
Sebahagian kakitangan MARDI melakukan ikrar Integriti MARDI pada majlis menandatangani Ikrar Integriti MARDI bersama SPRM di Serdang, baru-baru ini.
PADA 20 Mei 2013, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bahawa integriti dapat diperkasakan jika pentadbiran negara diterasi atas tiang perundangan, dikuatkuasakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih; tanpa halangan - tanpa campur tangan politik.
Malah menurut baginda, kesungguhan pemimpin menangani rasuah dan langkah tegas pemimpin berani mengeluarkan sel rasuah dari anatomi pentadbiran sebenarnya akan lebih mengukuhkan kedudukan pemimpin, di samping membina imej positif kerajaan, serta meningkatkan penghormatan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin, sekali gus meningkatkan integriti pemimpin di mata rakyat.
Dalam perkara ini, Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) memikul amanah dan tanggungjawab untuk membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia secara berterusan. Bulan ini genap 10 tahun kedua-dua inisiatif ini menjadi kenyataan.
Dalam erti kata lain, individu yang maju dan sempurna bermaksud memiliki jasmani, emosi, rohani, intelek yang baik secara konsisten. Menyedari kepentingan perkara ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan usaha melahirkan masyarakat bermoral dan beretika, kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang tinggi, sebagai salah satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020.
Cabaran keempat Wawasan 2020 dan semangat serta prinsip Perlembagaan Persekutuan dan falsafah Rukun Negara dijadikan ramuan oleh pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk melancarkan PIN dan disusuli dengan penubuhan IIM pada 23 April 2004.
Sebelum pelancaran PIN dan penubuhan IIM, kita jarang mendengar penggunaan perkataan integriti, sebaliknya sering mendapat perhatian adalah amalan nilai-nilai murni. Pelancaran PIN dan penubuhan IIM memungkinkan rakyat untuk menyebut dan memahami serta menghayati maksud integriti.
Di peringkat awal penubuhan, IIM dengan amanah yang besar dibatasi dengan bilangan kakitangan bertekad mempromosikan PIN dan kewujudan IIM kepada semua lapisan masyarakat melalui taklimat, ceramah, seminar, bengkel, pembentangan kertas kerja, muncul di kaca televisyen dan radio sebagai tetamu undangan.
Dalam memartabatkan integriti institusi keluarga, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan golongan remaja di peringkat akar umbi, Institut Integriti Negeri dilancarkan di peringkat kebangsaan.
Bagi mengembangkan lagi kefahaman tentang kepentingan integriti dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, buku nilai-nilai integriti sebagai bahan bacaan tambahan diterbitkan dan diedarkan ke semua sekolah.
Untuk membimbing dan meningkatkan kefahaman integriti dalam kalangan pendidik pula, IIM menganjurkan Seminar Integriti Warga Pendidik (SIWP). Dalam proses ini, guru-guru pelatih juga diutamakan. Pertandingan Pidato Integriti dianjurkan setiap tahun sebagai landasan untuk mengembangkan maklumat mengenai pengamalan integriti.
Usaha pemantapan integriti diteruskan dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi. Golongan ini ialah pemangkin pembangunan negara masa hadapan.
Sehubungan itu, Rakan Integriti Mahasiswa (RIM) dibentuk bagi membuka ruang dan peluang yang baik kepada pelajar-pelajar IPTA untuk melaksanakan program dan aktiviti kesedaran dan kepentingan pengamalan integriti di kampus masing-masing.
Gerakan pemantapan integriti yang diterajui IIM terus mendapat sambutan dan kerjasama baik daripada jentera perkhidmatan awam. Rakyat mengharapkan sistem perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan, urus tadbir kerajaan yang baik dapat memerangi pembaziran dana kerajaan.
Untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan integriti dalam kalangan penjawat awam, IIM dengan kerjasama semua kementerian dan jabatan menganjurkan program dan bengkel pemantapan integriti bagi meningkatkan kesedaran integriti penjawat awam.
Bantuan dan bimbingan juga diberikan kepada jabatan dan badan-badan berkanun untuk menggubal Pelan Integriti Organisasi bagi mempertingkatkan tadbir urus yang baik, kompetensi dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan.
Hasil usaha bersama, kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Unit Integriti dalam semua agensi kerajaan sebagai satu mekanisme kawalan dalaman bagi menilai dan memantau penjawat awam mengamalkan budaya kerja yang unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh hatta meningkatkan semangat patriotisme.
Usaha pemantapan integriti maju ke hadapan apabila agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Jabatan Pengangkutan Jalan menandatangani memorandum persefahaman dengan IIM bagi memperkukuhkan bidang latihan untuk mempertingkatkan kualiti penguatkuasaan.Dalam perkara ini, bertindak pantas dengan meletak "Integriti Amalan Kita" dalam lencana anggota polis.
IIM dengan kerjasama semua pihak yang berkaitan menganjurkan program peningkatan tadbir urus korporat dan etika perniagaan yang baik bagi membantu mengurangkan kes-kes penipuan korporat.
Kes-kes penipuan dalam organisasi boleh dibendung sekiranya organisasi mempunyai Lembaga Pengarah dan pegawai-pegawai yang berintegriti serta mengamalkan audit dalaman dan pemantauan yang berkesan.
Integriti dalam bidang politik juga diberi fokus utama. Program pengukuhan integriti politik terus dijalankan di semua peringkat tanpa mengira parti, budaya dan agama. Dengan terlaksananya program ini, tahap kefahaman dan pengetahuan mengenai kepentingan pengamalan integriti dalam politik meningkat.
Ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewakili parti-parti politik dan badan bukan kerajaan yang menjadi pemimpin tempatan terpenting juga diutamakan melalui program pengukuhan integriti.
Sebagai langkah menyemak, menilai dan memastikan program pemantapan integriti berdasarkan PIN dijalankan secara berkesan, IIM telah membangunkan Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional (IPIN).
IPIN merupakan pengukuran bagi mengenal pasti indeks persepsi masyarakat terhadap gejala rasuah, kualiti penyampaian khidmat awam, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial, kemantapan institusi keluarga dan komuniti, kualiti hidup serta budi bahasa rakyat di negara ini.
Cadangan dan syor-syor dalam kajian tersebut dapat menghasilkan polisi dan tindakan pihak tertentu untuk menuju penambahbaikan serta mempertingkatkan keberkesanan fungsi IIM sebagai penyampai mesej integriti di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pelan Transformasi Kerajaan, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, merupakan agenda terpenting bagi mempertingkatkan integriti rakyat Malaysia supaya dapat mencapai cita-cita wawasan 2020.
Komitmen kerajaan untuk membentuk negara maju mengikut acuan sendiri terbukti apabila Perdana Menteri mewujudkan jawatan menteri tadbir urus dan integriti.
Usaha memperkasa dan membudayakan integriti masyarakat Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan sempurna untuk melihat impak positif serta progresif secara strategik sekiranya mempunyai kesungguhan politik.
Pengamalan nilai berani berubah dan berani bertindak untuk kepentingan awam khususnya dalam kalangan pemimpin politik di semua peringkat, merupakan cabaran besar ke arah membudayakan integriti rakyat Malaysia.
Kita berharap untuk melihat lebih banyak kemajuan dalam usaha memupuk nilai-nilai integriti dalam kalangan rakyat Malaysia dalam dekad akan datang. Ia hanya dapat dicapai jika setiap anggota masyarakat dan agensi berganding bahu.
Loganathan Veerasamy
Institut Integriti Malaysia (IIM)