APABILA menyebut nama DATUK SERI DR. JAMALUDIN JARJIS sudah pasti kita tidak akan lupa bagaimana beliau merupakan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang pertama memakai baju Melayu dan tengkolok menyerahkan watikah pelantikan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Tindakan Jamaludin itu mengejutkan banyak pihak dan menarik perhatian dunia kerana sebelum ini tidak pernah ada duta Malaysia berpakaian seumpama itu.
Kini semangat Melayu beliau terus mahu disemarakkan lagi dalam UMNO, apabila dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan SYUKRI SHAARI, Ahli Parlimen Rompin yang akan bertanding kerusi Majlis Tertinggi esok memberi pandangannya berhubung parti keramat orang Melayu tersebut.
UTUSAN: Dalam usaha untuk mengekalkan UMNO terus relevan, apa yang sepatutnya parti ini lakukan?
JAMALUDIN: Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, beliau merupakan pemimpin yang pertama mengemudi dari generasi baru. Beliau semestinya lihat bahawa UMNO dan orang Melayu telah melalui perubahan zaman. Kerana bapanya, Tun Abdul Razak memimpin negara pada zaman semasa dan selepas merdeka manakala beliau mengambil alih negara dalam keadaan UMNO serta orang Melayu selepas 50 tahun.
UMNO 50 tahun lalu berjaya mengumpulkan kelompok-kelompok Melayu dan persatuan Melayu Johor, Kelantan , Kedah, Selangor. Pemimpin kita ketika itu antaranya patuh dan mampu untuk menyatukan suara-suara hati dan jiwa Melayu yang ketika itu dapat dipandu untuk menyatukan intisari hati, menyedarkan mereka tentang kepentingan untuk merdeka dan melakukan usaha di bawah satu payung iaitu UMNO, itu landskap ketika itu.
Dari segi ekonomi pula ketika itu, orang Melayu tinggal di kawasan luar, hendak pergi mesyuarat bahagian terpaksa ada antaranya kena naik bot atau jalan kaki.
Biar pun penjajah mempunyai pelbagai kemudahan termasuk ekonomi tetapi oleh kerana kita berjaya menyatukan hasrat hati dan jiwa perjuangan Melayu, kita berjaya mencapai kemerdekaan.
Itu keadaan dulu, tetapi bagaimana senario sekarang selepas kita mendapat kemerdekaan untuk menyatukan semula orang Melayu bagi membolehkan kita mengekalkan kuasa pemerintahan?
Langkah Najib melakukan anjakan dan perubahan dasar melalui transformasi adalah bertujuan untuk memastikan UMNO menjelma dalam bentuk baharu atau lebih tepat penjelmaan semula UMNO.
Kalau dulu bentuk lain, sekarang bentuk baharu melalui penjelmaan. UMNO perlu melalui penjelmaan baharu. Pertamanya, melalui program transformasi bagaimana kita hendak memastikan ia tertumpu bagi menjelmakan usaha-usaha bagi membantu orang Melayu, ini melibatkan soal minda dan perjuangan.
Keduanya, kita lihat selera sudah berubah, kalau dulu, prasarana ketika itu berbeza, jalan tiada. Masa saya kecil dulu, nak pergi sekolah naik perahu, naik bot dan dalam bidang ekonomi tidak ramai yang mampu menceburinya.
Sekarang sudah ramai yang berjaya. Daripada aspek pendidikan hari ini, ramai profesor Melayu telah dilahirkan, masa saya dulu nak masuk institusi pengajian tinggi, semua profesor Cina.
Untuk itu anjakan yang mahu dilaksanakan oleh Perdana Menteri harus disokong dan paling penting dalam kalangan orang Melayu dan UMNO sendiri.
Kalau tidak tengok kembali, cara-cara kita hari ini mungkin tidak dapat kekalkan tampuk kuasa dalam tempoh 50 tahun akan datang. Senario berbeza, landskap berbeza, dahulu majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar, sekarang orang Melayu tinggal di bandar. Kalau dulu majoriti orang Melayu ekonominya luar bandar, sekarang ekonomi mereka sudah di dalam bandar.
Dulu majoriti orang Melayu pendidikan tak tinggi, sekarang semua ada minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala satu pertiga orang Melayu mempunyai diploma. Keadaan membuktikan landskap, demografik, sumber pendapatan dan dunia sudah berbeza.
Ia bermakna, walaupun selepas 50 tahun orang Melayu masih berkuasa melalui UMNO tetapi kini kita harus menandatangani perubahan-perubahan yang berlaku untuk menghadapi cabaran bagi 50 tahun akan datang.
Sebab itulah saya nampak UMNO kena kemudi perubahan ini yang saya kata penjelmaan supaya dapat tangani dan kukuhkan pembaharuan UMNO supaya segar balik, bertenaga balik macam sekarang ini kita lihat dalam Pergerakan Pemuda dan Puteri, kita bangga dengan ada pemimpin-pemimpin baharu.
Dunia sekarang berbeza, macam saya, saya berumur 62 tahun. Pengundi Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas saya rasa 15 peratus sahaja, majoriti pengundi kita berumur 35 tahun ke bawah. Bermakna kita perlu jadikan Malaysia dunia untuk mereka yang berumur 35 ke bawah.
Sebab itu kita kena buka satu peluang atau jalan supaya banyak anak muda sertai UMNO. Oleh itu Pergerakan Pemuda perlu guna platform dan pendekatan bagi menawan hati dan jiwa mereka.
Apa strategi yang sepatutnya UMNO gunakan?
JAMALUDIN: Kita tidak boleh lagi menggunakan strategi dengan mengatakan kepada rakyat, kena sokong kerajaan sebab kerajaan yang bina jalan, sekolah dan sebagainya.
Sebaliknya kita perlu membina satu kaedah dan strategi pemikiran baharu atau pun satu komunikasi yang baharu untuk pikat hati dan jiwa mereka supaya orang Melayu dapat rasa tiada organisasi lain yang boleh jamin masa depan mereka kalau bukan UMNO.
Kalau UMNO masih lagi membawa brand yang dulu, kaedah cara dulu, rupa dulu, orang muda akan rasa generasi ini bukan generasi mereka, generasi ayah mereka, mungkin generasi datuk mereka. Itu perlu berubah pasal anjakan baharu. Sebab itu saya kata penjelmaan baharu untuk tarik anak muda.
Perdana Menteri sendiri tekan perkara ini dengan berhubung melalui Twitter dan tubuh iM4U yang bertujuan mendekati anak muda. Saya rasa pemimpin lain perlu ikut corak Perdana Menteri dekati orang muda, kena lebih ramai. Jadi harapan saya, Exco-exco Pemuda yang baharu dapat bantu terjemah apa hasrat Perdana Menteri bahawa UMNO perlu dekati orang muda.
Kesungguhan Perdana Menteri dalam soal ini jelas apabila contohnya baru-baru ini dalam agenda memperkasa ekonomi bumiputera, Perdana Menteri tubuhkan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC).
Maknanya, dulu anak-anak muda kalau nak berniaga mana ada modal, tiada idea-idea boleh diketengahkan yang boleh dijual di pasaran. Sekarang anak muda kita oleh kerana mereka jadi terpelajar dari institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara, mereka mampu melahirkan idea yang boleh bina produk untuk pasaran tetapi mana ada modal, sebab itu kerajaan wujudkan dana yang boleh dipohon.
Idea-idea yang bagus di bawah program inovasi boleh menambahkan idea supaya boleh diketengahkan. Ini antara kaedah-kaedah baharu yang perlu kita fikir. Banyak anak muda baru minat berniaga dan bidang keusahawanan. Bagaimana bantu yang di luar bandar sebagai usahawan kecil, bagaimana bantu mereka?
Kita tidak boleh tinggal dalam kepompong yang lalu, sudah tidak relevan kepada mereka. Harapan kita supaya Exco Pemuda yang baharu akan mendekati anak muda di bandar dan luar bandar bagi mengetahui apa idea dan minat mereka.
Ini sangat penting dilakukan supaya mereka melihat UMNO dan kerajaan relevan kepada mereka. Semua ini berkaitan dengan penjelmaan, yang lama dibuat oleh Tun Razak dan dibaharui oleh Najib.
Kita perlu bina satu suara baru, tambat minat anak muda baru yang kita tidak terfikir, kalau tidak kita tidak relevan. Apatah lagi kalau dulu UMNO hanya bersaing dengan Pas, sekarang ada Parti Keadilan Rakyat (PKR). DAP pun cuba tambat hati Melayu, maknanya sudah wujud persaingan baru.
Golongan muda universiti paling banyak terpengaruh dengan pembangkang. Bagaimana UMNO nak memperbetulkan perkara ini?
JAMALUDIN: Perkara ini bagi saya berlaku kerana struktur UMNO kadang-kadang masih tradisional. UMNO Rompin bagi daerah Rompin. Kuala Terengganu bagi Kuala Terengganu.
Kita tiada UMNO di kawasan kampus. Sebab itu peringkat awal di luar negara ditubuhkan kelab UMNO luar negara. Mungkin Pemuda UMNO boleh timbangkan. Kalau boleh wujudkan kampus UMNO di luar negara, kenapa tidak dalam negara. Nanti tiada langsung usaha-usaha untuk terangkan strategi UMNO.
Pihak sebelah sana walaupun tidak formal tapi ada, Pas ada organisasi sendiri tetapi tidak sebut Pas. Kalau kita tak masuk ruang ini, kita macam putus asa. Tiada usaha langsung, tiada usaha nak engage dengan anak muda.
Saya tengok Exco Puteri baru ni, yang ada graduan-graduan ternama, mungkin mereka ini boleh bawa pembaharuan kepada parti.
Kalau dulu perjuangan tradisi mereka menerusi kelab belia di kampung, kemudian daerah, selepas itu negeri. Belia sekarang bukan begitu, belia hari ini di pusat latihan, kolej dan, institusi pengajian tinggi. Anak muda banyak di tempat seperti itu pada hari ini.
Ini merupakan institusi baharu negara. Institusi negara dulu kampung, daerah dan negeri, sekarang tidak lagi. Selain itu, ada institusi baharu, ada Universiti Teknologi Mara (UiTM), pusat latihan, pusat perguruan. Anak-anak muda apabila habis belajar, dia masuk kerajaan. Kalau tidak dekati dari awal, seperti dulu, susah.
Apatah lagi mereka ini lebih banyak mendapat maklumat daripada internet, jadi kita tidak terkejut apabila tamat pengajian, mereka mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah pembangkang.
Kita perlu mewujudkan prasarana sosial dan politik untuk mendekati mereka. Ia memandangkan jika ini tidak dilakukan, mereka akan menjadi kumpulan yang anti kerajaan.
Sebab itulah Perdana Menteri tubuh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kementerian itu salah satu fungsi ialah membina prasarana di dalam bandar.
Prasarana baharu institusi sosial perlu diwujudkan memandangkan orang Melayu sudah mula hidup di bandar. Ini janji Perdana Menteri dalam manifesto pada pilihan raya lalu, saya terlibat untuk membantu dalam modul dan hasrat itu diterjemah secara realiti menerusi penubuhan kementerian.
UMNO dalam masa sama hadapi cabaran Pas dan PKR untuk merebut undi orang Melayu. Bagaimana UMNO hadapi situasi ini?
JAMALUDIN: Kekuatan UMNO di luar bandar sudah cukup kuat, tetapi sekarang majoriti orang Melayu duduk di bandar, UMNO sendiri tidak boleh bergerak sebagai parti luar bandar, sebab itu saya kata UMNO kena melakukan penjelmaan menjadi parti bandar. Kena terjemah dan andaian saya transformasi Perdana Menteri itu maksudnya jelmaan.
Kena bina UMNO sebagai parti bandar, dulu luar bandar, sekarang teruskan, jadi parti bandar, kena ada prasarana sosial. Di luar bandar ada ketua cawangan, ketua kampung tetapi bagaimana di bandar? Tiada apa-apa...tiada kuasa. Sebab itulah institusi kerajaan di bandar diwujudkan supaya UMNO ada akar umbi di bandar.
Selain itu, kita perlu melihat apakah faktor yang menjayakan diri kita di luar bandar dan ia kemudiannya dilaksanakan di bandar.
Sebagai contoh, apabila anak muda pulang kampung mereka main bola sepak di padang percuma tetapi bila kembali ke bandar, main futsal kena bayar sepatutnya kita binalah kemudahan itu supaya mereka dapat bermain dengan kos yang rendah.
Maknanya kita harus sediakan prasarana sosial untuk mereka. Contohnya, saya sebagai Ahli Parlimen Rompin sudah merancang untuk mewujudkan pusat khidmat di Lembah Klang.
Ini memandangkan, pengundi saya di kawasan tersebut ialah 25 peratus daripada keseluruhan 30 peratus pengundi luar Rompin. Saya hendak pastikan peruntukan untuk Parlimen Rompin turut dirasaikan oleh kelompok 25 peratus itu.
Saya rancang menyewa rumah kedai, buat pejabat dan asrama. Tujuannya ialah untuk memberi perkhidmatan kepada mereka. Ini sebagai contoh bagaimana wakil rakyat kita harus mengubah cara service kepada rakyat, tidak boleh lagi bergantung pendekatan 20 tahun, 30 tahun lalu.
Kita kena lakukan pendekatan melalui pemikiran di luar kotak. Kalau dulu kita berjaya dekati anak muda di luar bandar, jadi kena fikir bagaimana kita nak dekati anak muda di bandar untuk menang kembali kerusi-kerusi yang kita kalah pada pilihan raya lalu.
Bagaimanapun Alhamdulillah, setakat ini anak-anak Melayu bandar telah kembali kepada kita, tetapi sokongan itu perlu ditingkatkan. Bagaimana nak naikkan? Sejak adanya produk seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia, orang Melayu bandar sudah kembali kepada UMNO tetapi mesti terus usahakan ini.
Kalau orang Melayu bandar tidak kembali kepada UMNO menerusi program 1Malaysia, kita tidak akan tambah kerusi lagi pilihan raya umum. Jadi, usaha ini perlu diteruskan. Supaya sokongan Melayu di bandar dapat ditingkatkan sebagaimana di luar bandar.
Masalahnya ada sebahagian orang Melayu melihat Pas lebih Islamik?
JAMALUDIN: Saya katakan seperti pilihan raya umum lalu, dari segi sentuhan agama, kita tidak banyak gunakannya, kita banyak laksana tetapi komunikasi kurang. Mereka (Pas) tidak buat tetapi gendang mereka lebih. Kalau bercakap tutur perkataan Arab semua keluar. Kita kena ada juga pemimpin yang arif dan fasih mengenai Islam. Intisari kita buat lebih daripada mereka.
Seperti di Kelantan, apa mereka buat? Komunikasi kita kena tingkatkan. Pas pun cuba untuk pergi dekati kaum Tiong Hua, cuba liberal. Isu lebih kepada komunikasi, ceramah, bukan dari segi intisari.