
Shamsuri Shafie bersama isteri dan dua orang anak lelakinya.
KEIKHLASAN Datuk Shamsuri Shafie mengimamkan solat Maghrib bagi memenuhi permintaan sebuah keluarga biarpun baru berusia 16 tahun pada ketika itu berjaya mencairkan hati seorang gadis yang kini menjadi permaisuri hatinya.
Datin Rosnaida Ismail yang ketika itu berusia 14 tahun tertawan dengan keluhuran serta keikhlasan yang terbit daripada sanubari suaminya sekali gus mengukuhkan lagi ikatan perkenalan mereka ketika itu.
Bermula dari situ, perkenalan mereka yang mendapat sokongan penuh daripada kedua-dua ibu bapa serta ahli keluarga terus berpanjangan ke jenjang pelamin selepas mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Shamsuri, 30, yang merupakan pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi memberitahu, perkenalan mereka mula berputik ketika dia berada di tingkatan tiga dan Rosnaida pula di tingkatan satu.
Ketika itu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Shamsul Maarif Lelaki di Labok, Machang, Kelantan manakala isteri di SMUA Shamsul Maarif Perempuan yang terletak di Pulai Chondong.
Jarak sekolah kami agak jauh dan perkenalan saya dengan isteri bermula ketika kami sama-sama menyertai kelas tuisyen di bandar Machang. Ketika itu, saya pernah meminta nombor telefon daripadanya, namun dia enggan memberikannya.
Saya terus memberanikan diri dan akhirnya dia memberikan nombor telefon tetapi memberitahu jika ikhlas mahu berkawan dengannya, saya perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapanya," katanya ketika ditemui S2 di rumahnya di Kampung Ayer Merah, Bukit Bakar, Machang.
Tambahnya, selepas mendapat restu, kedua-dua ibu bapa isterinya itu telah mempelawa beliau untuk bertandang ke rumah yang terletak di Kampung Bilal Talib, Pulai Chondong, Machang.
Shamsuri berkata, ketika tiba di rumah keluarga Rosnaida, dia telah diminta oleh keluarga tersebut untuk mengimamkan solat Maghrib.
Saya sampai di rumahnya agak lewat iaitu menjelang waktu Maghrib. Ini kerana sebelum itu, saya terpaksa menghadiri kelas tambahan.
Alhamdulillah, saya berjaya memenuhi permintaan keluarganya walaupun agak gementar ketika itu.
Hanya selepas itu, barulah dia memberikan respons dan kami mula berkawan serta saling mengenali hati budi antara satu sama lain," ujarnya.
Tambahnya, mereka hanya berhubung melalui telefon dan tiada istilah dating sebagaimana lazim yang dilakukan oleh pasangan anak muda lain kerana masing-masing tahu batas-batas agama, selain tuntutan sebagai pelajar dan anak yang menjadi harapan keluarga.
Menceritakan lebih lanjut, Shamsuri memberitahu selepas mengenal hati budi masing-masing, beliau mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan biarpun ketika itu isterinya masih belum menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.
Katanya, ketika bertunang, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan setahun kemudian mereka mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang.
Selepas mendirikan rumah tangga, pasangan itu sama-sama melanjutkan pengajian di KUIS dalam bidang berlainan.
Alhamdulillah hasil perkongsian hidup sejak tahun 2006, kami telah dikurniakan empat cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Aqif Danish (6), Muhammad Aqil Daniel (4), Muhammad Aisy Darwish (3) dan Muhammad Arryan Danian (1).
Selain itu, kehadiran dua orang anak angkat iaitu Fatin Nabilla Abdullah (9) dan Nor Auni Shafia (2) menjadi bukti pengikat kasih antara kami," jelasnya.
Sementara itu, Shamsuri memberitahu beliau terpikat dengan kelembutan serta keperibadian yang ditonjolkan oleh isterinya sepanjang mereka berkenalan dan membuatkan hatinya terbuka untuk mengambilnya sebagai teman hidup.
Katanya, sikap saling memahami yang ada pada Rosnaida turut menjadi salah satu daya penarik.
Pada saya, keserasian dan hati budi antara bakal pasangan amat diperlukan bagi memastikan ikatan rumah tangga yang dibina terus kekal utuh, selain mengikut suruhan agama.
Isteri saya cukup memahami kerjaya saya sebagai pengamal perubatan Islam, malah dia memberikan sokongan penuh kepada saya. Ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat," jelasnya.
Dalam pada itu, Shamsuri turut berkongsi tip dalam memastikan ikatan rumah tangga yang dibina terus kekal serta mendapat keredaan Allah iaitu sering mengadakan solat jemaah bersama anak-anak dan isteri.
Solat jemaah adalah salah satu kunci yang diamalkan oleh saya, selain membaca ayat 102 dan 103 dalam surah al-Baqarah," ujarnya.
Paling menarik sepanjang temubual ini berlangsung, Rosnaida hanya tersenyum mendengar kenangan manis yang dikongsikan oleh suaminya.
Ketika diminta mengulas mengenai detik awal pertemuannya, Rosnaida menjawab dengan ringkas:
Saya tertarik dengan suami kerana beliau seorang yang sangat romantik dan bertanggungjawab. Dua perkara ini serta sikapnya yang suka berjenaka menawan hati saya."
Katanya, biarpun kehidupan mereka berubah selepas Shamsuri membuka pusat rawatan sendiri, namun suaminya tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Malah setiap kali keluar merawat pesakit di seluruh negara, beliau akan menghubungi saya dan bertanyakan soal anak-anak termasuklah pembelajaran mereka," ujarnya.
Jelasnya, setiap kali masa terluang, mereka sekeluarga akan menghabiskan masa beriadah bersama-sama seperti bersukan dan keluar bersiar-siar di taman dengan anak-anak.
Bacaan surah Yasin dan solat berjemaah menjadi rutin buat kami sekeluarga dan bagi memudahkannya, suami menyediakan sebuah bilik khas," katanya.
Mengulas mengenai kerjaya suaminya sebagai pengamal perubatan Islam, Rosnaida berkata dia sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Shamsuri, selain ringan tulang membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Katanya, walaupun terpaksa berkorban masa, namun dia tetap gembira dengan kerjaya suaminya.
Sebagai tanda sokongan, saya pernah mengikuti beliau menjelajah ke seluruh negeri untuk membantu merawat mereka yang memerlukan bantuan," ujarnya.