Oleh Ali Mahmood
utusanpahang@utusan.com.my

Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penduduk Kampung Batu Papan semasa menghadiri Program Santai Pengguna Bersama KPDNKK di Kampung Batu Papan malam semalam.
BERA 27 April - Semua perkara yang dibangkitkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Bera kononnya untuk membaiki kehidupan rakyat di daerah itu sebenarnya sedang diatasi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara isu yang dibangkitkan pembangkang mengenai masalah infrastruktur seperti jalan raya, isu tanah Orang Asli dan bekalan air semuanya dalam proses pelaksanaan.
Katanya, sebagai contoh, kerajaan sudah memperuntukkan RM18 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan melebar jalan antara simpang Triang Satu ke Felda gugusan Tembangau.
"Sebanyak RM10 juta lagi diluluskan untuk kerja-kerja yang sama bagi jalan raya dari Kerayong ke Simpang Sebertak dan RM10 juta lagi jalan dari Simpang Pos Iskandar menuju ke Ladang Bera Kemayan turut dibaiki dan dinaik taraf.
"Mengenai masalah tanah pula, ia sedang diproses dan mengambil sedikit masa kerana kerja-kerja menyukat tanah bukan satu proses yang mudah kerana setiap inci tanah yang disukat perlu tepat, tidak boleh silap kerana ia akan membabitkan tanah orang lain," kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Santai Pengguna Bersama Penduduk Batu Papan di sini malam tadi.
Menurut beliau, permohonan itu tidak dapat dilulus dengan segera kerana butir-butir peribadi yang dibuat pemohon tidak lengkap termasuk alamat yang sukar dihubungi semula.
Tambahnya, masalah geran tanah tidak perlu dirisaukan kerana cepat atau lambat akhirnya ia akan menjadi hak milik mereka juga kecuali mereka memerlukan geran yang cepat untuk tujuan tertentu.
Mengenai masalah bekalan air paip, beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera memberitahu, kerja-kerja menukar paip lama yang sudah rosak dan pecah sedang dijalankan kontraktor membabitkan peruntukan lebih RM50 juta termasuk menaik taraf beberapa buah loji bekalan air.
Tambahnya, semua tuduhan calon PKR, Zakaria Abd. Hamid tidak benar sama sekali kerana kerajaan sedang melaksanakan kerja-kerja membaiki dan menaik taraf kemudahan asas selain daripada membawa pembangunan dari semasa ke semasa.
"Zakaria mungkin tidak tahu perkembangan kerana telah lama tinggalkan kawasan ini dan tidak tahu mengenai perkembangan yang berlaku di Bera jadi tuduhannya itu tidak betul," ujarnya.