - Raja Perlis

KANGAR 16 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah agar rakyat terutama generasi muda mempertahankan kemerdekaan dan menghindari sebarang unsur penjajahan termasuklah minda dan ekonomi.

Baginda bertitah, untuk itu, generasi muda perlu memperkukuh jati diri dan melengkap diri dengan ilmu agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur penjajahan baru itu.

"Hayati dan insafilah erti kemerdekaan, jadikan peristiwa 13 Mei sebagai iktibar dan betapa pentingnya perpaduan dalam negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Titah baginda, perbalahan dan peperangan hanya akan merugikan negara, justeru, rakyat perlu berfikiran rasional dan menolak segala unsur tersebut.

"Ibarat kata pepatah yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu, kita harus menolak semua unsur perpecahan itu, sebaliknya mempertahankan kemerdekaan dan mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah," titah baginda.

Baginda juga bertitah, rakyat harus menghayati prinsip Rukun Negara kerana ia merupakan tonggak penting yang mesti dijadikan pegangan dalam memastikan negara makmur dan rakyat hidup dalam negara yang merdeka.

Sementara itu, lebih 3,000 rakyat Perlis membanjiri dataran berkenaan untuk menyaksikan perarakan dan perbarisan lebih 75 kontinjen yang disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan rakyat negeri ini yang mewakili bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan barisan Exco negeri.

5,000 saksikan perarakan kemerdekaan

Posted:

5,000 saksikan perarakan kemerdekaan

5,000 saksikan perarakan kemerdekaan

BUTTERWORTH 16 Sept. - Lebih 5,000 orang membanjiri Dataran Pemuda dekat sini untuk menyaksikan majlis Perhimpunan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-54 peringkat negeri hari ini.

Sebanyak 100 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kumpulan pancaragam menyertai perarakan itu.

Majlis yang diadakan serentak bersama Hari Malaysia itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif.

Pengunjung juga dipertunjukkan dengan perarakan motosikal berkuasa besar dan kenderaan milik beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pos Malaysia.

Majlis itu turut diserikan dengan bacaan ikrar oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Onn serta persembahan koir oleh pelajar SMK Tunku Abdul Rahman, Nibong Tebal.

Dalam pada itu kontinjen Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengungguli pertandingan perarakan terbaik bagi kategori sektor awam dan Telekom Malaysia muncul juara bagi kategori sektor swasta sementara kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi kategori IPT.

Kontinjen lain yang muncul juara adalah Kadet Polis SMK Datuk Haji Ahmad Said, Kepala Batas bagi kategori beruniform dan kadet sementara kontinjen SMJK Jit Sin mengungguli kategori pancaragam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved