Khamis, 29 Mei 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pasukan Malaysia dalam Liga Juara-juara

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

PETALING JAYA - Sebuah pasukan dari Liga Malaysia bakal beraksi dalam Liga Juara-juara pada 2015, dengan satu slot playoff diperuntukkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, itu hanya akan berlaku jika proses pelesenan di bawah kendalian AFC berjalan lancar.

Penolong Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Lazarus Xavier berkata, semua kelab diminta menghantar lengkap permohonan lesen kepada AFC selewat-lewatnya 31 Oktober ini dengan mematuhi lima kriteria utama iaitu pengurusan sukan, pentadbiran, undang-undang, infrastruktur dan kewangan.

Selain daripada itu, Lazarus menjelaskan tidak pernah wujud istilah pemberian gred terhadap mana-mana liga oleh AFC dan itu bukan menjadi punca mengapa pasukan dari Liga Malaysia tidak pernah bersaing dalam Liga Juara-juara Asia.

"FAM meletakkan sasaran agar ada sebuah pasukan dari Liga Malaysia akan bermain dalam slot playoff Liga Juara-juara pada 2015 dan langkah pertama yang perlu diambil bagi memastikan ada pasukan kita layak bersaing adalah mereka perlu memohon lesen daripada AFC.

"Setakat ini, maklum balas yang ditunjukkan oleh wakil-wakil dari setiap pasukan sepanjang seminar yang diadakan hari ini (semalam) begitu positif namun terlalu banyak kerja mesti dilakukan sebelum hasrat itu mampu direalisasikan.

"Buat masa ini, 24 pasukan layak bersaing dalam Liga Juara-uuara dan kelab dari Malaysia tidak boleh mendapat slot secara terus sebaliknya perlu bersaing dalam playoff.

"Jika pasukan ini terkandas di peringkat playoff, mereka tetap mendapat slot bermain dalam Piala AFC bersama-sama sebuah pasukan lain dari Malaysia yang mendapat kelayakan automatik.

"Sama ada juara Liga Super atau Piala FA yang akan mendapat slot berkenaan, itu terpulang kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang baharu untuk tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bengkel FAM-AFC mengenai pelesenan sesebuah kelab, yang turut dihadiri Pengerusi Kajian dan Sokongan AFC, Steve Tae H. Kim dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak yang melabelkan Liga Malaysia berada dalam Gred D, Lazurus hairan dari mana maklumat tersebut datang kerana AFC tidak pernah mengadakan sistem penggredan untuk mana-mana liga.

"Di AFC tidak pernah ada Gred A, B, C atau D, hanya ranking berdasarkan pertandingan anjuran AFC sahaja menjadi penilaian kami.

"Hanya melalui pelesenan kelab di bawah AFC, itu yang sentiasa menjadi penghalang kepada mana-mana pasukan dari negara ini apabila mahu beraksi dalam Liga Juara-juara Asia.

"Perkara ini boleh menjadi penghalang kepada mana-mana pasukan untuk bermain di peringkat playoff. Sekiranya menjuarai Liga Super atau Piala FA sekali pun tetapi tidak memohon lesen, mereka tidak layak dan slot itu akan diberikan kepada pasukan kedua terbaik serta mempunyai lesen daripada AFC.

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya enam pasukan dari Liga Super mempunyai lesen daripada AFC pada musim hadapan," katanya.

Tambah Lazarus, masalah stadium berkelas A untuk digunakan dalam saingan Liga Juara-juara bukan menjadi satu bebanan kerana Malaysia mempunyai dua stadium yang boleh digunakan pada bila-bila masa iaitu Stadium Nasional di Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam.

"Setiap pasukan tidak perlu mempunyai stadium sendiri yang diiktiraf berkelas A memandangkan kita sudah ada di Bukit Jalil dan Shah Alam, itu pun sudah cukup bagi mana-mana pasukan mendapatkan lesen," katanya.

Bumbung Pusat Akuatik koyak

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

PENGUNJUNG Pusat Akuatik melihat bumbung yang terkoyak dan jatuh ke dalam kolam renang yang sepatutnya digunakan untuk acara renang dalam Sukma XVII di Kangar semalam.

KANGAR - Selepas beberapa jam insiden melibatkan bumbung koyak dan tercabut di Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Negeri di sini, kontraktor utama Lima Corporation Sdn. Bhd. akhirnya tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkaitan.

Pengarah operasinya, Hishamuddin Abd. Hamid berkata, pihaknya diberi jaminan keselamatan oleh syarikat pembekal bumbung yang beroperasi di Pulau Pinang sebelum ia dipasang di venue tersebut.

Dia menegaskan, pembekal sudah memberi jaminan bahawa ia selamat digunakan tetapi perkara yang terjadi semalam menyebabkan keseluruhan bumbung itu perlu dibuka.

Katanya, tindakan membuka bumbung dilakukan 30 minit selepas kejadian itu berlaku dengan bantuan daripada sub-kontraktor yang masih melakukan kerja-kerja di dalam kawasan kompleks sukan itu.

"Kami akan melihat kembali perkara ini sebelum membuat tindakan lanjut kerana ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik kami.

"Bumbung baharu tidak akan dapat dipasang dalam tempoh terdekat kerana ia akan menjejaskan penganjuran sukan di lokasi ini. Ia hanya akan dipasang selepas tamat temasya sukan ini," katanya.

Difahamkan, kontraktor utama itu adalah 'penyelamat' kepada projek yang gagal disiapkan dan mereka hanya diberikan tugasan berkenaan pada Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, disebabkan kelewatan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) memberikan persetujuan dengan pelbagai perkara teknikal, kerja-kerja pembinaan hanya bermula pada Februari lalu iaitu tiga bulan sebelum acara bermula.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor yang terlibat serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membincangkan perkara itu.

Selain itu katanya, satu laporan penuh berkaitan isu itu akan dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk tindakan susulan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


58 pasukan rebut Piala SAS Muda

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (tengah) bersama pemain cilik pada Majlis Pelancaran dan Pengundian Pesta Bola Piala SAS Muda 2014 di Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/MAHAT HIR ALI

KUANTAN 29 Mei - Sebanyak 58 pasukan yang terdiri daripada 1,200 pemain dari seluruh negeri ini akan berentap merebut Piala Sultan Ahmad Shah (SAS) Muda di Temerloh dalam perlawanan berlangsung selama tiga hari bermula esok.

Pertandingan akan berlangsung di venue yang ditetapkan seperti di Stadium Temerloh dan beberapa buah sekolah di negeri ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu bawah sembilan tahun dan bawah 10 tahun.

"Program julung kali diadakan ini adalah untuk mendedahkan kanak-kanak tersebut bagaimana cara bermain bola sepak secara profesional," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Pengundian Pesta Bola Piala Sultan Ahmad Shah (SAS) Muda 2014 di sini semalam.

Menurut beliau, selain menunjukkan bakat yang ada, kanak-kanak terbabit diingatkan supaya menjaga tingkah laku mereka dan meningkatkan berdisiplin.

"Saling menghormati antara satu sama lain, itulah yang paling penting dalam bermain bola sepak," katanya.

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Kejohanan, Muhammad Faiz Hashim berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan kejohanan Sabtu ini di Stadium Temerloh.

"Orang ramai di sekitar daerah tersebut dijemput untuk memeriahkan majlis. Selain majlis perasmian turut diadakan konsert dan cabutan bertuah," katanya.

Dua pasar raya diminta henti jual coklat Cadbury

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Che Hanafi Mamat (dua dari kiri) menunjukkan dua jenis coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA babi masih dipamer dan dijual di sebuah pasar raya di Bandar Baru Inderapura, Jerantut, kelmarin. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 29 Mei - Penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Jerantut meminta pengurusan dua buah pasar raya di bandar ini supaya menghentikan penjualan coklat jenama Cadbury serta-merta berikutan penemuan asid deoksiribonukliek (DNA) babi dalam dua jenis coklat jenama itu baru-baru ini.

Operasi pemantauan berkenaan yang diadakan semalam diketuai Ketua Cawangan PPDNKK Jerantut, Che Hanafi Mamat dan turut disertai pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan, Pegawai Hal Ehwal Pengguna Parlimen Jerantut, Jabatan Agama Islam Pahang dan Jabatan Veterinar negeri.

Che Hanafi ketika ditemui berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai dua pasar raya terbabit yang masih menjual dua jenis coklat jenama itu.

''Kita menasihati pengurusan pasar raya supaya tidak mempamer dan menjual produk berkenaan iaitu jenis Cadbury Milk Rosted Almond dan Cadbury Milk Hazel Nut.

''Kita berharap semua peniaga di daerah ini menghentikan jualan dua produk berkenaan selama tujuh hari sehinggalah keputusan laporan siasatan kajian DNA diumumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),'' katanya kepada pemberita di sini.

Menurut beliau, semua premis dan pengusaha pasar raya diminta memberi kerjasama dan bersabar serta memahami arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

''Dalam tempoh ini, pemantauan dilaksanakan oleh penguatkuasa PPDNKK di sini di semua premis serta pasar raya di bandar Jerantut dan Kuala Lipis sambil menasihatkan mereka memberhentikan penjualan itu sebelum arahan selanjutnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa,'' ujarnya.

Gangguan air di Bera, 3 Jun

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

BERA 29 Mei - Beberapa kawasan sekitar daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang pada 3 Jun ini.

Kawasan terlibat adalah Kerayong, kawasan masjid, pejabat kerajaan, Kampung Mengkarak, Mengkarak Station, Ladang Karmen, Durian Tawar, Kampung Jelam, simpang Mengkarak hingga Kuala Bera dan Kampung Gemuruh.

Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) daerah dalam kenyataan di sini hari ini berkata, gangguan berlaku disebabkan kerja-kerja pemasangan injap air masuk ke tangki Perkhidmatan Kerayong.

"Sehubungan itu, pengguna di kawasan terlibat akan terputus bekalan air dan dinasihatkan supaya menyimpan air secukupnya bagi mengelak berlaku kesulitan," kata kenyataan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Paderi antara mangsa yang terkorban

Posted: 29 May 2014 10:57 AM PDT

BANGUI 30 Mei - Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban termasuk seorang paderi manakala beberapa yang lain cedera dalam satu pertempuran di tengah bandar Republik Afrika Tengah ini, semalam.

Seorang paderi berusia 76 tahun, Paul-Emile Nzale, adalah antara mangsa yang terbunuh dalam keganasan berhampiran gereja Our Lady of Fatima, kata Ketua jurucakap gereja, Biskop Dieudonn Nzapalainga.

"Sejak beberapa hari lepas, banyak kes pertempuran berlaku di kawasan kejiranan ini," katanya. - AFP

Pencarian MH370 terus buntu

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Gambar bertarikh 14 April lalu, menunjukkan anggota Tentera Laut Australia, menurunkan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 dari kapal Ocean Shield ke Lautan Hindi bagi misi pencarian pesawat MH370. - REUTERS

SYDNEY 29 Mei - Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu, sekali lagi buntu selepas Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) percaya, Lautan Hindi bukanlah lokasi sebenar kapal terbang itu berakhir.

Menurut JACC, perkara itu disahkan selepas operasi di lokasi pencarian menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 yang telah ditamatkan, tidak menemukan apa-apa yang berkaitan dengan MH370.

"Data yang dikumpul dalam misi telah dianalisis. JACC boleh menyatakan tiada sebarang tanda serpihan pesawat itu ditemui oleh kapal selam tersebut sejak menyertai operasi mencari ini,'' kata badan itu dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, menurut JACC, kawasan tersebut kini boleh diketepikan sebagai tempat persemadian terakhir pesawat MH370, keputusan yang dilihat akan menyedihkan lagi ahli keluarga penumpang pesawat.

Kapal Australia, Ocean Shield yang membawa kapal selam Bluefin-21 juga telah meninggalkan kawasan perairan tersebut selepas menjelajah dasar laut seluas kira-kira 850 kilometer persegi untuk mencari MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 orang penumpang serta anak kapal.

JACC dalam pada itu menjelaskan, operasi pencarian kini memasuki fasa baharu menggunakan kelengkapan canggih untuk mengimbas dasar Lautan Hindi yang digabungkan bersama semua maklumat serta analisis data bagi menentukan lokasi pencarian baharu.

Tugas itu bakal dilakukan kapal peninjau China, Zhu Kezhen yang berperanan melaksanakan pemetaan dasar laut bermula Ogos ini dan mungkin mengambil masa selama setahun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kejuruteraan Laut, Tentera Laut AS, Michael Dean berkata, pihaknya percaya, isyarat ping yang dikesan dari dasar laut Lautan Hindi bukan datang daripada kotak hitam MH370.

"Jika ping itu berasal daripada perakam data pesawat atau perakam suara, ia pasti sudah ditemui.

"Teori terbaik yang boleh kami fikirkan ketika ini adalah bunyi ping itu merupakan isyarat dikeluarkan oleh Ocean Shield sendiri atau alat elektronik pengesan ping,'' katanya kepada stesen televisyen, CNN. - AFP/DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Nurul Izzah tuntut hak penjagaan anak

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kes perceraian di antara Nurul Izzah Anwar dan suami, Raja Ahmad Shahrir Raja Salim dilihat semakin sampai ke penghujungnya terutamanya selepas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memfailkan permohonan hak penjagaan anak (hadanah) ke atas dua cahaya mata mereka.

Permohonan tersebut difailkan Nurul Izzah pada 30 April lalu dan hari ini tuntutan itu disebut buat pertama kali di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Amran Mat Zain.

Bagaimanapun, terma permohonan yang dibuat mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 itu tidak didedahkan kepada pihak media.

Nurul Izzah, 34, selaku plaintif hadir pada prosiding yang dijalankan di kamar hakim tanpa ditemani oleh mana-mana ahli keluarga atau sahabat manakala Raja Ahmad Shahrir, 35, yang dinamakan sebagai defendan tidak hadir kerana berada di London.

Anak perempuan sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diwakili peguam syarie, Normawaddah Ramli manakala suaminya diwakili peguam-peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan Azmi Mohd. Rais.

Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua anak, Raja Nur Safiyah, 7, dan Raja Ahmad Harith, 5.

Sementara itu, Azmi ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, mahkamah menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

"Pada tarikh tersebut, defendan perlu memasukkan wakalah pelantikan peguam secara rasmi. Mahkamah juga dijangka bertanya kepada defendan mengenai permohonan plaintif dan berkemungkinan diarahkan untuk memfailkan pembelaan," katanya.

Peguam terbabit turut memberitahu, anak guamnya dan pihak peguam menerima salinan permohonan terbabit pada 24 Mei lalu.

Nurul Izzah memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahrir pada 8 Januari lalu dengan alasan, tiada lagi persefahaman dan rasa kasih sayang (tiada mawaddah dan rahmah).

Pasangan itu sekarang dalam proses perbincangan melalui wakil-wakil yang dilantik dalam Jawatankuasa Pendamai yang diketuai oleh seorang pegawai agama bagi membantu pasangan itu mencapai sebarang penyelesaian.

Penubuhan Jawatankuasa Pendamai tersebut dibuat mengikut Seksyen 47(5) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Menurut akta tersebut, jawatankuasa berkenaan diberi masa sehingga enam bulan bagi membantu pasangan untuk mencapai sebarang penyelesaian.

Sekiranya jawatankuasa tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan atau pasangan terbabit enggan meneruskan perkahwinan mereka, mahkamah perlu menasihati si suami untuk melafazkan talak.

Hasil perbincangan dalam jawatankuasa tersebut akan dibentangkan di Mahkamah Rendah Syariah pada 12 Jun ini.

Abby Abadi akui dicerai melalui SMS, rakan suami

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Abby Abadi

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pelakon Abby Abadi memaklumkan kepada Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini bahawa suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar telah melafazkan cerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai kepadanya pada awal bulan ini.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, berkata, SMS yang menyebut "Aku ceraikan kau" dan "Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" itu diterima pada pukul 10.25 pagi, 9 Mei lalu ketika dia berada di dalam kereta.

Ketika disoal oleh Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin sama ada Abby bertanya semula kepada suaminya tentang maksud SMS itu, dia sebaliknya meminta hakim itu bertanya sendiri kepada Muhammad Noor Farhan, 25.

"Saya tanya kamu bila kamu terima mesej itu untuk kepastian kenapa pulak kamu tanya saya soalan itu," tegas Shaiful Azli.

Abby dengan nada sebak kemudian berkata, pada ketika itu dia ada berbalas mesej namun tidak ingat sama ada bertanya mengenai maksud mesej berkenaan.

Dia berkata demikian ketika pertama kali hadir ke mahkamah berhubung permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan olehnya mengikut Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 1984.

Menurut Abby, pada malam sebelum kejadian itu berlaku perselisihan faham antara mereka berdua yang berlarutan sehingga pagi kerana suaminya tidak pulang ke rumah dan komunikasi hanya dibuat melalui SMS.

Ujarnya, selepas menerima SMS itu mereka tidak pernah rujuk atau berbaik semula dan tidak lagi tinggal bersama.

Menjawab soalan hakim, sama ada sebelum ini suaminya pernah melafazkan cerai, pelakon itu berkata, ia pernah berlaku tetapi mereka telah berbaik semula.

Abby memberitahu, perkara itu diketahui melalui rakan suami dan ia telah dirujuk kepada ulama yang mengesahkan bahawa jatuh talak tetapi mereka telah berbaik semula.

"Kalau kamu sudah berbaik pun, kamu kena failkan kerana mahkamah kena tahu berapa jumlah talak sekarang kalau tidak sahkan yang ini akan tergantung dan tidak semestinya semua (lafaz) jatuh talak, sekira lafaz sah, yang ini bertambah talak jika sabit," kata Shaiful Azli.

Sementara itu Muhammad Noor Farhan mengesahkan keterangan yang diberi oleh isterinya itu dan dia menghantar SMS tersebut dengan niat untuk bercerai dengan Abby.

"Saya yang taip dan hantar SMS itu semasa dalam kereta dan selepas itu kami tinggal berasingan sehingga sekarang," katanya dengan tenang.

Dia turut mengesahkan sebelum kejadian tersebut dia pernah melafazkan perceraian terhadap Abby tetapi belum disahkan mahkamah.

Setelah mendengar keterangan kedua-dua pihak, Shaiful Azli kemudian memutuskan untuk menangguhkan kepada 11 Jun ini prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai melalui SMS itu sehingga lafaz perceraian pertama difail dan disahkan oleh mahkamah.

Beliau turut memerintahkan lafaz perceraian pertama itu difailkan pada hari ini.

Sementara itu Abby yang ditemui para pemberita di luar mahkamah berkata, dia tidak menyangka perkahwinan kali ini berakhir sesingkat ini.

"Saya sayang sangat-sangat dia tetapi tidak nampak jalannya, saya tidak diberi ruang untuk perbetulkan keadaan kerana dia tidak balik," katanya.

Namun begitu katanya, dia reda walaupun perkahwinan yang berlangsung kira-kira 10 bulan itu berakhir sekelip mata.

Dia juga berkata tidak dapat memberi jawapan sama ada wujud pihak ketiga sehingga menyebabkan rumahtangganya runtuh.

Abby yang berjubah dan memakai tudung serba hitam hadir dengan ditemani dua anaknya serta seorang rakan manakala suaminya berkemeja putih dan berseluar kelabu turut ditemani rakannya.

Mereka tiba di mahkamah sebelum pukul 9 pagi secara berasingan dan selepas prosiding itu, Muhammad Noor Farhan bergegas meninggalkan mahkamah dengan menaiki kenderaan mewah BMW.

Abby bernikah dengan suaminya yang 13 tahun muda daripadanya setelah hidup bersendirian selama lima tahun.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga secara rahsia pada 9 Julai 2013 di selatan Thailand setelah berkenalan selama dua minggu.

Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Pengesahan lafaz cerai Abby Abadi 11 Jun ini

Posted: 28 May 2014 09:44 PM PDT

KUALA LUMPUR 29 Mei - Permohonan pengesahan lafaz cerai oleh pelakon Abby Abadi terhadap suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini ditangguhkan ke 11 Jun berikutan terdapat satu lagi lafaz cerai yang belum difail dan disahkan di mahkamah. - UTUSAN ONLINE

Hubungan hanya kawan

Posted: 28 May 2014 11:14 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHAMMED NOOR
& WAHIDIN SALIM

ANA Dahlia dan Ubai belum sedia berkasih.

DUA kali memegang status janda nyata bukanlah satu rekod baik yang boleh dijulang megah. Situasi itu yang berlaku dalam diri pelakon Ana Dahlia, namun tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

Biarpun beban yang harus dipikul itu berat ditambah status itu antara yang ditakuti wanita, Ana mengaku hidupnya aman dan tenang-tenang sahaja.

Malah, ramai yang beranggapan Ana sudah mempunyai kekasih baru apabila dia secara terang-terangan berkongsi banyak gambar dengan lelaki yang didakwa kekasihnya dalam laman sosial Instagram. Gambar itu dirakam ketika bercuti bersama di Bangkok, Thailand, April lalu.

Ubai Zulkiflee. Itulah nama lelaki yang sering dilihat bersama Ana. Tidak mahu lebih banyak spekulasi timbul, Ana memberitahu dia sebenarnya senang untuk berkawan dengan sesiapa.

Jujurnya, saya selesa dan mudah berkawan dengan sesiapa. Boleh kata saya seorang kawan yang baik. Kalau nak berkawan dengan saya memang boleh, jangan ada benci itu sahaja.

Mungkin saya juga tidak ramai kawan. Jadi kawan-kawan saya adalah orang yang sama. Ingin saya tegaskan, saya bukan selalu berdua dengan Ubai kerana ada lagi rakan-rakan lain yang bersama kami.

Dia juga sudah biasa menemani saya apabila ada urusan kerja. Saya tidak ada orang lain lagi. Tak salah kami berkawan. Saya kenal dia pun melalui rakan-rakan yang sentiasa ada dengan saya. Memang tidak dinafikan setiap orang perlukan teman untuk kehidupan.

Berkenaan jodoh bersama dia, saya tidak boleh nak cakap lebih sebab saya sendiri tidak dapat jangka ke mana perhubungan kami sebagai kawan," katanya.

Bersedia selalu

Bercakap soal kahwin lagi, wanita berusia 31 tahun ini sebenarnya tidak pernah serik dan mengakui dia sudah bersedia bergelar isteri dari perkahwinan yang pertama lagi.

Mungkin jodoh kami tidak kuat," ringkas jawab pemilik nama sebenar Diyana Mastura Jaafar ini.

Optimis bahawa setiap dugaan itu ada hikmahnya, kata Ana, sebagai seorang manusia biasa dia tahu Tuhan lebih pintar dalam mengatur percaturan hidupnya.

Buat masa sekarang, saya tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal kahwin lagi. Ini soal jodoh. Soal qada' dan qadar. Jika datang lagi saya akan terima. Saya juga tak mencari.

Biarlah saya tumpu perhatian kepada karier dahulu, jodoh akan datang dengan sendirinya. Saya akui mempunyai ramai teman tetapi belum ada yang boleh dianggap sebagai teman istimewa.

Tentang apa yang terjadi, saya lebih suka mengambilnya sebagai pengajaran. Saya tidak pernah rasa sakit dengan apa yang berlaku dulu.

Kalau boleh ambil yang hal positif sahaja untuk kita menjadi lebih kuat. Lagipun, dalam kehidupan banyak hati yang perlu dijaga. Apabila ada jodoh yang sudah pasti, saya akan kongsikan bersama peminat," katanya.

Dalam pada itu, kata Ana, dia juga bersyukur kerana masih ada keluarga, kawan dan peminat yang membuatkan dia kuat.

Tanpa mereka, saya tak tahu bagaimana keadaan saya. Merekalah insan yang sering memberi sokongan.

Malah, keluarga juga memahami situasi diri saya. Soalan-soalan tentang perkahwinan atau dengan siapa saya berkawan tak pernah keluar dari mulut mereka.

Mereka mungkin bimbang kalau soalan tak kena menjadikan saya terluka atau berkecil hati. Hakikatnya, saya okey saja," ujar Ana tersenyum.

Apa sahaja yang dilakukan bekas isteri Chef Riz ini yang juga anak kepada chef selebriti tersohor, Chef Wan ini pasti pantas menarik perhatian umum.

Justeru, apabila sekeping foto Ana bersama lelaki di laman sosial dimuatnaik, ia segera menimbulkan spekulasi.

Apabila letak sahaja satu gambar, pasti ada cerita yang timbul. Saya rasa tidak perlu nak panjangkan apa-apa lagi. Saya sebenarnya tidak pernah berahsia dan akan berkongsi apa sahaja dengan peminat.

Asalnya, kami ke Bangkok untuk mencari kain. Saya datang bersama dengan pereka baju saya. Empat hari kami di sana (Bangkok). Tak salah rasanya saya datang demi kawan-kawan. Saya masih tahu batas dan status saya. Lagipun keluarga juga tahu asal saya ke sana," katanya.

Mengenai acara Songkran, Ana berkata, dia juga tidak tahu acara itu akan disambut ketika berada di Bangkok.

Jujur saya tidak tahu ada Pesta Songkran. Itu kali pertama saya ikut. Kawan-kawan saya mengajak saya bercuti ke sana, jadi saya hanya mengikut mereka sahaja dan itu cuma kebetulan.

Apa yang boleh saya simpul, saya hanya mahu bagi penghargaan kepada kawan-kawan lama. Gambar-gambar itu sebenarnya tiada niat apa-apa. Harap semua peminat lebih terbuka dan memahami situasi saya. Janganlah berfikiran negatif kerana cerita sebenar mereka tidak tahu," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sultan bijaksana berjiwa rakyat

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani dokumen perisytiharan baginda sebagai Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak, semalam.- BERNAMA

PERISYTIHARAN Raja Dr. Nazrin Shah, 58, sebagai Sultan Perak yang ke-35 disambut penuh kesyukuran oleh seluruh rakyat jelata.

Membawa gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, pelantikan baginda dilihat sebagai penyambung naungan diraja bagi bumi bertuah, Perak Darul Ridzuan.

Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan dari Universiti Harvard, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah ini bakal meneruskan legasi ayahandanya sebagai raja yang bijaksana, berpendidikan tinggi dan berjiwa rakyat.

Berbeza dengan negeri-negeri beraja lain di negara ini yang menabalkan anak sebagai pewaris selepas kemangkatan Sultan, pemilihan Raja Pemerintah di Perak agak unik kerana perlu mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak.

Justeru sejurus kemangkatan Sultan Perak ke-34 petang kelmarin, mesyuarat khas Dewan Negara Perak diadakan bagi menentukan pengganti yang akan menerajui takhta pemerintahan negeri.

Keputusan melantik Raja Dr. Nazrin Shah sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas itu yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin.

Istiadat pelantikan dan perisytiharan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 kemudiannya disempurnakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Kuala Kangsar.

Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara pada 2007, dikurniakan seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, 4, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, 2.

Baginda dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Februari 1984.

Mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah pada galur ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Kedudukan di bawah Raja Kecil Besar ialah Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil Bongsu.

Pada 1987, apabila Raja Muda, Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.

Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.

Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.

Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford.

Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.

Baginda kemudian menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Universiti Harvard.

Sultan Nazrin Shah yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya turut menjadi Felo Kehormat Kolej Worcester, Universiti Oxford.

Tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Universiti Oxford serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam universiti tersebut.

Selain itu, Sultan Nazrin Shah ialah Felo Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Baginda juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.

Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberikan kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.

Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007.

Semasa Istiadat Menghadap Sembah Titah Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-86 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah pada 19 April lalu, baginda bertitah bahawa fungsi raja dalam kerajaan adalah memerintah dan bukannya mentadbir. Raja titah baginda, menjadi payung kedaulatan negara, memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

"Institusi raja bukanlah 'cermin lama untuk melihat wajah yang telah tua' dalam sistem pentadbiran negara. Institusi raja juga bukan hiasan, sebaliknya adalah institusi utama yang termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan negara.

"Ini terbukti apabila 10 peratus iaitu 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan dengan raja. Ini bermakna Malaysia yang mengamalkan kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah," titah baginda.

Dan seluruh rakyat jelata khususnya di Perak meyakini Sultan Nazrin Shah akan membawa tenaga kepada institusi raja agar terus bersifat dinamik dalam menghadapi tuntutan dan cabaran semasa.

Daulat Tuanku!

UiTM lambang maruah bangsa

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh Prof. Madya Dr. Ismail Sualman

RAMAI yang tersentap dengan kenyataan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu.

Sesetengahnya bahkan menganggap kenyataan gadis yang mendapat ijazah dari UiTM itu sebagai melampau dan diumpamakan kacang lupakan kulit.

Penubuhan UiTM termaktub di bawah Akta 173 atas dasar semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan. Sehingga kini, terdapat 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Maka apa yang didakwa oleh Dyana Sofya bahawa UiTM hanya untuk orang Melayu adalah salah kerana pelajarnya juga terdiri daripada bukan Melayu iaitu pribumi Sabah dan Sarawak.

Penubuhan UiTM juga selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berhasrat mengimbangi dari segi ekuiti, profesional dan juga sumber manusia dalam bidang industri dan swasta antara kaum-kaum utama di Malaysia .

Perlu diingat bahawa toleransi dalam institusi pendidikan yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum menyebabkan kaum Cina dan India memahami bahawa UiTM perlu diwujudkan untuk orang Melayu dan bumiputera.

Malangnya kontrak sosial ini sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi, sehinggakan peruntukan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Ini dilakukan dengan kewujudan UiTM malah Seri Paduka Baginda juga ialah Canselor UiTM.

Jadi apa motif kenyataan calon DAP Teluk Intan berkenaan? Kenapa kenyataan sebegini dilemparkan sedangkan UiTM telah wujud sejak 1956 lagi. Adakah kerana ingin meraih undi daripada pengundi bukan Melayu?

UiTM telah melalui perkembangan yang amat pesat sejak mewarnai sektor pengajian tinggi dan terus mengembangkan sayapnya ke seluruh negara melalui 15 buah kampus cawangan, sembilan kampus kota, tiga kampus satelit dan 21 buah kolej bersekutu serta sebuah kampus pintar yang bakal didirikan.

Dengan tenaga kerja kira-kira 17,000 orang dalam satu rangkaian yang besar, universiti ini menawarkan lebih 300 program akademik dalam suasana yang kondusif dan ceria. Ia juga menjadi rumah kedua bagi hampir 172,000 orang pelajar.

Memang tidak dinafikan bahawa UiTM sangat komited dalam membantu anak-anak bumiputera mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat akademik tertinggi, juga dalam persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Wawasannya ialah untuk memupuk kesarjanaan dan membina kecemerlangan akademik, agar mampu memimpin dalam apa juga arena.

Sebenarnya, UiTM sejak 1980 lagi telah membantu pelajar bukan Melayu termasuk Cina dan India dalam program pra-luar negara (INTEC UiTM). Program kerjasama JPA/Mara/Petronas telah menghantar puluhan ribu pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia dan sebagainya.

Begitu juga program A-Level di Jerman melibatkan ribuan pelajar bukan Melayu. Fakta ini menunjukkan bahawa UiTM telah lama membantu pelajar bukan Melayu dalam pendidikan nasional.

Dyana Sofya mendakwa UiTM bukan milik UMNO atau Barisan Nasional (BN) lantas para pelajarnya tidak perlu terikat kepada parti itu.

Hakikatnya, memang UiTM ditubuhkan oleh pejuang UMNO. Malah ITM dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak manakala pengisytiharan naik taraf universiti dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebagai orang yang berterimakasih dan bersyukur, pelajar menginsafi bahawa banyak jasa UiTM kepada umat Melayu. Sememangnya tiada mana-mana akta atau arahan bahawa pelajar UiTM perlu terikat dengan parti. UiTM tetap mendokong demokrasi. Namun atas dasar orang yang tahu mengenang budi dan tahu membalas budi maka menjadi hak pelajar untuk menyokong BN dan UMNO.

Sementelah pemerintah Kerajaan Pusat sekarang adalah Kerajaan BN sejak dahulu hingga kini, maka UiTM akur dan mempunyai aspirasi yang sama.

Tuduhan calon DAP Teluk Intan ini bahawa pelajar UiTM datang daripada ibu bapa yang kaya dan berpendapatan tinggi juga melulu dan tidak berasas sama sekali. Semua maklum bahawa UiTM sememangnya diwujudkan untuk membela nasib orang Melayu dan bumiputera yang kurang berkemampuan membaiki potensi diri.

Tidak cukup dengan itu, program pra-diploma khusus untuk mereka yang kurang bernasib baik diwujudkan dan setakat ini lebih 55,000 graduan dihasilkan oleh program ini.

Program Destini Anak Bangsa (MDAB) khusus untuk pelajar miskin tegar melanjutkan pelajaran ke peringkat pra-diploma pula diperkenalkan sejak 2010 dan telah menghasilkan 35,000 alumni.

Program ini berjaya menyelamatkan anak bangsa yang kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada terabai.

UiTM juga membantu penubuhan MDAIM khusus untuk anak-anak kaum India dengan kerjasama MIC, di samping program serupa Mengubah Destini Anak Orang Asli.

Kini UiTM berbangga kerana mempelopori program khusus untuk anak miskin di bawah Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai bekas pelajar UiTM, Dyana sepatutnya lebih memahami alma maternya.

Kita harap tiada lagi suara sumbang yang keluar dari mulutnya atau mulut sesiapa sahaja yang hanya akan meningkatkan sentimen perkauman dan perpecahan sesama kaum di Malaysia.

Janganlah dek kerana mengejar populariti, nasib anak bangsa digadai dengan kenyataan yang tidak berasas.

PENULIS ialah penganalisis politik

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Ops Cantas Khas: 111,558 orang diperiksa

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 28 Mei - Polis daerah ini memeriksa seramai 111,558 individu dalam Op Cantas Khas sehingga Ahad lalu sejak operasi itu dilancarkan pada 17 Ogos tahun lalu bagi membendung aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 2,672 individu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan telah ditahan.

"Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 114 senjata api dan senjata berbahaya turut dirampas. Kejayaan paling ketara sepanjang Op Cantas Khas dilancarkan adalah penurunan kadar jenayah terutamanya kes melibatkan jenayah kekerasan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Din berkata, pihaknya turut memeriksa sebanyak 69,457 buah kenderaan yang mencurigakan iaitu 44,962 motosikal, 20,523 kereta dan 3,972 lain-lain kenderaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 30,722 saman telah dikeluarkan kerana menyalahi peraturan atau terlibat dalam kegiatan jenayah," katanya.

Dalam pada itu, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) polis daerah itu telah menahan seramai 290 individu bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Din memberitahu, sebanyak 88 daripada mereka ditahan menerusi Ops Dadu, Ops Noda (45), Op Cantas (100) manakala bakinya merupakan individu yang ditangkap kerana terlibat dengan mesin perjudian.

"Polis akan terus memburu suspek atau individu yang terlibat dengan jenayah. Tindakan berterusan dalam operasi ini akan diteruskan dengan pelbagai penambahbaikan," katanya.

Wakil rakyat rai 704 pelajar cemerlang

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

HALIMAH Mohamed Sadique (tengah sebelah lelaki bersongkok) bersama pelajar dan tetamu dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan UPSR, PMR, SPM dan STPM Tahun 2012 & 2013 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIK SALEH

KOTA TINGGI 28 Mei - Seramai 704 pelajar dari 33 sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Tenggara diraikan dalam satu majlis khas di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi di sini baru-baru ini.

Mereka adalah pelajar dari 17 sekolah kebangsaan (SK), dua sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, tiga SJK Tamil, sembilan sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan dua sekolah menengah agama (SMA).

Kesemua pelajar tersebut mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mereka menerima hadiah khas, wang tunai dan sijil penghargaan yang disampaikan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Md. Din Hussien dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kulaijaya, Aziz Md. Derus; Ketua MCA Tenggara, Gan Ong Ping dan Pengerusi Biro Majlis Pendidikan Tenggara, Zainuddin Abu Bakar.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan UPSR, PMR, SPM dan STPM Tahun 2012 & 2013 itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 ibu bapa dan ahli keluarga pelajar berkenaan.

Halimah dalam ucapannya berkata, majlis tersebut sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas kecemerlangan mereka dan berharap ibu bapa sedar bahawa tanggungjawab mendidik anak-anak bukannya diserahkan pada bahu guru-guru dan pihak sekolah semata-mata.

"Malah, kita tumpang gembira apabila pelajar lepasan SPM dan STPM diterima masuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi demi menyediakan modal insan negara yang berilmu dan berkemahiran," katanya yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, seorang pelajar SK Taman Seri Saujana, Abd. Muhaimin Abd. Razak, 13, bersyukur mendapat keputusan 5A dalam UPSR 2013 dan terima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar kepadanya.

Seorang lagi penerima hadiah, Alia Aidah Abd. Halim, 14, dari Taman Kota Jaya yang turut mendapat 5A dalam UPSR 2012 dan Azlin Omar, 16, dari Felda Bukit Ramun atas kejayaanya memperoleh 9A dalam PMR 2013 turut bersyukur dan bertekad akan terus belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan lebih besar dalam akademik.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melayu perlu kukuh perpaduan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 28 Mei - Musuh tidak akan berani mengancam andainya perpaduan dalam kalangan umat Islam terus terbina kukuh.

Ini ditegaskan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan menyatakan bahawa perpecahan yang berlaku dalam komuniti Melayu khususnya, mahupun masyarakat Islam yang besar disebabkan "jarum suntikan" musuh yang melepaskan virus sehingga mengakibatkan pemikiran rakyat menjadi lemah dan tidak fokus.

"Masyarakat luar amat segan dengan kekuatan perpaduan yang kita bina, terutama dalam umat Islam. Orang tidak akan berani menggugat keharmonian ini kerana pengukuhannya.

"Malangnya perpaduan yang dibina sejak sekian lama sudah ada yang mahu merobohkannya. Malah kalimah Allah yang suci itu pun ada yang mempersendakannya kerana kelemahan yang ada.

"Jangan kita kecewa apabila sudah kecundang. Waktu itu, kita akan merasa peritnya berdagang di tanah air sendiri," katanya dalam program sambutan Israk Mikraj peringkat negeri di Masjid Negeri dekat sini semalam.

Menurut Mohamad, umat Islam mungkin tidak sama pendapat mahupun pandangan, tetapi asasnya hendaklah sentiasa bersama dalam memastikan tanah air ini tidak terlelong, begitu juga dalam menjaga bangsa Melayu ini.

Beliau menambah, "jarum-jarum suntikan" ini sudah mula mencucuk bangsa Melayu dan umat Islam untuk mengembalikan zaman parah yang suatu ketika dahulu berpuak-puak, berpecah dan tidak bersatu.

"Ketika kita mencapai kemerdekaan, pemimpin berjaya menyatupadukan bangsa dan umat Islam, malah pada waktu itu orang Melayu amat kukuh perpaduannya. Kini sudah 57 tahun negara mencapai nikmat kemerdekaan, malangnya bibit perpecahan itu sudah ketara," kata beliau.

Justeru nasihat beliau supaya umat Islam kembali membetulkan saf, tunjukkan kekuatan dan pertahankan perpaduan.

"Tidak ada siapa yang untung jika kita berpuak dan yang jelas, kita dapat saksikan lebih banyak ruginya," kata beliau.

Kajian semula tahap ketahanan operasi Sains

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

MOHAMAD Hasan menyampaikan cenderamata kepada Dr. Asma Ismail (tengah) sambil diperhatikan oleh Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali (kiri) ketika menerima kunjungan Naib Canselor USIM itu di Pejabat Menteri Besar di Seremban, semalam.

SEREMBAN 28 Mei - Kajian semula akan dilakukan terhadap tahap ketahanan operasi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dalam menghadapi persekitaran kenaikan kos elektrik, bahan pembersihan loji dan rawatan air serta menyelenggara paip air.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai sebuah entiti yang dikorporatkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air pada 2009, Sains perlu berhadapan situasi berkenaan yang di luar kawalan mereka dan pada masa yang sama hendaklah menjaga peranannya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Rakyat maklum bahawa tarif air di Negeri Sembilan amat murah dan tidak pernah dinaikkan. Janganlah disebabkan faktor kebaikan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini kita merasa tidak perlu berjimat dalam penggunaannya.

"Kita tidak tahu sejauh mana Sains boleh bertahan dengan kos operasi harian mereka disebabkan tekanan persekitaran dalam menguruskan bekalan air bersih kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurut Mohamad, antara faktor yang diberi penilaian itu adalah kos operasi di rumah pam dan loji rawatan yang meningkat disebabkan kenaikan tarif elektrik.

"Sebanyak 50 peratus kos operasi di kawasan loji bergantung kepada kuasa elektrik, selain bahan kimia dalam rawatan air," katanya.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu faktor lain adalah berkaitan menyelenggara paip lama dan menukar paip baharu, yang turut memerlukan kos tinggi.

"Kajian sudah dibuat dan akan dinilai semula. Sebagai syarikat yang dikorporatkan dan bukan jabatan kerajaan, tentulah Sains memerlukan modal untuk beroperasi.

"Sekurang-kurangnya Sains dapat memperoleh bayaran bil air untuk menampung kos operasinya. Ini bukan faktor kelemahan atau pengurusan yang tidak efisien, tetapi ini disebabkan faktor yang sukar untuk disekat berikutan keperluan dalam sektor yang terbabit," katanya.

Apa pun kata Mohamad, sebarang keputusan kelak akan terlebih dahulu melihat kepentingan rakyat dan ia tidak akan dibuat sewenang-wenangnya tanpa kajian mendalam.

Mengenai ramalan kemarau, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia menghadapinya dalam memastikan bekalan air terawat diterima pengguna dan tidak mengganggu kehidupan harian mereka.

Mohamad selepas sidang akhbar itu menerima kunjungan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail yang akan bertukar ke Kementerian Pendidikan pada 1 Jun ini, di pejabat beliau di Wisma Negeri.

Dr. Asma dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Jabatan Pengajian Tinggi di kementerian berkenaan menggantikan Prof. Datuk Dr. Morshidi Sirat yang bersara, manakala jawatan Naib Canselor USIM yang baharu akan diumumkan pada hujung bulan ini.

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

MELAKA 28 Mei - Pendekatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dilihat sebagai platform terbaik dalam usaha mengembangkan ekonomi berteraskan digital dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, pendekatan berteraskan ICT amat penting untuk dikuasai bagi memastikan para usahawan IKS tidak ketinggalan serta mampu melangkah seiring kemodenan teknologi masa kini.

Sehubungan itu katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan bagi menyokong usaha tersebut dan terbaharu melalui program .myBuddies: Rakan Dalam Talian Anda melalui inisiatif agensi-agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan MYNIC Berhad dengan kerjasama Asertech Sdn. Bhd.

"Program .myBuddies menawarkan inisiatif menyeluruh kepada usahawan dan bakal usahawan IKS untuk memperkasakan penjenamaan serta pemasaran produk secara lebih efektif menerusi kemudahan laman sesawang dan e-Dagang di Internet.

"Penyelesaian pintar program ini bakal memberi impak dalam menjana pembangunan usahawan IKS sekali gus mencapai sasaran 100 peratus golongan tersebut yang berdaftar memiliki laman sesawang sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar .myBuddies peringkat negeri di Hotel Emperor, Jalan Munshi Abdullah di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Operasi MYNIC Berhad, Nursuzana Harun; Pengarah Kolej Komuniti Bukit Beruang, Abdul Razak Sabtu dan Profesor Jabatan Media Interaktif Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Dr. Ahmad Zaki A. Bakar.

Jelas Hasan, pada masa kini tidak sampai 20 peratus daripada usahawan IKS berdaftar di negara ini memiliki laman sesawang atas faktor kos pemilikan yang tinggi serta keperluan kemahiran teknologi maklumat dalam menyelenggara sesebuah laman sesawang.

"Justeru, .myBuddies akan membantu memudahkan pemilikan laman sesawang bagi setiap usahawan serta mewujudkan jalinan rangkaian kerjasama pintar sesama mereka bagi merangsang peluang ekonomi di pasaran domestik dan global," ujarnya.

Selain itu tambahnya, program berkenaan juga berupaya menarik golongan belia dan graduan untuk menceburi bidang keusahawanan berteraskan ICT sekali gus merapatkan jurang statistik pengangguran.

"Dalam masa sama, saya turut berharap agar program seumpama ini dapat diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi merangkumi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat merasai faedahnya," katanya.

Dalam program itu, para usahawan IKS disediakan domain .my dengan penghosan percuma selama setahun selain pendedahan dunia perniagaan serta peluang menjana ekonomi digital.

Sebanyak 9,000 domain yang berakhir dengan .my juga turut ditawarkan untuk pendaftaran khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sempena pelancarannya hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


PenBEX sasar 100,000 pengunjung

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh azeli ali
utusanpenang@utusan.com.my

MUHAMMAD Farid Saad menunjukkan poster Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam. - Utusan/AZMAN ASMAYATIM

PULAU PINANG 28 Mei - Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBEX) menyasarkan 100,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM2 juta sepanjang sembilan hari pameran yang diadakan di Dataran Transformasi Usahawan, Kubang Menerong dekat Tasek Gelugor di sini.

Ekspo yang akan bermula dari 31 Mei hingga 8 Jun itu bakal mempromosikan produk hasil keluaran usahawan tempatan di negeri ini.

Pengerusi Kumpulan Sasar Pembangunan Usahawan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), Muhammad Farid Saad berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai kerana pada tahun lalu PenBEX berjaya mengutip hasil jualan sebanyak RM1.4 juta dengan bilangan pengunjung mencecah 85,000.

"PenBEX berjaya membantu mempromosi dan menggalakkan rangkaian pemasaran produk dalam kalangan usahawan bumiputera terutama dari Pulau Pinang serta rakan strategik perniagaan di luar negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan banyak lagi.

"Melalui seminar yang diadakan ketika ekspo ini, usahawan juga berpeluang menerokai peluang perniagaan baharu di dalam dan luar negara serta diberi pendedahan meluas mengenai membina rangkaian perniagaan mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Majlis pelancaran PenBEX 2014 akan disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Shabudin Yahaya pada 31 Mei ini.

Sebanyak 382 ruang pameran disediakan sepanjang PenBEX meliputi ruang berhawa dingin atau tidak berhawa dingin selain ruang auto, spa dan pasar tani.

Selain itu terdapat juga peniaga dari negara luar seperti Aceh, Indonesia, Satun di selatan Thailand dan Kemboja yang akan turut serta dalam ekspo itu.

"Peniaga atau usahawan yang hadir bukan sahaja dari Pulau Pinang malah dari negeri sekitar seperti Perak, Kedah, Perlis dan Kelantan.

"Melalui PenBEX juga kita berhasrat untuk melahirkan lebih ramai jutawan yang terdiri daripada usahawan Melayu di negeri ini," katanya.

Karnival Amal Hari Penyayang 2014 Jumaat, Sabtu ini

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

MOHD. Shukri Hamad (dua dari kiri) menerima replika cek daripada Syed Unan Mashri Syed Abdullah bagi tajaan akhar Utusan Malaysia sempena Karnival Amal Hari Penyayang di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 28 Mei - Orang ramai di sekitar utara tanah air dijemput untuk memeriahkan Karnival Amal Hari Penyayang 2014 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di pekarangan Stadium Darul Aman dekat sini pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pengerusi Karnival Amal Hari Penyayang 2014, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, acara bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai projek Titian Bistari yang memerlukan perbelanjaan hampir RM1.2 juta setahun.

Katanya, projek Titian Bistari itu yang dimulakan sejak 15 tahun yang lalu adalah merupakan projek tuisyen percuma yang dibiayai sepenuhnya oleh YSB bagi meningkatkan keupayaan murid-murid di kawasan pedalaman di dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

"Antara yang istimewa pada karnival ini adalah terdapat acara lelongan amal barangan peribadi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah seperti jam tangan baginda, potret, meriam, keris dan lain-lain lagi pada Sabtu.

"Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan karnival ini yang juga membolehkan mereka beramal," katanya kepada pemberita di pejabat YSB di sini hari ini.

Dalam program tersebut YSB menaja akhbar Utusan Malaysia bernilai RM3,600 dan majlis penyerahan replika cek telah berlangsung dengan diserahkan oleh Syed Unan Mashri sendiri kepada Eksekutif Jualan Utusan Malaysia Cawangan Kedah,Mohd. Shukri Hamad.

Menurut Syed Unan Mashri, bertemakan berhibur sambil menderma, pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang karnival tersebut seperti larian bendang, kempen derma darah, bazar kebajikan dan kafe penyayang.

Selain itu katanya, pertandingan seni suara burung, peraduan mewarna kanak-kanak, pameran kerjaya, sukan remaja dan pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung.

"Golongan artis juga dijemput untuk memeriahkan karnival ini dan antara yang akan hadir ialah Tegar, Adira, Jay Jay, kumpulan Forteen dan Lan Kristal.

"Tidak ketinggalan terdapat juga hadiah menarik menanti para pengunjung yang berpeluang menyertai cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM20,000," katanya.

51 badang beradu kekuatan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

SEORANG peserta mengangkat kayu pada pertandingan Badang Malaysia Endurance and Strength 2014 di Kampung Labu Kubung, Lubuk Merbau, Padang Rengas, Perak baru-baru ini. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT

PADANG RENGAS 28 Mei - Badang, bukanlah nama asing untuk masyarakat di negara ini khususnya bagi orang Melayu.

Ini kerana sejak kecil, kita sering dimomokkan dengan kegagahan luar biasa seorang lelaki yang bertubuh tegap dan besar hingga mampu menewaskan bukan sahaja lawan tetapi mengangkat beban yang sukar diangkat oleh manusia biasa.

Kuasa Badang yang tiada tandingan itu diperoleh selepas dia dikatakan memakan muntah jin sehingga membolehkan lelaki itu mempunyai kekuatan luar biasa yang sukar digambarkan.

Sama ada cerita mengenai lelaki itu merupakan satu dongengan atau ada sejarahnya tersendiri, tiada siapa pun dapat memberikan pengesahannya, malah kisah itu kini amat sinonim apabila menggambarkan kegagahan seseorang.

Justeru, bagi mencari seorang individu yang menyamai kekuatan Badang, Persatuan Pelancongan Padang Rengas dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengadakan Pertandingan Badang Malaysia Endurance and Strength 2014 di Kampung Labu Kubong dekat sini baru-baru ini.

Pertandingan itu mendapat sambutan amat menggalakkan walaupun pertama kali diadakan dengan penyertaan sebanyak 51 orang peserta dari seluruh negara termasuk dua pasukan Thailand.

Melalui pertandingan itu, setiap peserta dikehendaki melakukan larian mendaki bukit, memakan ala muntah berupa bubur dalam mangkuk, mengangkat empat tayar traktor dari dalam sawah, menterbalikkan tayar traktor seberat 80 kilogram, memikul batang balak dan menangkap belut.

Pengarah kejohanan, Amiruddin Mohd. Daud berkata, acara itu merupakan pertama kali diadakan bukan sahaja di Padang Rengas malah di negeri ini dalam memperkenalkan Badang Malaysia.

Menurutnya, semua acara yang disertai peserta memerlukan mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan sihat tubuh badan.

Katanya, cabaran dalam pertandingan ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang kuat di mana mereka mestilah mempunyai kebolehan mengangkat beban berat.

"Saya lihat semua peserta mampu melepasi syarat dan acara yang ditetapkan. Walaupun ramai yang tewas namun apa yang lebih penting adalah semangat kesukanan dan sanggup menghadapi cabaran walaupun sukar," katanya.

Dalam pertandingan itu, setiap pemenang bakal menerima hadiah wang tunai iaitu bagi johan RM2,000 bersama pingat emas, naib juara (RM1,500 dan pingat perak), tempat ketiga (RM1,000 dan pingat gangsa).

Bagi pertandingan tarik tali terbuka, johan membawa pulang piala pusingan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, wang tunai RM2,000 dan pingat emas manakala tempat kedua menerima RM1,500 dan pingat perak dan tempat ketiga mendapat wang tunai RM1,000 dan pingat gangsa.

Kategori tarik tali tertutup pula, johan menerima sebuah piala pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan wang tunai.

Sementara itu, Siti Salmah ketika ditemui berkata, beliau amat gembira apabila program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung.

Katanya, berdasarkan sambutan itu, beliau yakin pihak penganjur pasti bersedia menjadikan program itu sebagai acara tahunan sekali gus mampu mempromosikan Padang Rengas sebagai lokasi pelancongan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved