Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Proses pengundian bagi menentukan kedudukan calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan jawatan UMNO Pusat yang lain pada kali ini adalah berbeza dengan pemilihan yang lalu. - gambar hiasan
LUSA , 21 September ini gegak-gempitalah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila mereka yang menawarkan diri bertanding ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyerahkan borang pencalonan masing-masing.
MT meliputi tiga jawatan Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden selain 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi.
Seorang pegawai di ibu pejabat parti di Menara Dato' Onn memberitahu penulis, pemilihan parti gaya baharu yang sejajar pergerakan transformasi politik dibawa Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menarik minat yang luar biasa daripada media antarabangsa.
"Kalau AP (Associated Press), AFP (Agence France-Presse), Reuters, Bloomberg itu perkara biasa tetapi kali ini ada 'pendatang' baharu daripada media-media daripada BBC News, Jepun, Thailand dan Australia.
"Mereka menelefon saya bertanyakan pemilihan UMNO kali ini agak unik, tidak pernah berlaku di negara mereka. Malahan satu-satunya pertandingan menentukan kedudukan seseorang itu dalam politik yang pertama seumpamanya di dunia.
"Jadi, mereka minta kebenaran hendak tengok prosesnya (penyerahan borang) Sabtu ini," kata pegawai berkenaan.
Menurut pegawai itu, majlis penyerahan borang pencalonan sehari suntuk dari pukul 8 pagi hingga 5 petang akan mencungkil rahsia mereka yang disebut-sebut akan bersaing ke jawatan Presiden seperti mana diuarkan-uarkan Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan akan berbuat demikian. Juga, kemungkinan akan ada pemimpin muda yang mengisi persaingan slot Naib Presiden.
"Untuk semua peringkat parti seperti bahagian (Ketua Bahagian, Timbalan dan Naib), kelayakan minimum hanyalah sekurang-kurangnya tiga tahun menjadi ahli UMNO. Untuk jawatan MT pula termasuk peringkat tertinggi, minimum tiga tahun menjadi AJK (ahli jawatankuasa bahagian) atau tiga tahun ahli MT.
"Kalau nak dikira pada Sabtu lepas, 14 September sudah ada individu yang mahu bertanding ahli MT seperti blogger 'Sang Kelembai'. Juga, ada pemuda yang tidak pernah ada jawatan pun di cawangan atau bahagian mahu menawarkan diri," katanya.
Waima apa pun diperdebatkan mengenai pemilihan UMNO, prosesnya adalah penting dan menjadi perhatian dunia. Ini kerana parti ini diketuai oleh seorang Presiden UMNO yang juga merupakan Perdana Menteri negara ini.
Belum pernah dalam sejarah negara ini, Perdana Menteri datangnya daripada bukan Presiden UMNO.
Pemilihan Perdana Menteri daripada kalangan ketua UMNO lebih merupakan satu tradisi politik. Ia bukannya peruntukan undang- undang kerana Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bangsa, agama atau keturunan sebagai suatu ketetapan kepada pemimpin politik untuk dilantik menjadi PM atau TPM.
Sejak 1955, hanya bangsa Melayu dilantik sebagai PM dan memandangkan bangsa Melayu merangkumi lebih 65 peratus penduduk negara, perkara ini tidak dipersoalkan, apatah lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 Mei lalu, kerusi yang diraih UMNO sendiri lebih tinggi daripada mana-mana kalangan parti komponennya malah meninggalkan jauh setiap satu parti pembangkang.
Cuma, dalam pemilihan UMNO yang akan membuka tirai sebenar Oktober nanti, jangan dilupai bahawa nasib dan ketentuan masa adalah penting. Anda mungkin bijak tetapi nasib yang diperlukan dan rezeki yang mendatang, cita-cita akan hancur begitu sahaja.
Allahyarham Tun Ghazali Shafie atau King Ghaz seperti mana beliau dikenali dalam kalangan rakan-rakan, melonjak daripada peringkat bawah perkhidmatan awam dan diplomatik. Beliau dikagumi dan dihormati sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar.
Kemudian, beliau terus meningkat apabila dilantik oleh Tun Abdul Razak sebagai Menteri Luar yang ranggi dan pada akhir 1970-an sebagai Menteri Dalam Negeri yang sangat digeruni dalam kerajaan Datuk Hussein Onn (1976-1981). Beliau mempunyai daya pemikiran, kebijaksanaan dan mendapat perhatian daripada Tun Abdul Razak dan Tun Hussein. Walaupun mempunyai kualiti seorang Perdana Menteri, beliau tidak dapat menjadi PM.
Hussein pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sebagai Perdana Menteri sebenarnya bukanlah orang yang paling pandai atau terbaik untuk jawatan itu. Ia cuma kerana seperti mana beliau berfalsafah - nasib beliau kerana berada di tempat dan pada waktu yang sesuai.
Hussein tidak menyembunyikan pilihan beliau terhadap King Ghaz yang boleh pergi lebih tinggi dalam hierarki parti dan kerajaan. Malahan tahun 1970-an merupakan kecemerlangan Ghaz. Apabila Hussein mengganti Tun Razak pada 1976, Ghaz merupakan orang yang paling hangat diperkatakan. Tetapi beliau bukan Naib Presiden UMNO. Oleh yang demikian, beliau tidak mendapat jawatan sebagai TPM.
Sebaliknya yang dapat menjadi nombor 2 adalah Dr. Mahathir, salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO pada 1976. Dan beliau bukanlah orang yang mendapat undian paling tinggi dalam kalangan Naib Presiden.
Mengikut konvensyen, seseorang yang tidak menjadi Naib Presiden UMNO yang dipilih, peluang untuk dilantik sebagai TPM adalah terlalu tipis walaupun Perlembagaan negara tidak pernah mengatakan apa-apa tentang keperluan itu.
Dalam kes Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam, ramai yang menganggap mereka sebagai bakal PM. Namun, entah bagaimana telah terhenti di landasan dalam perjalanan mereka mendaki tangga kemuncak politik.
Apa yang telah berlaku? Ramai yang terkejut dengan perubahan-perubahan yang berlaku tetapi mereka yang berpengalaman dalam politik tahu, walaupun keberatan untuk menyatakan bahawa pengaruh Team B telah menjadikan ia amat sukar untuk menjatuhkan Dr. Mahathir daripada pucuk pimpinan UMNO. Pada 1987, Dr. Mahathir hanya mendapat 43 kelebihan undi ke atas Razaleigh yang kemudiannya membentuk Parti Melayu Semangat 46.
Suatu ketika, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, dalam fasa terakhir kerajaan Dr. Mahathir, merupakan seorang lagi ikon politik yang sepatutnya telah melangkah naik bersama-sama bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek dan beberapa orang yang lain. Kedua-dua pemimpin ini bersinar dalam MCA, fasih dalam bahasa Malaysia, bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris serta mendapat pengesahan yang besar daripada puak B dalam MCA.
Semasa wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS), Kementerian Kesihatan dipimpin Jui Meng menanganinya dengan baik dan beliau merupakan salah seorang pembentang yang meyakinkan dalam Kabinet Dr. Mahathir. Tetapi Jui Meng akhirnya tidak dapat mengatasi gaya kepimpinan tambah nilai (value-added) yang dibawa oleh Tan Sri Ong Ka Ting.
Sabtu ini, ratusan individu akan mengemukakan borang pencalonan pemilihan UMNO sama ada di PWTC mahupun di lokasi-lokasi ditetapkan Badan Perhubungan UMNO negeri. Kemudian, dalam tempoh sehari dua akan ada cooling off period (tempoh bertenang). Dalam 72 jam selepas itu akan diberi ruang kepada mana-mana individu untuk meneruskan persaingan atau menarik diri.
Juga, yang teramat penting pasukan pemantau akan menyelidiki sama ada seseorang itu bebas daripada rasuah atau muflis. Dan sejurus kemudian, parti akan mengumumkan siapa yang akan masuk gelanggang.
Cuma harus 'diukur baju di badan sendiri'. Selain bijak, nasib dan rezeki juga penentunya.