Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL bangunkan hutan rekreasi

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Peserta Program Tautan Rimba Alam menanam pokok sebagai usaha mengindahkan Taman Rimba Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Hutan Simpan Taman Rimba Bukit Kerinchi bakal menjadi tumpuan warga kota pada hujung minggu apabila pembangunan fasa keduanya sebagai taman rekreasi siap tidak lama lagi.

Taman Rimba tersebut adalah antara 14 buah taman rekreasi di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dipelihara kehijauan dan sumber alam semula jadinya bagi membolehkan pembangunan seimbang dilaksanakan di ibu negara.

Pembantu Pertanian Jabatan Landskap dan Rekreasi DBKL, Badarin Basir berkata, segala kemudahan di sekitar taman itu akan dibaik pulih dan dipertingkatkan demi keselesaan pengunjung.

"Kawasan ini agak terbiar selama ini kerana kami terpaksa bergantung kepada peruntukan yang ada untuk memulihara dan menjaganya, tetapi DBKL akan berusaha untuk membangunkan semula hutan rekreasi ini," katanya ketika ditemui dalam Program Tautan Rimba Alam di Hutan Simpan Taman Rimba Bukit Kerinchi, di siini.

Baru-baru ini, DBKL menjalinkan kerjasama dengan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Wilayah untuk menjalankan Program Tautan Alam yang melibatkan 50 peserta dari Kursus Diploma Pengurusan Awam Intan Kampus Wilayah Timur (Intim).

Antara aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan bersama penduduk sekitar hutan simpan itu termasuklah gotong-royong membersihkan kawasan taman, menanam anak-anak pokok hutan dan membersih serta menyenggara pokok-pokok.

Badarin tidak menafikan banyak infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas di hutan rekreasi itu telah rosak, termasuk lampu jalan dan pondok pengawal.

Selain itu, katanya, tidak ramai yang mengetahui kedudukan dan jalan masuk ke situ kerana agak tersorok daripada pandangan.

"Oleh itu DBKL sangat mengalu-alukan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu dan menyokong DBKL dalam apa juga bentuk bagi menjadikan hutan simpan ini sebagai sebuah hutan rekreasi yang bakal menjadi tumpuan dan kunjungan warga kota untuk tujuan riadah, berkelah dan sebagainya," katanya.

Sementara itu Pengarah Program Tautan Alam, Mohamad Fauzan Shafii berkata, program itu dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan dan penghargaan terhadap alam sekitar yang begitu penting dalam kehidupan manusia.

"Peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) bukan sahaja melihat soal pentadbiran negara sebagai keutamaan dalam tugas mereka malah mereka juga merupakan golongan yang mencintai alam sekitar yang akan diperjuangkan daripada menjadi mangsa pembangunan yang rakus," katanya.

Kakitangan Syabas laksana korban

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Abdul Halem Mat Som (empat dari kiri) dibantu kakitangan Syabas melapah daging korban pada Majlis Ibadah Korban dan Akikah anjuran Peka di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Ibadah korban terus dilaksanakan oleh Umat Islam di sekitar Lembah Klang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Hari ini, seramai kira-kira 70 warga kerja Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas) melaksanakan ibadah korban dan akikah anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) di pekarangan ibu pejabat Syabas, di sini.

Presiden Peka, Zainuddin Othman berkata, sebanyak enam ekor lembu dan dua ekor kambing telah disembelih dan dilapah secara bergotong royong di peringkat ibu pejabat.

Menurutnya, majlis seumpamanya turut diadakan di sembilan lagi Wilayah Syabas melibatkan 16 ekor lembu korban.

"Ibadah korban itu dilaksanakan secara bergotong royong bermula dengan kerja-kerja menyembelih, melapah, memotong daging dan mengagihkan daging korban kepada golongan yang kurang kemampuan.

"Daging korban ini turut diagihkan kepada beberapa golongan kurang berkemampuan dan miskin.

"Selain penghuni Rumah Anak- anak Yatim Al Kadim, Rumah Anak Yatim Darul Quraq di Jalan Kebun Kelang, Rumah Anak Yatim Besraya Sungai Besi dan Persatuan Ibu Tunggal Kampung Medan, daging korban turut diagih kepada warga Syabas,"katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som.

Tambah Zainuddin, ibadah korban dilaksanakan setiap tahun sejak Syabas mengambil alih pengurusan pembekalan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun 2005.

"Di samping melaksanakan tanggungjawab sebagaimana yang dituntut oleh agama, majlis seperti ini merapatkan lagi hubungan dalam kalangan kakitangan syarikat,"katanya.

Penduduk bimbang pokok hempap rumah

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Beberapa batang pokok yang semakin condong ke arah rumah penduduk di Taman Petaling, Kepong, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Keadaan pokok condong dan berusia lebih 20 tahun yang terletak betul-betul berhadapan dengan rumah penduduk di Taman Petaling, Kepong Baru dekat sini terus menimbulkan kebimbangan.

Penduduk mendakwa, jika angin kencang atau ribut, pasti pokok berkenaan tumbang dan keadaan itu membahayakan keselamatan mereka.

Seorang penduduk, Richard Teh, 69, berkata, pihak bertanggungjawab perlu segera memantau keadaan pokok berkenaan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, dalam hal ini dia yang mewakili 10 buah keluarga lain di kawasan perumahan itu meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan menebang mana-mana pokok yang berisiko tumbang pada bila-bila masa sahaja.

"Malang tidak berbau dan sebab itu kita minta supaya mana-mana pokok yang condong ke rumah penduduk segera ditebang untuk mengelak ia menghempap rumah jika ribut melanda.

"Jika kita melalui kawasan ini, pasti dapat lihat banyak pokok condong dan ada antaranya yang sudah tumbang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Richard, ranting dan dahan pokok yang tidak diketahui jenisnya itu selalu patah terutamanya selepas hujan.

Turut melahirkan kebimbangan, Tan Ah Aun, 72.

Katanya, selain bimbang dihempap pokok, daun kering yang sentiasa memenuhi halaman rumah penduduk turut menimbulkan rasa tidak selesa.

"Daun-daun yang berguguran itu bukan setakat penuh di depan rumah tetapi masalah paling besar adalah ia turut menutupi saluran air di atas bumbung sehingga menyekat air daripada mengalir.

"Ekoran kejadian itu juga, rumah saya pernah dimasuki air setelah ia mengalir daripada saluran tersebut ke dinding bilik tidur utama kerana tidak dapat mengalir dengan sempurna," ujarnya.

Menurut Ah Hun, mereka juga terpaksa mengupah pekerja untuk mencuci saluran tersebut dengan kos RM100 setiap kali kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah dimaklumkan mengenai masalah itu dan berjanji untuk bertindak segera.

"Kita mencadangkan agar pokok-pokok sedia ada ini diperiksa dahulu dan jika tidak sesuai dan uzur mereka perlu menebang kesemuanya dan menggantikan dengan pokok yang baharu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved