Jumaat, 12 April 2013

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Gangguan air tiada kaitan Lynas

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 12 April - Kerajaan negeri menempelak tindakan pembangkang yang mempolitikkan gangguan bekalan air di daerah ini sehingga mengaitkannya dengan operasi loji memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, masalah bekalan air yang berlaku minggu lalu bukan disebabkan ketidakcekapan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) atau salah kerajaan tetapi kerana salah sebuah daripada tujuh pam di Rumah Pam Sungai Kobat rosak.

"Sebelum ini, ketujuh-tujuh pam itu berfungsi dengan baik bagi membekalkan air kepada kira-kira 500,000 penduduk di daerah ini tetapi apabila satu daripada enjin pam rosak, maka bekalan air yang dipam ke loji penapisan di Semambu berkurangan.

"Kerajaan juga menambah tiga lagi rumah pam baharu dengan kos sebanyak RM42 juta tetapi hanya dua beroperasi kerana sebuah lagi mengalami kebocoran pada saluran paip.

"Bagaimanapun, masalah tersebut telah selesai kerana pada masa kini, sebanyak sembilan pam telah beroperasi manakala sebuah lagi dijangka bermula awal bulan depan," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Sehubungan itu, Adnan membidas politik murahan pembangkang itu kerana tuduhan mengaitkan gangguan dengan operasi Lynas jelas merupakan suatu fitnah.

"Kapasiti air yang dibekalkan ke seluruh daerah ini adalah 330 juta liter sehari tetapi hanya digunakan sebanyak 308 juta liter kerana bakinya disimpan.

"Projek Lynas daripada kedua-dua fasa hanya membabitkan 0.3 peratus. Malah, sambungan paip ke kawasan perindustrian tidak membabitkan bekalan yang disalurkan kepada penduduk seluruh daerah ini," jelasnya.

Tambah Adnan, beliau melihat isu ini sengaja digembar-gemburkan pembangkang terutama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh kerana Ahli Parlimen Kuantan itu ketandusan isu dan mula sedar rakyat kini telah menolaknya.

"Saya tak nampak masalah air ini perlu digembar-gemburkan kerana enjin pam rosak apa nak buat. Sama seperti apabila kita memandu kereta rosak, tak kan nak salahkan pemandu pula?

"Bila masalah air berlaku, saya juga mengalaminya. Tidak mungkin kerajaan sengaja mahu menyusahkan rakyat terutama dekat-dekat Pilihan Raya Umum Ke-13 ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau amat kesal apabila pembangkang yang sering mengamalkan budaya fitnah sengaja mengecam dan mencemuh Paip tanpa alasan yang munasabah.

"Mungkin bagi mereka budaya tersebut termasuk mengadakan demonstrasi jalanan sebagai biasa tetapi kali ini mereka mengheret pula Paip untuk propaganda politik mereka," ujarnya.

Pelajar Temerloh teruja jumpa Sheikh Muszaphar

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Sheikh Muszaphar Shukor (kanan) menyampaikan ceramah kepada para pelajar SMK Datuk Bahaman pada Program Latihan Akademik Empower di Temerloh, Pahang, semalam.

TEMERLOH 12 April - Sebanyak 1,500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bahaman, Lanchang di sini teruja dengan kehadiran Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menyampaikan ceramah dalam program Latihan Kemahiran Akademik Empower di sekolah tersebut di sini hari ini.

Program kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin.

Sesi yang berlangsung selama satu jam 30 minit bermula pukul 9.15 pagi itu berjaya menarik perhatian pelajar terbabit mendengar pengalaman angkasawan berkenaan ketika berada di angkasa lepas pada 2007.

Sheikh Muszaphar menceritakan pengalamannya ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) termasuk bagaimana kehidupan seorang angkasawan Islam menunaikan ibadah di stesen berkenaan.

Selain itu, para pelajar tidak melepaskan peluang bertanyakan beberapa soalan kepada Sheikh Muszaphar, khususnya perkara yang dilakukan di sana ketika itu.

Dalam pada itu, Mohd. Sharkar berkata, program sebegini mampu menyuntik semangat dan motivasi para pelajar mencipta kejayaan cemerlang dalam akademik.

Menurut beliau, kehadiran angkasawan negara itu dapat membuka minda pelajar di luar bandar bahawa ilmu sains amat penting dalam kehidupan seharian.

"Kehadirannya yang dibawa oleh ECERDC akan membuka satu lembaran baharu kepada pelajar terbabit untuk terus berjaya, sekali gus melahirkan modal insan berguna pada negara di masa depan.

"Pengalaman beliau ketika berada di angkasa lepas sememangnya amat berguna dan program sebegini wajar diteruskan ke sekolah lain dalam menarik minat para pelajar terhadap mata pelajaran Sains," ujarnya.

Sokongan pengundi Cina penting untuk BN

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Suhaimi Ibrahim (berdiri, enam dari kanan) bersama penerima baucar Karisma Di Hati Rakyat sempena program Bersatu Membanteraskan Jenayah anjuran Ibu Pejabat Polis Lipis di Kampung Penjom, Lipis , Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 12 April - Pengundi Cina di Parlimen Lipis diminta memantapkan sokongan untuk membolehkan calon Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti undi yang lebih tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, sokongan pengundi Cina cukup penting bukan sahaja bagi memastikan kemenangan BN tetapi membolehkan kerajaan yang dibentuk nanti membawa lebih banyak pembangunan dan kesejahteraan kepada kaum berkenaan.

Beliau berkata, pembabitan kaum Cina menerusi pilihan raya umum pertama menerusi MCA telah banyak menyumbang ke arah melakarkan perpaduan dan pembangunan perniagaan di negara ini.

"Elakkan daripada dihasut oleh segelintir konco-konco pembangkang yang cuba menyebarkan dakyah, khususnya membabitkan isu kebajikan dalam kalangan warga emas dan mereka yang tidak mampu," katanya kepada pemberita selepas program Bersatu Membanteras Jenayah anjuran Ibu Pejabat Polis (IPD) Lipis di Kampung Penjom di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan dan Penghulu Mukim Penjom, Azhar Bakar.

Sempena majlis berkenaan, Suhaimi turut menyampaikan baucar Program Karisma Di Hati Rakyat bernilai RM14,000 kepada 70 warga emas dan mereka yang tidak berkemampuan dalam kalangan kaum Cina di Kampung Penjom di sini.

Menurut beliau, pengundi Cina tidak perlu terikut dengan pihak pembangkang yang cuba meracuni pemikiran mereka dengan pelbagai isu kerana tindakan itu akan membawa kepada perpecahan kaum dan kemerosotan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, usaha kerajaan menjaga kebajikan penduduk yang tidak berkemampuan menerusi Program Karisma Di Hati Rakyat dilakukan dengan sumbangan baucar pembelian barang bernilai RM200.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta menerusi program tersebut pada Februari lalu untuk manfaat penerima berbelanja barangan keperluan harian dan kelengkapan di kedai-kedai terpilih di seluruh negara.

Suhaimi yang juga Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sudah menjadi tanggungjawab sosial BN memenuhi janji dan menyelesaikan segala masalah rakyat agar mereka hidup selesa dan bahagia.

Beliau menambah, sumbangan berkenaan menunjukkan Perdana Menteri prihatin dengan sokongan kaum Cina terhadap kerajaan BN.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Helikopter tentera Mali terhempas, 5 maut

Posted: 12 Apr 2013 11:10 AM PDT

BAMAKO 13 April - Lima askar Mali disahkan terbunuh selepas helikopter yang mereka naiki terhempas di wilayah tengah negara ini semalam.

Sumber kerajaan berkata, kejadian berkenaan berlaku di Savare dan masalah teknikal dipercayai punca pesawat tentera itu terhempas.

"Lima askar terbunuh dalam insiden tersebut, termasuk seorang berpangkat kolonel," jelas sumber terbabit. - AFP

Satu lagi kematian akibat H7N9 dicatatkan

Posted: 12 Apr 2013 11:08 AM PDT

BEIJING 13 April - Satu lagi kematian terbaharu akibat virus selesema burung H7N9 dicatatkan di China semalam, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 11 orang.

Agensi berita Xinhua melaporkan, kematian terbaharu itu berlaku di Shanghai dan dua kes jangkitan virus berkenaan turut dilaporkan, menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 40.

Sebagai langkah meredakan kebimbangan orang ramai terhadap penularan H7N9, pihak berkuasa China mengambil langkah tegas dengan menahan berpuluh-puluh orang yang menyebarkan maklumat palsu tentang virus berkenaan. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Nizar kalah saman TV3 RM50 juta

Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 April - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini gagal dalam kes saman fitnah RM50 juta di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3), berhubung isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ini berikutan keputusan Hakim Datin Yeoh Wee Siam yang menolak tuntutan itu dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam.

''Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak defendan bahawa Tweet pihak plaintif (Mohammad Nizar) jika dibaca dan difahami oleh sesiapa pun yang berfikiran waras, jelas menyindir Sultan Johor telah menggunakan dana awam untuk bidaan plat WWW 1,'' kata beliau.

Menurutnya, laporan pihak defendan bahawa Mohammad Nizar bermaksud menuduh Sultan Johor menggunakan dana awam, merupakan komen atau pendapat oleh pihak defendan, bukannya fakta, begitu juga dengan ungkapan bahawa kenyataan plaintif itu telah menyebabkan orang awam berasa tersinggung.

Demikian antara inti pati penghakiman bertulis setebal 30 muka surat Hakim Wee Siam yang diserahkan kepada pihak plaintif dan defendan tanpa dibacakan di mahkamah terbuka.

Semasa prosiding, hakim tersebut hanya menyatakan:

''Tuntutan pihak plaintif dalam writ saman dan pernyataan tuntutan ditolak dan kos ditanggung oleh masing-masing.''

Mohammad Nizar ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, beliau menerima keputusan itu dan pihaknya akan mengkaji alasan penghakiman tersebut sebelum menentukan sama ada akan memfailkan rayuan atau sebaliknya.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 10 Julai tahun lalu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Perak itu menyatakan, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya pada 28 Mei 2012.

Dakwanya, TV3 kemudian telah menyiarkan laporan berunsur fitnah berhubung Tweet beliau itu dalam siaran berita Buletin Utama pada pukul 8 malam, 30 Mei 2012.

Selain TV3, Mohammad Nizar turut memfailkan saman fitnah secara berasingan terhadap Utusan Melayu (M) Bhd., bagi menuntut ganti rugi RM50 juta berhubung isu yang sama.

Kes terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. telah selesai dibicarakan selama dua hari sehingga semalam di hadapan Hakim Datuk Rosnaini Saub yang kemudiannya menetapkan 7 Jun ini untuk penggulungan hujah.

Dalam penghakimannya, Hakim Wee Siam berkata, dengan merujuk kepada rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), adalah jelas plaintif tidak merujuk kepada wang Sultan Johor sendiri kerana tidak logik dan tidak wajar untuk plaintif mencadangkan wang baginda digunakan untuk membina rumah PPRT.

Kata beliau, memang benar seperti hujah peguam defendan bahawa Tweet itu ditujukan oleh Tengku Mahkota Johor kepada akhbar Kosmo! sebaliknya berpendapat, Tweet itu memang ditujukan kepada plaintif apatah lagi baginda mengakhiri Tweet tersebut dengan kata-kata 'Jadi sebelum anda buka mulut anda, sila selidik'.

Katanya lagi, permohonan maaf Mohammad Nizar yang dibuat dalam kenyataan akhbar juga menunjukkan plaintif langsung tidak membuat sebarang cubaan untuk menyangkal pelbagai laporan akhbar sebelum itu yang melaporkan beliau menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membuat bidaan tersebut.

Berhubung pembelaan defendan terhadap ulasan saksama, hakim itu berpendapat, pihak defendan berjaya memenuhi keempat-empat inti pati iaitu perkataan yang diadukan itu adalah komen dan bukan fakta, terdapat asas untuk komen tersebut, komen-komen berkenaan demi kepentingan awam dan dibuat secara jujur dan tanpa niat jahat.

''Secara keseluruhannya mahkamah mendapati bahawa laporan berita Buletin Utama sebagai komen-komen yang dibuat oleh pihak defendan,'' katanya.

Mohammad Nizar diwakili peguam Mohd. Fitri Asmuni dan Mohd. Zamri Ibrahim, manakala Liew Teck Huat, Lim Qi Si dan Wee Jason mewakili pihak defendan.

Pengendali nafi artikel asal ada gambar Khalid

Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT

Khalid Abdul Samad

SHAH ALAM 12 April - Seorang pengendali blog memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, artikel asal yang ditulisnya dalam blog Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman tidak mempunyai gambar teknik tindih Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Khalid Abdul Samad yang berpakaian seperti seorang paderi Kristian.

Azizul Azli Ahmad, 37, berkata, artikel asalnya yang disiarkan dalam hamidahosman.blogspot.com hanya mempunyai gambar Hamidah justeru dokumen yang dikemukakan di mahkamah oleh Khalid selaku pihak plaintif adalah meragukan.

Dia turut menjelaskan, artikel yang dihasilkannya itu tidak pernah menyebut Khalid sebagai seorang yang murtad.

''Khalid mendakwa artikel ini telah memfitnah dia sebagai murtad namun perkataan murtad itu tidak wujud dalam artikel tulisan saya apatah lagi merujuk kepadanya.

''Justeru bagaimana ia boleh merujuk kepada plaintif jika perkataan itu tidak wujud lagipun artikel itu ditulis untuk menggesa umat Islam bersatu dalam isu penggunaan kalimah Allah,'' katanya sebagai saksi defendan terakhir.

Azizul yang kini menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara berkata demikian dalam pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes saman fitnah Khalid terhadap Hamidah yang difailkan pada 23 Disember 2011.

Khalid menyaman Hamidah berhubung penyiaran gambar yang menggunakan teknik tindih gambar Khalid yang disiarkan melalui blognya pada Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid sebagai plaintif mendakwa, gambar itu menunjukkan beliau seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.

Sementara itu, Azizul berkata, perkataan liberal yang ditulis dalam artikel berkenaan tidak merujuk kepada plaintif tetapi lebih kepada golongan yang bersifat terbuka.

''Saya juga tidak merujuk kepada plaintif dalam perkataan melacurkan agama malah ia tidak merujuk kepada mana-mana individu,'' katanya.

Dia turut menjelaskan, tujuannya menulis artikel itu adalah susulan kes Mahkamah Tinggi yang membenarkan gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan, Herald The Catholic Weekly.

''Ia adalah rasa tanggungjawab saya sebagai orang Islam untuk mengingatkan umat Islam lain bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna pakai oleh orang bukan Islam.

''Ini kerana sepanjang pengalaman dua tahun di Indonesia apabila kalimah Allah dibenarkan diguna oleh penganut Kristian, saya melihat statistik penduduk negara itu yang murtad berdasarkan Majlis Agama Islam Indonesia selepas reformasi adalah sebanyak dua juta setahun.

''Malah di Bandung, gereja-gereja yang dinamakan Gereja Jemaah Allah dan Gereja Jemaah Rasul mewujudkan kecelaruan penduduk di antara gereja dan masjid,'' katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya peguam, Azhana Mohd. Khairuddin yang mewakili plaintif, Azizul memberitahu, hanya dia sahaja yang boleh mengakses blog berkenaan dan turut menafikan mengikut semua arahan Hamidah.

Dia turut mengaku membuang artikel dan menutup blog terlibat namun menjelaskan tindakan itu dilakukan setelah dia diterima menyambung pengajian di sebuah IPTA pada September 2011.

Katanya, Hamidah sendiri mencadangkan blog itu ditutup kerana tiada pihak yang dapat menggantikannya sebagai pengendali blog.

Dalam perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hashim Hamzah, Hamidah diwakili peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Khalid turut diwakili peguam, Mohamed Hanipa Maidin.

Mahkamah menetapkan 28 Jun ini untuk keputusan perbicaraan itu dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis dan hujahan balas masing-masing pada 21 Mei dan 10 Jun ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


R4V pertaruh aliran emo

Posted: 12 Apr 2013 02:26 PM PDT

(DARI kiri) Muhammad Farhan, Shahrul Nizam, Mohd. Hafidzie dan Mohd. Norhayat menempa nama melalui gig underground dengan lagu ciptaan sendiri.

BERMULA sekadar suka-suka, tetapi kini kumpulan R4V mula mengorak langkah dengan hasil karya mereka sendiri walaupun diduga pelbagai cabaran.

Kumpulan yang mula ditubuhkan pada tahun 2008 dengan nama asalnya The Single ini digerakkan oleh dua anak muda kental iaitu Shahrul Nizam Mohd. Radi atau dikenali sebagai Momo (vokal/gitar kedua/keyboard), 26, bersama Mohd. Hafidzie Lokman (gitar utama), 26.

Nama Rose 4 Velina (R4V) mula digunakan selepas dua ahli baharu iaitu Mohd. Norhayat Noraini (bass), 26, dan Muhammad Farhan Mohd. Radzi (drum), 21, menggantikan ahli lama yang menarik diri.

Penyertaan mereka dalam gig underground tempatan nyata menaikkan nama mereka sehingga awal tahun 2012 dengan menggunakan muzik beraliran emo atau rock alternatif.

Menurut Momo, aliran yang dibawa kumpulannya memberi fokus kepada penciptaan lagu sendiri yang mengandungi lirik berunsur cinta, kematian, keganasan dan kegelapan.

"Aliran ini dipilih kerana sesuai dengan kehendak ahli dan kami menjadikan beberapa kumpulan antarabangsa seperti My Chemical Romance, 30 Seconds to Mars, Panic at The Disco dan Evenescene sebagai idola," katanya.

Antara lagu-lagu mereka yang menjadi sebutan peminat gig undergrond adalah Cinta Malam yang dicipta khas oleh Momo tentang skandal seorang lelaki yang mencintai dua wanita dalam masa yang sama.

Nama R4V juga mula melonjak di negeri mereka iaitu Perak kerana lagu mereka yang bertajuk Amukan Seladang yang digunakan sebagai lagu semangat untuk pasukan bola sepak negeri Perak melalui projek bersama Unregistered High School (UHS).

Tambah Momo, mereka menulis lagu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai tanda sokongan memartabatkan bahasa kebangsaan, di samping memudahkan pendengar memahami mesej yang ingin disampaikan dengan lebih berkesan.

"Usaha kami mendapat sokongan dan dorongan positif daripada banyak pihak terutamanya dari kelab peminat kami. Jadi, kami akan meneruskan perjuangan ini.

"Single pertama kami yang telah dilancarkan pada tahun 2011 diterima peminat dan buat masa ini, kami masih belum merakam beberapa lagu lain seperti Awan Hitam, Kuasa Hatimu, Burung Hantu dan Velina," katanya.

Mereka juga sedang merancang untuk menyiapkan single kedua yang dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

Bagi peminat aliran emo dan rock alternatif tempatan, anda boleh melihat dan mengenali R4V dengan lebih dekat di www.facebook.com/rose4velina, www.myspace.com/thesinglemusic atau twitter.com/rose4velina. - AZRIN/ZAKARIA IDRIS

Hafiz sedia untuk maraton

Posted: 12 Apr 2013 02:26 PM PDT

Selain Hafiz (dua dari kiri), ramai lagi selebriti yang bakal menyertai acara maraton Bandar Utama bersamanya.

KETERBATASAN waktu boleh menyebabkan seseorang itu terpaksa melupakan aktiviti bersukan.

Biarpun demikian, bagi penyampai radio Fly FM, Hafiz Mohd. Hatim yang berkhidmat di stesen radio berbahasa Inggeris itu sejak 2006, dia pasti mencari masa terluang untuk melibatkan diri dengan aktiviti sukan.

Mana tidaknya, sejak berumah tangga, Hafiz semakin rajin bersukan untuk sihat dan kelihatan menarik di sisi orang tersayang.

Baru-baru ini, .com sempat bertemu dengannya sewaktu sesi fotografi yang berlangsung di Celebrity Fitness, One Utama sambil ditemani peminat setia.

Menurut Hafiz, dia kini dalam proses persediaan untuk berlari dalam acara maraton Feel Good Run yang bakal diadakan pada 7 Julai 2013.

Hafiz berazam untuk menamatkan larian sejauh 15 kilometer dari Sri Pentas, Bandar Utama sehingga ke garisan penamat di Central Park, One Utama.

Selain Hafiz, selebriti lain seperti Lisa Wong, Vanessa Chong, Leslie Chai, Jan Chin, Daniel Khoriri, Melissa Ong, Karena Chin dan ramai lagi akan turut hadir bagi menarik minat masyarakat tempatan mengamalkan gaya hidup sihat.

Jelasnya, Hafiz gemar bermaraton kerana aktiviti itu boleh mengalirkan peluh sekali gus membuatkan badan lebih sihat, mampu melancarkan peredaran darah dan mencegah penyakit.

Selain mengendalikan Fly FM's Night Flight, Hafiz juga menjadi penyampai untuk Freaky Fly 30 dan pernah berlakon dalam drama Gol & Gincu musim kedua dan Impian Ilyana musim ketiga.

Malah hos kepada program Showdown yang berkonsepkan street dance itu juga bakal kembali menemui peminat pada Mei akan datang. - SYAHRIL/SHIDDIEQIIN ZON

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Projek '2050' Kit Siang

Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT

PENULIS ialah pemerhati sosio politik.

DUNIA bagaikan mahu berakhir kepada pakatan politik pembangkang, apabila seorang veteran politik bernama Lim Kit Siang kononnya mengambil tindakan nekad dan heroic untuk bertanding di sebuah negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Johor bukan negeri biasa. Johor adalah negeri yang melahirkan UMNO.

Kemampuan Kit Siang untuk mengepalai tsunami politik di Johor adalah satu gambaran kemenangan yang mahu DAP berikan kepada rakyat. Gelang Patah mahu digambarkan sebagai pentas 'neutral' untuk Kit Siang mengajar UMNO berpolitik.

Cita-cita Kit Siang memang tinggi. Luar biasa tinggi. Kit Siang mahu menampilkan diri sebagai 'Wong Fei-hung' di dalam kung- fu politik berlandskap baharu. Kit Siang nampak peluang yang sangat besar untuk meletakkan DAP dalam carta politik yang lebih tinggi. Kejayaan menarik undi 'urban' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijadikan model rujukan.

Yang penulis mahu nyatakan, kita jangan menganggap 'Projek Gelang Patah' dan 'Projek 2050' Kit Siang ini sebagai program politik jangka pendek. Pengundi dan rakyat di Johor kena buka mata dan faham bahawa Kit Siang sedang cuba untuk membuktikan naratif politik baharu bahawa Malaysia sudah bersedia menerima suatu konsep politik yang sebenar-benarnya terbuka.

'Projek Gelang Patah', 'Projek 2050' - yang dipelopori oleh Kit Siang mengajak pengundi muda untuk menerima naratif politik baru ala-Malaysian Malaysia yang DAP perjuangkan selama ini. Gelang Patah dijadikan satu platform baharu untuk membayangkan bahawa Malaysia sudah siap untuk memasuki fasa politik baru.

DAP nyata terbawa-bawa dengan kejayaan PRN Sarawak tidak beberapa lama dahulu yang membuktikan bahawa pengundi Cina sudah membuat keputusan. Walaupun apa yang dibawa oleh kerajaan, mereka sudah mengambil keputusan untuk memberikan kepercayaan kepada DAP.

Apa yang berlaku di PRN Sarawak bukanlah satu 'kejayaan pakatan secara keseluruhannya', namun ia membuktikan bahawa DAP adalah 'Wong Fei-hung' sebenar dalam politik pakatan. Silat Anwar kurang menjadi di Sarawak. Langkah Pas pun tidak seelok mana di Sarawak.

Apa buktinya? Data Suruhanjaya Pilihan Raya, membuktikan bahawa sewaktu PRN Sarawak, BN mendapat undi terbanyak dengan 372,379 undi, diikuti DAP (134,847), SNAP (15,663), PKR (117,100), Pas (9,719), PCM (2,895) dan Bebas (20,064).

Di dalam pakatan, yang paling mendapat untung daripada naratif politik baharu ini adalah DAP. PKR dapat laba politik di Sarawak, tetapi belum cukup besar. Pas, yang membawa imej Islam masih belum mampu keluar daripada 'wajah' politik lama. Undi untuk Pas masih lagi di bawah angka 10,000 di Sarawak.

Di dalam blog Lim Kit Siang sendiri, dia menyatakan keinginan, impian dan kemahuan politik untuk Malaysia mempunyai matlamat baru yang menjangkau 30 tahun selepas 2020. '2050' adalah angka baru buat Kit Siang. Apa yang Kit Siang impikan pada tahun 2050, boleh diringkaskan dengan retorik politik yang rencam.

Kit Siang bercakap tentang '2050' yang dihuni demokrasi yang 'hebat' - namun partinya sendiri tidak menghormati semangat demokrasi. Kit Siang bercakap tentang semangat 'Malaysia', sedang partinya sendiri tidak membuka ruang yang luas buat ahli berbangsa Melayu. Ia memerlukan kesalahan 'komputer' untuk meletakkan anak Melayu di pentas kepimpinan DAP.

Banyak lagi impian '2050' Kit Siang sebenarnya. Semuanya nampak seakan-akan sangat 'bersih' dan 'murni'. Hakikatnya, 'Projek Gelang Patah' tidak melambangkan apa yang Kit Siang inginkan. Kit Siang masih lagi bermain dengan naratif politik rasis dan usang. Yang baharu kepada Kit Siang hanyalah beberapa kerat orang muda di sekelilingnya yang mahu menggambarkan dia muda dan relevan.

Dalam pada bercakap tentang sebuah negara 'Malaysia' yang suci daripada asas perkauman, Kit Siang sendiri tidak mahu menjadi model untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu. Kit Siang masih lagi bermain dengan modul politik lama. Kit Siang masih lagi mahu bertanding di kawasan yang 'selamat' untuk politik peribadinya.

'Projek Gelang Patah' bukannya membawa niat politik yang beragenda besar seperti soal nusa dan bangsa. Projek ini hanyalah projek politik peribadi Kit Siang. Ego politik peribadi Kit Siang. Rakyat Gelang Patah, baik Cina ataupun Melayu sudah dibawa ke dalam percaturan politik peribadi - yang akhirnya dimurnikan dengan niat '2050'.

56,000 pengundi Cina; 36,000 pengundi Melayu; 14,000 pengundi India dan bangsa lain di Gelang Patah sudah dibawa ke dalam hala tuju politik peribadi Kit Siang. Ini bukan soal 'tsunami' politik. Ini soal Kit Siang ingin menjadi 'Wong fei-hung' politik DAP. Ini soal Kit Siang mahu tampil sebagai hero.

Penulis cukup yakin, pengundi di Johor tidak akan mudah dibeli dengan retorik politik peribadi Kit Siang. Kita semua tahu, bukan Gelang Patah sahaja yang DAP mahukan. Kita semua tahu, cita-cita DAP lebih besar daripada itu.

Jika analogi mudah Kit Siang bahawa 'Gelang Patah' adalah model Malaysia masa hadapan - dia tidak bersikap jujur. Kit Siang masih lagi bergelumang dalam politik lama. Masih rasis. Masih bergerak di jalur perkauman untuk memudahkan dirinya dikekalkan di tempat yang lebih tinggi.

Impian '2050' Kit Siang adalah alat untuk melembutkan agenda perkauman yang dihajatkannya di Gelang Patah. 52.4 % pengundi Cina di Gelang Patah perlu memilih sama ada untuk memberikan lesen besar untuk Kit Siang mengamalkan amalan politik jurasik; atau memberikan politik Johor dan Malaysia satu kesedaran baru.

'Projek Gelang Patah' mesti dijadikan projek khas pengundi Johor untuk menolak Kit Siang. Keyakinan, kesombongan, keangkuhan dan cita-cita tinggi DAP mesti diberikan jawapan yang jelas oleh pengundi.

Sepertimana Kit Siang pernah gagal dengan 'Projek Tanjung' - tidak ada salahnya Kit Siang diberikan markah gagal juga dengan 'Projek Gelang Patah'. Mungkin itu jalan tunggal untuk memastikan Malaysia tidak terus dibenihkan oleh DAP dengan politik rasis.

Waima apa pun, keputusan di P162 Gelang Patah; N48 Skudai dan N49 Nusa Jaya - akan menjadi penentu sama ada Kit Siang menjadi 'Wong Fei-hung'; atau tenggelam selamanya dalam 'jihad' politik yang kononnya boleh membantu Pas di Johor.

Memilih calon BN jauh lebih sukar berbanding pembangkang

Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT

HARI pengumuman nama-nama calon bagi Barisan Nasional (BN) semakin hampir. Tumpuan kepada nama-nama calon BN begitu kuat berbanding pengumuman nama calon bagi PKR, DAP dan Pas.

Sebab masyarakat kita sudah muak dengan nama-nama yang sama dikemukakan oleh parti pembangkang. Negara kita sudah 55 tahun merdeka dan sebanyak 12 kali mengadakan pilihan raya umum, maknanya berkali-kali jugalah nama dan orang yang sama menjadi calon parti yang bertanding.

Contohnya daripada DAP nama Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng dan Karpal Singh, manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang daripada Pas dan Anwar Ibrahim daripada PKR. Nama-nama pemimpin utama ini sudah berkali-kali menjadi calon.

Kalau ada nama lain, pasti mereka juga akan dicalonkan merebut dua kerusi sekali gus iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Memang PKR, DAP dan Pas telah mengumumkan nama calon masing-masing. Tetapi Ketua Pembangkang, Anwar tidak diberi mandat untuk mengetuai pengumuman calon bagi pakatan pembangkang.

Kenapa ketiga-tiga parti itu tidak dapat duduk bersama mengkaji dan menganalisis keupayaan calon-calon mereka yang akan bertanding. Jika di peringkat pemilihan calon begini keadaannya, bayangkan jika pembangkang berjaya memerintah negara ini.

Fenomena ini berbeza dengan BN. Malah Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak diberi kuasa penuh untuk mengkaji dan menganalisis setiap calon yang akan bertanding. Oleh kerana terlalu ramai yang berbakat maka sukar untuk Najib memilih calon.

Kriteria yang ditetapkan untuk menjadi calon pun semakin ketat. Tidak cukup kelayakan akademik, pandai berpidato, disegani masyarakat sekeliling, sebab itu calon juga mesti seorang yang mampu menang.

Dalam tempoh terdekat ini, orang BN sudah diingatkan, mereka yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) harus menerima keputusan itu dengan fikiran terbuka.

Kepada penyandang kerusi Parlimen atau DUN yang tidak terpilih juga perlu menerima hakikat bahawa akan tiba masanya mereka perlu berundur.

BN mengamalkan penggantian calon pada setiap pilihan raya bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk berkhidmat kepada parti. Perkara ini tidak banyak dilakukan dalam pakatan pembangkang.

Beberapa penganalisis cenderung menyatakan generasi muda Malaysia mahukan calon muda pada PRU-13. Mereka berpendapat, UMNO dan BN perlu memberi peluang kepada generasi muda menjadi pemimpin memandangkan generasi itu merupakan kelompok pengundi terbesar.

Ada tanggapan dalam amalan demokrasi, senario mempunyai wakil rakyat berusia 50-an, 60-an, 70-an dan 80-an adalah perkara biasa asalkan mereka disokong, dihormati dan dikagumi oleh generasi muda.

Dalam konteks ini, Najib berdepan dilema untuk memilih calon. Tuntutan orang muda untuk dijadikan calon dan tekanan orang lama untuk dikekalkan pasti memerlukan kebijaksanaan untuk ditangani.

Pada PRU-13 ini, kira-kira 5.5 juta atau 42 peratus daripada keseluruhan 13.3 juta pengundi merupakan mereka yang berusia bawah 40 tahun.

Sebab itu, kita mesti memahami dilema yang bakal dihadapi Najib dalam proses pemilihan calon itu.

Memandangkan survival perjuangan sesebuah parti politik diwarisi kepemimpinan generasi muda maka banyak pihak mengharapkan sekurang-kurangnya 40 peratus calon terdiri daripada orang muda.

Dalam aspek ini, calon wanita muda juga boleh ditambah dan lebih ramai calon wanita diketengahkan.

Penting untuk BN meletakkan calon yang memahami aspirasi Generasi Y kerana golongan ini lebih 'ghairah' untuk berkhidmat kepada rakyat. Namun calon senior yang lebih berpengalaman, boleh memberi tunjuk ajar kepada calon muda.

Sehari dua lagi, masa yang ditunggu- tunggu akan tiba. Nama-nama calon bakal diumumkan oleh Najib. Berilah kepercayaan kepada beliau.

Oleh itu penyokong kepada bakal-bakal calon diharap tidak emosional dan terlalu fanatik. Jangan ada fiil boikot, sabotaj tutup bilik gerakan, dan tindakan yang merosakkan parti sendiri kerana tindakan itu akan merugikan mereka juga.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Terpikat dengan nama isteri

Posted: 12 Apr 2013 11:05 AM PDT

Oleh SITI NORLIDA ROSLAN

BAKAL bergelar ibu dan ayah pada bila-bila masa dalam bulan April ini.

WAJAH seperti wanita Melayu klasik dan nama seperti nama bunga menjadi tarikan utama Khairil Ridzwan, 36, atau lebih dikenali sebagai Loque untuk mendekati gadis yang berjaya menambat hatinya, suatu ketika dahulu.

Kedua-dua perkara yang menarik hatinya itu membuatkan dirinya berusaha untuk mencambahkan benih-benih cinta di antara dirinya dan Dahlia Nadirah, 28 tahun.

Itulah yang menjadi titik permulaan bibit-bibit cinta di antara mereka. Justeru, Loque menjadikan laman sosial Myspace sebagai medium untuk mendekati sang kekasih hati.

Itulah juga yang menyaksikan detik awal perkenalan mereka yang mana ketika itu, Dahlia masih bergelar pelajar di sebuah kolej swasta dan Loque pula telah berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, dia langsung tidak menyangka langkah menambah kenalan secara suka-suka di Myspace mendapat reaksi positif daripada Dahlia.

"Seingat saya, saya mengenali dia pada tahun 2007. Pada mulanya, saya hanya sekadar ingin menambah kenalan tetapi dalam masa yang sama, saya macam jatuh cinta pandang pertama terhadapnya," katanya kepada S2.

Menurut Loque, dalam pada itu, jauh di sudut hatinya, dia berasa tindakannya mahu mendekati Dahlia adalah sia-sia sahaja.

Ini kerana dia beranggapan Dahlia seorang wanita yang cantik dan tidak mungkin ingin berkawan dengannya.

"Namun tanggapan itu meleset kerana Dahlia memberi reaksi di luar jangkaan saya," kata Loque tersenyum.

Dahlia yang sebelum ini hanya mendengar suaminya bercerita, mencelah dengan berkata, dia tidak mengenali Loque walaupun ketika itu Loque merupakan seorang ahli sebuah kumpulan muzik, Butterfingers.

"Memang saya tak tahu dia seorang penyanyi sehinggalah saya melihat profil Loque di Myspace," ujarnya yang memberitahu selepas berkenalan, kedua-dua mereka mula berbalas pesanan mesej di peti masuk Myspace.

Dari sehari ke sehari, perhubungan mereka semakin rapat tetapi masih berstatus kawan biasa. Namun, sewaktu Loque menyambung pelajaran ke luar negara, barulah Dahlia betul-betul jatuh cinta dan mereka mula saling meluahkan perasaan rindu masing-masing.

Sang pujaan hati 'tertinggal' di Malaysia dan sang pujangga berada di Amerika Syarikat, maka selama tiga setengah tahun itulah, mereka mengharungi percintaan jarak jauh yang menguji tahap kesabaran dan kepercayaan antara satu sama lain.

"Walaupun kami jauh, namun alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kami tidak mempunyai masalah kerana kami berkongsi minat dan perwatakan yang lebih kurang sama.

"Suatu hari, saya berjanji untuk menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila dia pulang ke Malaysia.

"Disebabkan saya mahu tengok wajahnya buat kali pertama, saya jadi gementar dan terkejut melihat fizikal dia yang tidak serupa di dalam gambar.

"Dia pula hanya tersenyum melihat reaksi saya dan mengatakan fizikal dirinya berubah daripada kurus menjadi 'berisi' disebabkan senang hati dapat berkawan dengan saya," kata Dahlia tersenyum sambil mata melirik kepada suaminya.

Pada kesempatan dia pulang ke Malaysia itu, Loque merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan Dahlia.

Katanya, rombongan merisik ke rumah ibu bapa Dahlia di Paya Jaras Hulu, Sungai Buloh, Selangor berjalan lancar.

"Rombongan saya diterima baik ahli keluarga Dahlia, dan saya merasa sangat gembira kerana tidak menyangka wanita yang saya idamkan bakal menjadi suri hidup saya," kata Loque tersenyum lebar.

Selepas setahun mengikat tali pertunangan, mereka akhirnya diijabkabulkan pada 28 Januari 2010 dan kini sedang menunggu saat kelahiran cahaya mata pertama yang pastinya akan menambahkan lagi keceriaan dalam rumah tangga yang dibina.

Jelas Loque, selepas berkahwin, hidupnya lebih terurus dan menjadi lebih matang dalam mengharungi bahtera rumah tangga.

Ditanya mengenai keistimewaan Loque di mata Dahlia, jawapannya amat ringkas iaitu seorang yang mementingkan kesempurnaan, bijak dan kelakar.

Malah katanya, rumahnya pasti akan sunyi sekiranya Loque terpaksa ke luar kawasan atau sibuk dengan tugasan perniagaan.

Itulah sebabnya, mereka akan memaksimumkan aktiviti masa lapang sekeluarga termasuk keluar menikmati hidangan kegemaran atau bercuti ke destinasi dalam dan luar negara.

"Walaupun saya sibuk, namun keluarga tetap berada di tempat paling utama di hati saya," katanya.

Disapa persoalan adakah mereka sudah bersedia untuk menjadi ibu dan ayah, Loque menjawab, dia telah lama bersedia dan tidak sabar menunggu kelahiran zuriat pertama.

Dalam pada itu, Dahlia dijangka akan bersalin pada bila-bila masa dalam bulan ini.

"Semua kelengkapan bayi telah disediakan, dan Dahlia pula nampaknya tidak sabar-sabar untuk menimang anak pertama.

"Saya berdoa agar semuanya berjalan lancar dan selamat,'' katanya mengakhiri perbualan.

Dia suami dan chef terbaik kami

Posted: 12 Apr 2013 11:05 AM PDT

HIDUP berumah tangga sering diuji. Macam-macam perkara akan dilalui yang memerlukan kesabaran dan ketabahan untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

Sehubungan itu, pasangan suami isteri hendaklah selalu muhasabah diri dan saling membantu antara satu sama lain agar persefahaman sentiasa wujud. Begitu juga dalam mencuba hidup, sesuatu yang baharu itu memerlukan keberanian dan kemahuan. Di mana ada kemahuan pastinya di situ ada petunjuk.

Itulah juga yang berlaku dalam rumah tangga. Tidak siapa tahu suami yang pemalas dan tidak rajin ke dapur, satu hari akan menjadi seorang tukang masak yang baik dan mampu menambat hati isteri dan anak-anak dengan air tangannya.

Semuanya boleh berlaku hanya dengan belajar dan sedar akan pengorbanan isteri yang kadang kala perlu diberi perhatian dan dibantu.

Inilah kisah yang menjadi pilihan saya minggu ini. Kisah yang jarang berlaku dan sesuai untuk menjadi teladan kepada para suami yang mungkin tidak begitu gembira untuk ke dapur.

Kita ikuti apa yang berlaku dalam rumah tangga Zihan (bukan nama sebenar) sehingga suaminya bertukar menjadi seorang chef yang pandai memasak pelbagai makanan walaupun sebelum itu tidak langsung mahu ke dapur.

Begini kisahnya:

"Saya seorang isteri dan ibu kepada empat orang anak. Menyedari anak-anak semakin membesar dan tidak ada pemantauan yang baik daripada kami suami isteri, saya mengambil keputusan berhenti kerja kira-kira dua tahun lalu. Semuanya saya lakukan kerana sayangkan suami dan anak-anak, tambahan pula pembantu rumah amat sukar diperoleh pada masa ini.

"Sudah tentu keputusan saya menggembirakan suami dan anak-anak kerana saya boleh memberi sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Suami saya, Shukor (bukan nama sebenar), seorang penjawat awam menyokong penuh tindakan saya untuk bersara awal demi anak-anak yang sedang membesar.

"Dua minggu setelah saya berhenti kerja, anak kedua saya, Elisha mengalami kemalangan jalan raya dan dimasukkan ke hospital.

"Seminggu saya menjaganya di hospital menyebabkan tugas saya di rumah tidak dapat dilakukan. Urusan rumah tangga diambil alih sepenuhnya oleh suami yang mengambil cuti tahun untuk menguruskan anak-anak.

"Hati saya risau mengenangkan bagaimana makan minum anak-anak sebab selama ini, suami tidak pernah memasak, jauh sekali untuk ke pasar membeli barang-barang memasak.

"Tetapi keadaan menjadi sebaliknya apabila setiap hari, suami datang ke hospital dengan membawa makanan yang lazat untuk saya dan Elisha. Katanya, di rumah juga saya tidak perlu risau kerana anak-anak sudah ada makanan yang hendak dimakan apabila balik dari sekolah.

"Anak-anak memuji masakan ayah mereka seperti seorang chef yang terkenal. Pelbagai juadah disajikan untuk kami setiap hari, semuanya sedap belaka. "Pandai abang memasak," puji saya dan bertanya belajar dari siapa?

"Sedap ke? Biasa sahaja. Abang cuba-cuba sahaja... Alhamdulillah menjadi pula, dia menjawab sambil tersenyum. Saya semakin hairan, agaknya apa rahsia yang dia sembunyikan daripada saya dan anak-anak. Satu hari, saya pulang ke rumah kerana tertinggal dompet. Kepulangan saya tanpa menghubungi suami terlebih dahulu.

"Ketika saya masuk ke dalam rumah terdengar perbualan seseorang di ruang dapur. Perlahan-lahan saya melangkah untuk mengintai siapakah gerangan yang sedang membantu suami saya di dapur. Tidak pula nampak orangnya.

"Kemudian saya tersenyum sendiri apabila melihat rakaman CD seorang chef sedang menunjukkan cara-cara memasak terpasang di TV ruang dapur. Itulah rahsia masakan suami enak dan setaraf masakan seorang chef. Saya biarkan sahaja 'chef Shukor' dengan menu sajiannya pada hari itu. Setelah mengambil dompet, saya cepat-cepat keluar dari rumah dan kembali ke hospital tanpa suami sedari.

"Selama seminggu itu, saya hanya mendiamkan diri, tidak menegur dan bertanya kepada suami. Yang pasti, saya dan anak-anak menikmati hidangan masakan suami dengan sepenuh hati.

"Saya berasa terharu kerana suami telah melakukan yang terbaik untuk kami anak beranak. Dia berada di sisi saya ketika saya memerlukan bantuan daripadanya.

"Selepas seminggu berada di wad hospital, anak saya dibenarkan pulang. Kami sekeluarga merancang untuk mengadakan kenduri doa selamat. Anak-anak mahukan ayah mereka memasak dan saya pun bersetuju untuk membantu.

"Akhirnya, mahu tidak mahu suami terpaksa membuka rahsia yang dia memasak dengan mengikuti rakaman CD masakan sambil tersenyum malu. Kami tersenyum. Saya tidak berkata apa-apa apabila melihat anak-anak bertepuk tangan menyokong bapa mereka. Saya bangga ada suami yang memahami dan mahu belajar memajukan diri untuk kami sekeluarga.

"Sekurang-kurangnya makanan yang disediakan itu berkualiti, boleh dimakan dan tidak membazir. Tidak salah kita belajar kerana terdapat berbagai kaedah terkini untuk memudahkan kita melakukan kerja-kerja harian di rumah atau di mana sahaja.

"Suami telah mengajar saya untuk menjadi isteri dan ibu yang sentiasa menjaga kebajikan anak-anak dan rumah tangga daripada perkara lain. Mulai hari itu, saya juga membeli CD menu masakan yang dijual di pasaran.

"Terima kasih abang kerana mengilhamkan saya cara terkini penyediaan masakan untuk keluarga yang sebelum ini tidak pernah saya fikirkan. Seronoknya seluruh rumah mula rajin ke dapur. Ada yang membantu membersihkan sinki, mop lantai dan yang perempuan, sudah pandai potong sayur, kopek bawang walaupun belum masuk alam remaja.

"Saya terharu kerana sebelum ini, suami saya tidak menunjukkan tanda-tanda rajin ke dapur tetapi apabila anak kami ditimpa kemalangan, dia telah melaksanakan kerja yang sepatutnya saya buat di rumah dengan baik.

"Terima kasih Ya Allah di atas rahmat-Mu kepada keluarga saya. Terima kasih kerana memberi saya seorang suami yang baik dan prihatin. Semoga rumah tangga kami kekal bahagia hingga ke akhir hayat dan semoga keluarga kami sentiasa di dalam perlindungan-Mu. Amin," Zihan menamatkan cerita.

Menarik bukan kisah Zihan dan suaminya? Saya turut gembira dengan kehidupan yang mereka lalui dan berharap apa yang berlaku dalam rumah tangga Zihan akan menjadi teladan kepada pasangan suami isteri lain.

Hendaknya lebih banyak kaum Adam di luar sana yang telah menjadi suami tampil membantu isteri dengan belajar memasak sebagai persediaan apabila berlaku keadaan terdesak.

Jika sebelum ini, suami hanya membantu membersih rumah, sidai pakaian atau membasuh pinggan mangkuk, apa kata sekarang belajar memasak pula. Sekurang-kurangnya boleh bertukar-tukar menu dengan isteri.

Syabas dan tahniah kepada Shukor kerana bijak mengambil kesempatan untuk belajar memasak pada saat isteri sedang menjaga anak di hospital. Saya doakan keluarga Zihan akan diberi rahmat oleh Allah SWT.

Kepada para isteri, jangan pula mengambil kesempatan sekiranya suami sudah mengambil alih tugas di dapur, sebaliknya perlu ada semangat saling membantu agar keharmonian rumah tangga dapat terus dipertahankan.

Menamatkan catatan, sedikit pesanan yang mungkin boleh dikongsi bersama. Suami yang bertanggungjawab bukan sahaja mampu melaksanakan amanah yang Allah berikan kepadanya tetapi juga bijak membaca perasaan dan menilai pengorbanan isteri untuk kesejahteraan dirinya, keluarga dan rumah tangga dengan rasa kasih yang tidak ada sempadan.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Inisiatif kerajaan bantu rakyat

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Seorang pelanggan membeli barang keperluan harian di Kedai Rakyat 1Malaysia SS4 Wangsa Maju, Kuala Lumpur. - UTUSAN/Ghazali basri

KUALA LUMPUR 11 April - Kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat dapat meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Selain dapat memberikan manfaat kepada rakyat, KR1M yang beroperasi berlandaskan konsep pasar mini 'mesra bajet' itu menyediakan pelbagai barangan keperluan asas pada harga yang rendah dan mampu milik.

Tinjauan Utusan Malaysia di KR1M Wangsa Maju, hari ini mendapati sambutan orang ramai terutama penduduk sekitar cukup memberangsangkan apabila premis tersebut tidak henti-henti dikunjung pelanggan.

Mereka berpendapat pembukaan KR1M di kawasan perumahan mereka sekaligus dapat menyelesaikan kenaikan harga barang yang ditanggung mereka selama ini.

Pemandu teksi, Muhamad Adom, 65, berkata, dia yang tinggal di Setapak datang ke situ semata-mata untuk membeli barangan keperluan harian.

Menurutnya, barangan seperti sabun, susu, beras dan lain-lain dijual dengan harga berpatutan berbanding pasar raya terkemuka atau kedai runcit yang menawarkan harga jauh lebih tinggi setelah saya membuat perbandingan harga.

"Kedai seperti ini membantu rakyat dan lebih bagus ia diperbanyakkan lagi di tempat-tempat pilihan saya dan keluarga untuk berbelanja,"katanya.

Suri rumah, Nur Aidawati Zakaria, 35, yang datang dari Jalan Jelatek itu menyifatkan KR1M harus diperluaskan lagi di sekitar ibu kota selain mencadangkan ke kawasan luar bandar agar mereka merasai manfaatnya.

"Disamping untuk memartabatkan produk-produk keluaran tempatan, saya mencadangkan KR1M diperluaskan sebanyak mungkin.

" Saya sering datang ke sini untuk membeli barangan dapur yang banyak menjimatkan kos perbelanjaan," ujarnya.

Suri rumah, Aziyaton Yaakob, 48, berkata, dia berpuas hati dengan harga yang ditawarkan di KR1M selain layanan yang mesra ditunjukkan oleh para pekerja di situ.

"Hari ini merupakan pertama kali saya datang ke sini dan sebagai contoh, harga untuk satu tin sardin berjumlah RM4.20 dijual di sebuah pasar raya terkemuka. Berbanding di KR1M, ia dijual dengan harga RM3.90 satu tin," jelasnya.

Gangguan air: Setengah juta pengguna terjejas

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Yusof Saroji (kiri) menerangkan status terkini bekalan air kepada Abdul Halem Mat Som dan Priscilla Alfred ketika mengadakan lawatan ke lokasi paip pecah berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZAKARIA IDRIS

KUALA LUMPUR 11 April - Kira-kira setengah juta akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) melibatkan 82 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air sehingga Isnin ini.

Pengarah Eksekutif Operasi Syabas, Yusof Saroji berkata, ini berikutan paip besar berukuran 2,000 milimeter dari Kolam Air Dusun Kubung ke Wangsa Maju telah pecah di lokasi berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, akibat hujan lebat malam tadi.

Menurutnya, antara kawasan terjejas adalah Flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Keramat, Jalan Padang Tembak, Jalan Semarak, Jalan Gurney dan Taman Pandan Jaya.

Turut terlibat Taman Cempaka, Taman Nirvana, Kampung Pandan Dalam, Taman Dagang, Taman Shamelin dan Kampung Melayu Ampang.

Beliau menjelaskan, salur paip itu pecah apabila tembok penahan paip tersebut tidak mampu bertahan akibat asakan dan tekanan kuat dari arus air sungai yang naik dan mengalir deras ekoran hujan lebat selama lima jam semalam.

"Kami menerima aduan orang ramai mengenai kejadian tersebut pada pukul 10 malam yang turut menyebabkan tebing sungai runtuh dan berlaku hakisan tanah," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian bersama media di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Koporat Syabas, Abdul Halem Mat Som dan Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred dan Yusof berkata, kerja-kerja pembaikan paip air yang mampu membekalkan 260 juta liter air sehari itu itu dijangka siap dalam tempoh dua hari bermula hari ini dan dijangka pulih secara peringkat.

"Kita berharap pembaikan yang menelan belanja sehingga RM50,000 dapat disiapkan segera namun faktor cuaca termasuk hujan lebat sejak akhir-akhir ini boleh menyebabkan berlaku kelewatan," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menerusi laman web Syabas atau Twitter dan Facebook.

LZS serah zakat RM2.5j kepada 164 sekolah

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

SHAH ALAM 11 April - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan wang zakat sejumlah RM2.5 juta kepada 15,926 pelajar asnaf fakir dan miskin dari 164 buah sekolah melalui Program Sekolah Angkat (Prosa) 2013 yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Selangor (JPS).

Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan LZS, Datuk Ibrahim Md. Yusoff berkata, LZS komited mahu meneraju perubahan dan membina peradaban dalam memperkasa sosioekonomi umat Islam di negeri ini.

"Untuk mencapai tujuan tersebut, LZS meyakini bidang pendidikan mampu menjadi senjata berkesan bagi merealisasi hasrat tersebut.

"Dengan seramai 15,926 orang pelajar rendah dan menengah yang terlibat, LZS mengeluarkan dana yang begitu besar bagi memastikan agenda pendidikan berjalan lancar," katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Agihan Program Sekolah Angkat LZS 2013 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Timbalan Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid.

Ibrahim berkata, sepanjang lima tahun Prosa dilaksanakan dengan kerjasama JPS, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan oleh LZS kepada sekolah-sekolah yang terlibat.

"Untuk tahun ini Prosa akan memberikan fokus kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Cantik secara semulajadi

Posted: 12 Apr 2013 02:00 AM PDT

Secretleaf kini melancarkan produk baru 'Argan Discovery Set'.

BAYANGKAN dunia ini tanpa kecantikan. Pastinya akan suram dan boleh jadi juga menyedihkan. Sebab itu kecantikan terus menjadi keinginan berterusan manusia khususnya wanita sama ada untuk kecantikan rupa, kulit dan tubuh.

Nyata kecantikan semulajadi dengan wajah bersih gebu persis selebriti Korea menjadi idaman semua wanita.

Bagaimanapun kesedaran semakin bertambah untuk menjadi cantik tanpa ada risiko penyakit seperti kanser kulit dan sebagainya.

Kulit tanpa celaan dengan solekan atau produk yang berasaskan sumber asli menjadi keinginan wanita sekarang.

Sebabnya, kalau guna produk kesihatan atau kecantikan berasaskan kimia, terdapat pelbagai risiko kesihatan.

Bahan kimia meragukan atau merbahaya seperti paraben dan hidrokuinon berpotensi menyebabkan kanser.

Atas kesedaran itu maka tercetus istilah green cosmetics atau 'kosmetik hijau'.

Khazanah alam yang kaya menyediakan sumber terbaik untuk penjagaan kulit, menjangkaui kesan bahan aktif sintetik bagi penghasilan kulit yang cantik, cerah dan awet muda.

Rahsia alam itu disingkat dan diterapkan ke dalam semua produk Secretleaf, yang sinonim dengan minyak argan organik sebagai produk terlaris keluarannya.

Secretleaf adalah syarikat yang pertama memasarkan minyak argan asli organik di negara ini dan merupakan pilihan terbaik untuk pengguna mendapatkan produk minyak argan atau berasaskan minyak berkenaan.

Diimport terus dari koperasi wanita di Magribi, minyak argan yang diikenali sebagai Cecair Emas Maghribi, telah digunapakai sejak ratusan tahun dahulu oleh golongan bangsawan Rom yang terkenal dengan kejelitaan tiada bandingan bak Cleopatra, untuk kecantikan dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki.

Kajian saintifik mendapati kandungan Vitamin E minyak argan menjangkaui tiga kali ganda berbanding minyak zaitun, jauh lebih berkesan dalam mengurangkan penuaan pramatang, kedutan, garis halus serta pigmentasi kulit.

Malahan dengan sumber 100 peratus proses dan produk yang menepati piawai organik, ia halal dan dijamin bebas bahan kimia serta sesuai untuk semua jenis kulit, daripada sekecil bayi sehinggalah kepada yang berusia.

Dijual dalam botol 15 mililiter dengan nama Pure Oil Series 01 Argan Oil, yang boleh digunakan sehingga sebulan, ia mujarab untuk membantu melambatkan penuaan kulit, mengurangkan parut, kesihatan rambut dan juga kuku.

Dengan penggunaan yang pelbagai dan boleh digunakan oleh semua peringkat umur, ia adalah ibarat minyak serbaguna yang sememangnya perlu ada di setiap rumah untuk kecantikan dan kesihatan kulit.

Bagi yang baru ingin mencuba dan mengalami transformasi kulit lebih menawan dengan khasiat minyak argan, Secretleaf kini melancarkan 'Argan Discovery Set', set penjagaan kulit lengkap berasaskan argan yang merangkumi sabun pembersih, serum minyak argan organik serta krim siang dan malam. Seawal dua minggu, untuk merasai kulit semakin lembut, anjal, awet muda serta lebih berseri.

Minyak argan atau Moroccan Oil lebih mendapat perhatian di Hollywood sebagai rawatan terhadap rambut rosak, kusam, kering dan diguna pakai oleh selebriti antarabangsa seperti Beyonce, Scarlett Johansson, Taylor Swift serta ramai lagi artis terkemuka dunia.

Bagi mereka, minyak argan berupaya melindungi rambut yang kerap didandan menggunakan alat pengering mahupun rawatan kimia seperti pewarnaan rambut dan kerinting yang pastinya menyebab kan rambut kering dan rosak.

Lihat sahaja gaya mereka di karpet merah, tentunya anda turut inginkan rambut lembut bersinar seperti mereka dan kini, anda tahu rahsianya.

Kini, Secretleaf muncul dengan produk terbaharu untuk pencerahan kulit secara semulajadi iaitu "Arbutin Natural Lightening Cream", satu-satunya produk pencerahan yang hanya menggunakan bahan aktif dari alam semulajadi dengan dua bahan organik serta diformulasi tanpa bahan kimia merbahaya.

Paling unik, krim pencerah Abutin tidak menyebabkan pengelupasan kulit seperti krim pemutihan jenama lain. Ia tidak berminyak, mudah serap dan kesan seawal 14 hari boleh dialami dengan pencerahan keseluruhan tona kulit, pengurangan bintik-bintik hitam, hiperpigmentasi termasuklah bekas parut. Dirumus dengan arbutin dari pohon bearberry, ia turut menampilkan kombinasi lima rahsia ekstrak herba yang kesemuanya memberikan kesan pencerahan, antikeradangan, antipenuaan dan melawan kesan UVB dari pancaran matahari. Walaupun baru dilancarkan, sambutan terhadap krim pencerah Arbutin amat menggalakkan dan diluar jangkaan.

Bukan sahaja menitik beratkan kesan terhadap kesihatan kulit, kesemua produk Secretleaf dibangunkan dengan penelitian terhadap kesan kepada alam sekitar.

Justeru, kebanyakan bahan yang digunakan adalah dari sumber alam yang boleh dijana semula, serta menggunakan bahan pembungkusan yang boleh dikitar semula, selari dengan arah tuju green cosmetics. Dengan falsafah yang mudah, setiap produk Secretleaf mestilah dibuat daripada bahan berasaskan tumbuhan sahaja, seboleh-bolehnya dengan penarafan organik, tidak terlibat dengan ujian terhadap haiwan, tidak menggunakan bahan sintetik melainkan tiada alternatif yang lebih baik yang memberikan manfaat terbaik kepada pengguna.

Dapatkan rangkaian produk Secretleaf dengan menghubungi talian bebas tol 1800-88-3818 atau 016-6626604/016-2273815.

Layari www.secretleaf.com.my untuk pembelian dalam talian atau senarai pengedar/farmasi di Malaysia dan Brunei. Jadilah peminat kami di www.facebook.com/mysecretleaf untuk promosi terkini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kadar strok membimbangkan di Malaysia

Posted: 12 Apr 2013 02:17 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

KUALA LUMPUR 12 April - Dianggarkan kira-kira 50,000 rakyat Malaysia mengalami serangan penyakit strok akibat fibrilsi atrium (AF), pada setiap tahun.

Pengerusi Strike Out Malaysia (AF SOS Malaysia) Dr. Sim Kui Hian berkata, AF iaitu degupan jantung laju yang dialami pesakit boleh meningkatkan seseorang mendapat strok sehingga lima kali ganda daripada kadar biasa.

"Sudah tentu dengan kadar ini ia boleh meningkatkan kadar kematian sehingga dua kali ganda dalam tempoh setahun.

"Namun, jika pemeriksaan dan pencegahan awal dilakukan, seseorang itu boleh terhindar daripada mengalami strok yang berkaitan dengan AF," katanya pada majlis pelancaran buku AF SOS Malaysia, di sini hari ini.

Selain itu, Persatuan Jantung Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Neurosains Malaysia turut mendedahkan dalam majlis yang sama, bahawa penyakit strok berada di tahap membimbangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. - UTUSAN ONLINE

Suara Generasiku saluran orang muda salurkan pendapat

Posted: 12 Apr 2013 02:15 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 April - Program Suara Generasiku yang dilancarkan hari ini akan menjadi platform baru orang muda suarakan pendapat mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan program berkenaan berkata, pendekatan ortodoks tidak lagi boleh dipakai dan negara memerlukan generasi baru lebih berani bersuara.

"Dulu, apa yang dimahukan oleh pemimpin di atas mestilah diikuti oleh semua pemimpin sehingga ke akar umbi, asas ini tidak lagi boleh dipakai, suara generasi baru turut perlu didengarkan untuk membolehkan negara membangun dengan lebih maju," katanya.

Beliau berucap merasmikan program Suara Generasiku di depan lebih 7, 000 orang muda di Dewan Seri Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil, di sini hari ini.

Najib turut berkata, kerajaan yang ada sekarang juga telah melakukan usaha-usaha seperti menentukan bahawa apa yang dilakukan hari ini melalui Dasar Transformasi Nasional agar hari esok lebih bermakna.

"Itulah sebabnya kita lancar aku janji Barisan Nasional bertemakan 'Menepati Janji, Membawa Harapan', harapan inilah untuk generasi baru hari ini.

"Kita akan berusaha gigih hari ini dengan usaha tersusun rapi. Kita akan melakar masa depan yang sarat dengan harapan," katanya - UTUSAN ONLINE

Bakti sumbang RM29,000 kepada pesakit kanser, mangsa kebakaran

Posted: 12 Apr 2013 02:00 AM PDT

ROSMIZAN RESDI dan NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI

KOTA BHARU 12 April - Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) hari ini telah menghulurkan sumbangan hampir RM29,000 kepada pesakit-pesakit kanser dan juga keluarga mangsa kebakaran di negeri ini.

Sumbangan disalurkan melalui Persatuan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kelantan (Penawar).

Yang Dipertua Penawar, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah berkata, usaha yang dilakukan ini secara tidak langsung dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung oleh mereka.

Menurutnya, RM20,000 diperuntukkan untuk membantu empat penghidap kanser yang mana masing-masing menerima RM5,000 setiap seorang.

"Manakala untuk mangsa kebakaran, sumbangan disampaikan antara RM 1,200 sehingga RM1,400 setiap keluarga melibatkan tujuh keluarga," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan itu di sini hari ini.

Tambah beliau, setiap tahun Bakti menyumbangkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk menjaga kebajikan rakyat di seluruh negeri ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved