Datuk A Aziz Deraman ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan.

Umat Islam menunaikan solat sunat tarawih pada bulan Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya baru-baru ini.
SESUDAH satu bulan berpuasa dan mendirikan Ramadan, cuba tanyakan diri kita sendiri sebagai seorang Islam, sebagai ketua keluarga, ketua kampung, pemimpin masyarakat, pemimpin gerakan sukarela dan pemimpin politik (berjawatan atau tidak berjawatan), di manakah pesan dan ke manakah kesan Ramadan al-mubarak dan al-kareem itu kepada kita?
Apakah kita berpuasa kerana hanya mentaati perintah Allah SWT seperti maksud firman-Nya "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah 2: 183).
Apakah puasa atas kewajipan fardu ain ke atas setiap individu akil baligh itu, akan menyebabkan kita peroleh lapar dan dahaga sahaja? Di manakah letak duduknya takwa?
Berpuasa itu jalan mencapai matlamat darjah takwa. Orang yang bertakwa itu adalah mereka yang mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT termasuk perpecahan sesama sendiri.
Maka darjah takwa itu boleh dicapai antara lain apabila setiap diri itu tidak melakukan maksiat terhadap Allah dan Rasul- Nya, tidak berulang kali melakukan dosa kecil dan dosa besar, termasuk dalamnya merompak, berzina, berjudi, minum arak, rasuah, bernujum, seksualiti bebas.
Kononnya atas dasar hak asasi, maka berleluasalah pula faham pluralisme, seks bebas, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), homoseksual atau menabur fitnah dan khianat ke atas sesama Islam melalui media sosial. Ramadan sudah didik kita berbuat segala yang baik bukan dosa.
Ramadan itu bulan ujian keimanan umat, berjihad lawan nafsu, maka Aidilfitri itu ialah hari kemenangan bagi meraikan kesempurnaan ibadat puasa selama sebulan. Ramadan itu bulan perpaduan ummah, kesatuannya wujud di seluruh dunia.
Daripada sejumlah umat Islam di Jepun, Negara Matahari Terbit sehingga ke bahagian barat Amerika atau umat Islam di Asia, Eropah dan Afrika semuanya menunaikan fardu berpuasa ini. Pada bulan Ramadan, kesemua prinsip Rukun Islam tergabung melalui syahadah, solat, puasa Ramadan, zakat dan fitrah, melainkan haji dan umrah.
Malahan ibadat umrah pun dikerjakan mereka yang mampu mengunjungi Masjidil Haram dan berpuasa di sana. Apakah kesan dan pesan daripada perpaduan umat itu?
Ramadan lazimnya disyarahkan seolah- olah institusi pendidikan berupa madrasah atau universiti yang mendidik dan mengasuh setiap Muslim ke jalan takwa. Ketakwaan itu hanya boleh datang daripada orang yang beriman. Betapa ramai orang yang beriman tetapi tidak mencapai darjah takwa, yakni secara total melakukan suruhan Allah meninggalkan apa yang dilarang.
Bulan Ramadan disebut sebagai bulan keberkatan, bulan keampunan dan bulan rahmat. Ramadan bulan nuzul al-Quran, sebuah kitab suatu mukjizat saintifik yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah peradaban manusia sejak awal kejadian Adam hingga ke akhirat. Bagi orang yang beriman kedatangan Ramadan disambut gembira, penuh kesyukuran menghayati nikmat Tuhan yakni nikmat iman dan nikmat Islam.
Orang yang beriman akan menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai pedoman selaras dengan tuntutan syahadah 'Tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah'.
Seseorang Muslim selain Rukun Islam yang lima, mengimani Rukun Iman, dan perintah berpuasa wajib itu merupakan salah satu rukunnya. Ramadan itu bulan muhasabah diri, mengukuhkan Tauhid dan akidah, melakukan amal makruf nahi munkar.
Ramadan berjaya memaut kasih dan sayang umat seagama. Silaturahim dan ukhuwah sambung menyambung. Perpaduan umat sangat nyata sewaktu solat jemaah di serata masjid dan surau, ratusan ribu jemaah mengerjakan umrah, melunaskan tanggung jawab zakat dan fitrah, bersedekah, infak kebajikan, menggembirakan anak yatim, menjaga kebajikan fakir miskin dan sebagainya.
Apakah gambaran jasmaniah dan rohaniah itu tidak mampu menginsafkan kita untuk muafakat, kerjasama dan bersatu hati secara rohaniah, bahkan terus mengekalkannya sehingga ke Ramadan tahun hadapan.
Apakah solat berjemaah dan solat tarawih, tahajud, berzikir, tadarus, tadabbur, tazkirah dan majlis-majlis ilmu dan sebagainya itu akan hanya tinggal kenangan tetapi bukan titik tolak perubahan dan pembaharuan hidup?
Mari kita rasai kenikmatan dan kesyukuran serta memperkukuh tradisi keilmuan. Ramadan seharusnya menginsafkan kita agar tidak meneruskan perbuatan dan percakapan keji dipenuhi maksiat, menabur fitnah, berbohong, melakukan rasuah, umpat keji caci orang.
Kita perlu tahu membezakan amalan nilai-nilai terpuji (mahmudah) dengan nilai-nilai terkeji (mazmumah).
Ramadan membawa pesan selain beramal ibadat, umatnya tidak akan maju sekiranya perpecahan umat menjadi jurang perpaduan. Perpecahan lambat laun akan membawa keruntuhan.
Maksud firman Allah: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai…"( Ali-Imran 3:103). Atau "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasara) yang telah bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan- keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi-nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar". (Ali-Imran 3:105).
Umat Islam sedang diancam dari segala penjuru tamadun manusia abad ke-21 ini. Apakah perpaduan umat tidak boleh dijadikan contoh dan ia bermula di Malaysia.
Manusia pelbagai kaum dan penganut agama selain daripada Islam di Malaysia tidak akan mengerti kesyumulan Islam, sekiranya tidak didedahkan faham ilmunya. Status Islam akan bertambah parah kalau umatnya berpecah belah.
Dengan mengambil iktibar Ramadan, umat Islam sepatutnya sudah berupaya melangkah sederap serentak mencipta kejayaan (al-falah) dan kemenangan dalam semua bidang kehidupan. Gerakkanlah langkah bersama demi kebangkitan keagungan Islam dengan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial, budaya keilmuan dan pelbagai lagi.
Sejak kemerdekaan, Malaysia sudah membuktikan dirinya cemerlang memajukan pentadbiran agama, pembangunan infrastrukturnya, memperkenalkan sistem Islam seperti perbankan Islam yang kejayaannya sedang dikaji Barat.
Gerakkan upaya kebangkitan bangsa- bangsa Islam di seluruh dunia abad ke-21 ini boleh dijayakan sekiranya pimpinan politik terlebih dahulu bersatu dan cuba merangka program yang khusus.
Buangkan perangai berkelahi tanpa berkesudahan, bukannya patuh dan taat kepada golongan kafirun, munafiqun dan musyrikun yang kita tahu ada di Malaysia ini, kecuali golongan yang boleh diajak bersama terdiri daripada golongan yang setia kepada negara dan patuh akan ikatan kontrak yang sudah lama dipersetujui bersama.
Pertelagahan politik dan idealogi yang tidak bertempat mengakibatkan munculnya keserongan persepsi politik atau agama dalam politik. Jadikan fajar 1 Syawal 1434 Hijrah tahun ini, fajar yang membawa sinar cahaya harapan baru kesatuan umat. Umat Islam di Malaysia seharusnya mendepani kebangkitan semula tamadun Islam. Orang bukan Islam sudah tidak gerun atau gentar lagi dengan kepemimpinan Islam.
Jadikanlah Syawal bulan langkah baru yang membawa pesan muhasabah, untuk dikukuhkan semula ikatan tali persaudaraan Islam. Gesaan ini sudah lama datangnya dari banyak pihak, kerana kesan tanpa kekukuhan kesatuan dan perpaduan umat, dibimbangi nasib Pak kadok yang hilang kampung halaman itu boleh berulang.
Salam dan Selamat menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.