Utusan Online - Rekreasi |
Posted: Menakluk 'bumbung' IndochinaOleh ROHANA MAN PENULIS (duduk tengah) bersama rakan-rakan pendaki di puncak Gunung Fansipan. HUJAN sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Fansipan di Taman Negara Hoang Lien, Sapa, Vietnam tidak melemahkan semangat enam pendaki Malaysia untuk meneruskan perjuangan sehingga ke puncak. Berbekalkan semangat dan azam yang tinggi, penulis bersama Jurimah Mohd Ariffin (Ju), Faizal Mohd Nor (Faizal), Muhammad Syarifuddin Ali (Din), Rashdan Rosli (Bro Dann) dan Norsiah A. Kadir (Nor) sepakat meneruskan pendakian dalam kesejukan demi merealisasikan impian menakluk puncak tertinggi di Indochina itu. Perjuangan menuju ke puncak Fansipan pada ketinggian 3,143 meter (10,312 kaki) dari paras laut, bermula sekitar pukul 9.45 pagi, 21 Julai 2011. Pendakian tidaklah berapa sukar, cuma hujan sepanjang ekspedisi telah memperlahankan langkah kami. Kami memulakan pendakian dari pejabat Taman Negara Hoang Lien di Sapa. Pakej mendaki kami diuruskan oleh Sapa Pathfinder Travel. Penunjuk arah, Anh bersama tiga pengangkut barang (porter) mengiringi pendakian kami. Memandangkan kesukaran memperoleh makanan halal, maka kami membawa bekalan bahan mentah untuk dimasak di gunung. Kesemua bahan dan peralatan memasak dipikul oleh porter yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dari etnik Black H'mong. Awal pendakian menyaksikan kami menempuh laluan sungai yang jernih. Kami bernasib baik kerana langit masih cerah. Paras sungai yang cetek pula membolehkan kami memijak batu-batu besar untuk melangkah menyeberangi sungai tanpa membasahkan kasut. Sebaik sahaja laluan sungai berakhir, kami disambut pula oleh laluan rimbun pokok-pokok buluh yang menghijau. Perjalanan ini menuju ke Kem 1. Udara yang nyaman dan agak dingin begitu menyegarkan. Kami banyak menghabiskan masa bergambar kerana panorama yang disajikan begitu memukau. Kehijauan bukit bukau dan gunung ganang yang terhampar di hadapan mata sukar untuk dielak oleh lensa kamera. Kerenah kami yang asyik bergambar memaksa Anh menegur kami. Ini kerana katanya, perjalanan kami pada hari ini hanya akan berakhir di Kem 2 pada ketinggian 2,800 meter (9,190 kaki) dan ia masih jauh. Kami sampai di Kem 1 sekitar pukul 12.35 tengah hari. Di situ, terdapat kemudahan pondok buluh untuk pendaki berehat dan bermalam. Air paip disalur dari sungai berdekatan. Nasi himpit dan serunding ikan dijamah untuk mengalas perut. Pendakian diteruskan pada pukul 1.10 petang. Kali ini pendakian agak memenatkan kerana laluan yang ditempuh terdiri daripada bukit bukau yang tinggi. Ketika kami tiba di laluan bertangga yang disempadani pagar buluh konkrit, titisan hujan mula mencurah. Seperti selalunya, saya berjalan mengikut rentak kaki sendiri dan terima kasih kepada Din yang sabar menemani saya sepanjang pendakian. Berjalan di dalam hujan bukan sahaja membuatkan kami kesejukan, malah melambatkan pergerakan. Tambahan pula laluan semakin menegak dan hampir tiada yang landai. Ada ketika cerun yang dipanjat tegak seperti dinding. Nasib baik ada tangga besi. Saya mengira terdapat empat tangga besi sebelum tiba di Kem 2. Dalam kesejukan, saya tiba di Kem 2 pada pukul 5.30 petang. Kabus mengelilingi persekitaran. Saya terus masuk ke dalam pondok berdindingkan zink untuk berehat sekejap sebelum menyediakan makan malam. Sejumlah pendaki dari kumpulan lain termasuk 'mat salleh' telah pun mengisi ruang pondok yang sempit, namun masih ada ruang untuk saya dan rakan-rakan membentangkan alas tidur. Selepas menyiapkan tempat tidur iaitu menyusun tilam angin yang dibawa oleh porter di lantai papan di pondok itu, kami mula bergotong royong menyediakan makan malam. Nasib baik saya membawa lampu 'teratai'. Ada jugalah cahaya menerjah masuk ke dalam pondok. Kumpulan lain yang tidak membawa lampu, bergantung sepenuhnya pada cahaya lampu suluh. Saya bersama Din dan Bro Dann berbual di luar pondok sambil menikmati suasana malam yang begitu cantik dihiasi jutaan bintang. Kabus nipis sesekali menyentuh kulit kami yang terdedah pada suhu malam yang begitu dingin. Dalam asyik berbual, tiba-tiba kami dikejutkan dengan kekecohan di dalam pondok. Saya bergegas memeriksa apa yang berlaku. Rupa-rupanya, tempat tidur kami yang telah disusun elok telah 'dirampas' oleh tiga pendaki Vietnam yang tiada tempat tidur. Terpaksalah kami tidur dalam keadaan berhimpit dan kurang selesa. Menjadikan keadaan lebih tidak selesa apabila suhu jatuh sehingga 10 darjah selsius. Sepanjang malam saya menggigil kesejukan, dan ketika itulah, saya teringatkan beg tidur saya yang dibeli khas di Nepal untuk cuaca sejuk melampau. Malangnya ia tertinggal di rumah. "Aduh...kenapalah saya tak bawa beg tidur itu?" bentak hati saya. Keesokan pagi, masa tidak mengizinkan kami untuk memasak. Cukup sekadar roti dan kacang panggang dalam tin mengalas perut kami. Kami kemudiannya memulakan pendakian ke puncak Fansipan pada pukul 6.50 pagi. Laluan ke puncak juga tidak sukar, cuma sesekali kami terpaksa menuruni cerun tegak dan memanjat tangga besi. Rimbun buluh masih mendominasi persekitaran, selain lumut 'menguasai' bongkah-bongkah batu besar. Laluan berlumpur ditempuh sehingga akhirnya 'bumbung' Indochina dijejaki tepat pukul 9.40 pagi. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan kesihatan, rezeki dan kekuatan untuk sampai ke puncak Gunung Fansipan. Di puncak, kumpulan pendaki Vietnam yang memulakan pendakian lebih awal telah tiba dahulu, selain Ju dan Faizal. Ketika kami tiba, tiada apa yang dapat dilihat di sekitar puncak kerana kabus tebal menutupi persekitaran. Namun tidak lama kemudian cuaca bertukar cerah dengan menyajikan panorama yang begitu memukau. Memang sudah rezeki kami dan peluang yang ada itu, kami gunakan sepenuhnya untuk merakamkan keindahan yang menakjubkan. Selepas puas bergambar, kami melangkah turun pada pukul 10.15 pagi dengan menempuh laluan yang sama menuju ke Kem 2. Sekadar makan mi segera, kami kemudiannya mengemas beg untuk turun pula ke Kem 1. Pendakian turun bermula pada pukul 1.15 petang dan saya agak ketinggalan di belakang. Kaki yang melecet dan hujan melambatkan pergerakan. Kasut getah yang baru dibeli di Kajang sehari sebelum ke Vietnam mula memakan tuan. Hanya pukul 4.30 petang, barulah saya tiba di Kem 2. Di situ, kami mengadakan 'mesyuarat' sama ada bermalam di Kem 1 atau menamatkan ekspedisi pada hari kedua, 22 Julai 2011. Akhirnya kami memilih untuk bermalam di Kem 1 kerana tidak mahu 'bekerja lebih masa' dengan berjalan malam. Ini kerana kami menjangka akan sampai ke taman negara dalam kegelapan malam, memandangkan sekitar pukul 5 petang, hari sudah mulai gelap di hutan ini. Selain itu, kami juga perlu menempuh sungai untuk diseberangi. Pada malam terakhir di Kem 1, kami 'makan besar'. Lauk ayam merah, telor masak kicap dan kobis goreng dinikmati dengan penuh selera. Buat pertama kali dalam ekspedisi ini, kami dapat tidur dengan selesa dalam pondok yang luas. Menjelang pukul 7.00 pagi keesokan hari, Anh sudah tercegat di hadapan pintu pondok. Melihat kami belum mengemas, dia mula bersuara menyuruh kami cepat bersiap. Malas pula rasanya untuk memulakan perjalanan dalam hujan. Selepas menyarung baju hujan, kami bergerak meninggalkan Kem 1 pada pukul 7.54 pagi. Perjalanan turun menempuh laluan licin dan kami terpaksa menyusuri sungai yang meningkat paras airnya ekoran hujan lebat yang mencurah mengiringi kami. Ada satu ketika, paras air mencecah ke pinggang dan saya berasa agak takut untuk terus meredah arus yang deras. Syukur kerana akhirnya kami berjaya melepasi cabaran di sungai dan kembali memasuki laluan hutan. Berkat kecekalan, saya tiba di taman negara tepat pukul 10.00 pagi. Tamatlah satu pendakian yang diimpikan sejak beberapa tahun lalu. Setibanya di Sapa, Anh membawa kami melawat sekitar pekan kecil yang sentiasa berkabus ini. Kami menggunakan kesempatan itu untuk membeli barangan aktiviti luar seperti sandal, jaket The North Face, baju T dan lain-lain. Lewat petang, kami berpecah kepada dua kumpulan iaitu Faizal, Bro Dann dan Nor pulang ke Hanoi dengan menaiki keretapi, manakala saya, Ju dan Din bermalam di Sapa untuk meneruskan lawatan ke pasar Bac Ha keesokan harinya dan Teluk Halong pada hari berikutnya. Kami berlepas pulang ke tanah air pada 29 Julai 2011 dengan membawa kenangan manis dan sukar dilupakan. Selamat tinggal Vietnam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan