Utusan Online - Keluarga |
Posted: 26 Aug 2013 11:13 PM PDT Oleh ROSMAH DAIN BARU-baru ini, masyarakat menyaksikan sendiri bagaimana seorang suami bertindak memukul dan menyepak isterinya di hadapan anak-anaknya yang dirakamkan di dalam lif di sebuah hospital. Individu berkenaan sudah pun menerima tindakan dan telah memohon kemaafan. Cuma sekadar ingin berkongsi, apakah respons lelaki ini sebagai suami sekiranya dia diberi kesempatan untuk menyaksikan semula rakaman berkenaan? Berperasaan terujakah dia? Atau rasa bersalah, malu, rasa tidak bertanggungjawab atau mungkin terasa besar diri melihat perilakunya terhadap isteri sebegitu? Atau beranggapan 'suka hati akulah nak buat apa, dia kan bini aku? Apapun anggapan suami berkenaan mahupun masyarakat berikutan kejadian tersebut, menurut Dr. Maiza Tusimin, kejadian berkenaan adalah satu perkara malang yang berlaku terhadap seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Kata Dr. Maiza yang merupakan Penyelaras Jawatankuasa Projek Perkhidmatan Komuniti, Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, keganasan terhadap wanita seperti itu sebenarnya hanya segelintir dilaporkan kepada pihak berkuasa. "Kebetulan kejadian berkenaan adalah perkara yang boleh kita tonton. Tetapi sebenarnya banyak lagi keganasan rumah tangga yang menyaksikan si isteri hanya bertindak mendiamkan diri kerana takut kehilangan kasih sayang suami dan anak, diugut, diberi amaran, risau masa depan anak-anak dan sebagainya. "Saya yang selalu memeriksa kecederaan wanita yang pelik-pelik apabila mereka datang kepada saya. Selalunya apabila ditanya bagaimana mereka mendapat kecederaan berkenaan, pelbagai penafian diberikan oleh isteri. Tetapi sebagai doktor, saya tahu kecederaan pada tubuh pastinya berlaku akibat dikasari," jelasnya. Dr. Maiza yang merupakan Pakar dan Pensyarah Kanan Obstektriks dan Ginekologi fakulti yang sama, menyatakan, golongan wanita atau isteri hanya akan memberitahu kejadian yang sebenar apabila mereka menerima kecederaan yang serius sehingga berlakunya pendarahan yang teruk atau terlalu terdesak. Kata beliau, isteri selalu menjadi tempat suami melepaskan kemarahan akibat terlalu stres. Perlakuan itu tambahnya disumbangkan pula oleh sikap suami berkenaan yang mungkin dahulu dibesarkan dalam persekitaran rumah tangga yang terumbang-ambing serta tidak pandai mengawal kemarahan menyebabkan si suami melepaskan tekanan kepada isteri di rumah. "Sebagai ketua keluarga dia merasakan apa yang dilakukan dalam rumah tangganya itu adalah betul. "Mungkin pada masa itu kemarahan yang memuncak menjadikan suami tidak dapat mengawal perasaan. Namun apabila sudah sejuk, dia akan rasa sedikit kesal dan memujuk kembali isterinya. "Isteri pula memang mudah dipujuk dan bersetuju untuk kembali kepada suami. Sedangkan pihak isteri seharusnya tahu perkataan 'maaf' itu bukanlah satu keputusan muktamad yang menunjukkan suami benar-benar menyesal dengan perbuatannya. Sedangkan yang menanggung kesan di tubuh adalah isteri," jelas Dr. Maiza. Menurut Dr. Maiza, perkataan yang sering kali dilafazkan oleh suami (mungkin sudah jarang sekarang) iaitu 'aku ketua keluarga, aku tahu apa yang aku lakukan, kau tahu apa?' sudah tidak relevan lagi untuk dituturkan dalam rumah tangga. Mungkin suatu waktu dahulu aras pendidikan wanita agak terkebawah, namun dengan kemudahan pendidikan sekarang memastikan golongan wanita hari ini semakin berpendidikan dan mempunyai pendapatan sendiri. "Kita amat memahami tugas seorang suami yang merupakan ketua keluarga, namun dalam kebanyakan hal persefahaman dan rundingan antara suami dan isteri itu perlu bagi membina rumah tangga yang bahagia dan sempurna," katanya. Juga jelasnya, bagaimana generasi terdahulu yang mencarikan pasangan untuk anak-anak mereka yang beralasan untuk menyenangkan kehidupan anak apabila mereka berumah tangga nanti- "Kahwinlah, nanti senang kamu ada yang jaga makan minum dan pakai kamu." Konsep ini menurutnya adalah salah kerana tujuan mencari isteri adalah sebagai pasangan hidup untuk berkongsi semasa senang dan susah. Bukannya beristeri bertujuan untuk dijadikan tempat sebagai 'penyelesai' masalah. "Dalam keadaan sekarang yang mana isteri sudah pun bekerja dan menyumbang kepada ekonomi keluarga, justeru sudah tentu kefahaman dan saling bekerjasama dalam keluarga itu adalah perlu untuk memastikan isteri juga mempunyai masa untuk diri mereka," kata Dr. Maiza. Dalam pada itu beliau meminta agar sekiranya ada lelaki atau suami yang sukar untuk mengawal kemarahan agar mendapatkan bantuan pakar. Beliau juga menasihati isteri yang berterusan dikasari suami supaya perlu mengetahui mereka. Ada hak dalam kehidupan untuk membuat tindakan atau lari daripada persekitaran dan kongkongan yang menyakitkan itu. Usah biarkan perkataan 'aku reda' dan 'pasrah' membelenggu dalam kehidupan dan hanya berserah dan rela untuk dikasari dalam rumah tangga. Anda perlu tahu hak-hak anda sebagai isteri dan wanita. Sebagai wanita juga anda perlu menyayangi diri anda sendiri bagi memastikan masa depan yang selamat untuk anak-anak dan ahli keluarga anda. "Cuba fikirkan apa yang akan terjadi terhadap anak-anak sekiranya sesuatu berlaku terhadap anda, siapa yang akan selamatkan mereka kalau bukan anda sebagai ibunya," tegas Dr. Maiza. |
Posted: 26 Aug 2013 11:13 PM PDT Oleh MERAN ABU BAKAR Sebelum urutan kaki dilakukan, kaki pelanggan dibersihkan terlebih dahulu. INGIN lari ke satu tempat yang paling mendamaikan dan menenangkan jiwa? Spalah tempatnya. Di luar, dengan suasana yang hiruk-pikuk, panas menyengat, deruan enjin kereta dan asap kereta yang memedihkan hidung, pastinya ramai ingin 'menyembunyikan' diri dan berada dalam suasana yang amat santai. Atas sebab itulah semakin banyak spa yang dibuka bagi memberi peluang kepada orang ramai bersantai sambil menikmati rawatan kesihatan dan kecantikan yang disediakan. Satu daripadanya ialah Touchlab Concept Spa (Touchlab) yang baru dibuka penghujung bulan Mei lalu. Spa ini agak berbeza kerana ia dibuka berpandukan garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK). Di antara garis panduan yang diikuti ialah ahli terapi yang memiliki sijil yang diiktiraf oleh KPK dan Kementerian Sumber Manusia. Touchlab, milik bersama Ivan Khoo dan Terry Tan, memilih konsep hiasan dalaman moden berbanding spa-spa lain yang lazimnya memilih konsep Thai atau Bali. Begitu juga dengan rawatan yang disediakan kerana bagi mereka, apa yang penting ialah rawatan bukan semata-mata untuk relak sebaliknya mesti bersifat terapeutik. Menurut Ivan, spa ini menyediakan beberapa jenis urutan seperti Melayu, Thai dan tradisional Indonesia yang semuanya dilakukan tukang urut berpengalaman. "Setiap bulan mesti ada tukang urut dan terapi yang berbeza. Kami memang sentiasa berusaha mencari terapi dan tukang urut terbaru supaya pelanggan dapat merasakan urutan yang berbeza-beza. Tukang urut tradisional Melayu di sini memiliki sijil daripada Akademi Urutan Melayu. "Urutan yang dilakukan dengan cara yang betul di tempat yang betul akan banyak membantu pelanggan yang menghadapi sesuatu masalah anggota badan. "Selain urutan, terdapat juga rawatan-rawatan lain seperti terapi acupressure, minyak aroma terapi, pelangsingan sauna, rawatan wajah, urutan untuk kanak-kanak dan rawatan selepas bersalin. "Ramai yang tidak tahu bahawa mengikut garis panduan kementerian, rawatan wajah yang disediakan di spa-spa tidak boleh menggunakan alatan seperti besi pencungkil jerawat dan sebagainya. Yang dibenarkan hanyalah rawatan asas seperti membersihkan muka dan melembapkan. "Kami banyak mendapat nasihat daripada Malaysia Association of Wellness Spa atau Mawspa,'' ujar Ivan. Tambahnya lagi, di spa Touchlab turut menjual lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis berbakat. Memasuki ruang ke bilik-bilik rawatan, pelanggan dapat melihat deretan lukisan menarik yang dijual pada harga yang berpatutan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan