Sabtu, 17 September 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Generasi muda semangat berkobar

Posted:

Generasi muda semangat berkobar

Generasi muda semangat berkobar

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED, SYUKRI SHAARI dan SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my


KEMERIAHAN acara sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 dan Hari Malaysia Ke-48 yang dijayakan oleh kira-kira 10,000 peserta di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ZAINI HUSIN


KUALA LUMPUR 16 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, nasib Malaysia pada masa depan terletak di dalam genggaman generasi muda hari ini yang bakal mengemudi hala tuju negara.

Bersandarkan kepada semangat yang ditunjukkan peserta perbarisan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 yang kebanyakannya disertai generasi muda, jelas Perdana Menteri, Malaysia diyakini akan terus mencapai kejayaan jika orang muda masa kini memiliki semangat juang yang membara.

''Nasib masa depan bergantung kepada anda semua. Kamu semua masa depan kita.

''Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin); Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) dan saya bagi pihak kerajaan serta rakyat teruja dengan persembahan anda (peserta perbarisan).

''Amat meriah. Saya dapat merasakan semangat Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia begitu membara dalam hati sanubari semua. Insya-Allah, Malaysia akan terus berjaya kerana (semangat) saudara-saudari sekalian,'' katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap di atas pentas konduktor koir di tengah Dataran Merdeka sejurus berakhir atur cara sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48, dekat sini pagi ini.

Najib bersama Muhyiddin, Rais serta beberapa menteri Kabinet termasuk isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum itu dilihat turun dari pentas utama dan meredah 'lautan manusia' untuk ke pentas berkenaan bagi menyampaikan ucapan penghargaan kepada setiap peserta perbarisan.

Bertemakan '1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera', sambutan kali ini dimeriahkan dengan penyertaan 10,000 peserta yang didominasi golongan belia dalam persembahan kemerdekaan yang merangkumi empat segmen.

Sambutan diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni; Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng serta isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah, dan menteri-menteri Kabinet.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Najib berkata, berdasarkan kepada tema sambutan tahun ini, ia sebenarnya berkisar tentang soal masa depan generasi muda.

Hari Malaysia, Hari Kemerdekaan disambut gemilang

Posted:

Hari Malaysia, Hari Kemerdekaan disambut gemilang

Hari Malaysia, Hari Kemerdekaan disambut gemilang


Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah berkenan menyaksikan Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-54 dan Hari Malaysia 2011 di Dataran Merdeka, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Buat julung-julung kalinya, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia disambut serentak hari ini dan diraikan dengan penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Dataran Merdeka sebagai lokasi utamanya.

Bertemakan "1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera", sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 pada tahun ini didominasi golongan belia yang merupakan peserta terbesar yang mengambil bahagian dalam persembahan kemerdekaan yang merangkumi empat segmen.

Kira-kira 10,000 peserta daripada pelbagai peringkat iaitu pelajar sekolah, guru, polis, tentera, kakitangan kerajaan dan swasta yang mengambil bahagian dalam acara sambutan itu mula berkumpul seawal 5 pagi.

Acara sambutan dalam keadaan cuaca cerah bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada 8 pagi.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah, selain menteri-menteri Kabinet.

Tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan seramai 54 orang generasi muda pelbagai kaum termasuk golongan kelainan upaya, diketuai oleh pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin, Klang, Muizzuddin Maarof, 18, yang diikuti dengan laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali dan "1Malaysia" sebanyak tiga kali.

Dataran Merdeka kemudiannya bertukar meriah apabila seramai 2,300 pelatih perguruan mempersembahkan nyanyian koir gubahan baru lagu Rukun Negara yang diterjemahkan melalui pergerakan formasi oleh 2,500 pelajar sekolah sekitar Selangor.

Persembahan padang dan jalan raya bertemakan "Kejayaan Transformasi 1Malaysia" turut berlangsung di Dataran Merdeka melibatkan 860 orang daripada kumpulan kesenian pelbagai jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kontinjen Generasi 1Malaysia Cergas pula mendahului acara perarakan perbarisan yang terdiri daripada 100 orang belia dengan iringan lagu "Malaysia Satu", diketuai oleh Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohd. Rapiee.

Kontinjen seterusnya adalah Kontinjen Swasta yang menonjolkan kostum ala futuristik yang diketuai oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar, diikuti Kontinjen Komunikasi yang diketuai oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli.

Kontinjen Peladang, Petani, Penjaja dan Perikanan 4P turut mengambil bahagian membabitkan 308 anggota manakala 66 peserta Kontinjen Pengangkutan Awam-Teksi tampil dengan menaiki 54 buah teksi.

Menambah keindahan warna-warni sambutan adalah perarakan 32 kereta berhias yang menterjemahkan kejayaan Pelan Transformasi Kerajaan dan Pelan Transformasi Ekonomi.

Sambutan kali ini juga membawa kelainan apabila buat pertama kalinya, hadirin dapat menyaksikan persembahan kawad dan tempur gabungan antara pasukan PDRM dan ATM, selain 10 unit pesawat pejuang TUDM turut menyerikan ruang udara Dataran Merdeka dengan formasi-formasi menarik.

Persembahan yang berlangsung kira-kira 1 jam 37 minit itu diakhiri dengan gabungan suara 5,541 peserta yang menyanyikan rangkaian lagu patriotik seperti Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera, Gemuruh, Jalur Gemilang, Tanggal 31 dan 1Malaysia Inspirasiku, dengan disertai barisan artis tempatan dan diiringi dengan pertunjukan luncur udara Jalur Gemilang.

Mansuh ISA dianggap wajar

Posted:

Mansuh ISA dianggap wajar

Mansuh ISA dianggap wajar

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan melihatnya sebagai satu perubahan besar dalam undang-undang negara serta relevan dengan situasi keselamatan negara pada masa kini.

Setiausaha Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Mohd. Hanafiah Abdul Manap berkata, keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan akta itu adalah tepat dan semua pihak seharusnya menyokong keputusan itu.

"Keputusan itu adalah tindakan yang wajar...mungkin ia satu keputusan yang terbaik dengan menggantikan akta itu dengan akta lain dalam langkah menangani keselamatan dan keamanan negara pada masa kini.

"Jika kita teliti akta ISA itu pun lama digunakan bagi menangani kegiatan subversif di negara ini dan (pemansuhan) ini dilihat sesuai serta kena pada keadaannya..kerana sebelum ini pun ada pihak yang mempersoalkan ketidakwajaran akta ISA," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagi bekas Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Rosli Abdul Rahman, tindakan kerajaan menggubal dua undang-undang baru bagi menggantikan ISA adalah keputusan bersama dan polis hanya bertanggungjawab sebagai pasukan pelaksana.

Katanya, keputusan itu bukan hanya dibuat mengikut pandangan Perdana Menteri semata-mata tetapi juga hasil perbincangan dengan pakar perundangan.

"Jika akta baru yang digubal sesuai, ia akan terus digunapakai dan jika tidak mungkin kerajaan akan guna akta yang sebelum ini... kita sebagai rakyat harus memberi sokongan dan lihat keberkesanan akta itu dahulu sebelum membuat sebarang penilaian," katanya.

Najib dalam Perutusan Khas Hari Malaysia malam tadi mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, undang-undang baru itu akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N. Siva Subramaniam berkata, pemansuhan akta ISA merupakan satu keputusan yang bukan sahaja mengejutkan rakyat negara ini malah masyarakat antarabangsa.

Katanya, langkah itu membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sememangnya mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada hak asasi manusia.

Subramaniam yang turut terlibat dalam perbincangan mengenai cadangan pemansuhan itu sejak dua tahun lepas berkata, pelbagai pihak harus yakin bahawa dua undang-undang baru yang akan digubal bagi mengantikan ISA dapat mengekang perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah.

"Sebarang keputusan kerajaan sudah pasti akan membawa Malaysia ke tahap kebebasan yang bertanggungjawab," katanya.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, keputusan untuk memansuhkan ISA adalah satu langkah progresif dan boleh membantu meliberalisasikan negara.

"Sebenarnya, saya rasa akta itu (ISA) sudah ketinggalan zaman. Keadaan semasa ia digubal berbeza dengan keadaan kita sekarang...dan memang tepat masa ia dimansuhkan," katanya.

Menurut Lam Thye, tindakan berani kerajaan itu juga dapat mengelak ISA daripada terus dijadikan modal politik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bagi Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, pihaknya mengalu-alukan serta menyambut baik pemansuhan semua akta darurat yang baginya tidak lagi relevan.

"Namun Perkasa mengambil sikap untuk melihat undang-undang baru yang diperkenalkan...bagi Perkasa jangan akhirnya seperti pepatah keris makan tuan," kata Ibrahim.

Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu turut menganggap negara telah mempunyai banyak pemimpin selama ini, tetapi Najib membuktikan bahawa beliau pemimpin paling dekat dengan rakyat dan memahami kerisauan rakyat.

Katanya, ISA yang digunakan ketika ini tidak sama seperti keperluan zaman dahulu dan beliau mengalu-alukan keputusan itu. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved