Selasa, 27 Ogos 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Metallica tunai janji

Posted: 26 Aug 2013 11:13 PM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF

SEBAHAGIAN daripada hampir 30,000 penonton yang menyaksikan konsert Metallica di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

TEMPOH 31 tahun cukup panjang dalam usia penubuhan kumpulan Metallica. Dalam tempoh itu, mereka telah menghasilkan 15 buah album penuh termasuklah EP dan terlibat dalam ribuan konsert di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali mempunyai ramai peminat tegar kumpulan dalam genre muzik thrash metal tersebut.

Sayangnya, selama lebih tiga dekad ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), kumpulan yang dianggotai oleh James Hetfield, 50, selaku vokalis, gitaris, Lars Ulrich, 50, (dram), Kirk Hammet, 51, (gitaris) dan Robert Trujilo, 49, (bassis) itu tidak pernah mengadakan konsert di negara ini sehinggalah pada 21 Ogos lalu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (KL).

Bukan setakat para peminat, malah Metallica juga sebenarnya teruja mahu mengadakan konsert di negara ini. James Hetfield misalnya, pernah menyuarakan sendiri hasratnya itu sebelum menjayakan konsert Metallica di O2 Arena Stadium, London, United Kingdom pada penghujung Mac 2009.

Penulis yang ketika itu membuat liputan Konsert Metallica World Death Magnetic Tour 2009 yang disiarkan menerusi ruangan ini pada 6 April empat tahun lalu turut terkejut apabila diberitahu bahawa penyanyi kumpulan yang ditubuhkan pada 1981 itu sudah lama menyimpan hasrat tersebut.

Sebagai rekod, kali pertama dan terakhir Metallica singgah ke Asia Tenggara ialah pada 1991 dengan mengadakan konsert di Singapura dan Jakarta, Indonesia.

"Tunggulah sahaja kemunculan kami untuk konsert bergerak seterusnya di Asia pada tahun depan. Siapa tahu, mungkin kami juga akan singgah di Malaysia," ujar James Hetfield yang turut menjemput kumpulan Machine Head dan The Swords sebagai artis undangan mereka di London pada 2009.

Ternyata Metallica mengotakan janji mereka yang mana konsert pertama kumpulan itu di Kuala Lumpur pada minggu lepas menjadi suatu kenangan yang terindah buat hampir 30,000 peminat tempatan yang menyaksikan persembahan mereka.

Sememangnya peluang yang sudah lama dinanti-nantikan itu tidak mahu dilepaskan begitu sahaja oleh para peminat apabila tiket-tiket berharga dari RM198 hingga RM650 laris dijual macam pisang goreng panas. Malah, ada peminat yang membanjiri Stadium Merdeka seawal pukul 12 tengah hari lagi.

Ternyata kehadiran Metallica di negara ini memberi impak yang bukan kepalang. Sebabnya, sepanjang 10 tahun ini, konsert itu merupakan konsert yang paling menarik ramai penonton selepas konsert Linkin Park di tempat sama pada 2003 yang ditonton 25,000 penonton.

Malah, Linkin Park yang turut mengadakan konsert terbaru mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, KL pada 19 Ogos lalu hanya setakat menarik sekitar 20,000 penonton sahaja.

Meskipun sudah dua tahun tidak muncul dengan album baru tetapi Metallica belum ketandusan lagu untuk dipersembahkan. Lagu-lagu lama mereka terutama daripada album Kill 'Em All (1983), Ride The Lightning (1984), Master of Puppets (1986), And Justice For All (1988) dan Black (1991) masih berhantu dan tidak jemu-jemu untuk dinikmati.

Malah, Metallica sendiri seakan-akan belum bosan mempersembahkan lagu-lagu yang hampir sama selama lebih 20 tahun dalam konsert-konsert mereka. Selain itu, James Hetfield juga bukanlah seorang vokalis yang syok sendiri.

Sebaliknya, dia sentiasa mementingkan kepuasan para peminatnya dengan bertanyakan lagu-lagu apakah yang para peminatnya mahukan. Pendekatan itu boleh dikatakan dilakukannya di mana-mana juga konsert Metallica diadakan.

Buktinya penulis masih teringat ayat-ayat James Hetfield empat tahun lalu adalah hampir diungkapkan seperti di Stadium Merdeka tempoh hari. "Anda mahu lagi? Mahu dengar lagu apa. Saya tidak tahu apa anda mahu," Itu adalah antara ayat-ayat spontannya pada konsert itu.

Main lagu lama

Pada konsert itu, Metallica memulakan persembahan mereka pada pukul 8.30 malam dan berakhir 10.50 malam. Hampir 80 peratus lagu-lagu yang dibawakan terdiri daripada lagu-lagu lama yang dipetik daripada lima album terawal kumpulan tersebut.

Stadium Merdeka bergema dengan jeritan para penonton apabila riff gitar dengan irama lagu pertama mereka berjudul Hits The Light diperdengarkan sebagai lagu pembuka tirai konsert itu.

Lagu yang dipetik daripada album sulung Metallica bertajuk Kill 'Em All itu seolah-olah menyebabkan para peminat histeria yang mana mereka menyanyikan sama bait-bait lirik lagu itu sehingga menenggelamkan suara James Hetfield yang agak lantang itu.

Dia yang menyambut ulang tahun ke-50 kelahirannya pada 3 Ogos lalu seperti tidak dimamah usia. Sebaliknya, suara bapa kepada tiga anak iaitu Cali, Castor dan Marcella ini tetap bertenaga dalam menerawangkan rentak muzik lagu-lagu Metallica yang berat serta bingit bunyinya.

Selama lebih dua jam beraksi, Metallica telah membawakan 19 buah lagu. Mereka hanya membawakan dua buah lagu yang dipetik daripada album Death Magnetic berjudul Fuel dan Cyanide. Sedangkan selebihnya adalah lagu-lagu lama Metallica yang belum pudar dek ditelan trend dan zaman.

Antara lagu yang diperdengarkan berjudul Master of Puppets, Harvester of Sorrow, Fade To Black, Ride The Lightning, Welcome Home (Sanitarium), Sad But True, For Whom The Bell Toll, Blackened serta Nothing Else Matters.

Turut dibawakan adalah sebuah lagu instrumental bertajuk Orion yang didedikasikan buat bekas bassis dan anggota asal Metallica, mendiang Cliff Burton yang meninggal dunia pada 1986.

Lagu yang agak sayu iramanya hasil kekuatan kombinasi bass dan gitar itu mampu menerobos minda para pendengar. Apatah lagi, lagu itu juga jarang-jarang dipersembahkan dalam mana-mana konsert mereka selama ini.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya sewaktu Metallica mengadakan konsert mereka di Denmark pada tahun tersebut dalam siri konsert jelajah mereka di serata dunia selepas kemunculan album Master of Puppets yang dirakamkan di Copenhagen, Denmark pada 1986.

Sebagai pemuzik Metallica sentiasa memahami kehendak para peminat mereka, apatah lagi buat para peminat di negara ini yang belum pernah menyaksikan persembahan mereka.

Justeru, James Hetfield sekali lagi secara berulang-ulang kali bertanyakan soalan-soalan yang sama termasuklah di Stadium Merdeka tempoh hari.

"Apa lagi lagu yang anda mahu? Saya tidak tahu apa yang anda mahu. Apatah lagi, anda telah menunggu sejak 31 tahun lalu untuk konsert ini. Apa pun kami anggap konsert ini masih belum terlambat untuk anda," katanya penuh makna.

Suasana itu menyebabkan ramai peminat memekik-mekik dengan menyebut beberapa tajuk lagu. Metallica meneruskan persembahan dengan membawakan lagu Enter Sandman.

Stadium Merdeka paling kuat bergema dengan jeritan para peminat apabila lagu itu didendangkan yang mana mereka menyanyikan lagu itu bersama-sama James Hetfield sehingga ia menenggelamkan terus suaranya.

Selepas menamatkan persembahan dengan 16 buah lagu lampu pentas dipadamkan dan Metallica pun beredar. Keadaan itu tidak membuatkan para penonton angkat kaki, sebaliknya terus menjerit, "we want more (kami mahu lagi," sebanyak beberapa kali.

Tidak sampai lima minit keempat-empat anggota Metallica muncul semula di pentas. Mereka kemudiannya menyambung persembahan dengan lagu Creeping Death, Battery dan akhir sekali Seek and Destroy.

James Hetfield yang kelihatan terdiam sejenak selepas konsert itu seakan-akan tidak mahu berganjak dari pentas. Dia seperti kelu dan amat terharu dengan sambutan para peminat kumpulannya.

Malah, dia dan Kirk Hammett kemudiannya membawa bendera Malaysia dan mengibarkannya di atas pentas sebagai tanda ucapan terima kasihnya atas sambutan tersebut.

Kembali selepas 10 tahun

Posted: 26 Aug 2013 11:13 PM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

JOE Hann pemain turntable dalam Linkin Park banyak mencetuskan bunyi-bunyi pelik dalam muzik kumpulan popular itu.

TERDAPAT dua perbezaan antara kedatangan kumpulan Linkin Park ke negara ini pada konsert mereka yang pertama pada 2003 dan yang kedua baru-baru ini.

Ketika itu konsert kumpulan berasal dari Amerika Syarikat itu diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang mempunyai kapasiti hampir 39,000 penonton di mana penulis merupakan salah seorang wakil media massa yang membuat liputan konsert tersebut.

Biarpun stadium itu tidak sebesar mana tetapi hampir 25,000 penonton membanjiri Stadium Merdeka yang mana ia antara konsert yang mencatat bilangan penonton paling ramai pada tahun tersebut.

Sementara itu, konsert terbaru Linkin Park iaitu Living Things World Tour Live In Malaysia 2013 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak segah sedekad lalu.

Meskipun Stadium Nasional mampu menampung sehingga 80,000 penonton tetapi kehadiran peminat yang menyaksikan konsert kumpulan itu sekitar 20,000 sahaja.

Tidak dinafikan nama Linkin Park memang semakin membesar tetapi kepesatan industri muzik juga menyebabkan berlakunya banyak persaingan yang mempengaruhi faktor itu.

Namun, semua itu tidak menghalang kumpulan yang dianggotai enam anggota itu untuk memberikan persembahan yang terbaik bagi memuaskan hati para peminat mereka.

Perkara itu dapat dilihat berdasarkan energi yang dilepaskan oleh penyanyi utama mereka, Chester Bennington yang bermandikan peluh dalam menyanyikan lagu-lagu yang penuh dengan jeritan dan tekanan vokal dalam nada yang tinggi.

Mike Shinoda turut memperlihatkan kepelbagaian bakatnya bukan setakat menyanyikan bahagian rap dalam lagu-lagu Linkin Park tetapi dia juga sekali-sekala dilihat bermain instrumen seperti keyboards, gitar dan bass bagi menambahkan lagi variasi bunyi dalam lagu-lagu kumpulan tersebut.

Kebanyakan lagu bernada tinggi dan agak berat iringan muziknya yang diadun hasil kombinasi muzik rap, metal dan hardcore menambahkan lagi variasi serta cabaran dalam membawakan lagu-lagu dalam genre tersebut.

Apatah lagi, kemunculan Linkin Park yang ditunjangi oleh seorang lagi penyanyinya iaitu Mike Shinoda tepat pada masanya kerana mereka baru sahaja muncul dengan album terbaru yang berjudul Living Things.

Pada konsert anjuran The Wonderland itu, mereka menyampaikan sebanyak 22 buah lagu pada konsert hampir 90 minit tanpa henti. Sayangnya, pada konsert itu Linkin Park cuma sekadar membawakan empat buah lagu daripada 12 lagu daripada album Living Things.

Empat lagu itu berjudul Tinfoil, Victimized, Castle of Glass dan Lost In The Echo. Sedangkan banyak lagu menarik dan popular daripada album itu seperti Powerless dan Roads Untraveled yang tidak dipersembahkan pada malam itu.

Sebaliknya, Linkin Park tetap mengadunkan lagu-lagu yang dipetik daripada album-album lama mereka. Contohnya menerusi lagu Somewhere I Belong dan Faint yang dipetik daripada album tahun 2003 mereka berjudul Meteora iaitu sama ketika pada konsert pertama mereka 10 tahun lalu.

Konsert yang mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu tidak ketinggalan menyelitkan lagu-lagu hits yang dipetik daripada album-album lama mereka.

Antaranya lagu berjudul What I've Done, Breaking The Habit, Bleed It Up, Given Up dan Numb. Lagu-lagu itu dipetik daripada album seperti Meteora, Minutes To Midnight dan A Thousand Suns. Mungkin ada peminat yang baru mengenali kumpulan ini kurang mengenali lagu-lagu itu.

Tetapi disebabkan lagu-lagu yang dipersembahkan itu mempunyai daya tarikan tersendiri terutamanya daripada segi bunyi dan riff gitar serta kesan-kesan bunyi khas yang dihasilkan oleh pemain turntable mereka, Joe Hann menyebabkan ia mudah untuk dihayati oleh para penonton.

Semua elemen itu secara tidak langsung sudah seperti menjadi penanda aras dalam usaha untuk memudahkan para peminat mengenali gaya serta signature muzik Linkin Park yang masih dikekalkan sehinggalah ke hari ini.

Misalnya menerusi lagu seperti New Divide, Points of Authority, Waiting For The End, The Catalyst, In The End dan Lies Greed Misery. Bukan setakat itu sahaja, malah suara Chester Bennington kerap kali tenggelam apabila para peminat menyanyikan bersama-sama lagu-lagu popular mereka seperti lagu Shadow of the Day.

Walau apapun frekuensi dan tahap kehadiran para penonton pada konsert itu, kesemua anggota Linkin Park telah sedaya upaya memberikan persembahan yang terbaik dalam suasana hujan yang renyai-renyai pada malam itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved