Ahad, 6 April 2014

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Tutor aktif selepas Jun di Terengganu

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Wan Razali Wan Muda (kiri) menerima kata laluan adaponline daripada Wahid Hashim selepas taklimat penggunaan Tutor UPSR di sekolah itu di Dungun, Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU - Aktiviti Tutor dalam Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) di sekolah-sekolah Terengganu akan aktif berlipat kali ganda selepas Jun, kata guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pulut di Dungun dan SK Kuala Jenderis di Kuala Berang dekat sini.

"Kita menjangka akan menghabiskan sukatan pelajaran pada Jun, dan selepas itu kita akan menggunakan sepenuhnya Tutor sebagai bahan latih tubi projek khusus kami," kata Guru Besar SK Padang Pulut, Aminah Ismail selepas taklimat penggunaan Tutor di bawah program Pintar-Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta penyerahan nombor pin dan kata laluan di sekolah itu, dekat sini, baru-baru ini.

Kata beliau, Tutor - melalui program Pintar-TNB - dan Angkatan Kerja Rajin Mulia (AKRAM) akan saling lengkap melengkapi ke aras satu usaha murni membantu memperkaya bank soalan berkualiti kepada sekolah di Terengganu.

"Kami juga akan cuba melaksanakan cara menggunakan Tutor yang optimum sepertimana yang dicadangkan oleh pihak Unit Pendidikan Utusan Malaysia," katanya.

Dalam taklimat kepada sekolah berkenaan, Pengarang Pendidikan, Wahid Hashim menerangkan prinsip penggunaan Tutor yang boleh dilaksanakan sekolah, mengikut kesesuaian ekologi pembelajaran di sekolah masing-masing.

Guru Besar SK Padang Pulut, Wan Razali Wan Muda, berpendapat, apa yang telah dicadangkan oleh pihak Unit Pendidikan Utusan Malaysia mampu menambah baik pelaksanaan program latih tubi yang sedang berlangsung di sekolahnya.

Apa yang diberikan oleh Pintar-TNB kepada sekolah merupakan yang terbaik di pasaran, termasuk penajaan Tutor, kata Wan Razali, sambil menambah ia merupakan satu bentuk bantuan yang tepat, "daripada Pintar-TNB-Utusan Malaysia,"

Tutor, katanya, merupakan tonik yang diharapkan dapat memperbaiki keputusan UPSR sekolahnya pada tahun ini.

Beliau juga akan mencadangkan penggunaan Tutor kepada sekolah -sekolah yang berjiran dengannya sebagai usaha perkongsian bahan.

Beliau juga akan menggunakan Tutor secara intensif kepada murid-muridnya yang tinggal di asrama sekolah dalam kelas persediaan malam.

Tutor SPM sumber utama rujukan pembelajaran

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Kandungan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang padat dengan set soalan latih tubi berkualiti menarik minat guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang untuk menggunakannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Guru Pusat Sumber SMK Tinggi Kajang, Francisca Gotoking berkata, pelajar menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menggunakan Tutor sebagai rujukan dan sumber bahan pembelajaran mereka dalam ulang kaji harian sama ada di sekolah atau di rumah.

``Maklum balas daripada guru juga positif khususnya guru panitia semua mata pelajaran memaklumkan kandungan Tutor ini amat baik dijadikan rujukan pembelajaran dan boleh membantu PdP, katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran penyerahan langganan sebanyak 200 Tutor SPM di sekolah itu baru-baru ini.

Menurutnya, harga Tutor juga sangat murah iaitu 50 sen senaskhah berbanding buku atau bahan rujukan lain sekali gus meringankan beban kewangan sekolah.

Selain Tutor SPM, Utusan Malaysia turut menerbitkan Tutor Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) setebal 20 halaman pada setiap Isnin, eksklusif untuk langganan sekolah.

Bagi memenuhi keperluan PdP sekolah rendah, Utusan Malaysia menerbitkan Tutor UPSR pada setiap Isnin, Tutor English (Selasa) manakala Tutor Junior + j-QAF di terbitkan pada hari Rabu. Semua akhbar pendidikan berkenaan dijual pada harga 50 sen senaskhah.

Sementara itu, Amir Haziq Noor Alif Wira, 14, berkata, dia berasa teruja apabila buat pertama kali membelek Tutor yang baharu sahaja dilanggan pihak sekolah bermula bulan April ini.

``Sebelum ini saya ada pernah mendengar mengenai Tutor di sekolah berhampiran namun menganggapnya seperti buku-buku rujukan pelajaran lain yang terdapat di pasaran.

``Namun, selepas melihat kandungan akhbar ini, saya berasakan Tutor berbeza kerana selain saiznya yang mudah dibawa, kandungannya juga padat dengan soalan latih tubi, katanya.

Rakannya, Vivishen Nadarajan, Tutor mampu menjadi bahan rujukan yang berkesan sekiranya kandungan akhbar itu diguna pakai sebaiknya oleh pelajar dalam membuat proses ulang kaji.

``Saya lihat kandungan Tutor banyak memberi manfaat kepada pelajar dan akhbar ini boleh membawa Tutor kemana-mana sahaja walaupun sedang makan kerana ia nipis, ringan serta boleh disimpan dalam poket.

``Dan ini membolehkan pelajar membuat rujukan pada bila-bila masa sahaja. Saya berpendapat bahan ini amat baik dan berkesan dalam meningkatkan pembelajaran jika digunakan sebaiknya, katanya.

Seorang lagi pelajar, Avinassh Selvaraja memberitahu, dia berminat untuk mendapatkan Tutor dan dijadikan bahan pembelajaran buat seisi keluarganya di rumah selain dapat digunakan di sekolah.

``Saya fikirkan Tutor ini hanya untuk pelajar tingkatan Lima sahaja namun saya lega kerana pelajar boleh dapatkan naskhah Tutor di Pusat Sumber sekolah, jadi bolehlah saya langgan akhbar ini untuk adik di rumah, katanya.

Untuk melanggan dan sebarang pertanyaan, hubungi Pegawai Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Saiful Adzri Mohd. Fozi di talian 019-9488030.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Anelka main untuk T-Team?

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my

Nicolas Anelka

KUALA TERENGGANU - T-Team mungkin bukan sebuah pasukan besar dalam Liga Malaysia (Liga-M), namun kelab dari Terengganu itu nyata mempunyai cita-cita besar apabila cuba memancing bekas bintang penyerang Perancis, Nicolas Anelka untuk menguatkan cabaran pasukan mengadapi pusingan kedua Liga Super 2014.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syarizan Mohd. Zain mengakui, pasukan itu sedang mengadakan perbincangan dengan ejen Anelka untuk mendapatkan khidmat pemain itu selepas dia dilepaskan oleh kelab Liga Perdana Inggeris, West Bromwich Albion, bulan lalu.

"Buat masa ini, kita sedang mengadakan perbincangan bersama ejen yang juga merupakan abang kepada Anelka.

"Kita berharap dapat mencapai persetujuan mengenai terma dan kontrak dengan bekas bintang ternama ini dalam masa terdekat kerana mengejar tarikh tutup perpindahan Liga Malaysia.

"Bagaimanapun, semasa perbincangan terdapat sedikit halangan terutama berhubung kewangan tetapi ia sama sekali tidak menghalang kami daripada terus mengejar untuk mendapatkan khidmat Anelka," katanya di sini semalam.

Syahrizan mengakui, usaha mendapatkan Anelka tidak mudah kerana pemain berusia 35 tahun itu turut dipikat oleh kelab Brazil, Atletico Maneiro, yang dibintangi bekas Pemain Terbaik Dunia, Ronaldinho.

Begitupun, pihaknya menerima maklumat daripada ejennya bahawa pemain tersebut belum menandatangani apa-apa perancangan bersama kelab itu.

"Kita juga memperoleh maklumat bahawa beberapa kelab tidak dapat memenuhi permintaan gaji Anelka.

"Secara jujur, permintaan gaji yang diminta ejennya masih dalam jangkauan pasukan T-Team," katanya lagi.

Syahrizan memberitahu, pihaknya turut mempunyai rancangan lain jika Anelka mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran T-Team.

Pada zaman kegemilangannya, Anelka pernah menyarung jersi beberapa kelab gergasi Eropah seperti Arsenal, Real Madrid, Chelsea, Paris Saint-Germain, Liverpool, Manchester City, Fenerbahce dan Juventus.

Dia yang menyarung jersi Perancis pada Piala Dunia 1998 dan 2010 tidak disambung kontraknya oleh West Brom kerana kerana didapati bersalah menunjukkan isyarat anti-Yahudi dalam perlawanan menentang West Ham, Januari lalu.

Chong Wei juara lagi

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Chong Wei

KUALA LUMPUR - Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengecewakan musuh tradisi, Chen Long buat kali kedua berturut-turut untuk merangkul kejuaraan Siri Super Terbuka India buat kali ketiga di New Delhi, semalam.

Selepas menundukkan pemain No. 2 dunia dari China itu pada perlawanan akhir All England, Mac lalu, Chong Wei memerlukan 55 minit untuk mencatat satu lagi kemenangan 21-13, 21-17.

Kemenangan ini juga membolehkan jaguh perseorangan negara itu mengatasi Chen Long 9-8 dalam rekod pertemuan kedua-dua pemain, malah ia adalah gelaran ketiga buatnya tahun ini selepas menjuarai Siri Super Premier Terbuka Malaysia (Januari) dan All England.

Chong Wei, 32, yang turut menjuarai Terbuka India pada 2013 dan 2011 sebelum ini menumpaskan rakan senegara Chen Long, Du Pengyu dalam pertarungan sengit 21-17, 19-21, 21-15 di separuh akhir, kelmarin.

Sementara itu, gelaran beregu lelaki menjadi milik pasangan No. 2 dunia dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen yang menumpaskan pilihan ketiga dari China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan 17-21, 21-15, 21-15.

Bagaimanapun China menguasai dua daripada lima gelaran yang ditawarkan pada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM820,000) apabila membawa pulang kejuaraan perseorangan wanita dan beregu wanita.

Wang Shixian menumpaskan rakan senegara dan pemain No. 1 dunia, Li Xuerui 22-20, 21-19 dalam masa 47 minit untuk membawa pulang kejuaraan perseorangan wanita.

Gandingan Tang Yuanting-Yu Yang pula menumpaskan pasangan Korea Selatan, Jung Kyung Eun-Kim Ha Na 21-10, 13-21, 21-16 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama hampir satu jam.

Kejuaraan beregu campuran pula menjadi milik pasangan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christina Pedersen yang dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan pilihan keempat dari Korea, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na 21-16, 18-21, 21-18.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Mayat lelaki ditemui dengan kesan kelar di leher

Posted: 06 Apr 2014 08:27 PM PDT

BUKIT MERTAJAM 7 April - Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kelar di leher dan beberapa tikaman serta luka di badan berhampiran kawasan perkuburan Islam di Jalan Permatang Nibong, di sini malam tadi.

Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terbaring oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 8 malam.

"Lelaki itu memakai seluar jeans dan kemeja hitam. Selain kesan tikaman, perut lelaki itu juga hampir terburai akibat ditikam," kata jurucakap polis.

Beliau berkata, tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan polis percaya lelaki itu adalah rakyat asing kerana tiada tanda suntikan BCG pada lengannya.

Polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata lelaki itu mempunyai tatu di bahagian dada.

Mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat. - BERNAMA

10 lelaki sesat di Gunung Tok Wan ditemui selamat

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Sebahagian daripada mereka yang sesat di Gunung Tok Wan mengaminkan doa selepas mereka diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat di Hulu Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

HULU LANGAT 6 April - Sekumpulan 10 lelaki termasuk enam pelajar Sekolah Menengah Saujana Impian, Kajang di sini yang sesat lebih 24 jam ketika mendaki Gunung Tok Wan berhampiran Bukit Broga, Semenyih ditemui selamat di perkampungan Orang Asli, Kampung Kachau di sini pagi ini.

Mangsa, Nor Azreen Razali, 21; Izarazizi Saribon, 20; Asyraf Mohamad, 20; Muhammad Hariz Ariff, 20; Norman Hakim Abd. Rahman, 16; Akmal Hakim Ahmad Kamal, 16; Wan Ahmad Faris Wan Mohd. Nazmi, 16; Mohd. Haris Sahrizan serta pasangan kembar, Mohd. Zafran dan Mohd Zakuan Mohd. Azmir, 16, ditemui oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 10.30 pagi.

Mereka dikatakan tersesat kira-kira pukul 7 pagi semalam apabila mula mendaki Bukit Broga beberapa jam sebelum itu, bagi menyaksikan matahari terbit

Difahamkan, kesemua mereka selamat ditemui di Kampung Kachau setelah dua daripada ahli kumpulan berkenaan berpecah untuk mencari serta meminta bantuan daripada Orang Asli terbabit.

Menceritakan peristiwa itu, Izarazizi memberitahu, dia, Nor Azreen, Asyraf dan Muhammad Hariz mendaki secara berasingan dan mereka hanya bertemu enam remaja terbabit ketika menghampiri puncak Bukit Broga.

"Mereka bersetuju mengikut kami mendaki Gunung Tok Wan untuk melihat matahari terbit. Mulanya pendakian itu tidak menimbulkan sebarang masalah tetapi apabila kami memutuskan untuk berpatah balik sebelum sampai ke puncak gunung, saya sendiri merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

"Kami berjalan turun tetapi hanya berpusing di lokasi yang sama. Ketika itulah saya tahu bahawa kami telah sesat dan terus menghubungi rakan yang berada di bawah bukit supaya segera meminta bantuan," katanya ketika ditemui selepas diselamatkan, di sini hari ini.

Jelas Izarazizi lagi, mereka nekad untuk mencari sungai dengan harapan arus itu membawa mereka ke kawasan selamat tetapi tragedi berlaku apabila kaki Muhammad Hariz terseliuh setelah tersepit di celahan batu air terjun.

"Kami meneruskan perjalanan namun kerana kecederaan Muhammad Hariz makin serius dan masing-masing telah kepenatan serta kelaparan, kami membuat keputusan untuk berehat dan berteduh di bawah pokok walaupun hujan lebat.

"Beberapa jam selepas itu, saya dan seorang lagi rakan memberanikan diri untuk mencari perkampungan Orang Asli dengan hanya berpandukan salur paip dan alhamdullilah kami berjaya menemui kampung itu dan memperoleh bantuan," katanya.

Sementara itu, Mohd. Zafran memberitahu, peristiwa itu membuatkan dia trauma lebih-lebih lagi melihat adik kembarnya, Mohd. Zakuan yang mengigil kesejukan dan ketakutan.

"Macam-macam perasaan ada ketika kami berehat dalam hujan lebat namun melihat adik mengigil kesejukan memaksa saya menjadi tabah dan memeluknya sehinggalah bantuan tiba," katanya yang mengakui akan berfikir panjang jika mahu mendaki lagi.

Sementara itu, Masriyah Abdul Wahab, 48, ibu kepada salah seorang mangsa berkata, dia sekeluarga bersyukur apabila anaknya, Muhammad Hariz selamat biarpun mengalami kecederaan.

"Muhammad Hariz sendiri yang menghubungi saya untuk memberitahu, dia dan rakan-rakan telah sesat. Tiada apa yang dapat saya lakukan kecuali berdoa agar dia dilindungi Allah ketika berada di dalam hutan.

"Apabila melihat dia berjaya dibawa keluar, kebimbangan saya terus hilang biarpun kakinya tercedera. Apa yang saya mahu adalah dia dan rakan-rakan selamat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Remaja bunuh ibu, direman tujuh hari

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

MIRI 6 April - Seorang remaja lelaki yang disyaki membunuh ibunya di pekarangan Kompleks Tenis, Jalan Sukan di sini semalam kerana wanita itu enggan membelikannya sebuah telefon pintar, ditahan reman selama tujuh hari.

Perintah tahanan reman bermula hari ini dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek berusia 18 tahun itu ditahan kira-kira sejam selepas mayat ibunya, Marife R. Wong, 42, warga Filipina ditemui beberapa pelajar dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta jenis Hyundai Atos pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, rakaman percakapan suspek telah dibuat dan dia mengaku berlaku perbalahan antara mereka dua beranak.

Katanya, suspek merupakan anak sulung daripada tiga beradik memaklumkan bahawa dia sudah tidak tahan dengan tindakan mangsa yang sering memarahinya setiap hari.

"Kita tidak menolak pertengkaran dua beranak itu berlaku ekoran permintaan suspek mahu mendapatkan seunit telefon pintar tidak dipenuhi.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek yang duduk di kerusi belakang kereta yang dipandu ibunya mengambil kesempatan menikam leher mangsa dari belakang sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, remaja berkenaan ditahan setelah disyaki membunuh ibunya dengan menikam dan mengelar leher wanita itu.

Tambahnya, polis turut merampas pakaian serta peralatan tenis yang dipercayai digunakan suspek untuk membantu siasatan.

"Ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga negatif dadah," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Etnik Rohingya diserang lagi

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Penduduk memeriksa kawasan seitar kediaman mereka selepas pelampau Buddha menyerang kawasan dihuni etnik Rohingya di bandar Hlegu, pinggir Yangon pada 4 April lalu. - AGENSI

YANGON 6 April - Penduduk Islam Rohingya terus menjadi mangsa keganasan di Myanmar, selepas etnik minoriti itu dilaporkan diserang sekumpulan pelampau Buddha dalam satu keganasan agama terbaharu di bandar Hlegu, pinggir ibu negara ini, kelmarin.

Burma Times melaporkan, kira-kira 100 orang pelampau Buddha melontar batu dan kayu ke arah etnik Rohingya di bandar itu dan mereka turut cuba merosakkan sebuah bangunan serta memusnahkan rumah-rumah dan kedai-kedai milik penduduk Rohingya.

Ekoran serangan itu, tercetus pertempuran antara kedua-dua belah pihak mengakibatkan beberapa orang cedera termasuk anggota polis yang cuba meleraikan keganasan tersebut.

Keganasan yang dicetuskan penduduk Buddha itu merupakan insiden terbaharu selepas beratus-ratus penduduk Buddha menyerang pejabat kumpulan bantuan perubatan Malteser International dalam satu kejadian di negeri Rakhine, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan di bandar Maungdaw di Rakhine, dua buah kapal sarat membawa tentera Myanmar dilaporkan tiba di Kampung Kyein Chaung dan Bolibazar melalui sungai Pyuma Chaung, lapor Burma Times.

Menurut penduduk, kehadiran tentera di kedua-dua kampung itu adalah di luar jangkaan penduduk dan mereka sama sekali tidak mengetahui tujuan kehadiran tentera di situ.

Penduduk Rohingya kini dalam keadaan dilema dengan kehadiran pasukan keselamatan dan pekerja banci secara serentak memaksa etnik itu mengenalkan diri mereka sebagai Benggali.

Pengerusi Bancian Myanmar, Dr. Kyaw Maung Maung Thein dan Dr. U Ko Ning dilaporkan telah pergi ke perkampungan-perkampungan Rohingya dan mengadakan rundingan dengan guru sekolah supaya menulis terma Benggali pada proses bancian yang akan dijalankan, namun diabaikan guru di situ,

Bukan sahaja guru, pemimpin etnik Rohingya serta doktor dan ahli Parlimen turut menolak proses rundingan yang mencadangkan penduduk menulis keturunan mereka sebagai Benggali, sekali gus memaksa pihak berkuasa memanggil pemimpin Rohingya supaya hadir ke Naypyidaw bagi membincangkan episod Rohingya seterusnya.

PBB hantar 12,000 tentera pengaman

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Presiden sementara Republik Afrika Tengah, Catherine Samba-Panza (kiri) berbincang dengan Ban Ki-moon ketika Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah-Afrika bagi membincangkan krisis di republik itu bermula di Brussels pada 2 April lalu. - REUTERS

BANGUI 6 April - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menghantar 12,000 orang tentera pengaman ke Republik Afrika Tengah, bagi mengambil alih tugas daripada tentera Kesatuan Afrika bagi memulihkan keamanan di negara ini.

Majlis tersebut dijangka meluluskan penghantaran tentera berkenaan pada minggu depan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, pasukan pengaman tersebut hanya akan dihantar ke negara ini pada September ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan keadaan keselamatan di negara ini, selepas kerajaan sementara masih bergelut untuk menangani keganasan yang setakat ini sudah mengorbankan lebih 2,000 nyawa sejak Disember lalu.

Kata Ki-moon, beliau memerlukan lebih banyak pertolongan daripada pihak antarabangsa, selepas wujud kebimbangan bakal berulangnya kesilapan seperti di Rwanda pada 1994 apabila hampir 800,000 orang terbunuh dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai.

"Saya memuji tindakan tentera daripada Kesatuan Afrika dan Perancis yang berani bertindak bagi menangani masalah ini, tetapi mereka semakin kekurangan sumber dan memerlukan bantuan segera," jelas Ki-moon.

Tambahnya, sebelum tentera pengaman PBB dikerahkan ke negara ini, `beliau berharap lebih banyak tentera dan polis dihantar bagi membantu', bagaimanapun beliau tidak menyatakan nama negara-negara berkenaan secara spesifik.

Dalam perkembangan sama, seramai 800 orang tentera daripada Kesatuan Eropah (EU) akan dihantar ke negara ini pada penghujung bulan ini.

Ketika ini seramai 2,000 tentera pengaman dari Perancis dan 6,000 daripada Kesatuan Afrika sudah berada di Republik Afrika Tengah, tetapi masih gagal menangani konflik di negara ini, selepas berlakunya keganasan antara penganut Islam dan Kristian sejak pemberontak Muslim Seleka memegang tampuk pemerintahan negara ini pada tahun lalu. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


RM12j majukan belia Jerantut

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

Ahmad Nazlan Idris (kiri) memberi penerangan kepada Khairy Jamaluddin ketika membuat tinjauan di Kompleks Pembangunan Belia dan Sukan di Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 6 April - Peruntukan tambahan kira-kira RM12 juta diperlukan bagi melengkapkan pembinaan Kompleks Pembangunan Belia dan Sukan Daerah Jerantut (KPBSDJ) di sini.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, peruntukan tambahan itu bertujuan membina trek larian, lampu limpah dan kemudahan lain di kompleks berkenaan.

"Kompleks tersebut belum siap sepenuhnya kerana kerajaan sebelum ini hanya meluluskan RM5 juta untuk membina stadium mini di sini dan kita memerlukan peruntukan tambahan untuk menyediakan satu kemudahan lengkap kepada penduduk.

"Jerantut merupakan satu-satunya daerah yang belum mempunyai stadium mini yang dilengkapi dengan trek larian dan kami terpaksa menggunakan tempat lain di Maran untuk melangsungkan kejohanan olahraga terutama peringkat sekolah dan daerah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di kompleks berkenaan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, di sini semalam.

Menurutnya, kunjungan Khairy amat dinantikan supaya beliau melihat sendiri kemudahan yang belum lengkap di kompleks berkenaan.

"Saya sudah jelaskan kepada beliau tentang kemudahan diperlukan terutama trek larian serta lampu limpah dan beliau akan bekerjasama untuk membawa perkara ini ke peringkat atasan," katanya.

Ahmad Nazlan berkata, pembinaan kompleks tersebut membolehkan penduduk melakukan aktiviti riadah dan sukan dengan lebih selesa.

"Penduduk di sini sangat aktif bersukan dan banyak kejohanan terutama bola sepak diadakan setiap tahun menggunakan padang sekolah dan saya berharap pembinaan kompleks itu dapat menarik lebih ramai penduduk untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya.

Katanya, golongan belia harus menggunakan segala kemudahan disediakan oleh kerajaan sebaik mungkin untuk kebaikan bersama.

Lakukan transformasi dalam perniagaan

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

KUANTAN 6 April - Usahawan Melayu disaran melakukan transformasi terhadap corak perniagaan mereka dengan memberi fokus kepada inovasi serta kreativiti dalam setiap produk masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, dengan melakukan anjakan pada corak perniagaan mereka sudah pasti kedudukan ekonomi orang Melayu kembali pulih, sekali gus setanding dengan usahawan daripada kaum lain.

Menurut beliau, isu besar yang cuba ditangani kerajaan negeri adalah menyuburkan kembali semangat keusahawanan dalam kalangan usahawan terbabit yang dilihat bergerak begitu perlahan.

"Kita mengharapkan mereka memberi lebih fokus memajukan perniagaan dan tumpuan tentang hal pemilikan serta ekuiti dalam syarikat usahasama.

"Di peringkat kerajaan negeri, kita sentiasa menyokong apa jua berkaitan pembangunan usahawan Melayu kerana kekuatan ekonomi yang mampu mengukuhkan nama orang Melayu itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Anjakan Minda Usahawan Melayu 2014 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang di Wisma Belia, di sini baru-baru ini.

Menurut Shahiruddin, usaha meningkatkan ekonomi perlu diambil berat terhadap generasi muda terutama lepasan universiti supaya mereka tidak hanya melihat dalam mencari kerja tetapi mencipta peluang pekerjaan dengan menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.

Beliau turut mengingatkan usahawan terbabit yang ingin mengembangkan perniagaan supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan untuk meluaskan lagi pemasaran produk mereka.

"Mereka perlu menjadikan kerajaan negeri dan agensi sedia ada sebagai rakan karib sebagai langkah memperluas perniagaan sedia ada ke tahap yang lebih baik," katanya.

Realisasikan Temerloh Berprestasi Tinggi

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Mohd. Sharkar Shamsudin (depan, tiga dari kanan) dan Ab. Rahman Halib (depan, tiga dari kiri) bersama sebahagian pelajar cemerlang pada program Ramah Mesra Warga Pendidik Parlimen Temerloh di Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 6 April - Majlis Pengetua dan Majlis Guru Besar daerah ini diminta menggerakkan jentera kepakaran masing-masing dalam merancang pelan strategik tahun ini bagi memastikan Temerloh Berprestasi Tinggi menjadi kenyataan.

Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh, Ab. Rahman Halib berkata, beberapa kelemahan telah dikenal pasti melalui post mortem di peringkat sekolah dan memastikan perkara tersebut dapat diatasi melalui kerangka pelan strategik tersebut.

Menurutnya, beliau percaya dengan sokongan dan komitmen pengetua dan guru besar terbabit segala usaha akan mencapai kejayaan dalam dunia pendidikan, khususnya di daerah ini.

"Bagi melahirkan pelajar cemerlang, banyak agenda telah direncanakan oleh pihak sekolah bagi mencapai hala tuju masing-masing.

"Amanah ini dipikul oleh semua warga pendidik dalam merealisasikan pembinaan negara bangsa yang memiliki modal insan cemerlang sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ramah Mesra Warga Pendidik Parlimen Temerloh Bersama Pemimpin yang dihadiri Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin di Bangunan UMNO Bahagian, di sini kelmarin.

Ab. Rahman berkata, kecemerlangan itu tidak akan datang bergolek dengan begitu mudah kerana memerlukan usaha gigih untuk mencapainya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada warga pendidik daerah ini yang menyumbang idea tanpa mengenal erti penat dan lelah demi kecemerlangan pelajar.

Katanya, ini bersandarkan kepada keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu yang menunjukkan peningkatan kualiti cemerlang iaitu murid yang memperoleh 5A adalah sebanyak 378 calon berbanding tahun sebelumnya 315 calon.

Beliau berharap warga pendidik meneruskan usaha masing-masing dalam melahirkan lebih ramai murid cemerlang dan berjaya dalam pelbagai bidang pada masa depan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bersandarkan hubungan baik negara

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Oleh MUIN ABDUL MAJID

SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel, (tengah) menyampaikan ucapan pembukaan di persidangan meja bulat bersama Menteri-Menteri Pertahanan Asean pada 2 April lalu, di Honolulu, Hawaii. - AGENSI

LAWATAN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Hawaii di tengah-tengah krisis kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, baru-baru ini dilihat berjaya mencapai objektifnya, ibarat peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air.

Beliau bukan sahaja dapat mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada Menteri Pertahanan Asean termasuk Amerika Syarikat (AS) di Honolulu, malah mengambil kesempatan itu untuk memaklumkan kepada mereka mengenai perkembangan terkini dalam pencarian pesawat Malaysia yang hilang sejak 8 Mac.

Menteri Pertahanan Malaysia itu yang secara meluas dianggap sebagai wajah carian MH370 benar-benar ikhlas dengan ucapan terima kasih beliau terhadap bantuan yang dihulurkan kepada Kuala Lumpur dalam operasi pencarian pesawat yang melibatkan pelbagai negara, yang kini tertumpu di Selatan Lautan Hindi.

Keakraban antara Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan dan menteri-menteri lain jelas kelihatan di Honolulu dengan mereka saling berinteraksi mesra antara satu sama lain dalam pelbagai perbincangan di Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean pertama yang diusahakan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel.

Seorang pemerhati berkata, Malaysia dapat mengumpulkan banyak negara di rantau Asia Tenggara dan negara lebih jauh seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, India, China dalam usaha untuk mencari MH370, berikutan Kuala Lumpur, hakikatnya rakan kepada semua orang.

"Dengan Malaysia, apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapatkan," katanya mengenai pengendalian Malaysia dalam hubungannya dengan negara-negara lain.

Pesawat Malaysia Boeing 777-200ER ke Beijing membawa 277 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang pada 8 Mac di Laut China Selatan setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370 "berakhir di Selatan Lautan Hindi".

Operasi membabitkan pelbagai negara bagi mencari MH370 itu bermula di Laut China Selatan sebelum diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman. Analisis data satelit menunjukkan bahawa pesawat itu terbang menuju ke arah Selatan Lautan Hindi, lokasi di mana carian terus dijalankan.

Walaupun tuduhan yang diterima sebaliknya, Malaysia terus teguh mengatakan bahawa ia tidak menyembunyikan apa-apa dan begitu telus dalam mengendalikan pesawat penumpang yang hilang itu.

Sidang media diadakan secara kerap untuk mengemas kini pihak media - juga diperluaskan kepada dunia - mengenai pencarian MH370 dengan pegawai rakyat Malaysia dihantar ke Beijing untuk melakukan perkara yang sama kepada anggota keluarga penumpang warga China.

Daripada 227 penumpang pesawat ber-

kenaan, 153 adalah warga China.

Di Honolulu, menteri pertahanan Asean menyokong Malaysia dalam perkara ini dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir forum pertahanan yang bermula dari 1 hingga 3 April.

"Kami percaya bahawa Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam mengendalikan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini melihat semata-mata kepada skala operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terbesar dan paling kompleks pernah kami lihat," kata mereka.

Menteri-menteri berkenaan menegaskan bahawa perpaduan negara Asean kekal kukuh dan 10 negara anggota kumpulan negara Asia Tenggara benar-benar komited untuk membantu Malaysia dalam menyelaraskan operasi besar-besaran SAR bagi mengesan MH370.

Hagel sendiri secara jelas menyokong komitmen AS untuk terus memberi sokongan kepada operasi mencari dan menyediakan apa sahaja aset yang perlu.

Kepentingan Setiausaha Pertahanan AS untuk tinggal di Hawaii walaupun terpaksa berurusan dengan insiden tembakan beramai-ramai di pangkalan tentera AS di Fort Hood, Texas yang mengakibatkan empat terbunuh dan 16 cedera, jelas tidak mengenepikan Hishammuddin dan Asean.

"Ia menggambarkan sejauh mana penekanan Setiausaha Hagel terhadap Asean," kata Hishammuddin merujuk kepada pegawai pertahanan atasan AS itu.

Asean terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Di Honolulu juga, Hishammuddin mendapat pengesahan dari rakan sejawatannya dari United Kingdom, Philip Hammond bahawa Kapal Selam Nuklear British, HMS Tireless telah menyertai misi pencarian pesawat penerbangan MH370.

Menteri Malaysia itu terbang pulang dengan hati yang tenang dalam pengetahuan bahawa Kuala Lumpur mempunyai ramai kawan yang boleh diharapkan ketika waktu, ia sangat memerlukan bantuan. - BERNAMA

Letakkan kepentingan negara mengatasi politik

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

MINGGU pertama bulan Mac pada tahun 2013 dan 2014 sememangnya amat mencabar bagi negara kita. Dalam dua tempoh ini, Malaysia menjadi tumpuan dan perhatian dunia. Pertama pada Mac 2013 apabila pihak keselamatan melancarkan Ops Daulat di Sabah pada 5 Mac bagi memerangi pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu sejak 12 Februari. Operasi itu terpaksa dilakukan selepas rundingan selama sebulan gagal mencapai penyelesaian. Ketika itu, ada pihak yang menyifatkan pencerobohan itu sebagai sandiwara kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun yang turut menjadi korban adalah anggota pasukan keselamatan kita. Tanpa memikirkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga mangsa, pihak berkenaan sanggup memutar belitkan peristiwa itu demi kelangsungan politik mereka.

Kini tragedi pada bulan Mac berulang.Walaupun ia bukan dalam bentuk serangan atau pencerobohan tetapi apa yang berlaku mencetuskan perhatian besar dunia. Sebulan sudah berlalu. Misteri kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac belum terjawab walaupun penerbangan pesawat itu `berakhir di Lautan Hindi. Masyarakat dunia masih menanti jawapan di manakah pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu. Masih ada yang mengharapkan anak-anak kapal dan penumpang selamat. Sudah banyak teori dibincangkan termasuk melalui laman sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter.

Lebih malang lagi apabila ada pihak yang menyatakan kerajaan menyembunyikan maklumat atau tidak telus berhubung misteri ini. Kenapa kerajaan perlu menyembunyikan maklumat? Jika benar, tergamakkah Malaysia menyusahkan dunia? Adakah mereka (pihak yang menuduh) sedar bahawa sudah banyak tenaga kerja, wang ringgit yang dihabiskan untuk mencari MH370?

Pencarian yang dianggap termahal dalam sejarah itu bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi banyak negara yang turut menyumbangkan peralatan tercanggih. Bayangkan jika Malaysia sebagai pihak tuan rumah diwajibkan membayar kos berkenaan. Apa akan terjadi kepada negara ini? Ada juga yang secara sinis memperlekehkan tahap keupayaan negara sehingga ke tahap mendabik dada bahawa jika mereka berada di jawatan berkenaan, masalah boleh selesai. Ada juga yang menjadikan tragedi ini sebagai usaha menarik perhatian orang ramai menghadiri ceramah mereka kerana sedar bahawa isu lain tidak mampu menarik kehadiran pengunjung. Dengar tajuk ceramah teruja orang mahu mendengarnya. Contohnya Ceramah Perdana Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu di Muar, Johor baru-baru ini bertajuk Penjelasan Misteri MH370. Siapakah Mat Sabu yang mahu menjelaskan misteri berkenaan? Maka diselitkan sepatah dua perkara berkaitan misteri itu tetapi tidak ada penjelasan yang jelas. Dalam erti kata lain mereka ini seolah-olah lebih bijak daripada Perdana Menteri, Najib Tun Razak, lebih hebat daripada Perdana Menteri Australia, Tony Abbott atau Menteri Pengangkutan Hishammuddin Tun Hussein. Ada juga yang bercakap dan memberi kenyataan' seolah-olah merekalah yang lebih tahu berbanding pengetahuan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya atau Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Azharuddin Abdul Rahman.

Mereka yang di luar operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini seolah-olah lebih arif. Begitulah jadinya apabila setiap isu mahu dipolitikkan oleh sesetengah pihak demi kelangsungan hayat politik mereka. Sepatutnya dalam situasi seperti ini, rakyat tanpa mengira fahaman politik perlu bersama - satu hati - menyokong kerajaan dalam melakukan sebarang tindakan untuk menyelesaikan kemelut ini. Janganlah bertindak menikam dari belakang. Adalah kurang bijak kita meludah ke langit kerana akhirnya terpalit di batang hidung sendiri. Tindakan golongan seperti ini boleh menggugat kestabilan negara. Cukuplah serangan siber yang tidak henti-henti menyalakan api kebencian terhadap kerajaan. Begitu juga media asing yang cuba mencari silap.

Ada juga orang politik yang menggunakan media asing untuk menuding jari terhadap kerajaan. Mereka tidak peduli apa yang akan berlaku kepada negara. Ingatlah situasi yang dihadapi hari ini bukan kerana politik. Maka tidak wajar mana-mana pihak mempolitikkan isu ini. Alangkah baik jika mereka tidak bercakap sesuatu yang hanya memburukkan nama negara. Lebih baik mereka sama-sama mendoakan agar usaha pencarian ini berjaya dan diselesaikan dengan segera. Kenapa ketika kebanyakan negara di dunia menghargai usaha yang dilakukan Malaysia, masih ada pihak mempersendakan keluarga sendiri? Agak membimbangkan jika dalam suasana hari ini, akan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjejaskan imej negara. Sememangnya musuh akan sentiasa mencari ruang untuk memusnahkan kita. Kita tidak tahu agenda yang ada.

Jerat tidak pernah melupakan pelanduk tetapi pelanduk selalu melupakan jerat. Kelemahan dan perpecahan sesuatu kaum atau bangsa itu akan memudahkan usaha meruntuhkan kekuatan yang ada. Tidak dinafikan orang kita memang gemar mendengar cerita-cerita karut yang menarik perhatian mereka untuk menganalisis sesuatu peristiwa lebih-lebih lagi melalui laman media sosial.

Ada juga pihak yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak tahu apa penyelesaiannya. Umpama saudagar air liur. Teori mereka, dan siasatan mereka berdasarkan pelbagai sumber media sosial, lebih hebat daripada agensi perisikan FBI atau CIA.

BACAAN AL- QURAN SERTA DOA

LEGA apabila mendengar kekerapan bacaan ayat-ayat suci al-Quran walaupun sekadar surah al-Fatihah di media elektronik. Mungkin langkah ini boleh dikekalkan selepas ini. Jangan menanti musibah baru kita mengingati ayat-ayat al-Quran yang siap dengan terjemahannya. Tanpa perlu mencari penaja untuk menaja bacaan ayat-ayat al-Quran ini, media elektronik boleh meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Siarkan surah-surah pendek yang dapat memberi peringatan kepada masyarakat. Bagi orang Islam, sekurang-kurangnya dapat mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah SWT.

Begitu juga dengan doa yang berkaitan dengan misteri kehilangan MH370. Terasa tenang mendengar doa-doa ini dibaca atau dihuraikan. Seperkara lagi, banyak juga pihak yang menyarankan supaya doa perjalanan dibaca sebelum pesawat berlepas.

Beberapa syarikat penerbangan melakukannya termasuk Saudi Airlines, Royal Brunei, Qatar Airways dan Emirates. Doa perjalanan walaupun hanya melalui tayangan video tetapi sekurang-kurangnya ia memberi peringatan kepada kita. Jika tidak dibaca oleh pihak syarikat penerbangan, berapa ramai yang membaca doa perjalanan sebelum pesawat berlepas. Berapa ramai pula yang menunaikan solat musafir sebelum melakukan perjalanan jauh. Adakah kita hanya sedar apabila musibah sudah berlaku dan kemudian mencari silap orang lain. Lumrahnya, silap sendiri dilupakan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Dunia Harry Potter Steve

Posted: 06 Apr 2014 08:30 AM PDT

RAMAI yang mengaku mereka merupakan peminat sejati siri novel oleh J. K. Rowling, Harry Potter tetapi adakah anda pernah membaca setiap naskhah novelnya lebih 100 kali?

Ataupun adakah anda memiliki beribu-ribu jenis koleksi barangan Harry Potter daripada poster hingga kepada pakaian yang memenuhi rumah anda?

Steve Petrick, 25, mengatakan dia membaca setiap novel Harry Potter beratus kali dan membuktikan kepada dunia yang dia merupakan peminat nombor satu Harry Potter dengan memiliki beribu-ribu barangan Harry Potter sekali gus melayakkan dia bergelar pemilik koleksi Harry Potter terbanyak dalam Guinness World Record.

Jejaka dari Pittsburgh, Pennsylvania ini meminati kisah fantasi ini awal sebelum ia difilemkan lagi malah dia sendiri penah menghadiri sesi uji bakat watak Harry Potter.

Cerita Steve, dia mula jatuh cinta dengan kisah Harry Potter sejak pertama kali membaca novel Rowling itu sewaktu berusia 11 tahun.

Dek kerana gagal mata pelajaran Bahasa Inggeris, dia dilarang oleh ibu bapanya keluar bermain di luar rumah dan menghabiskan masa di dalam rumah membaca novel Harry Potter and the Philosophers Stone yang dihadiahkan neneknya.

Sejak itu dia mula mengkaji dan mengumpul memorabilia yang berkaitan dengan siri Harry Potter seperti kostum, baju, patung, buku yang ditandatangani Rowling dan bermacam lagi.

Dia menghabiskan lebih AS$13,000 (RM42,500) selama 15 tahun dia mengumpul barangan tersebut dan membuatkan rumah ibu bapanya kelihatan seperti muzium Harry Potter.

Antara koleksi yang paling disayanginya ialah surat yang ditulis tangan oleh Rowling kepadanya selain novel yang ditandatanganinya.

Menarik lagi, Rowling pernah menurunkan tandatangannya pada tangan Steve dan dia mencacahnya menjadi tatu.

PEMBACA yang mempunyai koleksi peribadi dan ingin dikongsi bersama, boleh menghubungi 03-92324027 atau e-mel dianna.azaham@utusan.com.my

Ditindih lembaga hitam

Posted: 06 Apr 2014 08:30 AM PDT

KETIKA itu dinihari. Ishak yang sedang tidur lena tiba-tiba didatangi satu lembaga hitam yang dipenuhi bulu. Sepantas ia datang, sepantas itu juga ia menerkam dan menindihnya.

Ishak, yang berusia awal 20-an, tidak mampu berbuat apa-apa. Dia cuba membuka mata dan bangun, tetapi gagal. Seluruh tubuhnya bagaikan ditindih satu beban yang amat berat. Kelopak matanya tidak berupaya dibuka walau sedikit pun. Nafasnya sesak. Dadanya seperti dihempap sebongkah batu.

Ishak tidak dapat bersuara, jeritannya tersekat di kerongkong. Hanya perasaan saja yang meronta sedangkan setiap inci tubuhnya tetap kejang dan kaku.

Hanya selepas menyeru nama Tuhan dan membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam hati, barulah Ishak dapat menggerakkan jarinya. Dan sejurus jari itu digerakkan, beban yang menindih tubuhnya juga serta-merta hilang.

Ishak segera bangun, tubuhnya berpeluh. Pemuda itu melihat sekeliling, hanya dia seorang di atas katil. Lembaga itu ghaib entah ke mana. Ishak adalah kenalan lama saya dan kini berusia awal 50-an. Menurut Ishak, dia telah banyak kali ditindih lembaga hitam. Paling kerap ketika usianya 20-an. Mimpi? Tidak. Kata Ishak, ia terjadi antara jaga dan lena.

Benar, ia bermula di dalam mimpi, namun apabila terjaga, Ishak dapat merasakan dengan jelas tubuh lembaga hitam itu menindih badannya. Malah dia dapat merasakan helaian-helaian bulu yang memenuhi tubuh lembaga itu. Setiap kejadian berlangsung sekitar 10 hingga 15 saat.

Seorang lagi kenalan, Humaizah Ahmad, juga pernah beberapa kali ditindih lembaga hitam ketika tidur. Bagaimanapun, pengalaman guru berusia 45 tahun itu sedikit berbeza kerana sewaktu ditindih, dia turut mendengar lembaga itu berbisik di telinganya. Namun dia tidak dapat memahaminya.

Ditindih lembaga hitam ketika tidur adalah kejadian misteri yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Bagaimanapun, anda jangan terkejut kerana ia turut terjadi dalam kalangan masyarakat lain.

Di Fiji, mereka percaya ia dilakukan oleh kana tevoro, iaitu roh seseorang yang baru saja meninggal dunia. Tevoro muncul kerana ada perkara penting hendak diberitahu kepada orang yang ditindih, juga masyarakat yang ditinggalkannya.

Apabila melihat kejadian itu, orang yang berada berdekatan dengan mangsa akan menjerit, Kania! Kania! (Makan! Makan!) untuk memanjangkan lagi tempoh kerasukan. Tujuannya supaya mereka dapat berhubung dengan roh dan bertanya mengapa ia kembali ke dunia.

Misteri hantu tindih turut berlaku dalam masyarakat Thailand (Phi Am), Mexico (Se me subio el muerto), Jepun (Kanashibari), Korea (Gawi nulim), Mongolia (Khar darakh), Vietnam (Made), Filipina (Bangungut) dan sebagainya.

Di Newfoundland, South Carolina dan Georgia pula, masyarakat di sana mengatakan gangguan itu disebabkan oleh syaitan bernama Hag. Manakala di New Guinea mereka percaya ia dilakukan oleh Suk ninmyo, iaitu pokok yang dianggap suci dan hidup dengan memakan semangat manusia.

Mengikut kepercayaan masyarakat ini, pokok tersebut mencari mangsanya pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Malangnya, ada mangsa yang terjaga ketika semangat mereka dimakan, menyebabkan badannya tidak dapat digerakkan.

Dalam kajian sains dan paranormal Barat, kejadian misteri ini dinamakan kelumpuhan tidur (sleep paralysis). Apa itu sleep paralysis?

Halusinasi

Ia merujuk pada ketidakmampuan kita untuk bergerak ketika sedang tidur ataupun ketika bangun tidur. Bukan sekadar tidak mampu menggerakkan badan, malah kita juga tidak mampu bersuara dan mengalami halusinasi seram serta mimpi yang menakutkan.

Untuk pengetahuan anda, tidur mempunyai banyak tahap. Kelumpuhan tidur terjadi dalam keadaan separuh tidur, sedang tidur nyenyak, ataupun terjaga.

Fasa tidur Rapid Eye Movement (mata berkedip dengan pantas) adalah tahap tidur yang paling lena. Ketika ini jantung berdegup perlahan, otot dalam keadaan yang sangat lemah manakala otak melakukan hal-hal yang mengarut serta di luar kawalan.

Pada tahap inilah mimpi terjadi dan kita dapat merasainya dengan jelas sekali. Kita mahu menjerit dan melepaskan diri daripada jelmaan-jelmaan menakutkan, namun setiap sendi dan anggota tubuh tidak mampu digerakkan.

Ini terjadi kerana otak kita sebenarnya masih dalam keadaan tidur tapi tubuh ingin bangun. Ketiadaan hubungan (disconnection) antara otak dan tubuh inilah yang menyebabkan tubuh kita terasa lumpuh.

Sebuah kisah misteri: Lewat malam sekitar tahun 1997, Ishak Ahmad yang bekerja sebagai penjaga Rumah Api di Port Dickson, Negeri Sembilan, merebahkan badan di atas katil bujangnya, di tingkat atas rumah api tersebut.

Sedang lena dibuai mimpi, Ishak tiba-tiba terjaga. Dia terasa seperti ada seseorang meletakkan tangan di atas dadanya. Tangan siapa pula yang mendakap dadanya itu? Seingat Ishak, tadi dia tidur seorang diri.

Ishak cuba membuka mata, namun kelopak matanya tidak mampu diangkat. Mujurlah tangannya boleh digerakkan. Lantas jari-jemari Ishak meraba-raba tangan yang sedang memeluknya itu. Halus. Lembut. Jarinya runcing.

Tangannya terus merayap. Kali ini Ishak dapat merasakan muka seseorang yang baring di sisinya. Kulitnya halus, hidung mancung dan bibirnya mongel. Ishak juga dapat merasa helaian-helaian rambut yang panjang mengurai.

Sah, perempuan! Dada Ishak berdebar. Takut ada, seram pun ada. Ingin benar Ishak melihat wajah perempuan yang begitu ghairah memeluknya pada waktu malam begitu. Tetapi dia bimbang pula akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Ishak terus meraba. Tangannya menjalar ke bawah lagi, ke dagu, leher, bahu dan dada. Dia mula berasa seronok. Tangannya merayap ke bawah lagi. Ke pinggang, kemudian punggung dan tetapi belum sempat Ishak mencuit kawasan larangan itu, perempuan berkenaan mengeratkan pelukannya. Terasa ada dua bonjolan segar dan lembut melekap ke badannya.

Apabila dipeluk erat sebegitu, tidak ada ruang lagi untuk jari-jemari Ishak merayap. Tangan Ishak terhenti di situ, tidak mampu meraba lagi. Dalam masa yang sama, Ishak juga semakin takut sebab dia yakin yang memeluknya itu bukan perempuan, tetapi!

Ishak segera membaca ayat-ayat suci dan membiarkan saja tubuhnya dipeluk erat. Ishak tidak berani membuka mata kerana dia takut untuk melihat wajah sebenar makhluk berkenaan.

Entah pukul berapa dia terlelap, Ishak tidak tahu. Apabila membuka mata, dilihatnya hari sudah pun terang. Perempuan tersebut tiada lagi di sisinya.

Kejadian aneh itu berulang beberapa kali lagi, tetapi berakhir selepas Ishak mendirikan rumah tangga setahun kemudian. Suatu malam, Ishak bermimpi didatangi seorang gadis yang sangat cantik, persis sang puteri. Gadis itu berdiri di depan pintu rumah api sambil menundukkan mukanya.

Sampai hati abang, tak pernah nak tegur saya. Kalau jalan depan saya pun buat tak nampak saja," kata si gadis lalu menghilangkan diri.

Sejak itu, Ishak tidak lagi ditindih atau dipeluk oleh gadis berkenaan.

Siapakah `gadis tersebut? Hantu tindih? Sleep paralysis? Bunian? Atau?

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


YPC sumbang RM50,000 untuk tabung Alumni UiTM

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

Idris Jusoh (tengah, berdiri ) menunjukkan tanda bagus semasa bergambar bersama sebahagian daripada pelajar cemerlang selepas merasmikan Program Festival Rakyat Parlimen Cheras di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Syed Ali Alhabshee (tengah, barisan belakang). - MINGGUAN/ZAKARIA IDRIS

KUALA LUMPUR 5 April - Kementerian Pendidikan menggalakkan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menawarkan kursus 2+2 bagi meningkatkan kualiti mahasiswa dalam pasaran pekerjaan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kursus itu meliputi masing-masing dua tahun pembelajaran dan bidang pekerjaan atau praktikal sekali gus meningkatkan pengalaman mahasiswa.

Katanya, kaedah itu dapat memastikan semua mahasiswa IPT mempunyai pengalaman bekerja secukupnya yang akan memudahkan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Ini satu pendekatan baharu yang harus diambil perhatian bukan sahaja untuk IPT swasta bahkan awam agar tidak berlaku masalah pengangguran kepada siswazah pada masa akan datang.

Melalui kaedah ini, jika mahasiswa tersebut menjalani latihan dalam sektor perniagaan, mereka boleh menjalankan perniagaan selepas tamat belajar disebabkan mereka mempunyai pengalaman. Jadi, saya menggalakkan IPT awam dan swasta membuat kurikulum tersebut dengan berjumpa pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Festival Rakyat Parlimen Cheras yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, di sini hari ini.

Dalam majlis itu juga, Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) menyalurkan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM).

UPM anjur Karnival Pengajian Tinggi Negara 2014

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

Orang ramai terutama pelajar-pelajar mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara Ke-10 di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 5 April - Semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijemput hadir ke Karnival Pengajian Tinggi Negara 2014 anjuran Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang selama dua hari bermula hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata, golongan itu dinasihatkan datang ke karnival berkenaan kerana kebanyakan daripada mereka masih belum membuat keputusan mengenai program pengajian yang ingin diikuti.

Selain mengetahui syarat-syarat kemasukan, mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak universiti mengenai program yang diminati dan sesuai dengan keputusan SPM.

Pelajar tingkatan empat dan lima juga disarankan hadir bagi mendapatkan pendedahan awal mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh pihak universiti," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Nasir, ibu bapa dan guru kaunselor turut digalakkan hadir supaya mereka dapat mengetahui maklumat yang tepat untuk disampaikan kepada anak-anak atau pelajar mereka dalam menentukan masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pentadbiran (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Rosdi Wah berkata, kelab dan persatuan pelajar universiti itu turut membuat pameran di dalam karnival berkenaan.

Melalui pameran tersebut, pengunjung berpeluang mendapat gambaran awal corak kehidupan mahasiswa universiti yang bukan sahaja menuntut ilmu bahkan menyertai kelab dan persatuan bagi mencungkil bakat kepimpinan dan kemahiran insaniah.

Sebagai tanda sokongan, Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan dijangka hadir ke karnival ini pada petang esok," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Jenama buruan wanita

Posted: 06 Apr 2014 08:30 AM PDT

CANTIK, mempersona dan bergaya. Tiga perkataan ini cukup untuk menggambarkan keunggulan beg berjenama. Tanya sahaja kepada mana-mana wanita, semuanya pasti teruja memiliki sesuatu yang berjenama termasuk pakaian atau aksesori lain seperti beg tangan atau kasut. Jika dahulu sebelum membeli sesuatu barangan berjenama seseorang bukan sahaja perlu membuat perancangan tetapi mereka juga perlu membuat simpanan terlebih dahulu memandangkan harganya yang mahal.

Tetapi hari ini bagi sesiapa sahaja yang berhajat untuk mendapatkan barangan berjenama boleh mendapatkannya dalam sekelip mata tanpa perlu berfikir panjang.

Melalui lawan sesawang www. reebonz .com pelbagai jenis barangan berjenama boleh diperoleh dan mereka turut menawarkan pembelian melalui kad kredit dengan pembayaran ansuran sehingga 24 bulan tanpa sebarang bayaran tambahan.

Menawarkan pelbagai jenis barangan berjenama yang mewah seperti Coach, Kate Spade, Salvatore Ferragamo, Miu Miu, Balenciaga dan Burberry, segala-galanya boleh diperoleh dengan hanya satu 'klik' melalui Internet.

Dalam tempoh empat hari waktu bekerja barangan tersebut dihantar ke alamat pelanggan.

Selain menjimatkan masa dan tenaga, secara tidak langsung memudahkan kita untuk membeli.

Menurut Pengurus Besar Negara Reebonz Malaysia , Tang Siew Wai, Reebonz ialah jenama paling dipercayai dalam talian di Asia.

"Ditubuhkan pada tahun 2009, Reebonz telah memantapkan dirinya sebagai salah satu perniagaan e-dagang yang paling dipercayai kerana kualiti produk, nilai yang besar dan perkhidmatan yang cemerlang. Kempen janji 'WOW' menjadi tema yang mengutamakan kesahihan produk, pembayaran yang selamat dan terjamin, pulangan produk atau pertukaran dan lain-lain," katanya.

Pereka fesyen muda

Posted: 06 Apr 2014 08:30 AM PDT

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my

Saya yakin satu hari nanti masyarakat akan mengiktiraf rekaan saya malah tidak mustahil dikenali dunia kerana songket sebenarnya rekaan yang sangat indah dan sesuai dipakai untuk apa acara sekalipun

NAMA Dieanna Atiqah Saifuddin mungkin masih baru di persada fesyen tempatan tetapi nama ini perlu diberi perhatian kerana jangan terkejut jika suatu hari nanti bakal dikenali ramai.

Baru berusia 21 tahun, Dieanna yang merupakan pereka fesyen muda kini aktif dengan pertandingan rekaan fesyen serta pertunjukan fesyen di dalam negara.

Malah, salah satu rekaan pemegang Diploma Rekaan Fesyen dan Jahitan dari Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) ini terpilih untuk dipakai dalam Pertandingan Ratu Cantik Miss Earth 2013 yang berlangsung di Filipina tahun lalu.

Saya dan ibu saya menggemari kain songket dan sering menerapkan rekaan tradisional ini dalam rekaan kami.

Saya yakin satu hari nanti masyarakat akan mengiktiraf rekaan saya malah tidak mustahil dikenali dunia kerana songket sebenarnya rekaan yang sangat indah dan sesuai dipakai untuk apa acara sekalipun asalkan kena dengan rekaannya dan si pemakai juga harus berani," ujarnya yang mengusahakan Butik Yustie Dieanna bersama ibunya, Norma Yustie Abdul Majid.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Impian 100 pembeli samar

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

Sebahagian pembeli rumah flat kos rendah mengadakan demontrasi membantah pihak pemaju projek perumahan yang terbengkalai sejak tahun 2008 di Mount Austin, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 5 April - Impian lebih 100 pembeli rumah pangsa di Taman Mount Austin di sini untuk memiliki rumah sendiri sejak 10 tahun lalu masih samar-samar apabila projek kediaman kos rendah itu terbengkalai sehingga kini.

Pengerusi pembeli rumah pangsa berkenaan, Suhaimi Mat Isa berkata, pembinaan projek sejak 2003 secara berperingkat-peringkat itu melibatkan 10 blok dengan 911 unit kediaman.

Namun, sehingga kini tujuh blok sahaja yang dibina walaupun hanya ada tiang cerucuk manakala tiga blok lagi iaitu blok tiga, lima dan tujuh tidak langsung dibina oleh kontraktor.

Pelbagai cara kami dah lakukan. Pejabat pemaju juga sudah banyak kali kali jejak namun jawapan yang kami dengar sejak dulu adalah rumah itu akan siap. Tetapi sehingga kini, janji tinggal janji," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Suhaimi, daripada keseluruhan blok berkenaan, hanya sebuah blok boleh diduduki iaitu blok 10, malah segala prasarana awam tidak siap sepenuhnya selain beberapa kerosakan lain.

Blok 10 yang kami tinggal sekarang ini pun banyak kerosakan, sistem saliran bocor, sampah tidak dikutip dan peti surat juga tidak disediakan. Kami bayar pinjaman perumahan bukan sikit tapi macam ini yang kami dapat," katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Lihayati Abdul Rahman, 40, berkata, kediaman dibelinya adalah di blok tiga, namun tapak pembinaan tersebut hanya ada tiang tanpa struktur binaan yang lain.

Ekoran kegagalan pemaju menyiapkan rumah tersebut, menurutnya, dia terpaksa menyewa di blok 10 dan berhadapan dengan pelbagai masalah prasarana.

Saya sudah beberapa kali ke pejabat pemaju untuk bertanyakan perkembangan mengenai projek tersebut namun jawapan pelbagai alasan diberikan oleh mereka," katanya.

Seorang lagi pembeli, Rosnah Rosman, 39, berkata, sejak beberapa tahun lalu, dia terpaksa membayar pinjaman perumahan sebanyak RM328 sebulan sedangkan rumah dijanjikan pemaju akan siap pada 2007 hingga kini masih terbengkalai.

Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera kerana masalah sudah berlarutan sekian lama. Kami juga berharap agar pihak berkenaan sedia membantu kami dalam menyelesaikan perkara ini," katanya.

Tiada perubahan cuti hujung minggu di Johor

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

BATU PAHAT 5 April Kerajaan negeri hari ini menafikan sebarang spekulasi berkaitan cuti hujung minggu negeri itu yang kononnya akan kembali ke hari Sabtu dan Ahad kerana ia sama sekali tidak benar dan tidak pernah dibincangkan sama sekali.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu merupakan bentuk khabar angin yang ditiup di dalam laman sosial.

Tidak benar, jangan dengar khabar angin yang disebarkan melalui media sosial, adakah kamu dengar daripada mulut saya mengenai perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Road to MAHA 2014 Peringkat Negeri Johor di Dataran Penggaram, di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed.

Reaksi Mohamed Khaled itu sebagai mengulas pertanyaan pemberita mengenai desas-desus yang diperkatakan laman media sosial sejak dua minggu lalu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Majlis Pengurniaan Pingat sempena Hari Keputeraan baginda ke-55 pada 23 November lalu bertitah, cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari lepas.

Sektor swasta di negeri ini bagaimanapun tidak terikat dengan pelaksanaan pertukaran cuti hujung minggu tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menyatakan rasa bangga dengan penganjuran Road to MAHA 2014 yang menyaksikan Johor menjadi negeri keempat mengadakannya selepas Pahang, Pulau Pinang dan Perak.

Kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk mempromosikan MAHA 2014 melalui program ini dan akan menganjurkan sebanyak empat program Mini Agro Johor pada tahun ini.

Daripada tinjauan dan maklumat yang diperoleh, saya mendapati sambutan yang diterima begitu menggalakkan dan saya percaya kehadiran orang ramai ke program ini tidak akan sia-sia," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved