Oleh SALLEH BUANG

Benigno Aquino III, menyampaikan ucapan pada upacara menandatangani Perjanjian Komprehensif Bangsamoro (CAB) di Istana Malacanang di Manila, Filipina pada 27 Mac lalu dengan disaksikan oleh Najib Tun Razak dan Al Haj Murad Ebrahim. - AP
Pada Khamis 27 Mac 2014 lalu, satu perjanjian bersejarah ditandatangani di Filipina. Perjanjian yang dipanggil Perjanjian Komprehensif Bangsamoro" (Comprehensive Agreement on the Bangsamoro, CAB) itu ditandatangani oleh kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam satu upacara rasmi di perkarangan Istana Malacanang.
Ketua panel perdamaian Filipina, Miriam Coronel-Ferel, menandatangani dokumen itu bagi pihak kerajaan Filipina, manakala pengerusi panel perdamaian MILF, Mohagher Iqbal, menandatanganinya bagi pihak MILF.
Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir dalam upacara bersejarah itu.
Matlamat utama perjanjian ini adalah mewujudkan satu entiti politik baru dikenali sebagai Bangsamoro. Entiti baru ini menggantikan entiti lama, Wilayah Autonomi Islam Mindanao.
Perjanjian ini mengakhiri konflik bersenjata puluhan tahun di Selatan Filipina. Mengikut Miriam, perjanjian ini amat penting bukan hanya untuk Bangsamoro, bahkan juga untuk penduduk Mindanao dan seluruh warga Filipina.
CAB adalah satu dokumen 5 halaman yang mengandungi 12 perkara, merupakan perjanjian perdamaian mutakhir antara kerajaan Filipina dan MILF. Ia merupakan noktah atau penghujung perundingan perdamaian selama 17 tahun antara dua pihak itu, bagi membolehkan terwujudnya satu entiti politik berautonomi Bangsamoro.
CAB menegaskan lagi komitmen kedua-dua pihak untuk terus melaksanakan Kerangka Perjanjian Bangsamoro (Framework Agreement on the Bangsamoro, FAB) yang ditandatangani pada 12 Oktober 2012 lalu. Kerangka ini menggariskan penyelesaian politik" antara kedua-dua pihak serta proses peralihan dari Wilayah Autonomi Muslim Mindanao kepada satu entiti politik berautonomi Bangsamoro.
Selain kerangka yang disebutkan di atas tadi, CAB juga menegaskan komitmen kedua-dua pihak untuk terus menghormati dan melaksanakan Empat Lampiran (Four Annexes) dan Tambahan (Addendum) kepada Kerangka itu, iaitu -
a. Annex on Transitional Modalities and Arrangements (ditandatangani pada 27 Februari 2013), yang menggariskan proses peralihan bagi penubuhan Bangsamoro. Ia memperincikan penubuhan satu Suruhanjaya Peralihan, satu Undang-Undang Asas Bangsamoro, dan satu Pihakberkuasa Peralihan Bangsamoro.
b. Annex on Revenue Generation and Wealth Sharing (ditandatangani pada 13 Julai , 2013), yang menyenaraikan sumber membina kekayaan dan kemudahan kewangan bagi entiti baru itu.
c. Annex on Power Sharing (ditandatangani pada 8 Disember 2013), yang membincangkan hubungan antara kerajaan pusat, kerajaan Bangsamoro dan unit kerajaan tempatan di bawah Bangsamoro
d. Annex on Normalization (ditandatangani pada 25 Januari 2014), yang menjadi asas utama bagi anggota MILF meletakkan senjata mereka dan peralihan mereka kepada kehidupan sebagai orang awam biasa. Normalization" merupakan proses di mana kelompok masyarakat yang terjejas oleh konflik bersenjata di Mindanao itu boleh kembali kepada kehidupan yang aman damai serta tenteram.
e. Addendum on the Bangsamoro Waters and Zones of Joint Cooperation (ditandatangani pada 25 Januari 2014), yang memperincikan keluasan perairan di bawah bidang kuasa Bangsamoro (iaitu 12 batu nautika dari pantai) dan Zon Usahasama Bersama atau kawasan perairan dalam wilayah Filipina tetapi tidak dalam wilayah Bangsamoro
Entiti politik berautonomi Bangsamoro
Entiti baru ini menggantikan entiti lama iaitu Wilayah Berautonomi Muslim Mindanao (ARMM) mulai 2016. Ia merupakan kerajaan berbentuk kementerian. Ia bukan satu negara Islam.
Keluasan wilayahnya yang sebenar akan hanya dapat diselesaikan selepas satu plebiscite diadakan mengenai Undang-Undang Asas Bangsamoro (Bangsamoro Basic Law).
Apa yang boleh dikatakan mengenai wilayah itu setakat ini, berasaskan pelbagai dokumen yang ditandatangani sebelum ini, adalah seperti berikut - provinsi yang ada sekarang di bawah ARMM, termasuk Marawi City, Cotabato dan Isabela, 6 munisipaliti Lanao del Norte (Baloi, Munai, Nunungan, Pantar, Tagoloan and Tangkal) dan beberapa perkampungan (Kabacan, Carmen, Aleosan, Pigkawayan, Pikit and Midsayap) yang semuanya setuju menjadi sebahagian dari wilayah ARMM pada 2001.
Kerajaan berkementerian yang akan dibentuk akan mempunyai satu Dewan Perundangan, seorang Menteri, dan mempunyai hubungan asymmetric" dengan kerajaan pusat.
Undang-Undang Asas Bangsamoro, yang pada masa ini sedang dalam proses penggubalan, akan menyatakan secara terperinci hubungan antara kerajaan pusat, kerajaan Bangsamoro dan unit kerajaan tempatan.
Sistem mahkamah sivil akan diteruskan bagi kepentingan penduduk bukan Muslim, sementara Mahkamah Syariah akan ditubuhkan bagi masyarakat beragama Islam.
Kerajaan Bangsamoro akan diberi hak mengutip cukai serta hasil, seperti halnya dengan ARMM dulu. Kerajaan Bangsamoro diberi hak mengutip dana dari fi dan caj, geran dan derma, pinjaman serta sumber-sumber hasil yang lain. Mengenai cukai negara, fi dan caj yang dikutip oleh kerajaan pusat dalam wilayah Bangsamoro, 75% akan diserahkan kepada kerajaan Bangsamoro. Lama-kelamaan, kerajaan Bangsamoro tidak perlu bergantung lagi kepada dana dari kerajaan pusat.
Melihat ke depan
Dalam ucapan rasminya mengalu-alukan pemeteraian perjanjian ini, Presiden Filipina Benigno Aquino menyatakan - Sekiranya kita boleh mengekalkan momentum kedamaian ini, pada 2016 kelak MILF akan dapat menggugurkan identitinya sebagai satu angkatan bersenjata, dan membentuk semula sebagai satu identiti politik, mampu memainkan peranan penting merebut kerusi dalam pilihan raya Bangsamoro".
Aquino menambah ,sekiranya Bangsamoro dapat terus kukuh dan matang, ia akan menjadi pintu masuk perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya dalam kawasan pertumbuhan Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipna, sekali gus mewujudkan era keamanan, keselamatan, pembangunan dan kemajuan bagi seluruh rantau ini.
Hari ini, Bangsamoro bangkit bersama Mindanao, negara kita, wilayah ini dan seterusnya seluruh dunia", kata Aquino lagi.
Pengerusi MILF, Murad Ebrahim, menyatakan bahawa Perjanjian yang baru dimeterai ini merupakan kemuncak kejayaan perjuangan Bangsamoro. Beliau menambah bahawa kerajaan baru yang akan ditubuhkan nanti bukan kerajaan MILF, tetapi kerajaan Bangsamoro.
Undang-Undang Asas Bangsamoro
Kita difahamkan bahawa draf Undang-Undang Asas Bangsamoro ini akan diserahkan kepada Presiden Aquino pada bulan ini atau selewat-lewatnya Mei depan.
Pada waktu ini deraf ini sedang disemak dan dihalusi secara terperinci oleh Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro. Suruhanjaya ini terdiri dari 15 anggota, iaitu 8 orang wakil MILF dan 7 orang wakil kerajaan pusat.
Mengikut Timbalan Pengerusi MILF, Ghazali Jaafar, draf ini kemudian dibentang dalam Kongres untuk mendapatkan kelulusan.
Setelah mendapat kelulusan Kongres (Dewan Perwakilan dan Senat) dan kemudian disahkan oleh Presiden, undang-undang baru ini dirujuk kepada seluruh rakyat Bangsamoro (pengundi berdaftar) menerusi satu plebiscite.
Sebaik sahaja ia diratifikasi oleh rakyat (disetujui oleh majoriti pengundi berdaftar), entiti terdahulu, ARMM) akan dimansuhkan, dan PihakBerkuasa Peralihan Bangsamoro (Bangsamoro Transition Authority, BTA) ditubuhkan.
Pilihan raya akan diadakan pada 2016, di wilayah Bangsamoro dan di seluruh Filipina. Dalam pilihan raya ini, pengundi berdaftar akan memilih pemimpin mereka yang akan membentuk Kerajaan Bangsamoro.
Pendek kata, perjanjian bersejarah yang baru ditandatangani ini merupakan asas kukuh untuk membentuk satu Kerajaan Bangsamoro bagi wilayah yang bergolak untuk sekian lama. Kita sama-sama doakan Mindanao yang akan wujud di masa depan akan terus aman, maju dan sejahtera - tidak lagi satu wilayah yang daif dan serba kekurangan, yang pernah saya lihat sewaktu menziarahinya dulu dalam pertengahan tahun 80-an.