Utusan Online - Mahkamah |
Nurul Izzah tuntut hak penjagaan anak Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT Oleh SUWARNI MOKHTAR Nurul Izzah Anwar KUALA LUMPUR 29 Mei - Kes perceraian di antara Nurul Izzah Anwar dan suami, Raja Ahmad Shahrir Raja Salim dilihat semakin sampai ke penghujungnya terutamanya selepas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memfailkan permohonan hak penjagaan anak (hadanah) ke atas dua cahaya mata mereka. Permohonan tersebut difailkan Nurul Izzah pada 30 April lalu dan hari ini tuntutan itu disebut buat pertama kali di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Amran Mat Zain. Bagaimanapun, terma permohonan yang dibuat mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 itu tidak didedahkan kepada pihak media. Nurul Izzah, 34, selaku plaintif hadir pada prosiding yang dijalankan di kamar hakim tanpa ditemani oleh mana-mana ahli keluarga atau sahabat manakala Raja Ahmad Shahrir, 35, yang dinamakan sebagai defendan tidak hadir kerana berada di London. Anak perempuan sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diwakili peguam syarie, Normawaddah Ramli manakala suaminya diwakili peguam-peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan Azmi Mohd. Rais. Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua anak, Raja Nur Safiyah, 7, dan Raja Ahmad Harith, 5. Sementara itu, Azmi ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, mahkamah menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes berkenaan. "Pada tarikh tersebut, defendan perlu memasukkan wakalah pelantikan peguam secara rasmi. Mahkamah juga dijangka bertanya kepada defendan mengenai permohonan plaintif dan berkemungkinan diarahkan untuk memfailkan pembelaan," katanya. Peguam terbabit turut memberitahu, anak guamnya dan pihak peguam menerima salinan permohonan terbabit pada 24 Mei lalu. Nurul Izzah memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahrir pada 8 Januari lalu dengan alasan, tiada lagi persefahaman dan rasa kasih sayang (tiada mawaddah dan rahmah). Pasangan itu sekarang dalam proses perbincangan melalui wakil-wakil yang dilantik dalam Jawatankuasa Pendamai yang diketuai oleh seorang pegawai agama bagi membantu pasangan itu mencapai sebarang penyelesaian. Penubuhan Jawatankuasa Pendamai tersebut dibuat mengikut Seksyen 47(5) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Menurut akta tersebut, jawatankuasa berkenaan diberi masa sehingga enam bulan bagi membantu pasangan untuk mencapai sebarang penyelesaian. Sekiranya jawatankuasa tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan atau pasangan terbabit enggan meneruskan perkahwinan mereka, mahkamah perlu menasihati si suami untuk melafazkan talak. Hasil perbincangan dalam jawatankuasa tersebut akan dibentangkan di Mahkamah Rendah Syariah pada 12 Jun ini. |
Abby Abadi akui dicerai melalui SMS, rakan suami Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT Oleh MARZITA ABDULLAH Abby Abadi KUALA LUMPUR 29 Mei - Pelakon Abby Abadi memaklumkan kepada Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini bahawa suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar telah melafazkan cerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai kepadanya pada awal bulan ini. Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, berkata, SMS yang menyebut "Aku ceraikan kau" dan "Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" itu diterima pada pukul 10.25 pagi, 9 Mei lalu ketika dia berada di dalam kereta. Ketika disoal oleh Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin sama ada Abby bertanya semula kepada suaminya tentang maksud SMS itu, dia sebaliknya meminta hakim itu bertanya sendiri kepada Muhammad Noor Farhan, 25. "Saya tanya kamu bila kamu terima mesej itu untuk kepastian kenapa pulak kamu tanya saya soalan itu," tegas Shaiful Azli. Abby dengan nada sebak kemudian berkata, pada ketika itu dia ada berbalas mesej namun tidak ingat sama ada bertanya mengenai maksud mesej berkenaan. Dia berkata demikian ketika pertama kali hadir ke mahkamah berhubung permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan olehnya mengikut Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 1984. Menurut Abby, pada malam sebelum kejadian itu berlaku perselisihan faham antara mereka berdua yang berlarutan sehingga pagi kerana suaminya tidak pulang ke rumah dan komunikasi hanya dibuat melalui SMS. Ujarnya, selepas menerima SMS itu mereka tidak pernah rujuk atau berbaik semula dan tidak lagi tinggal bersama. Menjawab soalan hakim, sama ada sebelum ini suaminya pernah melafazkan cerai, pelakon itu berkata, ia pernah berlaku tetapi mereka telah berbaik semula. Abby memberitahu, perkara itu diketahui melalui rakan suami dan ia telah dirujuk kepada ulama yang mengesahkan bahawa jatuh talak tetapi mereka telah berbaik semula. "Kalau kamu sudah berbaik pun, kamu kena failkan kerana mahkamah kena tahu berapa jumlah talak sekarang kalau tidak sahkan yang ini akan tergantung dan tidak semestinya semua (lafaz) jatuh talak, sekira lafaz sah, yang ini bertambah talak jika sabit," kata Shaiful Azli. Sementara itu Muhammad Noor Farhan mengesahkan keterangan yang diberi oleh isterinya itu dan dia menghantar SMS tersebut dengan niat untuk bercerai dengan Abby. "Saya yang taip dan hantar SMS itu semasa dalam kereta dan selepas itu kami tinggal berasingan sehingga sekarang," katanya dengan tenang. Dia turut mengesahkan sebelum kejadian tersebut dia pernah melafazkan perceraian terhadap Abby tetapi belum disahkan mahkamah. Setelah mendengar keterangan kedua-dua pihak, Shaiful Azli kemudian memutuskan untuk menangguhkan kepada 11 Jun ini prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai melalui SMS itu sehingga lafaz perceraian pertama difail dan disahkan oleh mahkamah. Beliau turut memerintahkan lafaz perceraian pertama itu difailkan pada hari ini. Sementara itu Abby yang ditemui para pemberita di luar mahkamah berkata, dia tidak menyangka perkahwinan kali ini berakhir sesingkat ini. "Saya sayang sangat-sangat dia tetapi tidak nampak jalannya, saya tidak diberi ruang untuk perbetulkan keadaan kerana dia tidak balik," katanya. Namun begitu katanya, dia reda walaupun perkahwinan yang berlangsung kira-kira 10 bulan itu berakhir sekelip mata. Dia juga berkata tidak dapat memberi jawapan sama ada wujud pihak ketiga sehingga menyebabkan rumahtangganya runtuh. Abby yang berjubah dan memakai tudung serba hitam hadir dengan ditemani dua anaknya serta seorang rakan manakala suaminya berkemeja putih dan berseluar kelabu turut ditemani rakannya. Mereka tiba di mahkamah sebelum pukul 9 pagi secara berasingan dan selepas prosiding itu, Muhammad Noor Farhan bergegas meninggalkan mahkamah dengan menaiki kenderaan mewah BMW. Abby bernikah dengan suaminya yang 13 tahun muda daripadanya setelah hidup bersendirian selama lima tahun. Pasangan itu mendirikan rumah tangga secara rahsia pada 9 Julai 2013 di selatan Thailand setelah berkenalan selama dua minggu. Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan