Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF

SEBAHAGIAN daripada hampir 30,000 penonton yang menyaksikan konsert Metallica di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
TEMPOH 31 tahun cukup panjang dalam usia penubuhan kumpulan Metallica. Dalam tempoh itu, mereka telah menghasilkan 15 buah album penuh termasuklah EP dan terlibat dalam ribuan konsert di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali mempunyai ramai peminat tegar kumpulan dalam genre muzik thrash metal tersebut.
Sayangnya, selama lebih tiga dekad ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), kumpulan yang dianggotai oleh James Hetfield, 50, selaku vokalis, gitaris, Lars Ulrich, 50, (dram), Kirk Hammet, 51, (gitaris) dan Robert Trujilo, 49, (bassis) itu tidak pernah mengadakan konsert di negara ini sehinggalah pada 21 Ogos lalu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (KL).
Bukan setakat para peminat, malah Metallica juga sebenarnya teruja mahu mengadakan konsert di negara ini. James Hetfield misalnya, pernah menyuarakan sendiri hasratnya itu sebelum menjayakan konsert Metallica di O2 Arena Stadium, London, United Kingdom pada penghujung Mac 2009.
Penulis yang ketika itu membuat liputan Konsert Metallica World Death Magnetic Tour 2009 yang disiarkan menerusi ruangan ini pada 6 April empat tahun lalu turut terkejut apabila diberitahu bahawa penyanyi kumpulan yang ditubuhkan pada 1981 itu sudah lama menyimpan hasrat tersebut.
Sebagai rekod, kali pertama dan terakhir Metallica singgah ke Asia Tenggara ialah pada 1991 dengan mengadakan konsert di Singapura dan Jakarta, Indonesia.
"Tunggulah sahaja kemunculan kami untuk konsert bergerak seterusnya di Asia pada tahun depan. Siapa tahu, mungkin kami juga akan singgah di Malaysia," ujar James Hetfield yang turut menjemput kumpulan Machine Head dan The Swords sebagai artis undangan mereka di London pada 2009.
Ternyata Metallica mengotakan janji mereka yang mana konsert pertama kumpulan itu di Kuala Lumpur pada minggu lepas menjadi suatu kenangan yang terindah buat hampir 30,000 peminat tempatan yang menyaksikan persembahan mereka.
Sememangnya peluang yang sudah lama dinanti-nantikan itu tidak mahu dilepaskan begitu sahaja oleh para peminat apabila tiket-tiket berharga dari RM198 hingga RM650 laris dijual macam pisang goreng panas. Malah, ada peminat yang membanjiri Stadium Merdeka seawal pukul 12 tengah hari lagi.
Ternyata kehadiran Metallica di negara ini memberi impak yang bukan kepalang. Sebabnya, sepanjang 10 tahun ini, konsert itu merupakan konsert yang paling menarik ramai penonton selepas konsert Linkin Park di tempat sama pada 2003 yang ditonton 25,000 penonton.
Malah, Linkin Park yang turut mengadakan konsert terbaru mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, KL pada 19 Ogos lalu hanya setakat menarik sekitar 20,000 penonton sahaja.
Meskipun sudah dua tahun tidak muncul dengan album baru tetapi Metallica belum ketandusan lagu untuk dipersembahkan. Lagu-lagu lama mereka terutama daripada album Kill 'Em All (1983), Ride The Lightning (1984), Master of Puppets (1986), And Justice For All (1988) dan Black (1991) masih berhantu dan tidak jemu-jemu untuk dinikmati.
Malah, Metallica sendiri seakan-akan belum bosan mempersembahkan lagu-lagu yang hampir sama selama lebih 20 tahun dalam konsert-konsert mereka. Selain itu, James Hetfield juga bukanlah seorang vokalis yang syok sendiri.
Sebaliknya, dia sentiasa mementingkan kepuasan para peminatnya dengan bertanyakan lagu-lagu apakah yang para peminatnya mahukan. Pendekatan itu boleh dikatakan dilakukannya di mana-mana juga konsert Metallica diadakan.
Buktinya penulis masih teringat ayat-ayat James Hetfield empat tahun lalu adalah hampir diungkapkan seperti di Stadium Merdeka tempoh hari. "Anda mahu lagi? Mahu dengar lagu apa. Saya tidak tahu apa anda mahu," Itu adalah antara ayat-ayat spontannya pada konsert itu.
Main lagu lama
Pada konsert itu, Metallica memulakan persembahan mereka pada pukul 8.30 malam dan berakhir 10.50 malam. Hampir 80 peratus lagu-lagu yang dibawakan terdiri daripada lagu-lagu lama yang dipetik daripada lima album terawal kumpulan tersebut.
Stadium Merdeka bergema dengan jeritan para penonton apabila riff gitar dengan irama lagu pertama mereka berjudul Hits The Light diperdengarkan sebagai lagu pembuka tirai konsert itu.
Lagu yang dipetik daripada album sulung Metallica bertajuk Kill 'Em All itu seolah-olah menyebabkan para peminat histeria yang mana mereka menyanyikan sama bait-bait lirik lagu itu sehingga menenggelamkan suara James Hetfield yang agak lantang itu.
Dia yang menyambut ulang tahun ke-50 kelahirannya pada 3 Ogos lalu seperti tidak dimamah usia. Sebaliknya, suara bapa kepada tiga anak iaitu Cali, Castor dan Marcella ini tetap bertenaga dalam menerawangkan rentak muzik lagu-lagu Metallica yang berat serta bingit bunyinya.
Selama lebih dua jam beraksi, Metallica telah membawakan 19 buah lagu. Mereka hanya membawakan dua buah lagu yang dipetik daripada album Death Magnetic berjudul Fuel dan Cyanide. Sedangkan selebihnya adalah lagu-lagu lama Metallica yang belum pudar dek ditelan trend dan zaman.
Antara lagu yang diperdengarkan berjudul Master of Puppets, Harvester of Sorrow, Fade To Black, Ride The Lightning, Welcome Home (Sanitarium), Sad But True, For Whom The Bell Toll, Blackened serta Nothing Else Matters.
Turut dibawakan adalah sebuah lagu instrumental bertajuk Orion yang didedikasikan buat bekas bassis dan anggota asal Metallica, mendiang Cliff Burton yang meninggal dunia pada 1986.
Lagu yang agak sayu iramanya hasil kekuatan kombinasi bass dan gitar itu mampu menerobos minda para pendengar. Apatah lagi, lagu itu juga jarang-jarang dipersembahkan dalam mana-mana konsert mereka selama ini.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya sewaktu Metallica mengadakan konsert mereka di Denmark pada tahun tersebut dalam siri konsert jelajah mereka di serata dunia selepas kemunculan album Master of Puppets yang dirakamkan di Copenhagen, Denmark pada 1986.
Sebagai pemuzik Metallica sentiasa memahami kehendak para peminat mereka, apatah lagi buat para peminat di negara ini yang belum pernah menyaksikan persembahan mereka.
Justeru, James Hetfield sekali lagi secara berulang-ulang kali bertanyakan soalan-soalan yang sama termasuklah di Stadium Merdeka tempoh hari.
"Apa lagi lagu yang anda mahu? Saya tidak tahu apa yang anda mahu. Apatah lagi, anda telah menunggu sejak 31 tahun lalu untuk konsert ini. Apa pun kami anggap konsert ini masih belum terlambat untuk anda," katanya penuh makna.
Suasana itu menyebabkan ramai peminat memekik-mekik dengan menyebut beberapa tajuk lagu. Metallica meneruskan persembahan dengan membawakan lagu Enter Sandman.
Stadium Merdeka paling kuat bergema dengan jeritan para peminat apabila lagu itu didendangkan yang mana mereka menyanyikan lagu itu bersama-sama James Hetfield sehingga ia menenggelamkan terus suaranya.
Selepas menamatkan persembahan dengan 16 buah lagu lampu pentas dipadamkan dan Metallica pun beredar. Keadaan itu tidak membuatkan para penonton angkat kaki, sebaliknya terus menjerit, "we want more (kami mahu lagi," sebanyak beberapa kali.
Tidak sampai lima minit keempat-empat anggota Metallica muncul semula di pentas. Mereka kemudiannya menyambung persembahan dengan lagu Creeping Death, Battery dan akhir sekali Seek and Destroy.
James Hetfield yang kelihatan terdiam sejenak selepas konsert itu seakan-akan tidak mahu berganjak dari pentas. Dia seperti kelu dan amat terharu dengan sambutan para peminat kumpulannya.
Malah, dia dan Kirk Hammett kemudiannya membawa bendera Malaysia dan mengibarkannya di atas pentas sebagai tanda ucapan terima kasihnya atas sambutan tersebut.