Oleh Zulkifli Jalil

Kapal Sibu Satu yang ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berhubung kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah tapak pemunggahan di Sungai Lepau, Pengerang, Kota Tinggi, Johor, hujung tahun lalu.
KERAJAAN terutama agensi-agensi berkaitan termasuklah Jabatan Peguam Negara perlu lakukan sesuatu.
Memang amat mengejutkan apabila didedahkan oleh seorang pegawai kanan sebuah kementerian Jumaat lalu bahawa sejumlah RM1.2 bilion kerugian terpaksa ditanggung negara akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi. Tidak kiralah tempoh kerugian itu memakan masa lima tahun ke, atau setahun ke, pokoknya - rugi besar.
Malah, jelas Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Iskandar Halim Sulaiman lagi, peruntukan RM4.03 bilion untuk subsidi diesel pada 2010 sudah meningkat lebih dua kali ganda kepada RM9.92 bilion pada tahun lepas sahaja.
Itu belum termasuk lagi insiden penyeludupan dalam empat bulan pertama 2014 ini. Kalau diambil kira kes-kes penyeludupan diesel bersubsidi yang tidak ada pasang surutnya' ini, penulis percaya, malah cukup yakin angka peruntukan untuk subsidi diesel ini akan bertambah sekali ganda lagi. Mungkin tidak perlu menunggu masa lima tahun. Tahun ini sahaja, kita boleh saksikan peningkatan ini.
Penulis difahamkan, isu ketirisan membabitkan penyelewengan diesel bersubsidi dan rasuah ini sudahpun berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2009 lagi. Banyak operasi membabitkan siasatan dan risikan bagi menangani kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi digerakkan. Tetapi kian menjadi-jadi pula.
Di Pelabuhan Kuantan, Tanjung Gelang pada Sabtu lalu berulang kejadian serupa. Kira-kira 1.34 juta liter diesel bersubsidi yang cuba diseludup ke luar negara telah dirampas.
Semua pihak, daripada bahagian penguatkuasa KPDNKK, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sehinggalah SPRM cukup maklum apa yang berlaku ketika ini. Di satu lokasi di sebuah perkampungan nelayan Februari tahun ini, terdapat sindiket menyeleweng lebih 900,000 liter diesel bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam tempoh lima bulan.
Selain menikmati diesel subsidi, mereka juga dikatakan membuat pengisytiharan palsu jumlah ikan yang didaratkan bagi mendapatkan insentif 10 sen bagi setiap kilogram.
Siasatan awal mendapati aktiviti pemalsuan butiran tersebut dipercayai didalangi empat sindiket utama bagi mendapatkan bekalan diesel subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada nelayan berdasarkan jumlah tangkapan ikan. Nelayan dipercayai tidak turun ke laut untuk menangkap ikan. Tetapi memanipulasi sistem dengan memberikan resit mengandungi butiran pendaratan ikan palsu bagi mendapatkan diesel bersubsidi.
Had kuota diesel dilaksanakan pada 2005 dipercayai bertujuan mengelakkan aktiviti jual beli diesel subsidi kereta kepada diesel industri yang masing-masing berharga RM1.80 dan RM2.65 seliter. Diesel subsidi untuk nelayan pula adalah pada RM1.20 seliter.
Had kuota setiap stesen pula berbeza di antara satu stesen minyak dengan stesen lain dan ditentukan dengan jualan purata bulanan adalah di antara 80,000 hingga 400,000 liter sebulan. Ada di antara stesen yang diberi kuota sebanyak 600,000 liter sebulan. Jumlah diesel tersebut kemudian akan dibahagikan dengan jumlah hari dalam sebulan.
Perbezaan sebanyak RM0.80 seliter berbanding pemandu kereta dan RM1.45 berbanding diesel subsidi nelayan ini memberi peluang kepada mereka yang jahat ini mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual bekalan diesel mereka kepada pengusaha industri.
Had jualan diesel adalah berbeza dan bergantung kepada jenis kereta. Misalnya, kereta biasa seperti pacuan empat roda mempunyai kapasiti tong minyak sebanyak 70 liter, maka had jualan adalah kurang daripada jumlah tersebut. Untuk bas dan lori, had jualan adalah kurang dari 200 liter.
Namun, permintaan bekalan diesel yang tinggi ketika ini menyebabkan jumlah jualan diesel tersebut menurun kepada 30 liter untuk memberi peluang kepada pengguna lain membeli. Kejadian jual beli diesel berleluasa ketika kerajaan mengumumkan tidak akan lagi memberi subsidi kepada pengusaha industri.
Permintaan tinggi termasuklah bagi menampung keperluan tinggi kapal-kapal antarabangsa dari segi kuantiti dan harga bagaikan suatu rangsangan' kepada kegiatan penyeludupan diesel. Kewujudan jeti-jeti haram yang tidak berdaftar dengan agensi-agensi berkaitan juga penyumbang kepada penyeludupan barangan kawalan ini.
Tambah lagi, perbezaan harga di negara jiran serta penguatkuasaan yang lemah, memudahkan kegiatan penyeludupan ini dijalankan. Ini khususnya di kawasan-kawasan seperti Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis; Durian Burung dan Bukit Kayu Hitam di Kedah; Bentong di Perak dan Golok di Kelantan. Dekat sempadan merentasi Singapura juga perlu diperketatkan kawalannya.
Sebagai perbandingan, harga diesel di Thailand adalah pada harga RM3.00 - RM3.50 per liter manakala RON95 pula adalah sebanyak hampir RM4.50 - RM5.00. Ini tidak termasuk barangan lain seperti LPG di mana di Malaysia, harga dijual adalah RM1.80 - RM2.00 manakala di Thailand pula ialah RM2.50 -RM3.
Hal ini menunjukkan subsidi diesel yang menyeluruh hanya menguntungkan golongan yang langsung tidak memerlukannya.
Maka, adalah lebih baik kita hapuskan semua subsidi jika kita mampu. Ini terutama jika kerajaan boleh membantu golongan yang paling memerlukan sokongan. Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menyalurkan wang kepada golongan miskin adalah satu langkah yang sedang diambil bagi tujuan itu. Begitupun, pemberian seperti ini juga adalah langkah sementara semata-mata - bagi membantu rakyat miskin agar tidak hidup melarat.
Matlamat utamanya adalah mempertingkat pendapatan rakyat agar mereka boleh hidup tanpa bergantung kepada subsidi. Inisiatif program transformasi kerajaan dan ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri inilah yang akan memacu rakyat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020 nanti, iaitu negara dengan pendapatan per kapita setinggi AS$15,000 (RM48,888).
Dalam isu penyeludupan diesel bersubsidi ini, penulis tidak mahu menuding jari mencari siapa pemain-pemain utama' terlibat. Cuma, yang pasti, mereka ini bukan ikan bilis sebaliknya daripada senarai nama-nama cukup besar, hebat'.
Dan kita khuatir jika yang terlibat merupakan pihak yang tidak disangka-sangka. Barangkali, mereka ini memang telah ada pengalaman luas sewaktu berada dalam agensi atau kementerian terbabit. Dan kemudian bertukar karier pula menjadi penasihat' kepada stesen-stesen minyak atau dalang kepada penyeludupan diesel bersubsidi ini.
Penulis percaya sebahagian besar dari kita kurang peka tentang subsidi minyak. Masih ramai menyangka kerajaan wajib memberikan subsidi kepada minyak bagi membantu rakyat, sekali gus mengembangkan ekonomi. Namun, penyeludupan subsidi minyak terutamanya diesel akan menyebabkan negara mengalami kerugian besar.
Apatah lagi jika diseludup dalam kapasiti yang amat besar, berkontena-kontena.