Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my

CHEF Ammar dan Zuraini bersama tiga cahaya mata mereka.
Masak dengan hati, masak dengan iman.' Tag line yang cukup dekat di hati para penonton saluran TV Al Hijrah khususnya peminat rancangan Hidangan Baraqah Bersama Chef Ammar.
Gelagatnya yang begitu bersahaja dengan bahasa Melayu telo Arab ketika mengendalikan rancangan tersebut cukup menghiburkan, apatah lagi setiap perkongsian resipi diselitkan dengan petua-petua mengikut sunah.
Itulah Chef Ammar I.H Alali. Walaupun namanya mungkin belum segah chef-chef selebriti yang lain, namun kemunculannya di kaca televisyen tetap dinanti peminatnya.
Cekap mengendalikan pelbagai peralatan dapur dan juga bahan-bahan masakan, tentunya ramai juga yang ingin mengetahui latar belakang lelaki berasal dari Palestin ini.
Kefasihan beliau bercakap Melayu adalah hasil lebih 17 tahun menetap di Malaysia dan berkahwin dengan seorang wanita tempatan kelahiran Pulau Pinang.
Ketika ditemui baru-baru ini di studionya yang terletak di Subang Jaya, ternyata bapa kepada tiga orang cahaya mata ini cukup bahagia dengan keluarga yang telah dibina sejak 16 tahun lalu.
Dilihat begitu romantik pada pandangan isterinya, Zuraini Abu Kassim, Chef Ammar juga merupakan seorang yang cukup mengingati hari-hari penting dalam sejarah hidupnya.
Begitu lancar memberikan tarikh kali pertama berjumpa, tarikh bertunang, dan tarikh akad nikah, Chef Ammar mengakui jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya, malah tidak mengambil masa yang begitu lama untuk menyatakan isi hatinya kepada Zuraini.
Bercerita lanjut mengenai pertemuan kali pertama dengan isterinya, jelas Chef Ammar, ia berlaku di salah sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang.
Ketika itu, dia terpandang Zuraini yang sedang menikmati hidangan tengah hari bersama rakan-rakannya.
Tanpa disangka, pandangannya turut dibalas Zuraini lalu bertukar-tukar senyuman. Namun, peristiwa 'sedetik' itu berlalu begitu sahaja tanpa ada sebarang susulan.
Ternyata jodoh antara mereka kuat dan sudah tertulis apabila tanpa disengajakan, mereka bertembung semula di luar pusat beli-belah.
Dari situlah segala-galanya bermula dan perhubungan tersebut telah menyatukan mereka sebagai pasangan suami isteri yang bahagia.
"Terus terang saya katakan, pertemuan tersebut tidak pernah membuatkan saya terfikir untuk mencarinya (Zuraini) tetapi mungkin jodoh antara kami kuat kerana tanpa disangka-sangka kami bersua kembali selepas masing-masing selesai menjamu selera di pusat membeli-belah tersebut.
"Saya menegur Zuraini dahulu. Saya menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah. Paling tidak boleh lupa saya sanggup mengisi penuh minyak kereta semata-mata untuk menghantarnya balik ke rumahnya di Ipoh.
"Apa yang pasti, kenangan 16 tahun dahulu tidak akan luput daripada ingatan dan ia satu kenangan yang cukup indah dan manis buat kami berdua," ujarnya ketika diminta bercerita mengenai pertemuan pertama dengan isterinya pada tahun 1996.
Apa yang diceritakan oleh Chef Ammar turut diakui isterinya, malah apa yang menarik mengenai kenangan tersebut, Zuraini menambah, sebaik sahaja dia terpandang akan Chef Ammar (ketika itu), dia terus berkata kepada kawannya, "Aku rasa nak kawin la..."
Zuraina berkata, dia sendiri tidak tahu mengapa ungkapan tersebut terkeluar dari mulutnya, malah ia berlaku secara spontan.
Selepas pertemuan tersebut, mereka saling bertukar nombor telefon dan pada malam itu jugalah, Chef Ammar telah menghubungi Zuraini dan mereka berbual selama tiga jam.
Walaupun ketika itu mereka saling berhubung dan berjumpa, bagi Zuraini, dia tidak pernah terfikir bahawa perhubungan tersebut akan berlanjutan kerana tidak pernah terfikir akan berkahwin dengan seorang lelaki warga asing.
"Selama ini saya tidak pernah 'bercita-cita' untuk mencari pasangan bukan daripada kalangan rakyat tempatan kerana selama ini pun kawan-kawan saya semuanya orang Melayu.
"Jadi apabila kenal dengan Chef Ammar, saya tidak pernah terfikir bahawa dia akan melamar dan seterusnya berkahwin dengan saya.
"Tetapi apabila Chef Ammar melamar, saya tahu dia adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk saya," tambahnya lagi.
Walaupun tidak mengambil masa yang lama untuk bercinta seperti pasangan- pasangan lain, Chef Ammar dan Zuraini bahagia melayari alam perkahwinan mereka dengan begitu baik sekali sehingga ke hari ini.
Apabila ditanya apakah rahsia kesejahteraan rumah tangga mereka, kedua-duanya sepakat menyatakan kepercayaan serta tolak ansur merupakan elemen penting yang perlu ada dalam diri masing-masing.
Begitupun, kedua-duanya tidak menafikan mereka juga seperti pasangan-pasangan lain yang tidak pernah terlepas daripada selisih faham hingga kadangkala tidak bertegur sapa antara satu sama lain.
"Dalam kehidupan berumah tangga, mana ada pasangan yang tidak pernah bergaduh, cuma kami tidaklah pernah bergaduh besar dan paling kurang pun, kami tidak bertegur sapa selama sehari sahaja.
"Kemudian kami akan berbaik semula dan inilah rencah kehidupan dalam berumah tangga.
"Malah dalam hal ini (bergaduh), saya akui sayalah yang selalu mulakan dahulu kerana saya lihat rumah tangga yang sentiasa aman damai macam ada yang tidak kena," beritahu Chef Ammar sambil ketawa.
Chef Ammar turut mendedahkan 'rahsianya' iaitu walau seteruk mana mereka bergaduh, setiap malam sebelum tidur dia akan memastikan ungkapan 'I Love You' diluahkan pada isterinya dan telah diamalkan sejak hari pertama mereka berkahwin lagi.
Turut menyifatkan suaminya seorang yang begitu romantik dan penyayang, Zuraini memberitahu hadiah pertama pemberian Chef Ammar kepadanya adalah gincu.
Zuraini turut menyatakan bahawa suaminya gemar memberinya bunga tetapi sejak kebelakangan ini amalan tersebut telah dihentikan apabila melihat pemberiannya seolah-olah tidak dihargai.
"Bukan saya tidak menghargai pemberiannya (bunga) tetapi pada saya, dia sudah menjadi milik saya, jadi saya tidak memerlukan benda-benda lain.
"Lagipun bunga akan kecut dan akhirnya saya akan membuangnya juga. Mungkin bila melihat setiap kali bunga yang dibawa balik hanya akan diletak begitu sahaja, jadi Chef Ammar tidak lagi membeli bunga untuk saya melainkan untuk meraikan hari-hari penting kami," ujarnya menutup bicara.